Kerajaan tidak akan tutup SJKC, SJKT: Muhyiddin – Bernama


Kerajaan tidak akan tutup SJKC, SJKT: Muhyiddin

2012/04/05

ALOR SETAR: Kerajaan tidak pernah bercadang untuk menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) walaupun ia kekurangan pelajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sistem SJKC dan SJKT tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kerana penubuhannya adalah untuk memenuhi keperluan sebahagian besar rakyat negara ini berketurunan Cina dan Tamil. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, tiada sebarang akta yang membolehkan menteri berkenaan menutup sekolah-sekolah tersebut.

“Hanya di Malaysia kita sediakan peluang pendidikan untuk melayan kaum-kaum utama,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga SJKC dan SJKT di SMK Keat Hwa II, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan SJKC dan SJKT sebaliknya sentiasa memastikan sistem pelajaran di sekolah-sekolah berkenaan berada pada tahap yang baik dan setanding dengan sekolah kebangsaan.

“Jangan terpengaruh dengan dakwaan bahawa sekolah ini tidak diberi perhatian. Anak tiri, bersikap tidak adil, itu bukanlah dasar Barisan Nasional (BN) yang adil kepada semua pihak,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM2.89 bilion setiap tahun untuk belanja mengurus lebih 1,200 SJKC, manakala RM1.04 bilion untuk SJKT.
Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan waran peruntukan pembangunan bernilai RM14.42 juta kepada 89 SJKC dan 58 SJKT di negeri ini dan peruntukan khas sebanyak RM500,000 kepada SMK Keat Hwa II. – BERNAMA

Buruh dituduh rogol gadis bawah umur – Sinar Harian


Buruh dituduh rogol gadis bawah umur

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
Buruh dituduh rogol gadis bawah umur

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam setelah berdepan dengan pertuduhan merogol gadis bawah umur pada 2010 yang lalu.

Tertuduh, Che Awang Che Abdullah, 31, yang berasal dari Jertih, Besut, dituduh melakukan kesalahan itu pada 15 Disember 2010, antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang di kawasan semak, tempat perkelahan di Air Tawar, Besut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu ke atas seorang gadis bawah umur yang ketika itu berusia 15 tahun lima bulan dam didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Tertuduh yang berpakaian lokap bagaimanapun mohon dibicarakan setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Zulfazliah Mahmud.

Hakim Wan Fadhilah Nor kemudiannya menetapkan tarikh sebut semula pada 8 Mei depan untuk lantikan peguam dan membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Penoreh getah didakwa rogol anak – Sinar Harian


Penoreh getah didakwa rogol anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012

KUALA PILAH – Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol anaknya di Tampin, bulan lalu.

Tertuduh berusia 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anak kandungnya yang ketika itu berusia 13 tahun di rumah mereka di sekitar Tampin, kira-kira jam 5.45 pagi, 28 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor S Elangoran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes pada 15 Mei depan.

Lebih 20 murid keracunan selepas minum susu – Sinar Harian


Lebih 20 murid keracunan selepas minum susu

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 April 2012
Lebih 20 murid keracunan selepas minum susu

TEMERLOH – Lebih 20 murid sebuah sekolah rendah di daerah ini mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat alahan selepas meminum susu 1Malaysia, semalam.

Sinar Harian dimaklumkan kejadian berlaku tengah hari kelmarin selepas sekumpulan murid mengadu sakit perut dan muntah tidak lama selepas minum susu berkenaan.

Beberapa ibu bapa murid juga mendakwa kejadian cirit-birit dan muntah itu berlanjutan hingga semalam sehingga ada antara mereka dihantar ke klinik kesihatan kerajaan serta swasta untuk mendapatkan rawatan.

Perkara itu bagaimanapun gagal disahkan pengurusan sekolah t yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian kepada wakil media yang cuba mendapatkan maklum balas.

Tinjauan media ke Pejabat Pelajaran Daerah juga gagal mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Bagaimanapun Sinar Harian difahamkan tidak semua murid yang minum susu itu mendapat cirit-birit.

Ada sumber memaklumkan sesetengah murid yang alahan sahaja mengalami cirit-birit dan muntah.

