Semua Sekolah Dapat Bekalan Air Bersih, Elektrik Tahun Depan – Muhyiddin – Bernama


Semua Sekolah Dapat Bekalan Air Bersih, Elektrik Tahun Depan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh negara akan mendapat bekalan air bersih dan elektrik yang sempurna serta mencukupi pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata buat masa ini sebanyak 46 projek bekalan air masih belum beroperasi kerana pelaksanaan projek bekalan elektrik belum siap sepenuhnya.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian merancang untuk melaksanakan projek bekalan air bersih bagi memastikan semua sekolah di seluruh negara dibekalkan dengan air bersih,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Katanya sebanyak 570 buah projek bekalan elektrik di seluruh negara telah dilaksanakan di bawah RMK-9 dan RMK-10 membabitkan 42 projek di Semenanjung, Sabah (179) dan Sarawak (427).

Beliau berkata kementerian juga merancang untuk melaksanakan 1,605 projek penyelenggaraan di bawah program Pakej Ransangan Khas (PRK) 2012 di seluruh negara di bawah skop penyelenggaraan bangunan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM435 juta. – BERNAMA

AADK Buat Ujian Rambang Ke Atas Pelajar – Bernama


AADK Buat Ujian Rambang Ke Atas Pelajar

KUCHING: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) bercadang melaksanakan ujian air kencing secara rambang ke atas pelajar sekolah sebagai langkah membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kalangan belia.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata pelaksanaan ujian rambang itu akan dibuat dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa berkaitan.

“Kita tidak boleh ambil mudah gejala penyalahgunaan dadah ini dan walaupun masa pelajar banyak di sekolah, mereka juga berada di luar dan bukannya 24 jam di bawah kawalan pihak sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, Rabu.

Mawan berkata kerajaan menerusi AADK dijangka mewujudkan Klini Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia di Limbang, Sibu dan Sri Aman selepas pusat seumpamanya diwujudkan di Kuching manakala sebuah cawangan mini klinik di Miri.

Rumah Komuniti telah dibuka di Bintulu dan Kuching manakala satu lagi akan dibuka di Kampung Judan di Mukah dan beroperasi pada tahun ini, katanya. –BERNAMA

Giliran Idris Jala Pula Jadi Guru – Kosmo


Giliran Idris Jala Pula Jadi Guru

Oleh KANG SOON CHEN

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengajar subjek Bahasa Inggeris di SMK Tengku Idris Shah pada Teach For Malaysia Week. Foto THE STAR Oleh: AZMAN GHANI

 

KLANG: Jika Isnin lalu, artis terkenal Lisa Surihani dan suaminya Yusry Abdul Halim meluangkan masa selama sejam bertugas sebagai guru di SMK Pandamaran Jaya di sini, pada Selasa, tiba giliran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pula bertugas sebagai guru.

Mereka adalah sebahagian daripada selebriti dan juga tokoh awam serta korporat yang mengambil bahagian dalam minggu Teach For Malaysia yang sedang berlangsung sekarang.

 

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau Pemandu telah meluangkan masa untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar tingkatan empat, SMK Tengku Idris Shah, di sini.

Anak kelahiran Bario Sarawak itu menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar tingkatan empat sekolah itu bahawa melalui pembacaanlah dia kini menjadi seorang yang berjaya.

“Anda semua mesti ada cita-cita…jika seorang budak dari Bario seperti saya boleh berjaya, anda juga boleh!” katanya.

Idris juga turut berkongsi pengalamannya dengan pelajar-pelajar sekolah menengah itu tentang zaman remajanya khususnya ketika di sekolah.

“Ketika saya masih bersekolah lantai bilik darjah saya diperbuat daripada lumpur dan kami diberikan hanya sekeping papan dan kapur untuk menulis kerana kami tidak mempunyai buku latihan untuk menulis.

 

“Dan bandar yang paling dekat dengan kampung saya ialah dua minggu berjalan kaki. Itu menunjukkan betapa jauhnya kampung kami dengan bandar,” ujar beliau.

Di akhir program itu, Idris telah menyumbang satu set buku The Chronicles of Narnia karya C S Lewis dan berjanji siapa yang dapat menghabiskannya dengan pantas akan berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM1,000 daripadanya disamping berpeluang untuk makan bersamanya di Malaysian Petroleum Club KLCC.

RANCANGAN INTEGRASI UNTUK PERPADUAN MURID (RIMUP) DIKENDALIKAN OLEH BAHAGIAN KOKURIKULUM DAN KESENIAN BERMULA DARI 2012


RANCANGAN INTEGRASI UNTUK PERPADUAN MURID (RIMUP) DIKENDALIKAN OLEH BAHAGIAN KOKURIKULUM DAN KESENIAN BERMULA DARI 2012

10 April 2012

Sejak pelaksanaan RIMUP pada tahun 1986, Bahagian Sekolah (Bahagian Pengurusan Sekolah Harian) dipertanggungjawabkan untuk meneraju dan menyelaras pelaksanaan program tersebut.  Mulai 2012, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian telah diberi tanggungjawab untuk meneruskan pelaksanaan program ini.Penyerahan program RIMUP kepada BKK telah diadakan secara rasmi pada 9 Februari 2012 di Concorde Inn, KLIA yang dihadiri juga oleh Ketua-ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan dan Ketua-ketua Unit Kokurikulum dari semua Jabatan Pelajaran Negeri.

