MIC mahu kementerian pelajaran tubuh bahagian khusus – Bernama


MIC mahu kementerian pelajaran tubuh bahagian khusus

21 April 2012

KUALA LUMPUR – MIC hari ini meminta Kementerian Pelajaran menubuhkan sebuah bahagian baru yang diketuai oleh seorang pengarah khusus bagi menjalankan program pembangunan dan pembinaan sekolah Tamil di negara ini.

Presidennya Datuk seri G. Palanivel berkata bahagian tersebut perlu dianggotai oleh jurutera, pereka dan pegawai kewangan.

“Ke mana sahaja kami pergi, kami menerima permintaan dari sekolah Tamil untuk pelbagai bantuan dan sekiranya ada bahagian khusus dalam kementerian, maka bahagian itu boleh mengendalikan apa juga permohonan atau permintaan dari sekolah Tamil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata bahagian itu juga boleh membuka laman sesawang dan sistem e-mel bagi menerima permintaan dan memantau sekolah Tamil secara atas talian.- Bernama

Kementerian Pelajaran peruntuk RM87 juta bina sekolah baru dan baik pulih – Bernama


Kementerian Pelajaran peruntuk RM87 juta bina sekolah baru dan baik pulih

21 April 2012

GUA MUSANG – Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM87 juta tahun ini bagi membina sekolah baru dan membaik pulih bangunan sekolah sedia ada di seluruh negara untuk memberi keselesaan kepada guru dan pelajar.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan memberi peruntukan besar itu setelah kementerian mendapati banyak sekolah baru diperlukan selain keadaan sekolah uzur dan perlu diperbaiki.

“Kementerian sentiasa mengambil berat mengenai perkara itu supaya setiap guru dan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuh masa kepada kecemerlangan pendidikan.

“Saya sentiasa turun padang untuk melawat mana-mana sekolah yang tidak cukup bangunan atau bangunan sedia ada yang rosak kerana kita tidak mahu masalah itu yang menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan berhasrat dapat melaksanakan pengajian sesi pagi di semua sekolah bagi membolehkan pelajar menghadiri kelas tambahan pada waktu petang.

“Kita mempunyai 7,712 sekolah rendah di seluruh negara, tetapi hanya 806 sekolah sahaja yang masih mengadakan dua sesi. Daripada 8,410 sekolah menengah, sebanyak 1,583 sekolah lagi yang masih melaksanakan pengajian dua sesi,” katanya.- Bernama

Data infrastruktur sekolah akan diwujudkan: Muhyiddin – Berita Harian


Data infrastruktur sekolah akan diwujudkan: Muhyiddin

2012/04/21

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu sistem data yang mengandungi maklumat berhubung keperluan infrastruktur di sekolah di seluruh negara tidak lama lagi untuk mewujudkan suasana kondusif bagi pelajar dan guru.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian akan menggunakan data itu untuk memastikan aset yang dimiliki termasuk bangunan dan infrastruktur di sekolah sentiasa dipelihara dan untuk menilai kekurangan yang dihadapi oleh sekolah.

“Dengan cara ini kita boleh menilai kekurangan di sekolah dan kita akan tahu keadaan di sekolah berkenaan tanpa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu mohon untuk penambahbaikan infrastruktur kerana data mengenai sekolah itu sudah ada di kementerian.

“Kita juga hendak tentukan ada suasana kondusif di sekolah bukan saja untuk kemudahan pelajar, tetapi juga guru. Saya sedia maklum ada sekolah yang bilik gurunya terhad tetapi kita akan perbaiki masalah ini,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana PIBG Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, apabila perkara itu dipersetujui, Guru Besar dan Pengetua akan diminta menyediakan laporan tahunan dalam bentuk format mengenai keadaan sekolah masing-masing.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 10,000 buah sekolah di seluruh negara dengan 318 daripadanya di Wilayah Persekutuan saja.

“Berdasarkan angka itu, dianggarkan terdapat 20,000 bangunan adalah aset kementerian perlu dijaga dan untuk menjaganya perlu ditingkatkan budaya ‘penyelenggaraan’ kerana jika tidak segala aset ini akan merosot,” katanya.

