Remaja lemas ketika belajar berenang – Bernama


Remaja lemas ketika belajar berenang

2012/04/03

NIBONG TEBAL: Seorang remaja yang dilapor hilang selepas menjala ikan di Sungai Kerian, Ampang Jajar di sini, semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Mayat Mohd Taufik Rosli, 16, ditemui dalam keadaan tertiarap di dasar sungai berhampiran tempat dia dilaporkan hilang pada jam 8.15 pagi ini. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superitendan Shafien Mamat, berkata remaja itu bersama kembarnya, Mohd Amirul dan sepupu mereka, Mohd Amri Salim, 12, dilapor ke sungai itu untuk menjala ikan pada jam 4 petang semalam.

Sementara itu, Mohd Amirul berkata, kembarnya yang tidak tahu berenang menyatakan hasrat untuk belajar berenang daripada Mohd Amri selepas melihat sepupu mereka itu turun ke sungai untuk membetulkan jala yang tersangkut.

“Pada mulanya Mohd Taufik berada di tempat cetek, tetapi tidak sampai lima minit tangannya mula terkapai-kapai. Sepupu kami cuba menyelamatkannya tetapi dalam sekelip mata abang hilang daripada pandangan kami.

“Saya sangat sedih…ini kali pertama kami menjala bersama dan hasrat abang untuk belajar berenang berakhir dengan tragedi,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Bandar Baharu, Kedah itu. – BERNAMA

Rogol: Dihukum 6 tahun penjara, 3 sebat – Sinar Harian


Rogol: Dihukum 6 tahun penjara, 3 sebat

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 April 2012
Rogol: Dihukum 6 tahun penjara, 3 sebat

KOTA BHARU – Angkara menodai teman wanita yang berusia 15 tahun, seorang pembaik penghawa dingin dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman terhadap Tengku Syukri Tuan Ismail, 25, diputuskan Hakim Irwan Suainbon mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh didapati bersalah merogol mangsa yang juga teman wanitanya berusia 15 tahun tujuh bulan itu di sebuah rumah di Kampung Teluk Bayu, Belahat, Jeli, antara jam 8.15 dan 9.15 malam pada 17 Oktober 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari sementara tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Ridzuan Awang.

Irwan dalam keputusan di akhir kes pembelaan itu berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan dalam pembelaannya manakala pihak pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Sejurus itu, Ahmad Ridzuan memohon hukuman ditangguh bagi anak guamnya mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali yang mewakili Asmah, bagaimanapun membantah permohonan itu. Irwan membenarkannya dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis Jeli setiap bulan sehingga prosiding rayuan tersebut selesai.

Dua kali dilanggar kenderaan – Sinar Harian


Dua kali dilanggar kenderaan

FARAH SHAZWANI ALI
3 April 2012
Dua kali dilanggar kenderaan

KUALA TERENGGANU- Dua kali dilanggar oleh kenderaan hingga menyebabkan tulang paha kiri patah, paru-paru koyak, patah empat bahagian di muka dan kecederaan usus namun nyata ajal Mohd Rahimi Othman, 17, belum tiba.

Walaupun kini kehidupannya berubah, anak kepada Koperal Othman Ali, 51, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman masih terus bersemangat meneruskan kehidupan dengan sokongan dan kasih sayang ahli keluarganya.

Menurut abangnya, Che Mohd Khairi Anuar, 27, kemalangan itu berlaku pada 20 Februari lalu di Jalan Bukit Mentok, Kemaman, sewaktu adiknya itu dalam perjalanan menuju ke kelas fotografi.

“Adik berada di wad unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan lebih dan kami sekeluarga bersyukur kerana dia kuat semangat. Memang sedih melihat keadaannya kini tetapi kami berharap dia diberi kekuatan untuk pulih dengan cepat dan kembali meneruskan hidup seperti biasa.

“Sekarangpun dia sudah mula memberikan reaksi positif. Buat masa sekarang, dia menggunakan papan putih untuk berkomunikasi memandangkan masih sukar untuk bertutur dengan baik,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Md Jamil meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan buah tangan sempena lawatannya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu di sini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Luqman Abdul Rahman dan pegawai kanan polis negeri dan daerah.

Hamzah ketika ditemui berkata, lawatan itu merupakan salah satu program tahunan yang dibuat sempena sambutan Hari Polis Ke-205.