 

Sebagai persediaan BKK telah mengadakan mesyuarat dan bengkel untuk memberi pendedahan mengenai konsep RIMUP kepada pegawai-pegawai yang akan terlibat dengan program ini kelak.

Sekolah agama bukan susahkan anak-anak – Sinar Harian


Sekolah agama bukan susahkan anak-anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 April 2012
Sekolah agama bukan susahkan anak-anak

CHENOR – Ibu bapa diingatkan supaya tidak merungut dengan masa terhad anak-anak mereka yang mempunyai ­jadual padat sepanjang sesi persekolahan pada waktu pagi dan sekolah agama di sebelah petang.

Pengerusi Persatuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) Daerah Maran, Baharuddin Othman berkata, kelas agama membantu anak-anak mendapat didikan agama yang cukup demi menjamin akidah serta masa depan mereka.

Menurutnya, pendidikan agama di SAR Kafa memberi pendedahan kepada anak berusia 7 hingga 12 tahun kepada Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Kerajaan juga tidak meminggirkan SAR Kafa dengan menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan pembelajaran di sini mencakupi keperluan generasi sekarang.

“SAR Kafa memainkan peranan penting mendidik anak-anak dalam kelas al-Quran dan fardu ain,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek bantuan pembangunan kepada SAR Kafa daerah Maran, di sini.

Sebanyak RM549,363.50 sumbangan dari Unit Pendidikan Agama, Jabatan Perdana Menteri disalurkan kepada 25 SAR Kafa daerah ini.

Baharuddin berkata, bantuan itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan sekolah terbabit yang terbukti membantu melahirkan modal insan berkualiti.

Menurutnya, kerajaan sangat memahami kesulitan guru sekolah berkenaan yang hanya mengharapkan bayaran yuran pelajar dan bantuan institusi agama walaupun kos pentadbiran sekolah semakin meningkat.

“Maka guru agama dinasihati supaya memberi tumpuan pengajaran di dalam kelas kerana ia dapat membentuk sahsiah pelajar yang mampu mencorak kehidupan masyarakat pada masa depan.

“Setiap guru perlu mempunyai sifat bertanggungjawab menjadi seorang pendidik bagi melahirkan insan berguna bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga terhadap agama dan negara,” katanya.

Remaja nyaris maut bertembung kereta – Sinar Harian


Remaja nyaris maut bertembung kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 April 2012
Remaja nyaris maut bertembung kereta

KULIM – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja di Jalan Air Merah kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurut mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas, dia datang dari arah pekan Kulim menuju ke lampu isyarat jalan yang sama.

Mangsa berkata, tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja keluar dari selekoh untuk menyeberangi jalan sebelum bertembung dengan mangsa.

“Saya dalam perjalanan menuju ke Taman Selasih. Tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja itu muncul menyebabkan saya tidak sempat membrek dan bertembung.

“Akibat rempuhan kuat, motosikal saya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.

Mangsa berkata, dia tercampak ke jalan bertentangan bagaimanapun bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayop menasihatkan penunggang motosikal supaya tidak menunggang motosikal mereka dengan laju terutama di jalan lurus di sekitar pekan Kulim kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya terdapat kenderaan melintas atau keluar selekoh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca dari kecuaian kedua-dua pihak. Pemandu dan penunggang motosikal seharusnya bersikap sabar ketika memandu kenderaan mereka,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa terlibat cuai dan tidak bersikap peka apabila memandu.

“Selain terlibat dalam kemalangan, kecuaian juga boleh mengakibatkan pengguna jalan raya lain terbunuh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal. Ini adalah kerana penunggang motosikal terdedah kepada pelbagai kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Kes jenayah seksual mangsa bawah umur meningkat – Bernama


Kes jenayah seksual mangsa bawah umur meningkat

2012/04/18

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah seksual atau rogol membabitkan mangsa berumur di bawah 16 tahun yang turun pada 2010, meningkat semula tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,777 kes dicatatkan pada 2010 tetapi meningkat semula kepada 2,419 kes tahun lalu.

Katanya, sebanyak 924 kes dicatatkan pada 2005, 1,301 kes (2006), 1,653 kes (2007), 1,871 kes (2008) dan 2,049 kes (2009).

“Antara faktor utama yang dikenal pasti berlakunya kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak adalah seperti mangsa berada sendirian sama ada di dalam atau di luar rumah, mangsa culik dan mangsa diugut.

“Faktor lain ialah kurang pendidikan dan agama, masalah dalam institusi kekeluargaan, pengaruh dari media massa dan media alternatif serta mangsa dan suspek melakukannya secara suka sama suka,” katanya katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
— BERNAMA

Perubahan Penetapan Gaji Permulaan Berikutan Pelaksanaan Jadual Gaji Minimum – Maksimum Menggantikan Jadual Gaji Matriks


Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1/2012

E-mailCetakPDF

17 APRIL 2012

Perubahan Penetapan Gaji Permulaan Berikutan Pelaksanaan Jadual Gaji Minimum – Maksimum Menggantikan Jadual Gaji Matriks

Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012

Lampiran A

Lampiran B
Senarai Penetapan Gaji Permulaan Bagi 279 Skim Perkhidmatan Berikutan Pelaksanaan Jadual Gaji Minimum – Maksimum Menggantikan Jadual Gaji Matriks

Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 – [PDF – 2.17MB]