Warga SJKT Jugra dapat bangunan baru – Sinar Harian


Warga SJKT Jugra dapat bangunan baru

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012

JUGRA – Berita gembira buat warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jugra!

Mereka kini boleh tersenyum kerana bakal menerima bangunan baru setelah Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bernilai RM2.8 juta untuk pembinaannya.

Peruntukan untuk membina bangunan tiga tingkat yang mempunyai 12 buah kelas berkenaan adalah pendekatan Kerajaan Pusat dalam memastikan masyarakat India menerima pendidikan yang selesa seiring peningkatan taraf pendidikan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, bagi tahun ini sahaja sebanyak RM100 juta peruntukan khas telah disalurkan untuk kerja menaik taraf kira-kira 200 sekolah Tamil di seluruh negara.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf akan dimulakan dalam masa dua bulan ini bakal memberi manfaat kepada warga sekolah berkenaan.

“Ini merupakan usaha kerajaan dalam meningkatkan tahap pendidikan di sekolah Tamil seluruh negara agar setaraf dengan sekolah jenis lain di negara ini,” katanya dalam sidang media majlis perasmian bangunan berkenaan di sekolah tersebut.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkaitan dakwaan terdapat ramai masyarakat India yang tidak berpeluang mengikuti kempen MyDaftar, beliau menegas ianya tidak benar.

“Jika benar apa dakwaan itu, saya harap mereka tampil tunjukkan bukti dan jangan hanya tahu berkata-kata.

“Kita sudah membuka pendaftaran di 85 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh Malaysia dengan penglibatan seramai 1,500 sukarelawan bagi mengesan mereka yang mempunyai masalah dokumentasi,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan membantu masyarakat India yang mengalami masalah berkenaan dan mereka diminta tampil untuk memudahkan urusan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasiman Sidom dan Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli.

Pada majlis sama turut diselitkan perasmian majalah sekolah berkenaan yang disempurnakan Subramaniam.

Buruh kontrak dipenjara 12 tahun sebabkan kematian remaja – Bernama


Buruh kontrak dipenjara 12 tahun sebabkan kematian remaja

23 April 2012

KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang buruh kontrak setelah mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, tahun lepas.

Hakim Datuk Mariana Yahya, yang menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Zubaikhan Abdul Halim, 22, dari Kuantan, berkata hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 31 Mei 2011.

Mohd Zubaikhan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian Zulkifli Ali, 16, pada pukul 1.30 pagi di Medan Pelancong Benteng, Jalan Besar Kuantan di sini pada 21 Mei tahun lepas.

Mengikut fakta kes, kejadian bermula apabila mangsa dan seorang rakan lelaki yang berada di lokasi kejadian untuk melihat orang ramai memancing ikan didatangi lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang bertindak memukul mangsa.

Rakan mangsa mendakwa tertuduh menghentak kepala mangsa ke pintu besi sebuah kedai makan sebelum tertuduh menyepak belakang badan dan kepala selepas mangsa jatuh ke lantai yang mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri.

Selepas kumpulan itu beredar, rakan mangsa menghantar mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di mana mangsa tidak sedarkan diri sejak kali pertama dimasukkan ke situ sehinggalah disahkan meninggal dunia pada 30 Mei 2011 pukul 3.15 petang.

Pemeriksaan pakar patologi mendapati terdapat kesan lebam di bahagian dalam kulit kepala dan kesan retakan di tiga lokasi bahagian tengkorak kepala serta kesan lebam pada paru-paru sebelah kanan mangsa.

Ketika membacakan hukuman ke atas tertuduh, Mariana berkata tertuduh bernasib baik kerana tuduhan ke atasnya telah diringankan iaitu daripada membunuh orang kepada mematikan orang dengan salah, namun kesalahan melibatkan nyawa manusia adalah suatu yang serius.

“Saya percaya sebagai manusia setiap perbuatan ada hadnya, nyawa manusia sangat bernilai dan kehilangan nyawa mangsa kepada ahli keluarganya tidak dapat diganti dengan apa-apa,” katanya.

Sementara itu, dua rakan tertuduh iaitu Mohd Salahudin Shamsul Aizam, 20, dan Mohd Masyadi Mohd Zainal, 21, yang dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditahan pada 31 Mei 2011 bagaimanapun dibebaskan mahkamah selepas mereka telah ditahan selama 10 bulan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zulkifli bersama Mohd Zubaikhan di lokasi dan masa yang sama.

