Agenda pendidikan negara tanggungjawab semua: TPM – Bernama


Agenda pendidikan negara tanggungjawab semua: TPM

2012/04/25

SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan, sebaliknya membabitkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan ia mencapai taraf dan kualiti tinggi setanding negara maju.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi mencapai kejayaan itu, kekuatan kerjasama dalam dan luar sekolah khususnya hubungan yang erat antara sekolah dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) perlu sentiasa dipertingkatkan.

“Memandangkan pendidikan hari ini berdepan dengan cabaran globalisasi, fenomena sosial yang sangat mencabar serta aspirasi yang perlu dicapai, maka usaha bersepadu harus dilakukan demi perubahan dari segi pemikiran dan pendekatan, sejajar dengan kehendak dan perubahan pendidikan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang PIBG kebangsaan 2011 yang julung kali diadakan bertemakan “PIBG Pemangkin Gagasan 1Malaysia”, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rosli Mohamed; dan Ketua Pengarah, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembabitan ibu bapa secara berterusan amat diperlukan bagi membolehkan perkembangan semasa persekolahan anak-anak dapat diikuti sekaligus membantu pengurusan sekolah merencanakan pembangunan aktiviti sekolah secara bersepadu.

Katanya, masih ada lagi ruang yang perlu diisi untuk memantapkannya lagi dengan memastikan keperluan persekolahan anak-anak dipenuhi.
“Justeru PIBG diharap dapat membantu terutamanya dalam menyediakan program-program pembangunan sahsiah murid yang lebih komprehensif atau pembangunan peningkatan prestasi yang lebih tersusun selain daripada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah,” katanya.

Muhyiddin berkata, oleh kerana sistem pendidikan negara kini mempunyai fungsi sosial dan ekonomi yang jauh lebih mencabar daripada dahulu, pihak yang terbabit dalam sektor itu perlu memastikan potensi generasi muda secara menyeluruh dan sempurna supaya mereka dapat bersaing dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

Justeru, katanya, soal berkaitan kualiti guru, kepimpinan sekolah, kurikulum dan pentaksiran, kemampuan murid menguasai pelbagai bahasa, peluang pasca-menengah bagi setiap murid, peranan ibu bapa dan masyarakat, pengggunaan sumber secara cekap dan berkesan serta kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian pendidikan negara harus diberi perhatian serius.

“Jika semua aspek penting ini dapat kita mantapkan melalui satu proses transformasi pendidikan secara menyeluruh, saya pasti generasi muda kita pada masa kini mampu dipersiapkan untuk menerajui negara pada masa akan datang,” katanya.

Muhyiddin berkata, pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaya dan miskin atau bandar dan luar bandar.

Katanya, sektor pendidikan adalah elemen penting dalam menyediakan modal insan yang mampan bagi memastikan apa yang dihasratkan oleh kerajaan dapat direalisasikan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berkebolehan untuk menguasai dan mengaplikasi ilmu serta memiliki daya kreativiti dan inovasi yang tinggi,” katanya.

Menyentuh mengenai anugerah PIBG, Muhyiddin berkata ia relevan dengan matlamat supaya ibu bapa dapat bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membangunkan modal insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Pada majlis itu, PIBG Sekolah Menengah Agama Jaim Al-Ehya Al-Karim, Melaka yang diumumkan sebagai PIBG terbaik peringkat nasional 2011 menerima wang tunai RM50,000, piala pusingan Menteri Pelajaran dan sijil penghargaan daripada Muhyiddin. – BERNAMA

Pengsan dibelasah 30 pelajar – Sinar Harian


Pengsan dibelasah 30 pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2012
Pengsan dibelasah 30 pelajar

BALING – Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, pengsan setelah dibelasah 30 pelajar lain di kelasnya kira-kira 12 tengah hari, kelmarin.

Mangsa, Mohd Zul Iskandar, 14, dari Kampung Belakang Taman Seri Puteri mengalami keretakan tulang di beberapa bahagian badannya setelah dipercayai dipukul dengan kerusi oleh pelajar tingkatan lima dan empat sekolah terbabit.

Sehingga kini, mangsa masih dalam keadaan lemah dan trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya.

Ayahnya, Fadzin Kasim berkata, dia terkejut setelah dihubungi pihak sekolah mengatakan anaknya berada di klinik Kuala Ketil kerana dipukul.

“Saya bergegas ke klinik Kuala Ketil seterusnya ke Hospital Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor mengesahkan anak saya mengalami keretakan tulang di bahagian belakang badannya. Sepatutnya anak saya ditahan di wad, tetapi anak saya bertegas untuk pulang ke rumah,’ katanya.

Anak bongsu dari dua beradik itu kini bergantung kepada ubat-ubatan doktor, selain mendapat penjagaan rapi daripada keluarganya.

Fadzin berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar mengapa anaknya dipukul, tetapi dia tidak menolak kemungkinan pergaduhan itu bermotifkan dendam.

“Saya pun tidak mendapat laporan tepat mengenai kejadian itu dan menyerahkan segalanya kepada polis untuk siasatan.

