Gadis dilaporkan hilang selamat
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 April 2012
21 April 2012

KUANTAN – Tanda tanya berhubung kehilangan seorang pelajar perempuan yang didakwa menghilangkan diri bersama seorang bomoh di sini sejak 7 April lalu terjawab selepas remaja itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, kelmarin.
Balvin Kaur, 17 tampil membuat laporan polis kira-kira jam 3 petang Khamis lalu selepas mendapati kisah kehilangannya tersiar di akhbar dan media elektronik.
Bagaimanapun, gadis itu tampil bersendirian tanpa kelibat lelaki dikenali sebagai Ravi, 53 yang dikatakan bertanggungjawab dalam kes kehilangan gadis itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota polis Balai Dang Wangi memaklumkan gadis yang dilaporkan hilang itu berada dalam keadaan selamat di balai tersebut.
Menurutnya, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dihantar untuk mengambil gadis terbabit sebelum dibawa pulang ke Kuantan untuk diserahkan kembali ke pangkuan keluarga.
“Gadis itu tiba di Balai Polis Kuantan kira-kira jam 11.30 pagi tadi (semalam) dan ditahan sementara untuk diambil keterangan sebelum dibenarkan pulang.
“Kita akan mengambil keterangan gadis ini untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dia bertindak demikian ,”katanya dalam sidang medianya di sini, semalam.
Mohd Jasmani berkata, keluarga gadis terbabit juga sudah dimaklumkan berhubung penemuan itu dan mereka segera hadir ke IPD Kuantan tidak lama selepas anak mereka tiba.
“Polis masih menjalankan siasatan dan mengesan individu yang dikenali sebagai Ravi itu bagi membantu siasatan.
“Kita minta lelaki ini tampil ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan dari penjagaan yang sah.