Dua lagi rakan mereka yang merupakan remaja lelaki yang kini berusia 17 dan 18 tahun dilepaskan dengan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 selepas mengaku salah melakukan kesalahan sama seperti Mohd Salahudin dan Mohd Masyadi.

Mariana turut memerintahkan ibu bapa atau penjaga kedua-dua remaja itu supaya membawa mereka melaporkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing setiap bulan selama setahun bermula bulan depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad manakala peguam Bob Arumugam mewakili Mohd Salahudin, Mohd Masyadi dan remaja berusia 17 tahun, Arifin Che Ali mewakili Mohd Zubaikhan manakala seorang remaja berusia 18 tahun diwakili peguam Azizan Abdullah. – Bernama

Usah berpuas hati dengan penemuan baru dalam sistem pendidikan – Bernama


Usah berpuas hati dengan penemuan baru dalam sistem pendidikan

2012/04/23

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian dalam sistem pendidikan negara, walaupun kajian terbaru menunjukkan semakin ramai percaya bahawa sistem pendidikan sekarang adalah setanding dengan yang terdapat di negara lain.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebaliknya, semua pihak, terutama Kementerian Pelajaran, perlu menerima hakikat bahawa cabaran yang mendepani negara ketika ini menuntut agar keutamaan dalam sistem pendidikan dinilai dan disusun semula supaya sejajar dengan matlamat nasional.

“Penemuan yang berasaskan satu kaji selidik pendapat itu tidak sepatutnya menjadikan kita diulit perasaan berpuas hati.

“Dalam usaha kita untuk beralih daripada ekonomi pendapatan pertengahan yang dipacu inovasi, kita perlu menyelami jauh ke dalam jalinan sistem pendidikan kita dan bertanya sama ada penambahbaikan segera perlu dilakukan bagi menghadapi cabaran yang mendesak,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia Ke-16 di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian bagi merujuk kepada kaji selidik oleh Introspek Asia baru-baru ini yang menunjukkan bahawa 55 peratus daripada orang dewasa Malaysia percaya sistem pendidikan nasional adalah setanding dengan yang tedapat di negara lain, manakala 35 peratus berkata, ia “lebih baik daripada yang terdapat di negara maju.” – BERNAMA

45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma – Bernama


45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma

2012/04/23

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membiayai yuran bulanan 45,000 pelajar Sekolah Rendah Agama(SRA) serta Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi tahun ini, dengan peruntukan RM5.3 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata inisiatif itu seiring dengan tindakan kerajaan yang menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku dan bantuan persekolahan.

“Di MAIWP kita melihat usaha yang dilakukan pihak kerajaan ini wajar diguna pakai dan kami merasa dengan memansuhkan yuran bulanan persekolah SRA dan KAFA sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa.

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan agama di SRA dan KAFA. Bagi ibu bapa yang membayar yuran bulan, mereka akan mendapat pulangan bayaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Jawi 2012, di sini hari ini.

Yuran bulanan pembelajaran di SRA dan KAFA, JAWI berjumlah RM10 sebulan.

Jamil Khir berkata, bagi memastikan kualiti agensi agama di negara ini menjelang tahun 2020 di peringkat terbaik, sebanyak enam sekolah agama akan dibina di sekitar Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“InsyaAllah enam buah sekolah agama baru akan didirikan di sekitar Segambut berdekatan Projek Perumahan Rakyat Kampung Batu Muda, Setapak dan sekitar Putrajaya dan buat masa sekarang ia dalam proses untuk ditenderkan.
“Seperti di Segambut, jika kita lihat kawasan perumahan dah banyak tetapi institusi pendidikan rendah agama tiada dan kebanyakan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah agama yang lebih jauh dan sampaikan ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak-anak dari terus bersekolah disebabkan faktor jarak sekolah yang terlalu jauh,” katanya.

Kesemua enam sekolah itu dijangka siap menjelang 2014 dengan anggaran kos pembinaan RM39 juta dan dapat menampung hampir 5,000 pelajar.

Mengenai penubuhan panel khas bagi memantau calon pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang bebas dari unsur ilmu hitam dan syirik, beliau berkata, ia merupakan satu cadangan yang bagus tetapi sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi.

