Peruntukan naik taraf SAR – Sinar Harian


Peruntukan naik taraf SAR

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
Abdul Manan (tengah) menyampaikan cek kepada wakil enam sekolah di sekitar kawasan Parlimen Paya Bes

KUANTAN – Sebanyak RM21,974 peruntukan telah disalurkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) untuk menaiktaraf sekolah tersebut bagi menjamin kualiti pembelajaran di situ.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, SAR memainkan peranan penting dalam membentuk ilmu pendidikan Islam di kalangan murid-murid selain tumpuan kepada mata pelajaran akademik.

Menurutnya, dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan ini dapat menaiktaraf SAR itu agar lebih selesa dengan keselamatan yang terjamin.

“Kita juga sedia maklum bahawa SAR ini tiada bantuan khusus yang disalurkan. Oleh itu, dengan bantuan daripada kerajaan ini ia menunjukkan komitmen kerajaan yang tinggi dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya yakin dengan adanya peruntukan ini, murid di sekolah ini boleh berjaya dalam kedua-dua bidang akademik dan pendidikan Islam,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Kafa, Felda Lepar Utara Satu, Shuhaida Che Saad berkata, peruntukan disampaikan itu akan digunakan untuk membaiki beberapa kerosakan yang ada selain menaiktaraf bangunan sekolah yang uzur.

“Alhamdulillah dengan peruntukan ini dapatlah kami gunakan untuk kepentingan sekolah kerana keadaan sekolah ini masih perlukan pembangunan lagi.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memahami kehendak dan keperluan murid di sekolah ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar ada bantuan susulan dapat disalurkan untuk menaiktaraf sekolah tersebut selaras dengan pembangunan sekolah-sekolah yang lain di negara ini.

Guru pemangkin lahir generasi berintegriti – TPM – Bernama


Guru pemangkin lahir generasi berintegriti – TPM

10/04/2012 5:08pm

 

KUALA LUMPUR 10 April – Timbalan Perdana Menteri berkata, fungsi asas pendidikan negara untuk melahirkan insan yang bermoral dan beretika tidak boleh diabaikan bagi memastikan negara tidak terjerat dalam krisis moral dan etika yang akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam mengharungi arus globalisasi dan mengejar matlamat menjadi sebuah negara maju, matlamat pendidikan seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu perlu terus dipegang teguh.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru mempunyai tanggung jawab besar dalam membentuk sahsiah pelajar yang menjadi prasyarat utama kepada kejayaan melahirkan generasi berintegriti.

“Saya percaya, sekiranya kita sentiasa berpegang teguh kepada matlamat murni pendidikan ini, maka kita akan dapat mengelak daripada terjerat dalam krisis moral dan etika yang akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat kita pada masa hadapan,” katanya.

Perkara itu menjadi cabaran kepada Malaysia dalam mencapai hasrat negara untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri, katanya menutup pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Piala Menteri Pelajaran Malaysia 2012, di sini, hari ini.

Merujuk pengalaman beberapa negara di Eropah, Muhyiddin berkata, telah muncul pemikiran baru di kalangan pemikir ekonomi Barat yang melihat penekanan keterlaluan terhadap nilai material dan persaingan ekonomi menyebabkan nilai-nilai moral dan etika yang merupakan paksi utama kewujudan sebuah masyarakat yang sejahtera, terabai.

“Ada yang mengatakan Kejatuhan Lehman Brothers dan Merill Lynch di Amerika Syarikat bukanlah disebabkan kegagalan Harvard, Yale dan Stanford melahirkan pakar-pakar ekonomi dan kewangan untuk bekerja di syarikat-syarikat gergasi dunia.

“Sebaliknya kejatuhan firma-firma ini sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan pengamal ekonomi untuk mewujudkan budaya pengurusan yang telus, bertanggungjawab dan beretika,” katanya.

