KURIKULUM AKTIVITI KESENIAN SEKOLAH


KURIKULUM AKTIVITI KESENIAN SEKOLAH

Assalamualaikum dan salam Sejahtera

Dimaklumkan kepada semua warga KPM, maklumat berkenaan Kurikulum Aktiviti Kesenian Sekolah kini boleh di akses melalui

Portal KPM (www.moe.gov.my) > Murid/Pelajar > Kurikulum Aktiviti Kesenian Sekolah

Sekian terima kasih

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PEGAWAI TEKNIKAL KOKURIKULUM KEBANGSAAN ZON MALAYSIA TIMUR


MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PEGAWAI TEKNIKAL KOKURIKULUM KEBANGSAAN ZON MALAYSIA TIMUR

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PEGAWAI TEKNIKAL KOKURIKULUM KEBANGSAAN ZON MALAYSIA TIMUR  akan diadakan pada :

Tarikh :  28 April 2012
Masa : 0830
Tempat : Mega Hotel Miri, Sarawak.

Seramai 87 orang guru dari negeri Sarawak, Sabah dan Labuan akan menerima watikah. YBhg. En Abdillah Adam, Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak akan hadir menyampaiakan watikah kepada guru-guru yang terlibat.

Dirogol dua kali dalam tempoh 11 jam – Sinar Harian


Dirogol dua kali dalam tempoh 11 jam

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria

BESUT – Akibat terpengaruh dengan pujuk rayu teman lelaki menyebabkan seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di daerah ini menjadi mangsa rogol sebanyak dua kali dalam tempoh kira-kira 11 jam dalam sebuah kereta.

Sebelum kejadian pada jam 8.30 malam, Selasa lalu, ketika pelajar berumur 16 tahun itu berada di rumah dia diajak keluar oleh seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan Mat Sebu.

Difahamkan, mangsa bersiar-siar di sekitar daerah ini dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam namun dia tidak mengingati nombor pendaftaran kereta tersebut.

Setiba di suatu kawasan di Kuala Besut, suspek memberhentikan kereta dan mereka berbual di dalam kereta tersebut.

Peluang itu dikatakan diambil oleh suspek untuk merogol mangsa di dalam motokar dan selepas merogol mangsa, suspek membawa mangsa ke rumah kawannya di Rantau Panjang, Kelantan.

Keesokannya, pada jam 7 pagi (Rabu), suspek telah membawa pelajar berkenaan ke sebuah rumah yang didakwa suspek rumah kakaknya di Kuala Besut.

Namun, dia sekali lagi dirogol oleh suspek di dalam kereta yang sama di kawasan itu sebelum suspek bertindak menghantar pulang ke rumah kakaknya di sebuah taman di Kuala Besut.

Keluarga mangsa yang mendapati mangsa tidak pulang pada hari tersebut mendesak dia menceritakan apa yang berlaku dan kemudian mendesaknya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, kejadian rogol akibat pergau-lan bebas di daerah ini meningkat di daerah ini dan perkara ini perlu diatasi dengan sikap kecaknaan semua pihak termasuk mangsa.

“Remaja pada hari ini dinasihatkan jangan terlalu percaya pujukan lelaki walau dalam apa bentuk sekali pun dan ibu bapa berperanan mencegah kejadian ini berlaku dengan kawa-lan ketat,” katanya.

Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja – Sinar Harian


Nasib berbeza 5 rakan bunuh remaja

ROSILAWATI ROSEDI
24 April 2012
Tertuduh ketiga yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun menutup wajahnya sebaik keluar dari mahkama

KUANTAN – Lima sekawan menghadapi nasib berbeza apabila menerima hukuman masing-masing selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada seorang remaja sehingga mati pada Mei tahun lalu sehingga mati di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Tertuduh pertama, Mohd Salahuddin Shamsul, 20 dan tertuduh kedua, Mohd Masyadi Mohd Zainal, 21 hanya mampu menarik nafas lega selepas Hakim Datuk Mariana Yahya menetapkan hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa dari kedua-duanya ditangkap iaitu pada 31 Mei 2011.

