Kanak-kanak pengsan 12 jam dipanah petir di Pasir Mas – Bernama


Kanak-kanak pengsan 12 jam dipanah petir di Pasir Mas

2012/04/19

PASIR MAS: Seorang kanak-kanak lelaki pengsan selama 12 jam selepas terkena panahan petir ketika hujan lebat di Kampung Kolam, Tok Uban, di sini, semalam.

Mohd Khairul Mohd Rosdi, 9, turut cedera di belakang telinga kiri dan dirawat di Hospital Lati, Pasir Mas.

Kejadian pada jam 3.30 petang itu turut menyebabkan nenek, kakak dan seorang adiknya, yang ketika itu berehat di beranda rumah mereka terpelanting apabila panahan petir itu mengenai sebantang tiang berhampiran tempat mereka duduk.

Nenek kanak-kanak itu, Lijah Samad, 63, berkata panahan petir itu turut menyebabkan dia cedera di bahagian belakang badan dan barangan elektrik di dalam rumah mereka rosak.

“Kejadian itu menyebabkan saya dan cucu saya iaitu Nur Zainawati Mohd Rosdi, 11, Mohd Khairul dan Suzilawani, 7, terpelanting.

“Selepas keadaan reda baru saya menyedari kehilangan Mohd Khairul yang tercampak ke tanah. Saya menemuinya terbaring di atas tanah dengan kepalanya berada di dalam sebuah baldi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Lijah berkata, beliau meminta bantuan jirannya untuk menghantar Mohd Khairul yang pengsan ke Klinik Tok Uban sebelum dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas.
Mohd Khairul sedar dari pengsan kira-kira jam 3 pagi ini, kata Lijah. – BERNAMA

Lelaki OKU dipenjara 7 tahun, 6 sebatan liwat pakcik, dua adik – Bernama


Lelaki OKU dipenjara 7 tahun, 6 sebatan liwat pakcik, dua adik

19 April 2012

KLANG – Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meliwat bapa saudaranya yang juga seorang OKU serta dua adik kandungnya berusia lapan dan 10 tahun, bulan lepas.

Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh yang berusia 22 tahun menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 5 April lepas.

Lelaki itu, yang berasal dari Sekinchan, Sabak Bernam didakwa meliwat bapa saudaranya yang berumur 41 tahun serta dua adik kandungnya yang berusia lapan dan 10 tahun di bilik hadapan sebuah rumah di Sekinchan, antara 10.30 malam dan 11.30 malam pada 23 Mac lepas.

Tertuduh, yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan seorang yang lembam telah memanggil bapa saudaranya masuk ke dalam bilik itu di mana kedua-dua adik lelakinya turut berada di dalam bilik sama.

Tertuduh kemudian meliwat kedua-dua adiknya sehingga mereka menangis sambil disaksikan bapa saudaranya.

Tertuduh kemudian meminta bapa saudaranya untuk membuka seluar dan baju serta meniarap sebelum bertindak meliwatnya di hadapan kedua-dua adiknya pula.

Tertuduh turut berpesan kepada mereka supaya tidak memberitahu ibunya mengenai kejadian itu.

Kedua-dua adiknya kemudian mengadu kepada ibu mereka mengenai perbuatan tertuduh dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menjalani pemeriksaan.

Ekoran itu, tertuduh ditangkap pada 5 April lepas dan siasatan mendapati dia adalah seorang OKU yang telah disahkan oleh pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sabak Bernam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh sangat serius kerana ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

“Tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan ketiga-tiga mangsa memandangkan dua mangsa adalah adiknya manakala bapa saudaranya adalah seorang lembam,” katanya.- Bernama

Pelajar tingkatan 4 maut, motosikal rempuh kereta – Bernama


Pelajar tingkatan 4 maut, motosikal rempuh kereta

19 April 2012

DUNGUN – Seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Dungun maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran sekolahnya, hari ini.

Mangsa Ahmad Zikri Zaharudin, 16, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan seorang pengguna jalan raya yang sempat menyaksikan kejadian itu, Mohd Yuslizam Mat Yusof, 35 dan sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa baru sahaja menghantar rakannya Muhammad Faizal Yusri  Mohd Shazali, 16, di depan pintu pagar sekolah itu.

Bagaimanapun mangsa yang memberitahu rakannya beliau sakit kepala, dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah belakang ketika mangsa membuat pusingan ‘U’ untuk pulang ke rumah, menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya mangsa merupakan anak kepada seorang kerani yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Maimun Tahir, 54.- BERNAMA