Pelajar histeria terima rawatan – Sinar Harian


Pelajar histeria terima rawatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 April 2012

 

KUALA LANGAT – Pengurusan sebuah sekolah terpaksa menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Kiai’ untuk merawat dua pelajar perempuan tingkatan 5 yang dipercayai terkena histeria semalam.
Kejadian itu merupakan rentetan daripada kira-kira 20 pelajar sekolah berkenaan yang terkena gangguan yang sama sejak minggu lalu.
Yang Dipertua Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) Zulkifli Md Taib berkata, semasa kejadian semalam, pihak sekolah terpaksa mengambil langkah dengan mengumpulkan semua pelajar tingkatan 4 dan 5 di kantin untuk ikhtiar memulihkan keadaan.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan dakwaan sebuah akhbar yang menyatakan jumlah pelajar yang terkena gangguan sebanyak 61 orang.
“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Bagaimanapun, kami tidak menafikan ada pelajar yang turut menjerit apabila melihat rakan mereka yang benar-benar di serang histeria,” katanya.
Zulkifli berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan keadaan berkenaan agar ianya tidak terus melarat dan mengganggu sesi persekolahan.
Beliau enggan mengulas mengenai dakwaan sepohon pokok buluh yang ditebang dipercayai punca pelajar sekolah itu diserang histeria.
“Saya tidak nafikan makhluk halus ada di mana-mana. Apa yang penting kita mesti siasat perkara ini dan menyelesaikannya segera,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat pelajar sekolah berkenaan tidak hadir ke sekolah kerana bimbang terkena histeria.
Bagi pelajar yang ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, dia dan beberapa rakan nekad tidak ke sekolah kerana takut dan berharap perkara itu dapat diselesaikan segera.
“Masalah histeria ini mengganggu persekolahan dan menakutkan kami,” katanya.
Seorang ibu kepada pelajar, Rahmah Hassan berkata, masalah histeria di sekolah tersebut masih baru dan belum pernah berlaku.
Jelasnya, bukan sahaja pelajar takut, penduduk taman perumahan berhampiran juga risau kerana kebanyakan anak mereka sering menggunakan laluan sekolah berkenaan.

PIBG dakwa dana tabung diseleweng – Sinar Harian


PIBG dakwa dana tabung diseleweng

NORSHIKIN MOHD SALLEH
21 April 2012

 

JOHOR BAHRU – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah rendah di sini mendakwa terdapat penyelewengan dana tabung itu yang didalangi pihak tertentu pentadbiran sekolah.
Yang Dipertuanya, Ramli Leham berkata, antara perkara meragukan ialah status bayaran yuran wang PIBG dianggarkan kira-kira RM10,000 yang gagal dinyatakan dalam pembentangan kewangan 24 Mac lalu, sehingga menyebabkan mesyuarat tersebut ditangguhkan selepas bersidang.
“Kita telah kesan perkara ini pada mesyuarat jawatankuasa kedua 23 Julai tahun lalu mengenai kutipan wang itu, dan pihak sekolah berjanji akan menyelesaikan isu terbabit. Namun sehingga mesyuarat terakhir, perkara itu gagal diselesaikan.
“Kami juga hairan, sehari sebelum mesyuarat agung, nama juru audit kedua yang dilantik PIBG ditiadakan tandatangan atas alasan tercicir, tetapi wujud kesan ia telah dipadamkan sebelum dicetak.
“Tabung ini diwujudkan di bawah nama PIBG, namun saya selaku YDP tidak pernah menurunkan tandatangan bagi sebarang transaksi dan tidak dimaklumkan mengenai tugas dan tanggungjawab selaku YDP oleh penasihat,” katanya pada pemberita di sini, semalam.
Ramli mendakwa, tandatangan beliau juga dipalsukan dalam surat tawaran projek naik taraf pusat sumber sekolah November 2011, dengan nilai RM8,000 yang menggunakan dana Program Kad Keluarga 2011.
Jelasnya, perkara tersebut memburukkan imej persatuan itu sekali gus persepsi ibu bapa kepada 1,200 pelajar sekolah terbabit, dan beliau menuntut ketelusan jika benar terdapat berlakunya salah laku.
“Rentetan daripada terbongkarnya beberapa perkara ini, murid di sekolah itu khususnya membabitkan anak ahli jawatankuasa diugut dengan pelbagai perkara tidak diingini yang disifatkan tidak profesional,” katanya.
Bagi, Hairulnizam Mustaaman, 35, mendakwa, anak perempuannya yang menuntut di darjah tiga sekolah itu telah dicampak buku dan menerima ugutan dari seorang guru atas alasan yang tidak munasabah.
“Insiden ini berlaku 6 April lalu, guru tersebut bertindak kasar dan mencabar anak saya melaporkan kejadian itu ke pihak lain.
“Berikutan itu, anak saya ketakutan dan trauma menyebabkan gagal untuk hadir ke kelas keesokannya,” katanya di mana isterinya merupakan juru audit kedua yang digugurkan tandatangan dalam penyata kewangan PIBG.
Manakala bagi, Rohaizan Mohd Nor, 40, mendakwa, anak lelakinya berusia sembilan tahun telah ditampar tiga kali atas alasan gagal menjawab soalan matematik dalam kejadian 20 Mac lalu.
“Saya telah cuba mendapatkan penjelasan pihak sekolah, dan pihak pentadbiran berjanji akan memberi kaunseling kepada guru terbabit, saya terkilan mengenai sikap guru itu yang menyasarkan murid menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Md Nor A Ghani mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu, dan telah menghantar dua pegawainya untuk menyiasat sehingga menyebabkan mesyuarat PIBG tertangguh.
“Perkara ini dalam siasatan, dan saya mahukan kertas siasatan siap pada kadar segera, kerana saya melihat terdapat kecelaruan tugas dalam perkara ini,” katanya.

