Sekolah kerajaan hanya dibina atas tanah rizab
2012/04/11
SEMUA sekolah sama ada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan dibina di atas tanah rizab sekolah atau rizab pendidikan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata adalah tidak benar dakwaan mengatakan tapak tanah rizab hanya dikhaskan untuk pembinaan SK dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).
Katanya, kementerian akan memastikan tapak rizab sekolah aliran perdana iaitu kebangsaan mencukupi demi meneruskan usaha pemupukan perpaduan di kalangan murid dilaksanakan pada peringkat awal persekolahan.
“Semua sekolah kerajaan sama ada SK, SJKC dan SJKT akan dibina di atas tanah rizab sekolah atau rizab pendidikan berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan dan keperluan mendesak masyarakat setempat.
“Setakat ini terdapat sebanyak 404 SJKC dan 153 SJKT,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang).
Teo mahu mengetahui sama ada kerajaan merancang dan bersedia untuk mewujudkan tanah rizab sekolah untuk pembinaan SJKC dan SJKT kerana setakat ini tanah rizab sekolah adalah untuk pembinaan SK dan SMK saja.
Mohd Puad berkata, dalam membuat perancangan membina sekolah baru, kementerian memberi keutamaan kepada beberapa aspek, antaranya memastikan tapak lokasi sekolah adalah bersesuaian, memastikan kemudahan tapak binaan mempunyai kemudahan asas seperti jalan masuk, bekalan air dan elektrik.
Aspek lain ialah membuat perancangan yang teliti bagi memastikan pembinaan sekolah mengimbangi keperluan penduduk setempat sebagai langkah mengelak daripada menghadapi sekolah kurang murid dan keluasan tapak sekolah menengah adalah antara 3.2 hingga 4.8 hektar dan sekolah rendah adalah 2.4 hingga 3.2 hektar.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi memastikan kriteria itu dipenuhi, kementerian berdepan dengan kekangan tapak rizab sekolah khususnya di bandar sehingga menyebabkan ada sekolah kebangsaan seperti Sekolah Seri Puteri di Batu Pahat terpaksa dibina di tapak seluas 1.6 hektar.
“Bahkan banyak SK dan SMK yang terpaksa mengadakan sekolah dua sesi dan masih wujud lagi sekolah yang menumpang di negara ini yang tidak ramai mengetahuinya.
“Kerajaan juga membantu SJKC dan SJKC bantuan modal dengan menyerahkan tapak yang dirizabkan untuk SK dan SMK kepada sekolah berkenaan walaupun keperluan untuk SK dan SMK amat mendesak.
“Kita serahkan tanah itu atas dasar kerajaan yang prihatin dan adil,” katanya.