Justeru katanya, pada guru dipertaruhkan segala harapan untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran, dan pada masa sama mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. – BERNAMA

Kerajaan peruntuk RM9.4 juta bina IBS di Sabah, Sarawak – Bernama


Kerajaan peruntuk RM9.4 juta bina IBS di Sabah, Sarawak

2012/04/10

RANAU: Kerajaan memperuntukkan RM9.4 juta untuk melaksanakan pembinaan bangunan sekolah baru di pedalaman Sabah dan Sarawak yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bermula Mac lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata bagi fasa pertama, 55 bilik darjah tambahan dan 48 unit rumah guru di 25 buah sekolah di pedalaman Sabah dipilih untuk pelaksanaan sistem itu dalam tempoh tiga bulan sejak 1 Mac lalu.

Shaziman berkata, sekolah berkenaan membabitkan lima daerah di Zon 1 dan 2 iaitu Pitas, Ranau, Keningau, Nabawan dan Penampang.

“Kebanyakan sekolah di Sabah memerlukan sekolah baru yang boleh dibina dengan cepat kerana kebanyakan sudah uzur dan boleh mengancam keselamatan pelajar selain kekurangan kemudahan asas tertutama bilik darjah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja ke salah sebuah sekolah yang terbabit di negeri ini iaitu Sekolah Kebangsaan Tagudon Lama, di sini, hari ini.

Shaziman berkata, sembilan buah sekolah turut akan dibina di Sarawak menggunakan sistem yang sama bermula 16 April ini, namun kos masih di peringkat untuk kelulusan Kementerian Kewangan.

“Saya yakin penggunaan IBS dapat menjimatkan masa kerana dapat siap dalam tempoh dua minggu berbanding sistem konvensional yang mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk membina bilik darjah baru,” kata Shaziman.
Beliau turut menyarankan kontraktor tempatan supaya menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan IBS dalam projek mereka bagi mengurangkan kos jangka panjang penyelenggaraan bangunan.

Mengenai SK Tagudon Lama yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Gunung Kinabalu itu, Shaziman berkata, bangunan baru sekolah itu yang memulakan pembinaan pada 1 April lalu akan siap seperti yang dijadualkan dalam tempoh dua minggu lagi.

SK Tagudon Lama mempunyai pelajar seramai 69 orang dan 15 orang guru.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa Malaysia 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengumumkan kerajaan akan mengguna pakai sistem itu dalam pembinaan bangunan seperti sekolah, hospital dan balai polis khususnya di kawasan luar bandar yang menjimatkan kos serta mesra alam.

Sistem itu adalah sebahagian daripada Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang terkandung di bawah Dasar Transformasi Nasional. – BERNAMA

1,609 ditawar Bursary secara automatik: Muhyiddin – Utusan


1,609 ditawar Bursary secara automatik: Muhyiddin

2012/04/10

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan untuk menawarkan Bursary (dermasiswa) automatik kepada 1,609 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang memperoleh sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas.

Statistik pencapaian 1,609 pelajar itu adalah 9A+ (1,020 orang), 10A+ (492 orang), 11A+ (90 orang) dan 12 A+ seramai tujuh orang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan akhbar sebentar tadi berkata, Bursary adalah bantuan kewangan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan (pra-universiti) sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Beliau berkata, pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM pada 2011, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary secara automatik oleh Kementerian Pelajaran tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi tidak berjaya untuk mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan yang amat sengit dan bilangan yang ramai  mendapat keputusan yang cemerlang.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga mempunyai kekangan dari segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat.
“Bagaimamanapun, pada tahun ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menawarkan Bursary kepada semua 1,609 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga meluluskan penajaan di bawah Program Biasiswa Nasional (PBN) kepada 50 orang pelajar paling cemerlang lepasan SPM 2011 di kalangan yang terbaik mengikut senarai Kementerian Pelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik.

