JATI minta pendidikan Islam jadi subjek wajib lulus – Bernama


JATI minta pendidikan Islam jadi subjek wajib lulus

2012/04/08

BUTTERWORTH: Jalur Tiga (JATI) akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi meminta mata pelajaran Pendidikan Islam menjadi salah satu subjek wajib lulus dalam peperiksaan sebagaimana subjek wajib lulus yang lain.

Presidennya, Datuk Dr Hasan Ali, berkata permintaan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap Islam dan bukan kerana bersikap perkauman atau cauvinis semata-mata. “JATI juga mahu mata pelajaran Pendidikan Islam dijadikan subjek wajib lulus kepada pelajar Islam dalam peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Bagaimanapun memorandum itu akan diserahkan selepas JATI berjaya mengumpulkan seramai 500,000 ahlinya dan kita yakin mampu memperoleh jumlah berkenaan menjelang enam bulan akan datang,” katanya ketika menyampaikan ceramah Selamatkan Akidah anjuran Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) Pulau Pinang di Bukit Jelutong Permatang Pasir, dekat sini, malam tadi.

Hasan yang juga bekas EXCO kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor menyampaikan ceramah di hadapan lebih 5,000 orang di Bukit Jelutong yang merupakan siri jelajahnya ke seluruh negara.

Hassan dalam ceramahnya, sekali lagi menegaskan supaya pengundi Melayu khususnya di Pulau Pinang menjadikan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sebagai peluang untuk menyelamatkan serta melindungi hak keistimewaan Islam, orang Melayu dan institusi raja daripada dihapuskan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuk pembangkang.

Katanya, undi orang ramai akan menjadi penentu kerajaan mana yang boleh mempertahankan ketiga-tiga keistimewaan tersebut yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sebagai orang Islam, mereka wajib mempertahankan ketiga-tiga perkara itu dan juga wajib memilih pemimpin yang benar-benar dapat menyelamatkannya.

“Saya mahu untuk PRU-13 nanti terutama orang Pulau Pinang, mari kita selamatkan ketiga-tiga ini. Saya minta tolong sangat-sangat. Perubahan ini mesti dilakukan bila tiba PRU-13,” katanya. – BERNAMA

15 pelajar cedera dipanah petir di Melaka – Berita Harian


15 pelajar cedera dipanah petir di Melaka

2012/04/08

MELAKA TENGAH: Seramai 15 pelajar dari 17 sekolah di Melaka cedera dipanah petir ketiak mengikuti perkemahan di Kem Pengakap Bukit Katil dekat sini, petang tadi.

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika hujan renyai di kawasan berkenaan. Semua mangsa yang terbabit dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Remaja lelaki maut ditetak – Sinar Harian


Remaja lelaki maut ditetak

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
7 April 2012
remaja-maut

SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki tingkatan lima maut ditikam selepas pulang membeli burger dalam kejadian di tapak letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25, semalam.

Mayat mangsa, R Teeneshe, 17, ditemui penduduk setempat kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa maut selepas ditikam di badan dengan senjata tajam dipercayai pemutar skru.

“Mayatnya ditemui lengkap berpakaian dan terbaring berhampiran kereta.

“Kita percaya mangsa dibunuh di situ berdasarkan kesan darah yang masih baru,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa tinggal di kawasan berdekatan bersama neneknya dan bersekolah di Klang.

“Kita sedang menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh,” katanya.

Zahedi berkata, siasatan Unit Forensik tidak menemui senjata digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, beliau percaya lebih daripada seorang penjenayah terlibat dalam kejadian tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Kerajaan kaji rapatkan jurang sekolah bandar, luar bandar – Bernama


Kerajaan kaji rapatkan jurang sekolah bandar, luar bandar

7 April 2012
Tan Sri Muhyiddin Yassin

PAGOH – Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian intensif sebagai usaha merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kajian berkenaan bertujuan mengenal pasti isu dan masalah di sekolah luar bandar yang pencapaian pelajarnya dilihat lebih rendah berbanding sekolah di kawasan bandar.