Sebelum ini, kedua-duanya berada dalam tahanan di Penjara Penor selama 10 bulan dan 23 hari.

Manakala tertuduh keempat dan kelima yang masing-masing berumur 17 dan 18 tahun dibebaskan dengan jaminan bon berkelakuan baik selama setahun dan dikenakan cagaran sebanyak RM1,000.

Namun kedua-duanya diminta melaporkan diri ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhampiran ditemani ibu bapa dan penjaga masing-masing pada minggu pertama setiap bulan selama setahun berkuat kuasa Mei depan.

Keempat-empat mereka menghadapi pertuduhan dan disabitkan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas si mati, Zulkifli Ali, 17 di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini pada 21 Mei tahun lalu kira-kira jam 1.30 pagi.

Kesemuanya disabitkan di bawah Seksyen 32 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh ketiga iaitu Mohd Zubaikhan Abdul Halim, 22 dari Sri Damai di sini pula menghadapi nasib berlainan berbanding rakan-rakannya dan terpaksa meringkuk di penjara selama 12 tahun selepas Mariana menetapkan keputusan tersebut selepas mendengar penggulungan hujah dan rayuan yang dikemukakan peguam belanya,Arifin Che Ali.

Sebelum itu, Arifin mengemukakan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan dan tinggal bersama ibunya yang juga seorang ibu tunggal yang hanya meniaga secara kecil-kecilan.

Menurutnya, tertuduh anak keempat daripada 12 adik-beradik dan ketika kejadian berlaku pada 21 Mei lalu, tertuduh berusia 21 tahun 2 bulan dan tidak menggunakan senjata terhadap mangsa.

Mariana menetapkan hukuman tersebut berkuat kuasa daripada tarikh Zubaikhan ditangkap iaitu pada 31 Mei tahun lalu.

Sebelum itu dalam kenyataannya, Mariana memberitahu, tertuduh dikira bernasib baik selepas pertuduhannya ditukar dari membunuh ke pertuduhan mematikan orang dengan salah.

Menurutnya, beliau mendengar rayuan itunamun hukuman tersebut dijalankan mengikut kepentingan awam kerana nyawa manusia tiada nilai.

“Perlakuan tertuduh telah menyebabkan kehilangan nyawa pada mangsa dan kehilangan untuk keluarga mangsa yang dijadikan harapan buat mereka.

“Kalau sudah hilang nyawa, saya tak tahu apa nak diganti dan saya memandang serius perkara ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Zubaikhan disabitkan menyebabkan kematian pada mangsa, Zulkifli Ali, 17 dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang menyebabkan kematian pada mangsa pada 21 Mei tahun lalu di Medan Pelancongan Benteng, Jalan Besar di sini kira-kira jam 1.30 pagi.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, kejadian bermula apabila si mati bersama rakannya berada di tempat kejadian untuk melihat orang memancing di lokasi tersebut.

Sebelum kejadian kawan si mati telah meminta mangsa menunggu kerana ingin membuang air dan sebaik keluar dari tandas, dia melihat si mati telah dipukul lebih kurang lima orang lelaki.

Rakannya ternampak tertuduh ketiga telah menghentak kepala si mati ke pintu besi kedai makan dan mangsa rebah ke lantai namun tertuduh terbabit masih lagi menyepak belakang badan dan kepala hingga si mati tidak sedarkan diri.

Selepas kumpulan lelaki itu beredar, mangsa dibawa ke hospital dan tidak sedarkan diri sehingga disahkan meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu.

Hasil pemeriksaan pakar patologi mendapati terdapat kesan retakan di tiga lokasi bahagian tengkorak kepala iaitu salah satunya di sebelah kiri depan tengkorak kepala berdekatan mata sebelah kiri dan pendarahan dalam kepala.

