Remaja maut selepas hadir perhimpunan di rumah MB Perak – Bernama


Remaja maut selepas hadir perhimpunan di rumah MB Perak

14 April 2012

IPOH – Seorang remaja terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Km 242.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Abdul Ghaffar Mohamad berkata mangsa, Meor Mahffuz Meor Abdullah, 16, dari Lenggong meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Kejadian berlaku pada pukul 4.45 petang tadi dan mangsa dipercayai menunggang dengan laju sebelum terbabas dan merempuh penghadang di tengah lebuh raya lalu tercampak di atas jalan, katanya ketika dihubungi di sini.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh ke rumahnya di Lenggong selepas menghadiri majlis perhimpunan Barisan Nasional (BN) Pilihan Orang Muda di kediaman Menteri Besar Perak yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri  Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein tengah hari tadi.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan Harun berkata seluruh anggota Pemuda BN Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Pemuda Umno Perak juga akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa, katanya ketika dihubungi. – Bernama

Cucu sedar bilik berasap – Sinar Harian


Cucu sedar bilik berasap

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
15 April 2012
Cucu sedar bilik berasap

KLEBANG – Jeritan cucu yang terlihat asap dari salah sebuah bilik di rumah mengejutkan sepasang suami isteri yang sedang berehat di halaman, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang di Kampung Pinang B, Batang Tiga, di sini itu, Yusof Bakar, 66, dikejutkan dengan jeritan Mohd Irfan Mohd Firdaus, 6, yang memberitahu ternampak asap di bilik berkenaan.

“Sebelum kejadian, saya dan isteri sedang duduk bersantai di halaman rumah. Mohd Irfan pula bermain permainan video dalam bilik itu, sementara dua anak saya bekerja dan empat cucu lain ke sekolah agama,” katanya.

Pesara guru itu berkata, selepas dikejutkan dengan jeritan Mohd Irfan, dia berlari dan mendapati api membakar permaidani di bilik berkenaan, sebelum bertindak mengambil sebaldi air, bagaimanapun gagal memadamkan api.

“Dengan bantuan jiran saya sempat mengeluarkan sebuah almari perhiasan dan kusyen kerana api marak dengan cepat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Yusof, kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas di bilik berkenaan memusnahkan semua barangan berharga dan dokumen penting, membabitkan anggaran kerugian RM180,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Razak Manap berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.24 petang dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.

“Sebanyak tiga jentera membabitkan 20 pegawai dan anggota dari balai bomba Tangga Batu dan Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Api dapat dikawal pada 6.47 petang dan dipadamkan sepenuhnya jam 7.20 malam,” katanya.

Menurutnya, kebaka­ran­ mengakibatkan 70 peratus daripada struktur rumah hangus.

Murid lari selamatkan diri – Sinar Harian


Murid lari selamatkan diri

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 April 2012
Murid lari selamatkan diri

JOHOR BAHRU – Hampir 100 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze, di sini, lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila kerangka tingkap dewan sekolah jatuh terhempas dalam kejadian ribut petir berserta hujan dan angin kencang, petang semalam.

Sebelum kejadian terbabit, kesemua pelajar terbabit sedang menjalani latihan bola tampar dan yoyo Cina secara berkumpulan bermula sekitar jam 2 petang ditemani jurulatih masing-masing.

Bagaimanapun, latihan pelajar terbabit terhenti dan suasana kelam-kabut menyelubungi dewan sekolah terbabit sejurus kedengaran seperti atap zink di tepi dewan sekolah umpama mahu tercabut kerana ditiup angin kuat sekitar jam 2.15 petang.

Guru sekolah merangkap jurulatih Yoyo Cina, Phang Hai Dong, berkata, pada mulanya, keadaan seperti biasa dan kedua-dua kumpulan pelajar sedang berlatih secara berasing di dewan yang sama.

“Hujan mulai lebat dan kedengaran tiupan angin yang kuat. Saya berdiri berdekatan pintu dewan untuk meninjau persekitaran luar kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini pada kereta kerana kedengaran bunyi zink seakan mahu tercabut.

“Melihat keadaan seperti bertambah teruk, saya meminta pelajar segera berlindung di tempat yang selamat. Dalam beberapa minit kemudian, kerangka tingkap dewan terhempas jatuh, namun mujurlah tiada siapa yang tercedera. Kejadian menakutkan ini adalah kali pertama berlaku sepanjang hampir 14 tahun berkhidmat di SJKC Pu Sze,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas kejadian, di sini.

Dalam kejadian sama, hampir 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan 18 bilik darjah di sekolah terbabit diterbangkan angin kencang malah melayang sehingga ke Jalan Skudai sekali gus mengganggu aliran lalu lintas.