“Ia tidak membabitkan parti Barisan Nasional (BN) sahaja dan pihak pembangkang juga wajar mengambil pendekatan yang serupa…jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada maklumat berhubung calon yang terbabit dengan kes ini kami akan melaporkannya.

“Ini adalah satu pandangan yang baik dalam memastikan perjalanan PRU-13 akan datang lebih adil dan berjalan lancar,” katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO, Fathul Bari Mat Jahaya, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya, parti politik, JAKIM dan majlis agama Islam negeri (MAIN) untuk menubuhkan satu panel khas bagi memastikan tiada calon yang bertanding dalam PRU-13 akan datang terbabit dengan ilmu hitam dan unsur syirik. – BERNAMA

Program taklimat kenaikan gaji bakal diperluas ke seluruh negara – Bernama


Program taklimat kenaikan gaji bakal diperluas ke seluruh negara

2012/04/23

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memperluaskan program taklimat kenaikan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) ke seluruh negara, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menjelaskan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 kepada penjawat awam di setiap negeri berhubung penyelarasan gaji di bawah SSM yang diumumkan pada Mac lalu.

“Kita juga ingin mendapatkan maklum balas agar isu-isu yang dikemukakan dapat diberi perhatian oleh JPA dan Suruhanjaya Khas apabila ditubuhkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas program taklimat itu di sini, hari ini.

Melaka merupakan negeri pertama dikunjungi JPA bagi program taklimat berkenaan.

Dalam pada itu, Abu Bakar, berkata pihaknya mengeluarkan surat pekeliling perkhidmatan mengenai perubahan gaji penjawat awam pada 16 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Mac lalu mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik dengan pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus. – BERNAMA

Kes keracunan makanan di sekolah masih tinggi: Liow – Bernama


Kes keracunan makanan di sekolah masih tinggi: Liow

2012/04/23

SHAH ALAM: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan usaha menangani isu keracunan makanan di kantin sekolah dan menganggap 146 kes tahun lalu masih tinggi.

Katanya, walaupun bilangan kes itu hanya mewakili 1.4 peratus daripada jumlah sekolah di negara ini, kes keracunan makanan di kantin sekolah sepatutnya tidak berlaku langsung.

“Kes keracunan boleh dikurangkan lagi jika pengendali makanan di kantin dan guru sama-sama memikul tanggungjawab memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih 2011, di sini hari ini.

Beliau turut meminta pelajar mengamalkan tiga langkah penting iaitu lihat, hidu dan rasa ketika memilih makanan bagi mengelakkan keracunan.

“Menerusi ketiga-tiga langkah berkenaan, kes keracunan makanan yang berlaku di sekolah rendah dapat dikurangkan,” katanya.

Tahun lalu, sebanyak 434 kes keracunan makanan dilaporkan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 146 kes dilaporkan berlaku di 135 buah sekolah.

Sehubungan itu, Liow meminta Kementerian Pelajaran menyenaraihitamkan pengusaha kantin sekolah yang didapati menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan pada kalangan pelajar.
“Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan amaran, arahan penutupan premis kepada mana-mana kantin yang kotor dan berisiko tinggi menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan di kalangan pelajar,” katanya.

Katanya, pengusaha kantin sekolah yang disenaraihitam tidak dibenarkan menjalani perniagaan di sekolah lain, serta perlu mengikuti kurus pengendalian makanan jika mahu menyambung semula operasi perniagaan mereka.

Pada majlis itu, Liow turut melancarkan portal e-Komuniti iaitu Kelab Laman Interaktif Keselamatan Makanan ataupun MOH KLIK yang merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan untuk membantu pelajar sekolah mendapat maklumat mengenai keselamatan makanan.