Selain itu terdapat juga kesan lebam pada paru-paru sebelah kanan dan paru-paru dan buah pinggang kedua-duanya tidak berfungsi dengan baik akibat komplikasi dari koma.

Tertuduh pertama, kedua dan keempat diwakili peguam bela, Bob Arumugam dan tertuduh kelima diwakili Azizan Abdullah. Manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

Dua PIBG digantung, rebut jawatan – Sinar Harian


Dua PIBG digantung, rebut jawatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012

HUTAN MELINTANG – Hanya kerana perebutan jawa­tan, dua barisan jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari dua sekolah di negeri ini digantung.

Kedua-dua PIBG masing-masing di daerah Kuala Kangsar itu dikatakan menjadi medan perebutan jawatan dari dua kumpulan yang mewakili parti politik berbeza.

Perebutan jawatan yang dianggap menjejaskan prestasi sekolah itu menyebabkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) selaku pendaftar PIBG me­ngambil tindakan menggantung semua jawatan penyandang, bagaimanapun mereka masih menjadi ahli PIBG.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, keadaan itu berlaku apabila dua kumpulan terbabit terlalu ghairah merebut jawatan sehingga berlaku konflik yang menjejaskan prestasi PIBG.

Menurutnya, JPN telah menerima aduan daripada ibu bapa yang bimbang perkara itu boleh menggugat prestasi pelajaran anak-anak mereka selain menjatuhkan imej PIBG.

“Kita mengambil tindakan­ membatalkan semua jawatan kerana mereka telah melanggar etika yang dibenarkan pendaftar.

“Namun kini kedua-dua PIBG itu telah dibenarkan bergerak semula melalui proses mesyuarat agung tahunannya yang dilakukan oleh ibu bapa untuk memilih individu yang mereka kehendaki,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah PIBG cemerlang peringkat negeri, di sini.

Katanya, JPN tidak menghalang pemilihan jawatan penyandang yang terbabit kerana mereka telah pun berjanji akan mematuhi etika dan peraturan yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu bersikap matang dan bijaksana untuk menentukan hala tuju pelajaran anak-anak mereka selain menjalankan program secara musyawarah,” katanya.

Terdahulu, empat PIBG telah dinobatkan sebagai johan peringkat negeri dalam empat kategori iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Bainun dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Malim dalam kategori sekolah dalam bandar, sementara SMK Seri Perak dan SK Selabak, Teluk Intan dikategorikan sekolah luar bandar.

Semua PIBG itu menerima wang tunai RM500 bagi setiap sekolah di samping sijil dan trofi.

Di Perak, terdapat 1,089 sekolah rendah dan menengah membabitkan 198,246 pelajar dengan 15,457 guru sementara sekolah rendah membabitkan 243,786 murid dengan 21,949 guru.

Kadet polis mampu disiplinkan pelajar – Sinar Harian


Kadet polis mampu disiplinkan pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012
kadet polis

PONTIAN – Penglibatan pelajar dalam unit beruniform seperti kadet polis di peringkat sekolah bukan sahaja dapat mendisiplinkan mereka, tetapi turut membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim berkata, pengisian aktiviti kadet polis yang menitikberatkan soal disiplin dalam setiap aspek sangat bermanfaat kepada pelajar.

Menurutnya, mereka bukan sahaja dilatih berkawad, tetapi turut didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berguna untuk pembentukan sahsiah dan peribadi.

“Pengetahuan yang diberikan juga banyak memupuk minat pelajar untuk menyertai pa­­sukan polis sebagai kerjaya mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Pe­ringatan Hari Kor Kadet Polis ke-42 Peringkat Daerah Pontian di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini, baru-baru ini.