Najib galak pelajar kuasai pelbagai bahasa – Bernama


Najib galak pelajar kuasai pelbagai bahasa

2012/04/21

SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
menggalakkan golongan pelajar menguasai pelbagai bahasa untuk bersaing di

peringkat global. Kata Najib, dengan menguasai pelbagai bahasa, seseorang itu akan dapat menjadi warganegara yang berjaya di seantero dunia.

Berucap pada majlis pecah tanah bangunan serbaguna Sekolah Menengah (SM) Yu
Yuan di sini hari ini, beliau berkata Bahasa Mandarin, contohnya, adalah antara
bahasa terkemuka di dunia, selain Bahasa Inggeris.
“Jadi kalau kita dapat menguasai Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin, kita
akan mempunyai kelebihan dalam dunia yang semakin hebat persaingannya.
“Oleh itu, saya amat menggalakkan semua pelajar kita untuk menambah lagi
penguasaan pelbagai bahasa terutama sekali ketika di bangku sekolah kerana bila bekerja nanti, penguasaan pelbagai bahasa akan memberi mereka kelebihan apabila
mencari pekerjaan atau bila mereka ingin menceburi bidang perniagaan,” katanya. – Bernama

Wan Arif teruja ke sekolah – Sinar Harian


Wan Arif teruja ke sekolah

NORMAWATI ADNAN
21 April 2012
Wan Arif teruja ke sekolah

BATU GAJAH – Setelah hampir empat bulan ‘terpinggir’ daripada suasana sekolah, semalam, menjadi hari istimewa bagi Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 8, penghidap kanser tulang apabila dapat mengikuti sesi pembelajarannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Indera Wangsa Ahmad.

Ketika ditemui, Wan Arif, murid Tahun Dua Kreatif ini kelihatan ceria apabila dikelilingi 34 rakan sekelas yang lain.

Dia yang begitu teruja apabila ingin dibawa ke sekolah, sudah bersiap seawal jam 10 pagi meskipun sesi pembelajaran petang hanya bermula pada 12 tengah hari.

“Saya memang tak sabar untuk ke sekolah, rasa seronok sangat dapat jumpa kawan-kawan,” katanya.

Guru Besar, Dahlia Hassan berkata, kehadiran Wan Arif yang dikenali sebagai kanak-kanak ceria di sekolah itu adalah sesuatu yang ditunggu murid dan guru sekolah berkenaan.

“Walaupun dia bercuti, tetapi saya dimaklumkan dia tidak pernah lupa untuk mengulang kaji pelajaran di rumah dan selalu belajar sambil dibantu ibu bapanya, ini sesuatu yang perlu dicontohi semua murid.

“Di sebalik keperitannya menanggung kesakitan, dia masih menunjukkan minat untuk belajar dan mahu datang ke sekolah, sebagai guru, saya kagum melihat semangat yang ditunjukkan itu,” katanya.

