Pelajar meninggal dunia di sekolah akibat sesak nafas – Bernama


Pelajar meninggal dunia di sekolah akibat sesak nafas

20 April 2012

JOHOR BAHRU  – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat meninggal dunia akibat sesak nafas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara 2, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi ketika Nur Farhana Rusli, 16, sedang berada di dalam makmal bagi sesi pembelajaran subjek Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik.

“Guru Nur Farhana, Tam Poh Ngoh dengan dibantu seorang pelajar terus membaringkannya di atas katil sebelum menghubungi ambulans dan bapanya. Anggota paramedik yang tiba kira-kira pukul 10 pagi kemudian mengesahkan pelajar berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zainuddin berkata, bapa Nur Farhana yang merupakan seorang pemandu teksi memberitahu anak bongsu daripada lima adik beradik itu tidak pernah menghidap sebarang penyakit sebelum ini.

Beliau berkata, pengetua sekolah tersebut, Abdullah Abd Hamid turut mengesahkan Nur Farhana tidak pernah mengalami sebarang penyakit sepanjang bersekolah di situ sejak Tingkatan Satu dan dia merupakan seorang pelajar yang berdisiplin.

“Siasatan awal setakat ini mendapati tiada unsur jenayah berlaku terhadap kematian Nur Farhana. Mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat,” katanya. – Bernama

PERMOHONAN BARU BIASISWA KECIL PERSEKUTUAN (BKP) DAN BIASISWA KELAS PERSEDIAN UNIVERSITI (BKPU) 2012


PERMOHONAN BARU BIASISWA KECIL PERSEKUTUAN (BKP) DAN BIASISWA KELAS PERSEDIAN UNIVERSITI (BKPU) 2012

Pengumuman:

Permohonan baru Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persedian Universiti (BKPU) 2012 akan bermula seperti tarikh di bawah :

i) Zon 1(Sabah, Sarawak, WP Labuan, Kelantan, Terengganu)      :  23 hingga 29 April 2012
ii) Zon 2(Selangor, Johor, Pahang, Melaka, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Sekolah Berasrama Penuh)  :  30 April hingga 6 Mei 2012

iii) Zon 3 (Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan)   : 7 hingga 13 Mei 2012

Sekolah-sekolah boleh mengakses ke sistem permohonan tersebut melalui http://apps.moe.gov.my/biasiswa/ .

Keputusan kemasukan program Matrikulasi 25 April – Bernama


Keputusan kemasukan program Matrikulasi 25 April

20 April 2012

KUALA LUMPUR – Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengumumkan keputusan calon yang berjaya untuk mengikuti program matrikulasi bagi sesi 2011/2012 pada 25 April.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang membuat permohonan sebelum tarikh tutup 10 Okt, 2011 boleh menyemak keputusan mereka di laman web KPM di http://www.moe.gov.my.

Pendaftaran pelajar untuk program matrikulasi akan diadakan pada 28 Mei ini dan pelajar yang berjaya dikehendaki mencetak sendiri surat tawaran, panduan pendaftaran, dokumen peribadi pelajar dan borang perjanjian pelajar (dua salinan).

Bagi calon yang tidak berjaya, rayuan boleh dibuat di laman web KPM yang sama mulai 25 April hingga 13 Mei.- Bernama

Anak lemas, bapa masih hilang, sampan terbalik di Sungai Perak – Bernama


Anak lemas, bapa masih hilang, sampan terbalik di Sungai Perak

2012/04/20

IPOH: Seorang kanak-kanak mati lemas, manakala bapanya masih belum ditemui apabila sampan yang mereka naiki terbalik ketika sedang memancing udang di Sungai Perak dekat Teluk Intan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata mayat Mohd Aizad Iskandar Ramlan, 10, ditemui tersangkut di celah pokok kira-kira 200 meter daripada tempat sampan terbalik pada jam 9.50 pagi tadi.

Gerakan mencari bapanya, Ramlan Ahmad, 34, seorang anggota polis bantuan dan bertugas di Bank Simpanan Nasional cawangan Ipoh dipergiatkan, katanya ketika dihubungi di sini.

Dua beranak itu yang tinggal di Kampung Changkat Petai, Teluk Intan dilaporkan ke Sungai Perak pada jam 8 malam tadi untuk memancing udang, katanya.

Goh berkata, ketika berada di tengah sungai, sampan yang mereka naiki dikatakan tiba-tiba terbalik akibat dirempuh ombak, menyebabkan kedua-duanya tercampak ke dalam sungai berkenaan.

Anggota keluarga yang gagal menghubungi kedua-dua mereka pada jam 10.45 malam kemudian membuat laporan polis, katanya.

