45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma – Bernama


45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma

2012/04/23

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membiayai yuran bulanan 45,000 pelajar Sekolah Rendah Agama(SRA) serta Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi tahun ini, dengan peruntukan RM5.3 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata inisiatif itu seiring dengan tindakan kerajaan yang menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku dan bantuan persekolahan.

“Di MAIWP kita melihat usaha yang dilakukan pihak kerajaan ini wajar diguna pakai dan kami merasa dengan memansuhkan yuran bulanan persekolah SRA dan KAFA sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa.

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan agama di SRA dan KAFA. Bagi ibu bapa yang membayar yuran bulan, mereka akan mendapat pulangan bayaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Jawi 2012, di sini hari ini.

Yuran bulanan pembelajaran di SRA dan KAFA, JAWI berjumlah RM10 sebulan.

Jamil Khir berkata, bagi memastikan kualiti agensi agama di negara ini menjelang tahun 2020 di peringkat terbaik, sebanyak enam sekolah agama akan dibina di sekitar Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“InsyaAllah enam buah sekolah agama baru akan didirikan di sekitar Segambut berdekatan Projek Perumahan Rakyat Kampung Batu Muda, Setapak dan sekitar Putrajaya dan buat masa sekarang ia dalam proses untuk ditenderkan.
“Seperti di Segambut, jika kita lihat kawasan perumahan dah banyak tetapi institusi pendidikan rendah agama tiada dan kebanyakan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah agama yang lebih jauh dan sampaikan ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak-anak dari terus bersekolah disebabkan faktor jarak sekolah yang terlalu jauh,” katanya.

Kesemua enam sekolah itu dijangka siap menjelang 2014 dengan anggaran kos pembinaan RM39 juta dan dapat menampung hampir 5,000 pelajar.

Mengenai penubuhan panel khas bagi memantau calon pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang bebas dari unsur ilmu hitam dan syirik, beliau berkata, ia merupakan satu cadangan yang bagus tetapi sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi.

“Ia tidak membabitkan parti Barisan Nasional (BN) sahaja dan pihak pembangkang juga wajar mengambil pendekatan yang serupa…jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada maklumat berhubung calon yang terbabit dengan kes ini kami akan melaporkannya.

“Ini adalah satu pandangan yang baik dalam memastikan perjalanan PRU-13 akan datang lebih adil dan berjalan lancar,” katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO, Fathul Bari Mat Jahaya, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya, parti politik, JAKIM dan majlis agama Islam negeri (MAIN) untuk menubuhkan satu panel khas bagi memastikan tiada calon yang bertanding dalam PRU-13 akan datang terbabit dengan ilmu hitam dan unsur syirik. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s