Guru pemangkin lahir generasi berintegriti – TPM – Bernama


Guru pemangkin lahir generasi berintegriti – TPM

10/04/2012 5:08pm

 

KUALA LUMPUR 10 April – Timbalan Perdana Menteri berkata, fungsi asas pendidikan negara untuk melahirkan insan yang bermoral dan beretika tidak boleh diabaikan bagi memastikan negara tidak terjerat dalam krisis moral dan etika yang akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam mengharungi arus globalisasi dan mengejar matlamat menjadi sebuah negara maju, matlamat pendidikan seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu perlu terus dipegang teguh.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru mempunyai tanggung jawab besar dalam membentuk sahsiah pelajar yang menjadi prasyarat utama kepada kejayaan melahirkan generasi berintegriti.

“Saya percaya, sekiranya kita sentiasa berpegang teguh kepada matlamat murni pendidikan ini, maka kita akan dapat mengelak daripada terjerat dalam krisis moral dan etika yang akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat kita pada masa hadapan,” katanya.

Perkara itu menjadi cabaran kepada Malaysia dalam mencapai hasrat negara untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri, katanya menutup pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Piala Menteri Pelajaran Malaysia 2012, di sini, hari ini.

Merujuk pengalaman beberapa negara di Eropah, Muhyiddin berkata, telah muncul pemikiran baru di kalangan pemikir ekonomi Barat yang melihat penekanan keterlaluan terhadap nilai material dan persaingan ekonomi menyebabkan nilai-nilai moral dan etika yang merupakan paksi utama kewujudan sebuah masyarakat yang sejahtera, terabai.

“Ada yang mengatakan Kejatuhan Lehman Brothers dan Merill Lynch di Amerika Syarikat bukanlah disebabkan kegagalan Harvard, Yale dan Stanford melahirkan pakar-pakar ekonomi dan kewangan untuk bekerja di syarikat-syarikat gergasi dunia.

“Sebaliknya kejatuhan firma-firma ini sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan pengamal ekonomi untuk mewujudkan budaya pengurusan yang telus, bertanggungjawab dan beretika,” katanya.

Justeru katanya, pada guru dipertaruhkan segala harapan untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran, dan pada masa sama mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s