Katanya, calon-calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi kesemua program pra-universiti yang sudah tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar sudah ditawarkan/ditempatkan di pusat persediaan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sila layari laman web Kementerian Pelajaran di http://www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan pengemaskinian profil pelajar program Busary mulai 16 April, 2012.

4 pelajar terkena renjatan panahan petir masih dirawat – Sinar Harian


4 pelajar terkena renjatan panahan petir masih dirawat

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
10 April 2012
petir melaka

AYER KEROH – Seramai 11 pelajar yang menerima rawa­tan­ di Hospital Melaka selepas cedera akibat terkena renjatan panahan petir di Kem Pengakap, Pengkalan Badak, Bukit Katil, di sini, kelmarin, sudah dibenarkan pulang.

Timbalan Pengarah Hospital Melaka (Klinikal), Dr Abdul Raof Jaafar berkata, empat pelajar lagi bagaimanapun perlu menerima rawatan lanjut.

“Sebelas pelajar dibenarkan pulang pada jam 9 malam tadi (kelmarin) tetapi bakinya terpaksa ditahan dan ditempatkan di wad pemerhatian kerana mereka masih dalam keadaan lemah.

“Kita masih memberikan rawatan kepada empat pelajar ini termasuk melakukan pemeriksaan dan pemerhatian jantung,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seramai 15 pelajar dari 17 sekolah sekitar negeri ini terkena renjatan akibat panahan petir di kem berkenaan, petang kelmarin.

Pelajar terbabit yang me­ngikuti perkemahan Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) selepas sebatang pokok di situ dalam kejadian kira-kira 5.30 petang.

Kesemua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis, Banda Hilir, di sini, adalah antara 584 pelajar yang menyertai program perkema­han bermula semalam hingga Sabtu ini.

Pelajar ponteng sekolah, lepak di pusat siber – Sinar Harian


Pelajar ponteng sekolah, lepak di pusat siber

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
remaja ponteng

BUKIT SENTOSA – Pasangan kembar seiras dan sepasang adik beradik antara 27 pelajar sekolah menengah yang ditangkap dalam Ops Ponteng di sini semalam.

Kesemua pelajar terbabit ditangkap ketika leka bermain permainan video dan melayari laman sosial di pusat siber.

Kembar seiras yang ditemui mengakui sering ponteng sekolah malah ibu bapa mereka dikatakan menyedari perbuatan itu namun tidak pernah menegur atau memarahi mereka.

“Ibu bapa tahu kami suka ponteng tapi mereka tak marah dan menegah perbuatan kami asalkan pencapaian akademik baik.

“Lagi pun kami tidak buat apa-apa selain menghabiskan masa bermain Internet di pusat siber,” katanya selepas disoal siasat pihak berkuasa.

Menurut salah seorang kembar terbabit yang dikenali sebagai Mail, 16, mereka jarang bersama ibu bapa kerana masing-masing sibuk bekerja di Klang dan Petaling Jaya serta hanya dapat bertemu pada waktu malam.

Katanya, tindakan ponteng dibuat kerana bosan menghadiri sekolah, tambahan pula hari Isnin ada perhimpunan dan walaupun ponteng sekolah mereka tidak pernah terlibat dengan gejala tidak sihat serta jauh sekali mengambil bahan terlarang.

Kembar ini turut diambil ujian air kencing namun keputusannya negatif.

Dakwa ibu bapa tidak peduli

Operasi tersebut juga menemui adik beradik lelaki dan perempuan yang pada awalnya mengakui tidak lagi bersekolah namun setelah disoal siasat mereka sebenarnya ponteng sekolah.

Pelajar perempuan Tingkatan 3 itu berkata, dia sudah tidak berminat untuk bersekolah malah ibu bapanya tidak pernah mempedulikan hal mereka.

“Saya nak buat apa lagi kalau sudah tidak berminat ke sekolah, cakap macam mana pun saya tidak akan ke sekolah sebab itu saya berani katakan saya sudah berhenti sekolah.