Turut hadir mengadakan lawatan ke sekolah terbabit adalah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh.

Guru Besar SJKC Pu Sze, Wong Loke Say berkata, tidak semua bilik darjah mengalami kerosakan selepas atap zink bangunan terbabit diterbangkan angin, sebaliknya hanya enam bilik di tingkat atas berserta perkakasan di dalamnya terjejas.

“Enam kelas ini menempatkan murid darjah enam untuk sesi pagi dan murid darjah tiga bagi sesi petang. Tiada siapa yang cedera dalam kejadian ini kerana tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PNP) berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, Kementerian Pelajaran akan menanggung semua kos bagi kerja baik pulih semua kerosakan yang dialami sekolah terbabit selepas taksiran kerugian dibuat oleh Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah.

“Saya menerima panggilan mengenai kejadian sekitar jam 3 petang dan bergegas ke sekolah ini. Menerusi tinjauan dibuat, kira-kira 70 hingga 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan bilik darjah diterbangkan angin selain sebuah kerangka tingkap dewan jatuh.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed juga sudah saya hubungi untuk melaporkan mengenai kejadian ini untuk memberikan peruntukan segera bagi membolehkan sekolah melakukan kerja baik pulih kerosakan.

“Jadi, kementerian sedang menantikan laporan taksiran kerugian dialami sekolah daripada Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah supaya kerja baik pulih dapat dilakukan segera,” katanya.

Difahamkan, ribut kencang yang berlaku di situ dikenali sebagai angin ‘langkisau’ dengan kelajuan luar biasa sekali gus mampu untuk menerbangkan bumbung-bumbung rumah dan sekolah di kawasan terlibat.

Berdasarkan laporan portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir akan melanda beberapa tempat di negeri ini pada sebelah petang, namun tiada hujan dilaporkan pada sebelah pagi dan malam.

Malah, mengikut portal rasmi jabatan itu di http://www.met.gov.my ribut petir akan terus berlaku di beberapa tempat di negeri ini hingga 20 April ini.

SURAT SIARAN PENGUMPULAN DATA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BAGI PPPS GRED DG44 YANG BERADA DI TANGGA GAJI P1T11 HINGGA P1T17 PADA 31 OKTOBER 2002


SURAT SIARAN PENGUMPULAN DATA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BAGI PPPS GRED DG44 YANG BERADA DI TANGGA GAJI P1T11 HINGGA P1T17 PADA 31 OKTOBER 2002

Mohon rujuk lampiran:
Muat turun
Surat Siaran

SURAT SIARAN PENGUMPULAN DATA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BAGI: PPPS GRED DG48 KE GRED DG52 PADA TAHUN 2012 DAN PPPS GRED DG52 KE GRED DG54 PADA TAHUN 2012


SURAT SIARAN PENGUMPULAN DATA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BAGI: PPPS GRED DG48 KE GRED DG52 PADA TAHUN 2012 DAN PPPS GRED DG52 KE GRED DG54 PADA TAHUN 2012

Mohon rujuk lampiran:

Muat turun
Surat Siaran

Lebih 100 pelajar nyaris maut – Kosmo


Lebih 100 pelajar nyaris maut

 

Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my

 

KA SIONG meninjau keadaan bumbung SJKC Pu Sze yang diterbangkan angin ribut di Skudai, Johor Bahru semalam.

 

JOHOR BAHRU – Lebih 100 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze Skudai di sini nyaris maut apabila kerangka tingkap dewan sekolah itu tumbang dipukul ribut di sini petang semalam.

Kejadian pukul 2.30 petang itu mengejutkan sekumpulan pelajar yang sedang mengikuti latihan bola tampar dan permainan yoyo sebelum mereka lari bertempiaran.

Seorang guru, Phang Hai Bong, 54, berkata, dia sangat cemas melihat angin kencang menggegarkan dewan itu lantas menyuruh pelajar yang ada di situ menyelamatkan diri.

“Beberapa saat selepas itu, kerangka dan cermin dewan setinggi empat meter itu jatuh. Mujur tiada siapa yang cedera.

 

“Ribut juga menerbangkan kira-kira 80 peratus atap sebuah blok bangunan yang menempatkan 18 bilik darjah,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad.

Menurut Hai Bong, angin kencang turut menerbangkan atap zink blok bersebelahan sejauh kira-kira 30 meter.

Atap itu jatuh melepasi jalan besar sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya di Jalan Skudai.

“Ini kali pertama ribut berlaku sejak sekolah ini dibuka pada tahun 1922,” katanya.