Polis yang menerima laporan itu kemudian meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam melancarkan operasi mencari di Sungai Perak sehingga larut malam dan dihentikan akibat cuaca gelap.
Operasi yang disambung pagi ini kemudian menemui mayat kanak-kanak itu tersangkut dicelah pokok, katanya. -BERNAMA

Pengsan disambar petir – Sinar Harian


Pengsan disambar petir

“NOOR AZLIDA ALIMIN
20 April 2012
Lijah menenteramkan cucunya, Mohd Khairul yang pengsan lebih 12 jam, setelah disambar petir, jam 3.3

GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak lelaki pengsan lebih 12 jam, apabila disambar petir, pada 3.30 petang, kelmarin.

Kejadian yang berlaku, di Kampung Kolam, turut menyebabkan nenek dan dua adiknya, tercampak beberapa meter dari rumah.

Nenek, Lijah Samad, 63, berkata, kejadian ini hampir meragut nyawa mereka, apabila petir menyambar tiang berdekatan rumah.

Menurutnya, Mohd Khairul Mohd Rosdi, 9, berada paling dekat dengan tiang berkenaan, pengsan setelah disambar petir.

Manakala katanya, dua cucunya, Nur Zainawati, 11 dan Suzilawani, 7, tidak mengalami kecederaan serius.

“Selepas kejadian, saya hanya ingatkan keselamatan cucu dan lega apabila mendapati Zainawati dan Suzilawani selamat. Selepas lama mencari, saya dapati Mohd Khairul tidak sedarkan diri, setelah tercampak ke tanah, sehingga kepalanya berada di dalam baldi,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia menggerak-gerakkan badan Mohd Khairul, namun cucunya tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Risau dengan keselamatan cucunya, Lijah meminta bantuan jiran, untuk menghantar Khairul ke Klinik Tok Uban sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

Setelah diperiksa, Mohd Khairul cedera di belakang telinga kirinya dan sedarkan diri pada jam 3 pagi tadi.

Lijah dan dua lagi cucunya, mengalami kecederaan ringan di belakang badan dan dada. Sambaran petir turut merosakkan barangan elektrik di dalam rumah mereka.

Pelajar maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Pelajar maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 April 2012
pelajar maut

DUNGUN – Hasrat seorang pelajar menghantar rakannya ke sekolah berakhir dengan tragedi apabila dia menemui ajal selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam satu kemalangan dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi di kilometer 73.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Ahmad Zikri Zaharuddin, 16, dalam perjalanan pulang ke rumah di Balai Besar selepas menghantar seorang rakannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Dungun.

Sampai di lokasi kejadian, mangsa, pelajar tingkatan empat di SMK Teknik Dungun itu dikatakan cuba membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan mangsa, Muhamamd Faizal Yusli Mohd Shazali, 16, berkata, sebelum kejadian, arwah telah menghantarnya ke sekolah, biarpun dia tidak mengizinkan kerana arwah dikatakan kurang sihat.

Faizal berkata, sebaik sampai di hadapan sekolah, dia mengarahkan arwah meninggalkannya di hadapan pintu pagar sementara menunggu rakan-rakan lain tiba untuk masuk ke kawasan sekolah.

“Ketika sedang menunggu rakan lain, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat.

“Apabila menoleh ke belakang, saya terkejut apabila melihat arwah sudah tergolek atas jalan, manakala motosikalnya berada di sisinya,” katanya.

Faizal berkata, apabila dia menghampiri rakannya itu, dia rasa takut setelah melihat banyak darah keluar dari mulut dan hidung mangsa, sebelum orang ramai tiba untuk menghulurkan bantuan.

Murung, banyak termenung

Bagi ibu mangsa pula, Maimun Tahir, 54, tragedi yang meragut nyawa anaknya itu amat perit untuk diterima, apatah lagi arwah sebelum ini dikatakan kelihatan agak murung berbanding biasa.

Menurut Maimun, beberapa hari sebelum kejadian, arwah anaknya dikatakan sering mengadu sakit kepala, banyak termenung selain kurang selera makan berbanding biasa.

“Saya tak sangka tingkah lakunya yang pelik itu merupakan satu petanda dia akan pergi buat selamanya,” kata Maimun yang juga seorang kerani di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan kejadian, memaklumkan jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir.

“Warga Ibu Pejabat Polis Daerah mengucapkan takziah atas pemergian anak kepada kakitangan pejabat di IPD Dungun,” katanya.

Rogol dalam kelas kosong – Sinar Harian


Rogol dalam kelas kosong

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 April 2012

REMBAU – Seorang pengawal keselamatan dikesan rakan sejawatnya melakukan kegiatan tidak bermoral bersama ­seorang pelajar asrama di ­sebuah kelas kosong, di sini, 16 April lalu.

Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, pada hari kejadian, suspek berusia 28 tahun dan dua lagi pengawal keselamatan seperti biasa meronda kawasan sekolah berkenaan dan salah seorang menyedari suspek tidak balik ke pos kawalan.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka mencari suspek di kawasan sekolah itu dan terperanjat apabila menemui suspek di dalam kelas kosong kira-kira jam 6.15 petang bersama seorang pelajar perempuan tingkatan lima.