“Kita hendak lihat apa masalahnya adakah disebabkan infrastruktur yang tidak lengkap, kurang peralatan, kualiti guru, kurang guru, persekitaran pembelajaran yang tidak sesuai atau sikap ibu bapa yang menyebabkan anak-anak hilang tumpuan terhadap pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan mesra warga pendidikan dan perasmian 17 dewan sekolah sekitar Parlimen Pagoh, di Panchor, di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berkata jurang antara pelajar luar bandar dan bandar kelihatan timbul setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan.

“Jurang memang tetap akan ada tetapi kita harap nanti jangan terlalu besar dan tidak realistik. Kita akan umum kajian ini apabila siap dan kita akan cari pelan tindakan untuk memperbaikinya,” jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Temiang Renchong, dekat Bukit Pasir, di sini, Timbalan Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan menutup SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini walaupun mengalami kekurangan murid.

Beliau berkata perkara itu merupakan dasar dan telah dipersetujui semua pihak walaupun sekolah berkenaan hanya mempunyai 10 pelajar.

Menurut Timbalan Perdana Menteri kira-kira 1,800 SJKT dan SJKC wujud di negara ini ketika ini dengan 41 peratus daripadanya mengalami masalah kekurangan pelajar.

Katanya sokongan terhadap SJKT dan SJKC itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kaum di negara ini sekaligus memulihara bahasa ibunda masing-masing.

“Sebab itu kita peruntukan RM1.04 bilion kepada SJKT setiap tahun dan RM2.8 bilion kepada SJKC bagi tujuan pembayaran gaji dan kos operasi,” katanya.

Mengenai SJKT Ladang Temiang Renchong itu, Muhyiddin berkata sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi tujuan pembinaan sekolah dengan RM1 juta adalah untuk pembelian tanah manakala bakinya untuk pembinaan lapan bilik darjah berserta sebuah dewan. – Bernama.

Dibelasah guru, murid alami gegaran otak – Sinar Harian


Dibelasah guru, murid alami gegaran otak

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2012
murid

SEGAMBUT – Akibat ditampar dan ditendang oleh seorang guru matematik yang juga guru besar sekolah, seorang murid tahun lima mendakwa mengalami gegaran otak.

Bapa mangsa S. Saravanan, 40, berkata, dia dimaklumkan secara lisan oleh doktor dari Bahagian Neurologi, Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa anaknya selepas ditahan dua hari di wad kerana muntah-muntah selepas insiden itu.

Dalam kejadian 3 April lalu, pipi anaknya, S. Suryakaran, 11, ditampar dan kaki kirinya disepak hingga terjatuh serta kepala terhantuk pada kerusi kerana tertinggal buku latihan.

Justeru, satu laporan polis berhubung tindakan guru itu terhadap anaknya dibuat di Balai Polis Jinjang.

“Saya kecewa, setakat ini tiada wakil pihak sekolah datang ke rumah atau bertanya khabar tentang keadaan Suryakanan.

“Apa jaminan anak saya akan sembuh dan tiada kecederaan sampingan. Saya harap Kementerian Pelajaran campur tangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dia kini hilang pekerjaan selepas tidak datang bekerja selama tiga hari kerana menjaga Suryakaran.

Apa yang dikesalinya, insiden berlaku pada jam 9 pagi tetapi dia mengetahuinya pada kira-kira jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan.

Kanak-kanak obesiti meningkat – Berita Harian


Kanak-kanak obesiti meningkat

2012/04/08

KUALA LUMPUR: Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak semakin meningkat dan Kementerian Kesihatan menggesa ibu bapa serta rakyat negara ini mengamalkan gaya hidup sihat bermula dari zaman kanak-kanak lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Sri Liow Tiong Lai, berkata orang ramai perlu melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan atau Klinik 1Malaysia yang menyediakan kemudahan berkenaan. “Orang ramai perlu mengetahui tahap kesihatan masing-masing dan jangan beranggapan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat kerana sesuatu penyakit boleh menyerang dan membunuh secara senyap.