Katanya, keahlian pelajar di dalam unit beruniform di sekolah-sekolah menengah di daerah ini juga menunjukkan peningkatan yang amat baik dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

“Mereka sudah mula menunjukkan minat untuk sama-sama menyertai kadet polis di sekolah masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu 13 kadet polis menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan Kor dan empat sekolah menerima anugerah Kor Kadet Polis Daerah Pontian.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Maahad Pontian, Sekolah Tinggi Pei Chun, dan Sekolah Menengah Agama Bugisiah.

Sementara itu bagi Siti Najiha Jamaludin, 17, dari SMK Sri Tanjung penglibatannya dalam pasukan kadet polis sekolah telah bermula sejak tingkatan satu lagi.

Katanya, impian untuk menjadi anggota polis apabila sudah tamat sekolah kelak membuatkannya begitu berminat untuk menyertai kadet polis di sekolahnya.

“Latihan yang diadakan amat membantu mendisiplinkan saya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis,” katanya.

Remaja perempuan dibunuh sebelum dibakar – Sinar Harian


Remaja perempuan dibunuh sebelum dibakar

ALAUDDIN MA
24 April 2012

 

GUA MUSANG – Seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dipercayai dibunuh sebelum dibakar bersama motosikalnya di ladang kelapa sawit Jeram Tekoh di sini.
Mayatnya ditemui semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, tulang mangsa, Nor Ain Shafnie Mohd Azizi yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 4 April lalu ditemui oleh pemandu lori kelapa sawit.
“Enam lelaki dan dua perempuan ditahan awal pagi ini, dipercayai mereka yang mengetahui tentang kejadian dan mengenali mangsa,” kata beliau kepada Sinar Harian pagi ini.

SMK Rahmat catat sejarah – Kosmo


SMK Rahmat catat sejarah

 

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

 

ALIMUDDIN (dua dari kiri) menyampaikan sijil SKM kepada salah seorang pelajar pada majlis graduasi di SMK Rahmat, Alor Gajah semalam.

 

ALOR GAJAH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat di sini mencatat sejarah tersendiri dalam sistem pendidikan negara apabila menjadi sekolah harian pertama yang melaksanakan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Sebelum ini SKM hanya ditawarkan oleh sekolah aliran vokasional.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pentauliahan SKM kepada pelajar sekolah berkenaan merupakan peristiwa penting kerana tiada sekolah harian lain di negara ini yang menawarkan kursus tersebut.

“SMK Rahmat berjaya membuktikan sekolah harian juga mampu melaksanakan SKM tanpa bergantung sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran,” katanya ketika berucap pada majlis graduasi di sekolah berkenaan semalam.

‘Ambillah nyawaku’ – Metro


‘Ambillah nyawaku’

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin  yang melepuh dan berdarah.
SAKIT…Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin yang melepuh dan berdarah.

SUNGAI PETANI: “Saya sedih melihat keadaannya kerana setiap hari dia (Noor Ashikin) memohon kepada Tuhan agar ambil saja nyawanya kerana tidak tahan menanggung derita akibat kegatalan pada badannya yang dialami sejak Julai tahun lalu,” kata Suraya Maidin, 45, ibu kepada Noor Ashikin Mohd Irwan, 17, yang kulitnya melepuh dan berdarah tanpa diketahui puncanya.

Keadaan itu menyebabkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ) di sini, tidak ke sekolah kerana sukar memakai pakaian berikutan kulit badannya tertanggal dan berdarah sehingga tidak mampu menahan kesakitan.
Suraya yang berniaga nasi lemak berkata, penyakit Noor Ashikin mula dikesan selepas dia mengadu gatal seluruh badan sepulang dari sekolah dan apabila membuka baju, mendapati seluruh kulit badannya menggelembung dan selepas itu pecah.

 

Menurutnya, sejak itu seluruh tubuh anaknya sentiasa berdarah dan Noor Ashikin tidak boleh terdedah kepada keadaan panas kerana kulitnya akan kembali menggelembung dan pecah serta berdarah menyebabkannya meraung kesakitan.
Noor Ashikin masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak awal bulan ini.
Suraya yang juga ibu tunggal dan tinggal di Flet Paya Nahu di sini berkata, sejak mengalami penyakit itu, Nor Ashikin sudah beberapa kali dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan HSAH bagi menerima rawatan, tetapi doktor pakar gagal mengenal pasti penyakit anaknya.