“Ia sebenarnya sebagai manifestasi rasa simpati polis kepada masyarakat. Pada hari ini (semalam) misalnya, pihak kami melawat wad kanak-kanak dan berjumpa dengan orang awam serta lima keluarga polis yang sedang dirawat di hospital ini.

“Saya harap program sebegini akan merapatkan hubungan polis dengan masyarakat. Ia amat penting untuk orang awam mengetahui kita mengambil berat dan ambil tahu hal masyarakat dan ingin melihat mereka hidup sempurna, sihat dan damai,” katanya.

Kaji sistem serah netbook – Sinar Harian


Kaji sistem serah netbook

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 April 2012
Kaji sistem serah netbook

BANDAR MARANG – Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dilihat perlu mengkaji sistem permohonan dan pemberian komputer riba Netbook 1Malaysia yang diberikan kepada golongan sasaran dengan lebih baik pada masa depan.

Terbaru, keadaan majlis penyerahan borang pemberian Netbook 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara di sini, menjadi tegang apabila kira-kira 30 ibu bapa, penjaga serta pemohon tidak berpuas hati dengan cara pelaksanaannya.

Kekecohan itu bermula apabila kumpulan terbabit mendakwa gagal mendapatkan cop pengesahan daripada wakil SKMM ketika ingin menyerahkan borang walaupun nama anak mereka tersenarai untuk menerima kemudahan itu sebelum ini.

Mewakili kumpulan terbabit, Ghazali Ismail, 56, berkata, jika permohonan mereka ditolak tanpa alasan kukuh selepas ini, keadaan itu tidak adil kerana keluarganya belum pernah menerima pemberian kemudahan komputer riba Netbook 1Malaysia sebelum ini.

“Semua pihak terlibat seharusnya meneliti terlebih dahulu sebelum senarai penerima kemudahan dikeluarkan agar perkara seumpama ini tidak berlaku sehingga menyusahkan ibu bapa dan penjaga,” kata bapa empat anak dari Kampung Rhu Dua ini.

Difahamkan seramai lebih 523 nama pemohon disenaraikan untuk menerima pemberian kemudahan itu, dengan penyerahan kemudahan dijangka akan dilakukan pada 17 April depan.

Ghazali berkata, bagaimanapun pada majlis tersebut sebahagian ibu bapa, penjaga dan pemohon dimaklumkan bahawa terdapat sekumpulan kecil daripada jumlah tersebut tidak layak untuk menerima kemudahan itu pada tarikh yang ditetapkan.

“Antara alasan yang diberikan adalah pemohon terbabit sudah melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) dan tidak lagi belajar di sekolah itu sehingga menyebabkan kami keliru kerana ia tidak dimaklumkan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, mereka meminta SKMM mengkaji sistem permohonan dan pemberian komputer riba Netbook 1Malaysia yang diberikan kepada golongan sasaran dengan lebih baik pada masa depan agar kekeliruan seumpama itu tidak berulang.

Keadaan itu bagaimanapun, berakhir dengan baik selepas campur tangan pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Malah kesemua pemohon yang tidak berpuas hati akhirnya menyerahkan borang masing-masing kepada pihak SKMM untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, kesemua pemohonan tersebut akan diproses semula dan akan diberikan perhatian sewajarnya oleh SKMM.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran daerah, Kasim Husin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu.

Pasangan didenda berkhalwat – SInar Harian


Pasangan didenda berkhalwat

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 April 2012

KAMPUNG RAJA – Sepasang kekasih yang ditangkap ketika berdua-dua dalam sebuah hotel ketika satu operasi sempena Hari Kekasih pada Februari lalu didenda maksimum sebanyak RM3,000 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Lelaki berumur 48 tahun dan pasangannya yang berumur 17 tahun itu dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan khalwat itu dihadapan Majistret Mohd Nazri Yusof.

Mereka ditangkap dalam satu operasi pada jam 5.15 pagu, 15 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Besut kerana berdua-duaan tanpa hubungan sah sebagai suami-isteri atau muhram yang boleh mendatangkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana kesalahan berkhalwat yang boleh dihukum denda maksimun RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dibacakan Pendakwa Syarie, Mohd Kasmizan Abdullah, sepasukan penguatkuasa pejabat Agama Daerah telah membuat pemeriksaan pada sebuah bilik di hotel tersebut.

Selepas lima minit pintu utama diketuk, seorang lelaki yang hanya memakai kain pelikat tanpa baju telah membuka pintu.