“Tetapi, tak sangka pula ada yang katakan saya boleh diambil tindakan kerana berhenti sekolah pada usia begini,” katanya.

Menurutnya, dia bersama adik lelakinya tidak pernah menerima teguran tegas daripada ibu bapa malah hanya seminggu sekali dapat bertemu mereka kerana sibuk bekerja di Kuala Lumpur.

Pada operasi itu juga, dua pelajar yang pernah dibuang sekolah ditahan dan dipercayai menjadi dalang dalam menghasut pelajar lain.

Soal siasat yang dilakukan pihak sekolah turut memperlihatkan pelajar terbabit tidak menghormati guru dan anggota keselamatan yang bertugas.

Turut ditahan merokok

Sementara itu, pada operasi di awal pagi, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berjaya menahan enam pelajar tingkatan lima yang didapati merokok di taman perumahan bersebelahan sekolah mereka di sini.

Tiga daripada pelajar terbabit telah dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan akan berdepan tindakan mahkamah jika gagal menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh ditetapkan.

Salah seorang pelajar dikenali sebagai Lan, 17, mengakui perbuatan merokok bukan disebabkan ketagih atau tertekan tetapi sudah menjadi trend remaja.

Menurutnya, perbuatan itu tidak dapat ditegah ibu bapa kerana dia akan memberi alasan bapanya juga perokok.

“Kalau ibu bapa pun tidak ambil kisah, buat apa takut pada orang lain.

“Kami merokok pun bukan sorok-sorok tetapi merokok di tempat terbuka cuma lambat masuk sekolah, itu saja,” katanya.

Rumah kedai sedia bekalan

Sinar Harian difahamkan, terdapat sebuah premis kediaman di taman bersebelahan sekolah menengah itu didakwa menjual rokok kepada pelajar sekolah.

Premis tersebut, jelas melakukan kesalahan menjadikan premis kediaman sebagai kedai dan membekalkan rokok kepada remaja bawah umur.

Dalam pada itu, Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Hulu Selangor, Kamal Rusdi berkata, operasi bersepadu disertai tujuh agensi keselamatan dan jabatan kerajaan itu tertumpu pada budaya ponteng dan gejala sosial yang dilakukan
pelajar sekolah menengah sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

Masyarakat perlu sensitif

Menurutnya, operasi bermula seawal jam 7 pagi itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Masyarakat perlu sensitif terhadap budaya ponteng sekolah kerana ia akan menyumbang kepada gejala sosial serta menyuburkan jenayah berat jika tidak dibendung.

“Malah, peratusan kes ponteng sekolah juga meningkat dan merlukan tindakan sewajarnya bagi mencegah ia menjadi lebih serius,” katanya.

Manakala, Timbalan Ketua Polis Balai Bukit Sentosa, Sarjen Major Ibrahim berkata, tiada tindakan diambil terhadap pelajar sekolah terbabit selain membawa mereka ke sesi kaunseling di sekolah.

Menurutnya, kesemua pelajar terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan hanya terlibat dalam gejala sosial seperti ponteng sekolah dan merokok.

Jangan beri tekanan pada anak – Sinar Harian


Jangan beri tekanan pada anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012

LEDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada anak-anak dengan menetapkan syarat kepada mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Menurutnya, tindakan sedemikian akan memberi kesan emosi kepada anak-anak sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran, malahan ada sebilangannya yang gagal.

“Ibu bapa wajar membantu mereka dengan memberikan sokongan, bimbingan dan perhatian dalam membentuk keyakinan untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan tinggi mahu lihat anak mereka berjaya tetapi mereka juga harus mempunyai rasa tanggungjawab dan komited membantu serta mendorong mereka memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran,” katanya ketika berucap
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-39 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), di sini.

Jelas beliau, untuk merealisasikan impian tersebut, maka tanggungjawab itu tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata.

