Pendidikan negara jauh lebih baik – Muhyiddin – Utusan


Pendidikan negara jauh lebih baik – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 31 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar tindakan sesetengah pihak yang selama ini mempertikai kualiti pendidikan negara berbanding negara-negara luar.

Hakikatnya, jelas Timbalan Perdana Menteri, generasi muda di negara ini mendapat pendidikan yang lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar di Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Menurut beliau, fakta tersebut berdasarkan laporan Daya Saing Global 2011/2012 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang meletakkan kualiti pendidikan negara berada di tangga ke-14 dan di tempat kedua selepas Singapura dalam kalangan negara-negara ASEAN.

‘‘Ini satu pencapaian yang amat membanggakan. Ramai yang mengadu pendidikan negara tidak baik. Tetapi ini (laporan) telah dikeluarkan oleh WEF. Sudah pasti kejayaan itu adalah hasil usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dan rakyat dalam meningkatkan kualiti pendidikan, modal insan serta daya saing negara.