Bagi mendapat kepastian, media membuat tinjauan ke sekolah terbabit tengah hari semalam dan ada murid mengaku mengalami cirit-birit dan muntah selepas minum susu itu.

Namun tindakan media itu bagaimanapun dihalang pihak tertentu di pekarangan sekolah. Sinar Harian juga dimaklumkan beberapa minggu lalu terdapat sebuah sekolah rendah luar bandar mengalami kesan sama selepas minum susu terbabit.

Tiada unsur jenayah dalam kes culik remaja perempuan – Bernama


Tiada unsur jenayah dalam kes culik remaja perempuan

5 April 2012

SHAH ALAM – Tiada unsur jenayah dalam kes penculikan membabitkan seorang remaja perempuan yang ditemui oleh polis Thailand pada 11 Mac lepas, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob.

Beliau berkata perkara itu disahkan berdasarkan laporan yang diterima daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selepas kertas siasatan berhubung kes penculikan itu selesai pada 27 Mac lepas.

“Kita telah terima maklum balas daripada pihak DPP dan menggugurkan unsur jenayah dalam kes penculikan itu, serta kini kes diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Polis ke-205 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Zahedi berkata beliau difahamkan pihak JKM sedang meneliti tindakan sewajarnya terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun itu untuk dimajukan kepada pejabat DPP.

Manakala kesemua lima remaja Myanmar yang turut ditemui bersama remaja perempuan itu telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), katanya.

Kes berkaitan remaja perempuan itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.

Zahedi dalam sidang media pada 26 Mac lepas mendedahkan remaja perempuan terbabit adalah perancang utama bersama lima lagi remaja Myanmar yang kononnya turut diculik dalam kes berkenaan.

Beliau berkata maklumat itu adalah berdasarkan keterangan konsisten daripada lima remaja Myanmar berusia antara 14 dan 17 tahun terbabit ketika disoal siasat.

Katanya difahamkan kumpulan remaja terbabit termasuk remaja perempuan itu menjalankan aktiviti kutipan derma secara haram dan mengenali rapat antara satu sama lain.

Sementara itu, Zahedi meminta supaya ibu bapa mengawasi dan mengambil tahu aktiviti serta pergaulan anak mereka bagi memastikan kes sama tidak berulang kerana ia menyebabkan kerugian yang besar kepada semua pihak.

“Bayangkan bila kes besar seperti ini kita perlu menjalankan siasatan yang serius dan mengeluarkan kos tinggi tetapi akhirnya tidak ada kes,” katanya.

Remaja perempuan itu dan lima remaja Myanmar terbabit diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok setelah mendakwa diculik ke negara jiran itu.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada warga IPD Shah Alam dan orang awam menyertai program derma darah anjuran bersama Pusat Darah Negara.- Bernama

Henti politik isu SJKC – Metro


Henti politik isu SJKC

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta berhenti daripada mempolitikkan isu pendidikan Cina, sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kualiti dan kemajuan pendidikan di semua sekolah, sama ada sekolah kebangsaan mahupun jenis kebangsaan supaya dapat mengangkat daya saing menghadapi cabaran masa depan.

Ini kerana Kementerian Pelajaran sentiasa komited dan serius menangani isu kekurangan guru di sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) melalui jawatankuasa khas diketuai Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai kerajaan yang prihatin, langkah sistematik, dasar yang seragam dan berterusan sudah dan sedang diambil untuk menangani isu kekurangan guru di SJKC.

 

Justeru, beliau berharap masyarakat Cina menyambut baik langkah jangka pendek dan jangka panjang yang diumumkan jawatankuasa itu pada 20 Mac lalu kerana sekolah berkenaan tidak pernah diasingkan daripada sistem pendidikan negara.
“Langkah diambil itu juga bukan kerana tekanan dibuat mana-mana pihak, malah kesimpulan yang (mengatakan) kerajaan mengambil langkah itu hanya selepas mendapat tekanan daripada pihak tertentu adalah tidak benar.
“Isu ini perlu diperjelaskan supaya gambaran sebenar dapat diberikan untuk menangkis dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap kerajaan dan kementerian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

 

 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam usaha memastikan proses pembelajaran dan pengajaran SJKC di seluruh negara berjalan lancar setiap tahun, kementerian berusaha mengisi kekosongan guru di sekolah berkenaan.
Katanya, pada 2009 ada kekurangan seramai 4,991 guru, namun pada tahun berikutnya jumlah itu sudah dikurangkan kepada 3,043 manakala pada 2011 jumlahnya terus menurun kepada 2,720 guru.

 

Sementara tahun ini katanya, kekurangan guru di SJKC hanya seramai 1,874 orang, namun daripada jumlah itu kementerian sudah melantik 1,482 guru interim untuk mengisi kekosongan berkenaan.
“Baki kekurangan di SJKC hanya tinggal 392 guru, yang mana guru besar SJKC diberi kebenaran mencadangkan calon guru interim untuk dilantik Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.

Pakej murah RM750 saja – Metro


Pakej murah RM750 saja

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Mohd Husni Mohd Noor dan Wan Asrudi Wan Hasan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Klinik swasta yang menawarkan khidmat pengguguran janin, seolah-olah menggalakkan aktiviti itu di kalangan pelajar sekolah apabila sedia menawarkan khidmat kepada remaja ‘bermasalah’ dengan harga minimum RM750.

Ini terbukti apabila wartawan yang menyamar bersama remaja sekolah berusia 16 tahun yang berlakon mengandung anak luar nikah, ditawarkan perkhidmatan menggugurkan janin asalkan dibayar dalam jumlah diminta itu.

Berdasarkan penyamaran dilakukan di sebuah klinik swasta di bandar raya ini, kakitangan yang berada di kaunter klinik tidak menunjukkan reaksi terkejut dan bersedia memberikan nasihat.

Malah wanita berusia 40-an itu memujuk ‘pelanggan remaja’ itu supaya segera melakukan proses itu berikutan bimbang usia kandungan dan saiz bayi membesar.

 
Berikut antara perbualan wartawan dengan petugas sebuah klinik swasta yang dipercayai menjalankan kegiatan menggugurkan janin secara haram di bandar raya ini.

Perempuan samseng – Metro


Perempuan samseng

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

CHANGLUN: Gara-gara cemburukan seorang junior lebih rapat dengan seorang pelajar lelaki tingkatan empat, pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di sini membelasah pelajar perempuan tingkatan dua dalam tandas sekolah hingga pengsan.

Kejadian berlaku jam 1.45 tengah hari, kelmarin apabila Noor Azwa Sabri, 14, dipanggil pelajar itu yang dipercayai mengesyakinya mempunyai hubungan dengan pelajar lelaki itu.
Menurut Noor Azwa, dia serta rakannya menunggu dijemput ahli keluarga selepas tamat sesi persekolagan untuk pulang ke rumah di Kampung Batu 13, Jalan Sintok, tiba-tiba didatangi beberapa pelajar perempuan, termasuk pelajar senior itu.

 

“Saya dipanggil masuk ke dalam tandas, dia terus melepaskan geram dengan memukul badan dengan fail berkali-kali dan mengetuk kepala dengan tangan hingga pandangan kelam dan kabur.
“Saya tidak melawan kerana bimbang dia akan memukul lebih teruk kerana dia banyak pengaruh di sekolah, selepas itu saya tidak ingat kerana pengsan dan apabila tersedar sudah berada di bilik guru,” katanya. Menurutnya, dia tiada hubungan dengan pelajar lelaki berkenaan yang hanya dianggap kawan biasa serta hanya bertegur sapa di sekolah. Beliau berkata, dia tidak tahu niat sebenar pelajar senior itu yang bakal duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini kerana tidak pernah buat salah atau menyakiti hatinya.
“Sejak saya di tingkatan satu, dia ada memberi amaran supaya tidak mendekati pelajar lelaki itu, tetapi saya hanya mendiamkan diri tidak memberitahu sesiapa termasuk keluarga.

 

 

“Kali ini, saya terpaksa membuat laporan kerana bimbang kejadian lebih buruk lagi,” katanya.
Menurutnya, itu bukan kali pertama dia dikasari pelajar terbabit sehingga takut untuk ke sekolah.