“Walaupun kita mahu lihat anak berjaya dalam pelajaran tetapi perlu mengelakkan daripada menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata dan ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah untuk membina kecemerlangan anak-anak bersama.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk menasihat dan memberikan kemudahan belajar seperti menghantar anak ke kelas tambahan selain pembelajaran yang diperoleh di sekolah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Datuk Shamsuddin; Yang Dipertua PIBG, Padil Md Amin dan Guru Besar, Nik Fauziah Nik Yusoh.

Tambah Abdul Ghani, peluang melanjutkan pelajaran semakin luas dan mereka perlu merebut peluang yang diberikan.

“Sebagai contoh, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan kira-kira RM3 juta setiap tahun bagi membolehkan kira-kira 70,000 pelajar terpilih mengikuti Projek Hikmah – Tiusyen Kampung secara percuma.

“Ia bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti kelas tambahan bagi meningkatkan penguasaan dalam pelajaran untuk mencapai kecemerlangan yang diharapkan,” katanya.

Katanya, keberkesanan program itu sudah terbukti apabila ramai pelajar yang mengikuti program tersebut berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Untuk sampingannya, anak-anak digalakkan menyertai program kokurikulum bagi membina jati diri yang kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan yang hebat,” katanya.

Dalam majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 kepada tiga murid yang memperolehi 5A dan lima murid 4A termasuk wang tunai sumbangan PIBG sekolah berkenaan.

Sumbat cili dalam ‘anu’ – Metro


Sumbat cili dalam ‘anu’

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Seorang wanita bukan saja mendera anak teman lelakinya berusia 13 tahun dengan memukulnya dengan getah paip dan memberinya makan nasi berlaukkan garam, malah menyumbat batang mop dan cili padi ke dalam kemaluannya kerana enggan melakukan kerja rumah.

Lebih teruk lagi, wanita itu menyimbah mangsa dengan air panas sehingga menyebabkannya melecur kerana mengesyaki kanak-kanak itu berbohong.
Perbuatan kejamnya mendapat balasan apabila Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun selepas mengaku salah atas lima pertuduhan termasuk mencederakan dan memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa.

 

Hakim Siti Noraida Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalina Sundiri Abdullah, 42, dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 7 Mei 2011. Manakala, bapa kanak-kanak itu yang juga pemandu lori berusia 40 tahun dipenjara empat tahun selepas mengaku salah menganiaya anaknya dengan cara memukul mangsa dengan menggunakan kayu di pangsapuri sama. Mengikut pertuduhan, Shalina didakwa memasukkan cili padi dan batang mop ke dalam kemaluan mangsa di sebuah pangsapuri di sini, pada Mac 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. Wanita itu didakwa atas dua pertuduhan mencederakan kanak-kanak itu dengan memukul mangsa dengan menggunakan getah paip dan kayu, di tempat sama pada 25 Mac 2010 dan sekitar Mac 2011. Dia didakwa mengikut 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan. Tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mencederakan kanak-kanak itu menyimbah air panas ke tubuh mangsa, di tempat sama pada April 2011.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat atau denda, jika sabit kesalahan. Manakala, bapa kanak-kanak itu didakwa menganiaya anaknya dengan memukul mangsa dengan kayu di rumah mereka, antara 25 Disember 2010 dan 30 April 2011. Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal, manakala pasangan kekasih itu diwakili peguam Gerard Lazarus. Berdasarkan fakta kes, kanak-kanak terbabit didera Shalina ketika tinggal di rumah bapanya, pada cuti sekolah akhir tahun 2010. Shalina memerintahkan anak teman lelakinya itu membuat kerja rumah dan tidak membenarkannya ke sekolah selepas sesi persekolahan tahun berikut bermula.

 

 

Mangsa dipukul dengan getah paip dan kayu besar apabila kanak-kanak itu tidak melakukan apa yang disuruhnya.
Pada satu ketika, Shalina memasukkan batang mop ke dalam kemaluan kanak-kanak itu, ketika tangannya diikat di balkoni pangsapuri, kononnya sebagai hukuman kerana mangsa keluar dari rumah.