Keadaan dalam bilik itu gelap dan selepas lampu dibuka, anggota penguatkuasa mendapati seorang perempuan memakai kain batik, baju T lengan pendek tanpa tudung terbaring atas katil bersama seorang bayi lelaki berumur lima bulan.

Pasangan yang beralamat di Kampung Peramu Maju, Kuantan, Pahang itu membayar denda yang dikenakan menyebabkan mereka terlepas daripada hukuman penjara sebulan.

Sementara itu, bayi lelaki bersama wanita itu adalah anak luar nikahnya dengan lelaki lain sebelum ini.

Kuarters guru terbakar ‘3 orang nyaris rentung’ – Sinar Harian


Kuarters guru terbakar ‘3 orang nyaris rentung’

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 April 2012
Kuarters guru terbakar '3 orang nyaris rentung'

KERATONG – Tiga beranak nyaris rentung dalam satu kebakaran selepas dua rumah berkembar kuarters guru di Felda Keratong 4, di sini, hangus dijilat api, di sini, petang Jumaat lepas.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa iaitu, seorang ibu, Faizah Ismail, 39, dan dua anaknya, Nabil Fahmi Mazli, 6, dan Nadzmi Faiq Mazli, 5, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah separuh kekal kayu dan batu itu hangus dalam kebakaran tersebut.

Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Rahmat Omar berkata, anggota bomba tiba di tempat kejadian pada jam 6.28 petang sebelum mereka berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran sejam selepas kejadian itu.

“Pihak kami menerima maklumat berhubung kejadian ini pada jam 5.52 petang sebelum memulakan operasi memadam kebakaran sebaik saja sampai di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Rahmat berkata, kebakaran itu dipercayai bermula dari arah dapur sebuah rumah sebelum ia merebak ke bahagian siling bumbung rumah terbabit yang kemudiannya menular ke kediaman bersebelahan.

“Kebakaran itu menyebabkan api marak dengan cepat hingga mengakibatkan 90 peratus bahagian rumah kayu itu musnah,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, jumlah kerugian sebenar yang dialami kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan lagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Tiada di rumah ketika kejadian

Seorang mangsa, Mazli Nasran, 39, berkata, ketika kejadian itu, dia dan seorang anak lelakinya, Luqman Fikri, 11, tiada di rumah kerana menghantar rombongan sekolah yang menyertai Pertandingan Ragbi Sirkit Akhir Ragbi Sekolah-Sekolah Pahang, di Kuantan.

Menurutnya, dia dihubungi se­orang rakannya pada jam 5.40 petang sebelum bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan tentang kejadian itu.

Mazli yang juga seorang guru di sebuah sekolah berkata, ketika kejadian, hanya isteri dan dua anaknya saja yang berada di rumah itu dan bersyukur kerana kesemua daripada mereka selamat dalam kebakaran itu.

Katanya, barangan berharga seperti peralatan elektrik, komputer riba dan dokumen penting seperti geran motosikal serta surat beranak anaknya hangus dibaham api.

“Tidak ada apa yang berjaya di­selamatkan di dalam rumah kami, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga yang berada di dalam rumah sewaktu kejadian berlaku berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Azahar Atan, 43, yang juga se­orang guru sains di sebuah sekolah berkata, ketika kejadian, dia dan isteri serta dua lagi anaknya tiada di rumah kerana mahu mengambil kereta ­mereka di Pekan.

Katanya, dia dimaklumkan oleh seorang rakannya berhubung ­kejadian itu ketika berada di sebuah stesen bas di Kuantan dan ketika itu dia tidak boleh berbuat apa-apa melainkan meneruskan hasratnya ­mengambil kenderaan tersebut.

Setelah semuanya selesai baru saya pulang ke rumah semula, namun berasa sedih apabila barangan berharga dan dokumen penting tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Dua guru selamatkan kenderaan mangsa

Sementara itu, dua guru yang juga jiran mangsa, Baharuddin Hassan, 40, dan Zamri Yusoff, 39, ­boleh dianggap sebagai ‘hero’ kerana berjaya menyelamatkan empat ­kenderaan masing-masing ke­punyaan mangsa.

Baharuddin berkata, dia yang ­ketika itu mahu mengambil anaknya ke sekolah, tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan suara isteri Mazli yang men­jerit meminta pertolongan.

Menurutnya, dia yang ketika itu berada di dalam kereta terus ber­gegas keluar dan mendapati api mulai ­marak pada bahagian atas bumbung rumah tersebut lalu terus ke arah ­rumah mangsa.

Katanya, dia dan seorang lagi ­jiran, Baharuddin Hassan, 40, cuba mencurah air ke rumah itu bagi ­meredakan api, namun api sukar di­kawal malah merebak dengan pantas ­se­belum dia bertindak mengalihkan ­kenderaan mangsa ke tempat selamat.

“Dua kereta iaitu Mazda ke­punyaan Mazli dan Toyota Avanza milik Azahar dapat diselamatkan.

“Saya dapat merasakan kulit saya menjadi panas kerana berada hanya kira-kira tiga atau empat meter saja daripada rumah terbabit untuk menarik keluar kedua-dua kereta itu ke tengah jalan,” katanya.

Katanya, dia terpaksa bertindak memecah cermin tingkap kereta Avanza untuk menyelamatkan ­kenderaan itu daripada rentung ­berikutan tidak mempunyai pilihan lain memandangkan kereta itu ber­kunci daripada dalam.

“Dalam keadaan panik itu, hanya itu saja pilihan yang ada kerana saya terpaksa memecah cermin kereta untuk melepaskan brek tangan bagi memudahkan kereta itu ditarik ­dengan cepat,” katanya.

Zamri berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam rumah dan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar suara orang menjerit me­minta pertolongan.

Menurutnya, dia terus berlari ke ­depan rumah dan mendapati kedua-dua rumah jirannya ‘dimakan api’ dengan begitu cepat sebelum ­menuju ke rumah terbabit kerana bimbang kemungkinan ada mangsa yang terkepung di dalam rumah tersebut.

“Mujur tiada orang di dalam ­rumah itu dan saya cepat-cepat ­mengalihkan kedua-dua motosikal di kedua-dua rumah terbabit dan ­syukur tiada nyawa terkorban,” katanya.

Kejutan anak selamatkan ibu – Sinar Harian


Kejutan anak selamatkan ibu

IZWAN ROZLIN
3 April 2012
Kejutan anak selamatkan ibu

PETALING JAYA – Tinda­kan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengejutkan ibunya daripada tidur berjaya menyelamatkan keluarganya dalam kejadian kebakaran awal pagi di sebuah unit rumah di Blok H Apartmen Harmoni dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, ibu bersama empat anak itu yang sedang nyenyak tidur tidak sedar api mula marak dari dalam sebuah bilik yang menempatkan dua anak lelakinya.

Suami mangsa, Mohd Ramli Che Mood, 32, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Saya hanya tahu tentang kejadian selepas mendapat panggilan daripada jiran yang memberitahu tentang kejadian yang berlaku,” katanya.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, Mohd Ramli berkata, isterinya menjerit meminta tolong selepas panik melihat api mula marak.

“Jeritan isteri saya didengari oleh jiran sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menyelamatkan seorang lagi anak saya yang masih tidur di dalam bilik terbakar,” katanya.

Menurutnya, tambah malang apabila jentera bomba tidak dapat masuk berikutan kawasan jalan utama ke blok berkenaan dihalang oleh kenderaan penduduk yang diletakkan dibahu jalan.

“Jiran cuba memadamkan sendiri kebakaran menggunakan baldi dan saluran getah paip dari rumah masing-masing dan api dapat dipadamkan dalam masa 15 minit,” katanya yang tinggal menyewa di situ sejak enam tahun lalu.

Mohd Ramli ketika ditemui bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu dan mengucapkan terima kasih kepada jiran yang membantunya.

Difahamkan, kerugian dianggarkan mencecah RM15,000 apabila semua perkakas sekolah hangus terbakar selain hampir semua peralatan rumah rosak akibat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Loo Boon Chuan yang hadir melawat mangsa turut memberikan sumbangan.

Bekas penyelam nafi noda gadis – Metro


Bekas penyelam nafi noda gadis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas penyelam di sebuah pusat peranginan di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan merogol anak saudara tirinya yang berusia 15 tahun pada November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Sapawi Ismail, 27, dari Kampung Beting Lintang, Kampung Raja, Besut yang berkerusi roda kerana mengalami penyakit saraf tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin. Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Sapawi didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Beting Lintang, Kampung Raja, Besut antara jam 8 hingga 11 malam pada 27 November lalu.
Selain itu, Mohd Sapawi turut mengulang perbuatan sama terhadap mangsa di kampung sama antara jam 8 hingga 11 malam pada 28 November lalu dan pada 29 November lalu antara jam 10 hingga 11 malam.

Pameran lukisan memartabatkan pelukis muda, kreatif – Berita Harian


Pameran lukisan memartabatkan pelukis muda, kreatif

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/04/03

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoMOHD Yusof (kanan) berkongsi pengalaman bersama Shaari (tengah) dan pensyarah IPGKIK serta pelukis dalam program GURIS 2012 di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur.
  • FotoLUKISAN karya Nazli bernilai RM18,000 yang dipamerkan dalam program GURIS 2012 di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur.

Mampu jadi komponen menjana ekonomi

LUKISAN bertajuk ‘Atuk! Nak Ikut’ membawa tuah kepada Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, Nazli Hamzah apabila dibeli dengan harga RM18,000 pada Pameran Garis, Uniti, Ritma, Inspirasi dan Seni (GURIS) 2012 di IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lukisan menggunakan media cat minyak itu memaparkan seorang lelaki warga emas memakai kain pelekat berhampiran pokok kelapa dan di belakangnya seorang cucu lelakinya memegang wau.

Karya berkenaan adalah sebuah daripada 280 lukisan hasil kreativiti 110 peserta meliputi pelajar dan pensyarah bersempena program GURIS yang berlangsung lima hari mulai 26 Mac lalu di IPGKIK.

Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara (BSVN), Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, kerjasama dengan pihak yang aktif menggerakkan aktiviti seni lukis dan visual seperti Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan BSVN menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi muda yang cintakan cabang seni berkenaan.

Katanya, negara berjaya melahirkan tokoh seni visual yang hebat seperti Datuk Syed Ahmad Jamal yang digelar Seniman Negara, Hoessein Enas dan Ibrahim Hussin.

Beliau berkata, seniman terbabit tekun mengembangkan bidang itu sama seperti Leonardo Da Vincci iaitu pelukis potret misteri, Monalisa berusia lebih 500 tahun yang digantung pada satu sudut dinding Muzium Louvre di Paris, Perancis, selain Vincent Van Gogh, Claude Monet dan Pablo Picasso.
“Seni itu mampu dikembang lagi bagi melahirkan pelukis muda yang akan menyemarakkan seni visual negara yang bukan saja dikenali di negara ini, malah di peringkat antarabangsa.

“Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bangsa Malaysia amat memerlukan tunjang seni sebagai santapan jiwa dan menjadi teras dalam sosio budaya rakyat,” katanya berucap merasmikan program GURIS 2012 di Dewan Dato’ Razali Ismail IPGKIK, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah IPGKIK, Shaari Osman dan Ketua Jabatan Pendidikan Seni Visual institusi itu, Azizah Suleiman.

Mohd Yusof berkata, bidang seni dan budaya pula seharusnya berkembang selaras dengan pelbagai cita rasa, konsep dan daya kreativiti setempat, yang akhirnya boleh dijadikan antara komponen untuk menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan budaya.

Katanya, IPGKIK seharusnya terus giat dan aktif menganjurkan pameran di dalam dan luar kampus bagi melahirkan pelajar dan dan guru yang kreatif dan inovatif, sekali gus mampu memulakan perniagaan menerusi penjualan hasil karya kreatif mereka.

“IPG perlu membina rangkaian yang lebih profesional dengan semua pihak yang terbabit secara langsung dengan seni lukis dan visual bagi meningkatkan perhatian masyarakat bukan saja untuk menghayati seni diterapkan malah sanggup membeli karya berkenaan,” katanya.

Pesalah juvana dapat SPM cemerlang – Utusan


Pesalah juvana dapat SPM cemerlang

KOTA KINABALU 2 April – Pesalah juvana khususnya pelajar yang ditempatkan di penjara di seluruh negara mempunyai potensi memberangsangkan apabila mereka turut mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Zulkifli Omar berkata, ia dapat dilihat apabila gred purata sekolah integriti mencapai 4.47 peratus iaitu lebih baik daripada gred purata kebangsaan 5.04 peratus.

Katanya, pencapaian SPM pelajar sekolah berkenaan tahun lalu juga membanggakan apabila 100 daripada 108 pelajar telah lulus.

“Antara pencapaian cemerlang pada tahun lalu adalah seorang pelajar telah mendapat 9A, tiga orang mendapat 6A dan dua orang mendapat keputusan 5A.

“Pada tahun itu juga seorang pelajar Sekolah Integriti Kajang telah menjadi pelajar terbaik bagi negeri Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian program ‘Bacalah… Kamu Masih Di Hati’ di Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini hari ini.