Tragedi lombong – Metro


Tragedi lombong

Oleh RUSILA MANAF
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SIK: Tindakan seorang kanak-kanak pergi memancing bersama dua rakannya berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemui lemas di dalam lombong di Kampung Banggol, Sungai Setar, Mukim Jeneri, dekat sini, malam kelmarin.

Muhammad Aiman Mohd Rodzi, 10, dipercayai keluar rumah jam 5.30 petang tetapi kehilangannya hanya disedari rakannya sekitar jam 7 malam sebelum penduduk membuat laporan polis.
Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Jeneri sering pergi memancing bersama rakannya di lombong berhampiran rumahnya ketika cuti sekolah hujung minggu.

 

Katanya, ketika kejadian, seorang penduduk turut memancing berdekatan tempat kejadian sebelum mendapati seorang daripada kanak-kanak itu hilang.
“Penduduk terbabit mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku lalu memaklumkan kejadian kepada saya yang kemudian bergegas ke lombong sejauh 300 meter dari rumah untuk menyelamatkan mangsa namun gagal lalu memaklumkan polis.
“Mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah saya turut melihatnya pergi menunaikan solat Jumaat bersama ayahnya sebelum kejadian,” katanya di Bahagian Forensik Hospital Sik, di sini.

 

 

Sementara itu, guru sekolah mangsa, Harishon Shaari berkata, Muhammad Aiman adalah pelajar baik dan tidak pernah menghadapi masalah di sekolah, namun dia menjadi pendiam ketika di sekolah, Khamis lalu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Asisten Superintendan Muhamad Rusli Mat ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.30 malam.

 

Menurutnya, selepas menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Jeniang bergegas ke tempat kejadian dan mayat mangsa ditemui jam 8 malam sebelum dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.
Katanya, hasil bedah siasat tidak menemui unsur jenayah dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Jeneri, di sini, jam 10 pagi semalam.

Pelajar kena buang disuruh wakili sekolah – Berita Harian


Pelajar kena buang disuruh wakili sekolah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2012/04/15

Didakwa ceroboh bilik guru tanpa usul periksa, turut kena rotan selepas 5 hari berlaku insiden

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat mendakwa dibuang sekolah kerana kesalahan menceroboh bilik guru tanpa sempat menjelaskan perkara sebenar, malah turut dirotan selepas lima hari dibuang sekolah.

Selain itu, Muhamad Bukhori Abdullah Sani yang bersekolah di Sungai Kertas itu diminta hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut hanya untuk mewakili pertandingan ragbi di peringkat daerah, sedangkan beliau sudah dibuang sekolah.

Bapa mangsa, Abdullah Sani Abdul Ghani, 51, berkata beliau kecewa dengan pihak sekolah yang membuang anaknya serta- merta tanpa mendengar penjelasannya terlebih dulu, malah usaha untuk berbincang secara baik juga tidak dilayan.

“Anak saya dituduh menceroboh bilik guru pada 28 Mac lalu, namun dibuang sekolah berkuat kuasa 5 April iaitu Khamis dua minggu lalu, tetapi masih diminta ke sekolah selepas itu untuk mewakili pertandingan ragbi selama lima hari sebelum dirotan atas kesalahannya pada Selasa lalu.

“Kejadian menceroboh bilik guru itu hanya salah faham, mengikut penjelasan Muhamad Bukhori, pada hari kejadian iaitu jam 1.30 tengah hari, beliau kebetulan lalu di bilik guru dan pada masa sama melihat pintu bilik terbuka serta terdapat beg tangan dan komputer riba milik guru kelasnya.

“Anak saya yang bimbang keselamatan beg gurunya itu bertindak mengambil dan membawa pulang kerana gurunya sedang bermesyuarat, namun memaklumkan perkara itu keesokannya kepada pihak sekolah. Bagaimanapun, dua hari selepas kejadian, anak saya dibuang sekolah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kanak-kanak perempuan rentung, rumah kongsi terbakar – Utusan


Kanak-kanak perempuan rentung, rumah kongsi terbakar

LAHAD DATU 14 April – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun rentung manakala seorang lelaki melecur di badan apabila rumah kongsi yang mereka diami terbakar di Ladang Felda Sahabat 50, Tungku di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd. Apandi Mahmood berkata, mangsa, Mariani Baso dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terhidu asap tebal dalam kejadian pukul 9.30 malam itu.

“Selepas api dipadamkan, pasukan kami menemui mayat kanak-kanak perempuan terbabit dalam timbunan kayu yang terbakar di pintu pertama rumah kongsi tersebut.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan akibat melecur di bahagian badan.