 

Tidak cukup dengan itu, wanita itu memasukkan cili padi ke dalam kemaluan anak kecil itu menyebabkan mangsa menjerit kepedihan.

Dua suspek ditahan – Metro


Dua suspek ditahan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan lima yang baru pulang membeli burger di Apartment Adora, Seksyen 25, di sini, maut ditikam dalam kejadian Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, susulan kejadian pihaknya menjalankan penyiasatan dan menahan dua suspek berusia lingkungan 20-an, kelmarin, berhampiran lokasi pembunuhan itu. Menurutnya, soal siasat setakat ini menunjukkan berlaku salah faham di antara mangsa dan suspek sehingga menyebabkan pelajar itu ditikam hingga mati.
“Kita percaya suspek dapat membantu siasatan kes ini. Bagaimanapun kita belum menemui senjata yang digunakan dalam kes bunuh itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Harian Metro semalam melaporkan hasrat seorang pelajar tingkatan lima yang mahu menjamah burger baru dibelinya tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dengan kesan tikaman di tempat letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25, di sini. Mangsa, R Teeneshe, 17, ditemui terbaring oleh orang ramai yang melalui kawasan itu bersama burger baru dibeli mangsa, kira-kira jam 12 tengah malam Sabtu lalu.
Laporan memetik mangsa maut selepas ditikam dengan senjata tajam dipercayai pemutar skru di beberapa bahagian badan.

Tragedi cinta enam hari – Metro


Tragedi cinta enam hari

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BANTU...Mohamad Shukor (dua dari kanan) berbual dengan penderma darah.
BANTU…Mohamad Shukor (dua dari kanan) berbual dengan penderma darah.

KLANG: Perkenalan yang baru berputik selama enam hari bertukar tragedi buat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun apabila dirogol teman lelakinya yang berusia 16 tahun, di sebuah unit pangsapuri kosong di Taman Sementa, di sini.

Dalam kejadian jam 8 malam Jumaat lalu itu, mangsa sedang berbual bersama adik dan rakannya yang lain di sebuah taman permainan berhampiran pangsapuri tempat tinggalnya sebelum didatangi pelajar lelaki itu yang mengajaknya bersiar-siar.
Mangsa yang baru saja berpindah di perumahan pangsapuri berkenaan dari Teluk Intan, Perak sebelum itu baru saja mengenali pelajar itu yang juga tinggal di kawasan sama sejak enam hari lalu.

 

Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu hanya mengikut saja ajakan itu sebelum suspek mengajak ke sebuah unit pangsapuri kosong.
“Suspek mengajak dan memujuk mangsa ke sebuah rumah kosong kira-kira jam 11 malam selepas bersiar-siar. Di premis itu, suspek mula memujuk mangsa melakukan perbuatan tidak bermoral bagaimanapun mangsa enggan.
“Bengang apabila ajakannya untuk melakukan seks ditolak, suspek berusia 16 tahun yang juga pelajar tingkatan empat yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa bertindak memperkosa mangsa.

 

 

“Mangsa kemudian pulang ke rumahnya bersendirian sebelum bersama keluarganya membuat laporan polis. Mangsa dirawat di hospital berikutan kejadian,” katanya.
Susulan laporan itu, Mohamad Shukor berkata, suspek ditahan sehari selepas kejadian di rumahnya dan kini direman selama tujuh hari sehingga 13 April ini. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol. Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Mohamad Shukor yang ditemui pada Kempen Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berkata, lebih 100 anggota polis dan penduduk sekitar menderma darah, semalam.

 

“Program ini selaras tema ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’ dan sempena Hari Polis ke-205. Ia sebagai amal jariah untuk mengisi tabung darah negara.
“Banyak lagi program kemasyarakatan akan dianjurkan untuk mendekatkan kami dengan masyarakat,” katanya.