 

Dia mendakwa pelajar senior itu pernah menyerang beberapa lagi pelajar perempuan lain tetapi mereka mendiamkan diri kerana bimbang diketahui pihak sekolah atau keluarga.
Difahamkan, pergaduhan itu hanya berlaku antara dua pelajar terbabit kerana pelajar senior itu tidak mahu rakan mangsa dan rakannya sendiri mencampuri urusannya dengan meminta mereka menunggu di luar tandas.
Selepas pelajar itu beredar, rakan mangsa, Norashikin Amran, 14, masuk untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati mangsa pengsan lalu berlari ke bilik guru untuk memaklumkan kejadian.
Norashikin berkata, dia cuba masuk ke dalam tandas tetapi pelajar senior berkenaan menghalangnya berbuat demikian.
“Saya takut ke sekolah kerana bimbang dia (pelajar senior) tidak berpuas hati dan akan mengganggu kami,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Noor Shahida Abu Bakar, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu pagi semalam, selepas anak keempat daripada tujuh beradik enggan ke sekolah walaupun abang sulungnya yang berusia 18 tahun, menyuruhnya bersiap. Sejak bersekolah di situ, katanya, Noor Azwa seperti takut hendak ke sekolah dan sebelum ini pernah mengadu dibuli pelajar senior tetapi tidak ambil kisah kerana menganggap mungkin hanya salah faham.
“Tapi apabila pelajar senior itu mengasari Noor Azwa, saya tak boleh berdiam diri lalu membuat laporan polis. Saya harap pihak berkuasa, termasuk pengurusan sekolah mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan.
“Saya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang kerana anak saya kini tertekan dan trauma,” katanya yang turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar, semalam.
Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi enggan mengulas sehingga laporan diterimanya.
Manakala jurucakap polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Terkejut rakan maut – Metro


Terkejut rakan maut

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SERDANG: “Ketika mahu mengambil barang di bawah pokok, tiba-tiba satu panahan kilat menyambar menyebabkan saya pengsan,” kata Muhammad Yusop Samah, 16, mangsa panahan kilat bersama dua rakannya termasuk seorang meninggal dunia dalam kejadian di padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM), petang kelmarin.

Muhammad Yusop anak pertama daripada tiga beradik itu berkata, kejadian yang berlaku jam 2.45 petang itu terlalu pantas kerana sebelum itu dia bersama rakan-rakan lain bermain bola sepak dalam satu kejohanan dan bersiap sedia untuk pulang ke sekolah di Seksyen 16, Shah Alam.

Katanya, ketika mereka bertiga duduk mencangkung untuk mengambil barang, tiba-tiba satu panahan kilat menyamar menyebabkannya pengsan, manakala rakannya yang meninggal dunia, Muhammad Mustaqim Muhammad Kamarul, 16, tidak sedarkan diri.

“Selepas terkena kilat saya terjatuh ke tanah dan kepala terhantuk ke akar pokok menyebabkan kecederaan di kepala dan tengkuk.

 
“Seorang lagi rakan cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang (HS), semalam.

Agihan susu di tiga sekolah dihentikan susulan keracunan makanan – Bernama


Agihan susu di tiga sekolah dihentikan susulan keracunan makanan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Tiga sekolah di Sarawak telah diarahkan memberhentikan buat sementara agihan susu kepada murid susulan kejadian keracunan makanan yang berlaku baru-baru ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, arahan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sacred Heart, SK Temenggong dan Sk Koran.

Kejadian keracunan makanan itu yang dipercayai berpunca daripada susu yang dibekalkan melibatkan keseluruhan 212 murid, katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.

Katanya kejadian pertama berlaku di SK Sacred Heart pada 28 Mac melibatkan 44 murid, manakala dua lagi berlaku pada 30 Mac membabitkan 55 murid di SK Temenggong dan 113 murid SK Koran.

 
Langkah pemberhentian sementara itu adalah bagi menunggu hasil siasatan, katanya.

Beliau turut meminta guru yang bertanggungjawab mengedarkan susu terbabit agar memastikan murid menghabiskan susu berkenaan di sekolah serta tidak disimpan lama bagi mengelakkan kejadian berulang. – Bernama