Difahamkan, Wan Arif hanya sempat hadir ke sekolah berkenaan Januari lalu untuk sesi pendaftaran tahun dua.

Sesi pembelajaran kelas Dua Kreatif, semalam juga agak istimewa kerana ia dibuat di pekarangan Dewan al-Ghazali berbanding kelas asal di tingkat tiga bangunan sekolah.

Dahlia berkata, langkah itu dibuat bagi memberi ruang lebih besar kepada warga sekolah berkenaan bertemu dengan Wan Arif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam proses melancarkan tabung bagi membantu membiayai kos rawatan Wan Arif.

Wan Arif dijadualkan akan mengikuti rawatan kemoterapi kali keempat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Isnin ini.

Gadis dilaporkan hilang selamat – Sinar Harian


Gadis dilaporkan hilang selamat

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 April 2012
Gadis dilaporkan hilang selamat

KUANTAN – Tanda tanya berhubung kehilangan seorang pelajar perempuan yang didakwa menghilangkan diri bersama seorang bomoh di sini sejak 7 April lalu terjawab selepas remaja itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, kelmarin.

Balvin Kaur, 17 tampil membuat laporan polis kira-kira jam 3 petang Khamis lalu selepas mendapati kisah kehilangannya tersiar di akhbar dan media elektronik.
Bagaimanapun, gadis itu tampil bersendirian tanpa kelibat lelaki dikenali sebagai Ravi, 53 yang dikatakan bertanggungjawab dalam kes kehilangan gadis itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota polis Balai Dang Wangi memaklumkan gadis yang dilaporkan hilang itu berada dalam keadaan selamat di balai tersebut.
Menurutnya, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dihantar untuk mengambil gadis terbabit sebelum dibawa pulang ke Kuantan untuk diserahkan kembali ke pangkuan keluarga.
“Gadis itu tiba di Balai Polis Kuantan kira-kira jam 11.30 pagi tadi (semalam) dan ditahan sementara untuk diambil keterangan sebelum dibenarkan pulang.
“Kita akan mengambil keterangan gadis ini untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dia bertindak demikian ,”katanya dalam sidang medianya di sini, semalam.
Mohd Jasmani berkata, keluarga gadis terbabit juga sudah dimaklumkan berhubung penemuan itu dan mereka segera hadir ke IPD Kuantan tidak lama selepas anak mereka tiba.
“Polis masih menjalankan siasatan dan mengesan individu yang dikenali sebagai Ravi itu bagi membantu siasatan.
“Kita minta lelaki ini tampil ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan dari penjagaan yang sah.

Kerani sekolah maut diserang sakit jantung – Sinar Harian


Kerani sekolah maut diserang sakit jantung

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 April 2012
Kerani sekolah maut diserang sakit jantung

BATU BERENDAM – Seorang kerani maut selepas motosikal ditungganginya terbabas berhampiran pusingan bulatan di hada­pan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), di sini, semalam.

Rushdan Mohammad, 42, yang menunggang motosikal berseorangan dipercayai diserang sakit jantung semasa kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang itu.
Mangsa bertugas sebagai kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Udang sejak tiga tahun lalu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehudin Abd Rahman mengesahkan kejadian dan katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lebih 3 juta murid dapat susu – Metro


Lebih 3 juta murid dapat susu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dalam usaha melahirkan generasi baru lebih cerdas, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Program Susu Sekolah 1Malaysia yang dinikmati lebih tiga juta murid di 7,685 sekolah rendah kerajaan di seluruh negara.

Program di bawah kendalian Kementerian Pelajaran itu bermatlamat mewujudkan generasi muda yang sihat, kuat dan mempunyai mental lebih dinamik termasuk untuk membiasakan golongan pelajar mengambil minuman berkhasiat.
Walaupun pelbagai dakwaan dibuat berkenaan program susu itu kononnya menyebabkan keracunan kepada murid sekolah, ibu bapa masih menyokong inisiatif kerajaan melahirkan generasi terbaik pada masa akan datang.

 

Suri rumah, Zabaidah Sulong, 52, berkata, apa pun dakwaan segelintir pihak terhadap program itu, dia tetap menyokong langkah kerajaan dan berharap ia diteruskan.
Katanya, bagi mengelak dakwaan buruk terus dilemparkan, dia berharap kerajaan sentiasa memastikan kualiti susu diberikan itu yang terbaik.