 

 

“Sebelum ini, dia pernah dirawat selama sebulan di HSB dan rawatan susulan di HSAH selepas penyakitnya didapati berkurangan. Bagaimanapun, selepas seminggu keluar hospital, penyakit itu datang kembali menyebabkan anak saya dimasukkan semula ke hospital.
“Terbaru, 8 April lalu apabila dia dimasukkan ke HSAH akibat kulitnya tertanggal dan seluruh badannya berdarah.

 

“Dia kini masih dirawat di HSAH dan keadaannya semakin beransur pulih, tetapi beberapa bahagian tubuh yang tertutup seperti ketiak, pinggang dan kedua-dua paha masih berdarah.
“Saya sedih melihat keadaannya yang menanggung penderitaan. Tidurnya juga tidak lena kerana sakit, malah tempat tidurnya perlu dilapik dengan plastik bagi mengelak kulitnya yang tertanggal, melekat,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin, yang memohon sesiapa saja membantu mencari cara menyembuhkan penyakit anaknya itu.

Pengorbanan terakhir adik – Berita Harian


Pengorbanan terakhir adik
Oleh Rosli Ilham

2012/04/24

DUNGUN: “Adik sanggup dermakan apa saja asalkan abang selamat,” luah Muhammad Muaz Yusof, 13, kepada ibunya, Asma Ismail, 52, dua hari lalu, sejurus sebelum memasuki bilik rawatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, Sabtu lalu, untuk menderma darah dan sum-sum tulang belakang kepada abangnya yang menderita leukemia.

Bagaimanapun, itulah pengorbanan dan derma terakhir kepada abangnya, Muhammad Munawar, 21, apabila Muhammad Muaz, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Sultan Omar di sini, meninggal dunia 6.50 pagi semalam, dua hari selepas menderma darah A- serta sum-sum tulang.
Asma, seorang ibu tunggal enam anak yang ditemui di rumahnya di Kampung Molek di sini, semalam berkata, Muhammad Munawar menghidap leukemia sejak empat bulan lalu dan sering mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum diarah pegawai perubatan menemui pakar di HUKM.
“Munawar memerlukan darah jenis A- serta sum-sum tulang belakang dan secara kebetulan arwah mempunyai darah jenis sama dengan abangnya sebelum kami sekeluarga ke HUKM untuk menjalani proses pemindahan darah dan sum-sum,” katanya.

Katanya, sebelum memasuki bilik rawatan, dia ada bertanya perasaan arwah menjalani proses itu, namun arwah menjelaskan tidak berasa takut, malah sanggup dermakan apa saja demi menyelamatkan nyawa abangnya.

“Selepas darahnya dipindahkan kepada abangnya, saya dan arwah bertolak balik ke Dungun, arwah kelihatan ceria serta tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, malam kelmarin, arwah yang juga anak bongsu daripada enam beradik tidak banyak bercakap dan terus lena di sisinya sebaik masuk ke bilik tidur.
“Kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika mengejutkan arwah untuk solat subuh, saya dapati mulutnya pucat dan apabila mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri selepas beberapa kali dikejutkan, kami membawanya ke Hospital Dungun,” katanya sambil menambah tidak lama kemudian doktor mengesahkan anaknya meninggal sudah dunia kira-kira jam 6.50 pagi semalam.

Asma berkata, kesedihannya kehilangan suami yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 42.2 Lebuhraya Karak pada 15 April 2011 masih terasa dan semalam (hari ini) dia sekali lagi menanggung kesedihan kehilangan anak bongsunya.

Jenazah Muhammad Muaz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Molek tidak jauh dari rumahnya selepas solat asar semalam.