Warga SJKT Jugra dapat bangunan baru
23 April 2012
JUGRA – Berita gembira buat warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jugra!
Mereka kini boleh tersenyum kerana bakal menerima bangunan baru setelah Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bernilai RM2.8 juta untuk pembinaannya.
Peruntukan untuk membina bangunan tiga tingkat yang mempunyai 12 buah kelas berkenaan adalah pendekatan Kerajaan Pusat dalam memastikan masyarakat India menerima pendidikan yang selesa seiring peningkatan taraf pendidikan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, bagi tahun ini sahaja sebanyak RM100 juta peruntukan khas telah disalurkan untuk kerja menaik taraf kira-kira 200 sekolah Tamil di seluruh negara.
Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf akan dimulakan dalam masa dua bulan ini bakal memberi manfaat kepada warga sekolah berkenaan.
“Ini merupakan usaha kerajaan dalam meningkatkan tahap pendidikan di sekolah Tamil seluruh negara agar setaraf dengan sekolah jenis lain di negara ini,” katanya dalam sidang media majlis perasmian bangunan berkenaan di sekolah tersebut.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berkaitan dakwaan terdapat ramai masyarakat India yang tidak berpeluang mengikuti kempen MyDaftar, beliau menegas ianya tidak benar.
“Jika benar apa dakwaan itu, saya harap mereka tampil tunjukkan bukti dan jangan hanya tahu berkata-kata.
“Kita sudah membuka pendaftaran di 85 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh Malaysia dengan penglibatan seramai 1,500 sukarelawan bagi mengesan mereka yang mempunyai masalah dokumentasi,” katanya.
Tambahnya, kerajaan akan membantu masyarakat India yang mengalami masalah berkenaan dan mereka diminta tampil untuk memudahkan urusan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasiman Sidom dan Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli.
Pada majlis sama turut diselitkan perasmian majalah sekolah berkenaan yang disempurnakan Subramaniam.