“Mereka perlu mengetahui empat faktor utama boleh menjejaskan tahap kesihatan iaitu genetik, persekitaran, cara hidup dan penjagaan kesihatan. Jadi, mereka perlu mengubah cara hidup supaya lebih aktif serta mengawal pemakanan,” katanya merasmikan Karnival Kesihatan di Pusat Konvensyen Mid Valley.

Beliau berkata, pihaknya kini menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan membabitkan pelbagai peringkat umur melalui 2,833 kemudahan seperti klinik kesihatan dan klinik komuniti di seluruh negara.

Katanya, rakyat berumur 30 tahun ke atas perlu melakukan pemeriksaan kesihatan kerana risiko mendapat penyakit berbahaya lebih tinggi.

Transformasi sekolah luar bandar – Berita Harian


Transformasi sekolah luar bandar

Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
2012/04/08

MUHYIDDIN diiringi  Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Ladang Temiang Renchong, Pagoh, semalam.

MUHYIDDIN diiringi Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Ladang Temiang Renchong, Pagoh, semalam.

Kajian dibuat kenal pasti jurang pencapaian dengan pelajar bandar

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan membuat kajian rapi bagi mengenal pasti punca atau masalah dihadapi sekolah luar bandar berikutan masih wujud jurang dengan sekolah bandar yang lebih cemerlang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang terbaik dalam tempoh lima tahun, ruang pencapaian pelajar luar bandar dan bandar masih besar.

“Saya mahu lancarkan program transformasi sekolah luar bandar, supaya dalam beberapa tahun akan datang, jurang yang memisahkan itu dapat dirapatkan,” katanya berucap merasmikan majlis jalinan mesra warga pendidikan dan perasmian dewan sekolah Parlimen Pagoh, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, kajian akan melihat punca pencapaian sekolah luar bandar masih rendah dan hasilnya diharap berupaya mengurangkan jurang antara dua kategori sekolah berkenaan.

“Apakah sekolah bandar lebih baik daripada aspek infrastrukturnya, apakah guru di sekolah bandar lebih mahir dan apakah anak pelajar di bandar lebih mahir.

“Ia tidak semestinya kerana sudah terbukti sejak beberapa tahun lalu, keputusan pelajar luar bandar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga agak baik, sebab itu perlu ambil inisiatif lebih daripada biasa supaya boleh meningkatkan pencapaian ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mahu melihat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, tiada lagi jurang pemisah antara sekolah luar bandar dan bandar kerana kerajaan tidak pernah membezakannya dalam aspek kualiti pendidikan.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan dakwaan pekan Danok di Thailand berdepan ancaman serangan pengganas perlu diberi perhatian serius oleh rakyat Malaysia yang mahu bercuti ke negara itu.

“Ini amaran serius dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu buat kenyataan lebih tepat dan jika sudah ada amaran sebegitu, kita harus pandang berat.
“Apa yang berlaku ini bukan saja satu pengajaran tetapi ancaman serius. Kita boleh pergi ke tempat lain lebih selamat seperti bercuti dalam negeri kerana Malaysia antara tempat terselamat di dunia,” katanya.

TPM: Gabung sekolah vernakular kurang murid – Utusan


TPM: Gabung sekolah vernakular kurang murid

PAGOH 7 April – Sekolah vernakular yang kurang murid boleh bergabung dengan mana-mana sekolah sealiran bagi mengatasi masalah tersebut tetapi keputusan itu perlu mendapat persetujuan masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut adalah untuk kepentingan pendidikan selain manfaat bagi murid dan guru di sekolah jenis itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu bukan bermakna kerajaan mahu menutup sekolah aliran tersebut tetapi memberi pilihan kepada mereka untuk kebaikan bersama.

“Untuk kepentingan pendidikan lebih baik ada persetujuan (gabung sekolah), ini kena cakap baik (terang), nanti ada kata kerajaan nak tutup sekolah (vernakular).

“Kalau ada persetujuan, bolehlah berpindah ke sekolah lain, jadi boleh bersatu, itu kita boleh setujukan tetapi terserah kepada PIBG dan masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya.