Kuarters guru terbakar ‘3 orang nyaris rentung’ – Sinar Harian


Kuarters guru terbakar ‘3 orang nyaris rentung’

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 April 2012
Kuarters guru terbakar '3 orang nyaris rentung'

KERATONG – Tiga beranak nyaris rentung dalam satu kebakaran selepas dua rumah berkembar kuarters guru di Felda Keratong 4, di sini, hangus dijilat api, di sini, petang Jumaat lepas.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa iaitu, seorang ibu, Faizah Ismail, 39, dan dua anaknya, Nabil Fahmi Mazli, 6, dan Nadzmi Faiq Mazli, 5, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah separuh kekal kayu dan batu itu hangus dalam kebakaran tersebut.

Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Rahmat Omar berkata, anggota bomba tiba di tempat kejadian pada jam 6.28 petang sebelum mereka berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran sejam selepas kejadian itu.

“Pihak kami menerima maklumat berhubung kejadian ini pada jam 5.52 petang sebelum memulakan operasi memadam kebakaran sebaik saja sampai di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Rahmat berkata, kebakaran itu dipercayai bermula dari arah dapur sebuah rumah sebelum ia merebak ke bahagian siling bumbung rumah terbabit yang kemudiannya menular ke kediaman bersebelahan.

“Kebakaran itu menyebabkan api marak dengan cepat hingga mengakibatkan 90 peratus bahagian rumah kayu itu musnah,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, jumlah kerugian sebenar yang dialami kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan lagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Tiada di rumah ketika kejadian

Seorang mangsa, Mazli Nasran, 39, berkata, ketika kejadian itu, dia dan seorang anak lelakinya, Luqman Fikri, 11, tiada di rumah kerana menghantar rombongan sekolah yang menyertai Pertandingan Ragbi Sirkit Akhir Ragbi Sekolah-Sekolah Pahang, di Kuantan.

Menurutnya, dia dihubungi se­orang rakannya pada jam 5.40 petang sebelum bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan tentang kejadian itu.

Mazli yang juga seorang guru di sebuah sekolah berkata, ketika kejadian, hanya isteri dan dua anaknya saja yang berada di rumah itu dan bersyukur kerana kesemua daripada mereka selamat dalam kebakaran itu.

Katanya, barangan berharga seperti peralatan elektrik, komputer riba dan dokumen penting seperti geran motosikal serta surat beranak anaknya hangus dibaham api.

“Tidak ada apa yang berjaya di­selamatkan di dalam rumah kami, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga yang berada di dalam rumah sewaktu kejadian berlaku berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Azahar Atan, 43, yang juga se­orang guru sains di sebuah sekolah berkata, ketika kejadian, dia dan isteri serta dua lagi anaknya tiada di rumah kerana mahu mengambil kereta ­mereka di Pekan.

Katanya, dia dimaklumkan oleh seorang rakannya berhubung ­kejadian itu ketika berada di sebuah stesen bas di Kuantan dan ketika itu dia tidak boleh berbuat apa-apa melainkan meneruskan hasratnya ­mengambil kenderaan tersebut.

Setelah semuanya selesai baru saya pulang ke rumah semula, namun berasa sedih apabila barangan berharga dan dokumen penting tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Dua guru selamatkan kenderaan mangsa

Sementara itu, dua guru yang juga jiran mangsa, Baharuddin Hassan, 40, dan Zamri Yusoff, 39, ­boleh dianggap sebagai ‘hero’ kerana berjaya menyelamatkan empat ­kenderaan masing-masing ke­punyaan mangsa.

Baharuddin berkata, dia yang ­ketika itu mahu mengambil anaknya ke sekolah, tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan suara isteri Mazli yang men­jerit meminta pertolongan.

Menurutnya, dia yang ketika itu berada di dalam kereta terus ber­gegas keluar dan mendapati api mulai ­marak pada bahagian atas bumbung rumah tersebut lalu terus ke arah ­rumah mangsa.

Katanya, dia dan seorang lagi ­jiran, Baharuddin Hassan, 40, cuba mencurah air ke rumah itu bagi ­meredakan api, namun api sukar di­kawal malah merebak dengan pantas ­se­belum dia bertindak mengalihkan ­kenderaan mangsa ke tempat selamat.

“Dua kereta iaitu Mazda ke­punyaan Mazli dan Toyota Avanza milik Azahar dapat diselamatkan.

“Saya dapat merasakan kulit saya menjadi panas kerana berada hanya kira-kira tiga atau empat meter saja daripada rumah terbabit untuk menarik keluar kedua-dua kereta itu ke tengah jalan,” katanya.

Katanya, dia terpaksa bertindak memecah cermin tingkap kereta Avanza untuk menyelamatkan ­kenderaan itu daripada rentung ­berikutan tidak mempunyai pilihan lain memandangkan kereta itu ber­kunci daripada dalam.

“Dalam keadaan panik itu, hanya itu saja pilihan yang ada kerana saya terpaksa memecah cermin kereta untuk melepaskan brek tangan bagi memudahkan kereta itu ditarik ­dengan cepat,” katanya.

Zamri berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam rumah dan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar suara orang menjerit me­minta pertolongan.

Menurutnya, dia terus berlari ke ­depan rumah dan mendapati kedua-dua rumah jirannya ‘dimakan api’ dengan begitu cepat sebelum ­menuju ke rumah terbabit kerana bimbang kemungkinan ada mangsa yang terkepung di dalam rumah tersebut.

“Mujur tiada orang di dalam ­rumah itu dan saya cepat-cepat ­mengalihkan kedua-dua motosikal di kedua-dua rumah terbabit dan ­syukur tiada nyawa terkorban,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s