Menerusi “fan page” pada MOH KLIK, warga sekolah boleh berinteraksi dengan kementerian kesihatan itu. – BERNAMA

Permohonan Kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) bagi lulusan UNIFIED EXAMINATION CERTIFICATE (UEC) dan lulusan SIJIL MENENGAH AGAMA(SMA) ATAU SIJIL MENENGAH UGAMA(SMU) Ambilan Jun 2012


Permohonan Kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) bagi lulusan UNIFIED EXAMINATION CERTIFICATE (UEC) dan lulusan SIJIL MENENGAH AGAMA(SMA) ATAU SIJIL MENENGAH UGAMA(SMU) Ambilan Jun 2012

 

Maklumat lanjut lawat: http://apps.moe.gov.my/kplspm/kplspmjun2012/

Statistik kanak-kanak hilang membimbangkan – Sinar Harian


Statistik kanak-kanak hilang membimbangkan

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012

PASIR GUDANG – Statistik sehingga 17 April tahun ini menunjukkan seramai 126 kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah dilaporkan hilang di negeri ini dengan 50 daripadanya telah dijumpai.

Isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris bertitah, sepanjang tahun lalu sahaja didapati 579 kanak-kanak yang hilang dan masih belum ditemui di negeri ini.

“Mengikut pecahan umur pula, terdapat ramai gadis yang berumur 13 hingga 17 tahun yang hilang pada tahun 2011 dan tahun ini.

“Kalau kita mendalami angka yang diberikan mengikut daerah di negeri ini, angka yang tertinggi kanak-kanak hilang ialah di Johor Bahru Selatan iaitu 115 orang pada tahun lalu dan 26 orang sehingga April tahun ini,” titah baginda sewaktu menyampaikan ucapan pada Forum Keselamatan Keluarga di Stadium Pasir Gudang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Ma­syarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, On Jabbar@Jaafar.

Forum berkenaan yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk segenap lapisan masyarakat bertujuan mempertingkatkan kesedaran keselamatan keluarga adalah titah Raja Zarith Sofia sendiri lanjutan daripada peristiwa pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 6 atau Dirang yang menyayat hati bulan lalu di Bandar Seri Alam.

Titah baginda lagi, ibu bapa perlu mengawasi pergaulan anak mereka supaya tidak termakan janji manis atau ‘durian runtuh’ yang datang tiba-tiba kerana kadang-kala tersembunyi niat yang tidak baik.

“Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa ada peruntukan yang wujud dalam Akta Kanak-kanak 2001 dan bahawa mereka boleh bertanggungjawab jika sesuatu berlaku kepada anak-anak mereka. Dunia sekarang tidak seperti dahulu, dan adalah sesuatu yang kita mesti sedar.

“Janganlah kita menghabiskan masa dengan sia-sia semasa menghadiri forum ini. Saya berharap agensi kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir akan membincangkan bagaimana melindungi anak-anak kita.

“Contohnya, kita boleh beri cadangan kepada sekolah-sekolah untuk mengajar murid-murid apa yang mereka harus lakukan untuk keselamatan diri mereka,” titah baginda.

Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, yang turut hadir pada forum berkenaan berkata, banyak maklumat yang berguna diperoleh.

“Alhamdulillah, kehidupan kami sekeluarga baik sahaja setelah berpindah ke rumah baru. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap apa. Terima kasih kepada yang memberi sokongan untuk keluarga kami,” katanya.

Kanak-kanak hidap jantung berlubang mahu jumpa PM – Sinar Harian


Kanak-kanak hidap jantung berlubang mahu jumpa PM

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012
Kanak-kanak hidap jantung berlubang mahu jumpa PM

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang berhasrat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum menjalankan pembedahan hujung tahun ini.

Wan Haifa Afriena Wan Halim, 7, dikatakan menjadikan Perdana Menteri sebagai idolanya setelah melihat perwatakan pemimpin negara itu di televisyen dan akhbar.
Ibunya, Akinaini Afizul Abdul Rahman, 32, berkata, setelah pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian mengesahkan Wan Haifa perlu menjalani pembedahan, anaknya itu sering kali menyatakan hasrat mahu bertemu Perdana Menteri.
“Minggu lalu, dia sangat teruja melihat gambar Najib di dalam buku sekolahnya dan memotong keratan akhbar yang ada wajah Perdana Menteri serta menampalnya di dalam satu buku khas,” katanya ketika hadir ke pejabat Sinar Harian, di sini, semalam.
Kata Akinaini, anak ketiga daripada tujuh beradik itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak berusia empat tahun setelah mengalami demam panas berpanjangan.
Menurutnya, setelah diperiksa di klinik kesihatan berdekatan, Wan Haifa merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Bukit Marak, Bachok kemudian dirujuk ke Hospital HUSM sebelum disahkan menghidap jantung berlubang.