‘Adik nak berlari selepas bedah’
6 April 2012

SELANDAR – “Adik hanya mampu duduk di beranda sekolah dan lihat rakan-rakan dari jauh yang bersorak gembira ketika bersukan. Adik juga mahu menyertai Pendidikan Jasmani seperti mereka, tapi tak boleh,” luah Nur Syamira Ezzety Ibrahim,11, yang mengidap penyakit jantung kronik sejak lahir kepada Sinar Harian.
Menurut Nur Syamira, biarpun sakit, dia masih berkeinginan untuk bersukan seperti rakan lain dan berlari merupakan salah satu impiannya selepas menjalani pembedahan pertama pada 16 April ini di Institut Jantung Negara (IJN).
“Adik takut tetapi tak sabar kerana nak sihat dan dapat bergerak aktif macam kawan-kawan lain di sekolah. Adik harap orang ramai dapat mendoakan adik supaya pembedahan ini berjaya,” katanya.
Sementara itu, ibunya Sorina Abas, 46, berkata, biarpun bimbang memandangkan ini pertama kali anaknya akan menjalani pembedahan, namun bersyukur kerana kos pembedahan sebanyak RM40,000 akan dibiayai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun menurutnya, mereka masih memerlukan RM15,000 bagi menampung kos selepas pembedahan dan setelah kisah adik Nur Syamira disiarkan Sinar Harian pada 1 April lalu, ada pihak yang prihatin dan kini berjaya mengumpulkan sebanyak RM5,000 hasil sumbangan individu.
Sorina berkata, demi anak bongsunya, dia sanggup menebal muka menerima sumbangan orang ramai memandangkan keadaannya berstatus ibu tunggal. Malah, dia tidak mampu bekerja kuat berikutan masalah sakit kaki serta tulang belakang akibat kemalangan 20 tahun lalu.
“Sebelum ini doktor pernah mencadangkan supaya saya menjalani pembedahan tulang belakang di Johor Bahru tapi saya tidak mampu,” katanya sayu.
Sumbangan boleh dilakukan melalui akaun Bank Islam atas nama Sorina Abas atau menghubunginya di talian 017-2152313 .