“Susulan penemuan berkenaan, pelajar perempuan itu yang juga tinggal di asrama sekolah berkenaan mendakwa telah dirogol suspek di kelas kosong berkenaan. Rakan sejawatnya yang terkejut bergegas menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

“Manakala, pihak sekolah pula memaklumkan insiden memalukan ­itu kepada ibu pelajar perempuan itu dan membuat laporan polis pada hari sama kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan ­reman dari 16 hingga 23 April ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di­hukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Kesihatan, ekonomi seiring – Metro


Kesihatan, ekonomi seiring

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Murid sekolah rendah bukan saja mendapat bekalan susu dua kotak seorang, tetapi pengeluar produk tenusu juga dapat meningkatkan ekonomi mereka,” kata Jamaliah Sarif apabila ditanya mengenai Program Susu 1Malaysia (PS1M).

Jamaliah, 56, berkata ia adalah program yang bersifat holistik apabila membabitkan keseluruhan masyarakat.
Katanya, program itu yang bukan saja memberi kebaikan kepada murid darjah satu hingga enam, tetapi juga kepada golongan sasar mendapat peluang pekerjaan.

 

Menurut Jamaliah, perkara itu adalah sesuatu yang positif apabila dapat dinikmati rakyat terutama murid tahap satu.
Kakitangan swasta, Nurul Jannah Morshid, 25, berkata pemberian berkenaan menandakan tahap ekonomi yang semakin baik.
“Saya gembira dengan adanya bantuan sebegini kepada murid sekolah rendah kerana ia mampu memberi tahap kesihatan baik kepada mereka,” katanya.

 

 

Pada masa sama, ia juga patut diberi kepada pelajar sekolah menengah, warga emas, dan pesakit di hospital supaya dapat dimanfaat bersama.
PS1M diperkenalkan kerajaan bagi membantu bukan saja murid sekolah rendah mendapat bekalan kalsium mencukupi malah pelbagai cabang ekonomi akan terhasil selain mampu mencipta peluang pekerjaan, terutama di Sabah sebagai negeri pengeluar susu terbesar negara.

 

Kira-kira 270 juta kotak susu diperlukan bagi menjayakan PS1M setiap tahun dengan peruntukan sebanyak RM375 juta setahun bagi memenuhi keperluan 3.1 juta murid di seluruh negara.

Bantuan pakaian galak murid aktif bersukan – Metro


Bantuan pakaian galak murid aktif bersukan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang diwujudkan sejak setahun lalu memfokuskan kepada murid yang kurang aktif supaya mereka membabitkan diri dalam aktiviti sukan termasuk mengasah bakat berpotensi supaya boleh ditingkatkan melalui Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS).

Bagi menyeimbangkan matlamat terbabit, program Bantuan Pakaian Sukan diberikan kepada murid sekolah rendah dalam usaha menggalakkan mereka menyertai sekurang-kurangnya satu sukan di sekolah.
Tinjauan Harian Metro mendapati ibu bapa menyahut program itu dengan baik kerana ia memberikan tahap prestasi cemerlang di kalangan anak mereka.

 

Orang awam, Mohd Yusof Dan, 58, berkata bantuan terbabit membantu muridsupaya bergiat aktif bukan saja dalam bidang akademik, tetapi kokurikulum juga diberi perhatian.
“Saya melihat perubahan cucu saya yang turut membabitkan diri dalam bidang sukan di sekolah.
“Ini perkembangan baik memandangkan mereka juga berminat apabila diberi galakan demikian,” katanya.

 

 

Kakitangan awam yang juga seorang guru sekolah rendah, Maisarah Zulkifli, berkata program sebegini memberikan tahap kesihatan yang baik kepada murid sekolah.
“Mereka diberi peluang mengasah bakat dalam bidang sukan dan pemberian baju sukan berbentuk baju-T dan seluar panjang adalah langkah baik, namun ia perlu diperluaskan ke sekolah menengah juga,” katanya.

Budak terlampau perkosa jiran – Metro


Budak terlampau perkosa jiran

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PADANG BESAR: Baru berusia 13 tahun, tetapi seorang budak lelaki sudah berani merogol seorang budak perempuan berusia lapan tahun yang juga jirannya dalam sebuah tandas dewan orang ramai di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, budak lelaki berkenaan yang tinggal berdekatan rumah mangsa di Kampung Tersusun Padang Besar, di sini, memanggil budak perempuan itu datang ke kawasan dewan berkenaan, kononnya ada urusan.
Budak lelaki itu kemudian membawa membawa kanak-kanak perempuan malang itu ke dalam sebuah tandas di situ sebelum merogolnya.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Nashir Ya berkata, mangsa yang takut selepas kejadian itu, pulang ke rumahnya tergesa-gesa sebelum memberitahu kakaknya yang berada di rumah sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, kelmarin,” katanya.
Menurutnya, kakak mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Budak lelaki itu ditahan polis di rumahnya dan kini ditahan bagi siasatan selanjutnya.