“Selain Mohd Zul Iskandar, anak sulung saya, Norazwani, 16, dari sekolah sama turut menjadi mangsa buli pelajar sekolah terbabit,” katanya.

Norazwani berkata, banyak kes pergaduhan yang berlaku di dalam sekolah tersebut dan kebanyakan mereka berkumpulan.

“Mereka akan bergaduh walaupun ada guru yang mengajar di dalam kelas. Mereka langsung tidak takut dan mengendahkan guru di sekolah tersebut,” katanya.

Menurutnya, walaupun guru sering mengambil tindakan, pelajar tidak serik malah ada yang berani mengugut guru kerana mengambil tindakan kepada mereka.

Fadzin berkata, dia amat berharap pihak sekolah, termasuk pejabat pelajaran dapat mencari jalan penyelesaian mengenai masalah itu.

Sukan selam skuba untuk kanak-kanak – Sinar Harian


Sukan selam skuba untuk kanak-kanak

NORHIDAYYU ZAINAL
25 April 2012
Sukan selam skuba untuk kanak-kanak

SUKAR untuk menjelaskan akan kepuasan dan ketenangan minda yang dialami ketika menerokai keindahan alam di bawah permukaan air. Melihat keunikan dan keanehan hidupan yang selama ini asing pada pandangan mata ialah faktor menarik bagi penyelam skuba untuk terus terjun ke dasar laut.

Bukan itu sahaja, jenis dan kategori selam yang berbeza juga sering menjanjikan pengalaman dan sesuatu yang baru untuk dicuba. Namun, itulah kepuasan yang dirasakan oleh Jurulatih Selam Skuba, Zuzila Zain.

Sebelum ini, Zuzila ialah pelukis dan berjinak-jinak dalam dunia selam skuba selepas mengikut trip bersama Malaysia Art Gallery ke Pulau Mabul, Sipadan, Sabah.

“Kalau anda sukakan laut dan keindahan dalam laut, maka selam skuba ialah sukan yang terbaik patut dicuba,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap kali terjun ke laut, setiap penyelam skuba akan memperoleh perasaan dan suasana yang berbeza.

“Suasana di dalam laut sangat memukau dan cantik dengan kehadiran pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan dan batu karang.

“Bagi saya, jika benar suka akan lautan, maka cubalah sukan selam skuba ini. Namun begitu, saya mengakui, sukan ini agak lasak dan memerlukan keberanian dan berdisiplin bagi mencubanya,” katanya.

Dia menambah aktiviti selam skuba akan menjadi sesuatu yang sangat menyeronokkan jika mengikut segala aspek pelajaran yang diajar ketika mempelajari asas kursus tersebut.

Tarik minat kanak-kanak

Kini selam skuba bukan hanya untuk golongan dewasa tetapi juga menarik minat kanak-kanak yang berumur lapan hingga 12 tahun.

“Penglibatan mereka ini mampu membina jati diri selain meningkatkan disiplin pada peringkat awal kursus dengan menyertai pelbagai kelas bagi golongan kanak-kanak,” katanya.

Antara yang menawarkan kursus penuh sebagai penyelam skuba ialah Professional Association of Diving Instructors (Padi) melalui Padi Seal Team.

Selain Padi, Scuba Schools International (SSI) turut mempunyai kursus yang boleh disertai oleh mereka menerusi program SSI Scuba Rangers.

Menurutnya, mereka yang berminat perlulah mempunyai asas berenang, selesa di dalam dan permukaan air selain mempunyai tubuh badan yang sihat.

“Biasanya, golongan kanak-kanak ini cepat faham dan mempunyai sifat ingin tahu. Cuma kadang-kadang mereka bersifat ‘lupa diri’ terutamanya ketika seronok berada di dalam air,” katanya.

Zuzila berkata, program sebegini akan dibahagikan kepada beberapa peringkat. Apa yang penting, setiap peringkat memberi pengalaman baru kepada kanak-kanak berkenaan.

“Melalui pengajaran selam skuba ini, mereka akan merasai sendiri pengalaman sama seperti apa yang dirasai oleh penyelam dewasa.

“Mereka turut berpeluang turun ke laut sebagai langkah pertama dalam meneroka alam lautan,” katanya.
Lebih dinamik

Zuzila berkata, setiap langkah yang perlu dilakukan kanak-kanak dalam bidang selam skuba akan menambah keyakinan setiap hari selain mampu mencorakkan mereka menjadi pemimpin disegani.

“Mereka yang menyertai kursus ini akan dilatih untuk berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain dalam melakukan kerja seharian melalui aktiviti yang disediakan.

“Contohnya, pemasangan alatan selam skuba yang menjadi nadi penting dalam sukan ini,” katanya.

Menurutnya, semua kursus yang diajar dilihat mampu mengubah seorang kanak-kanak itu menjadi lebih dinamik dan berdikari. Mereka yang berminat bolehlah menghubungi Zuzila menerusi e-mel dikidsscuba@yahoo.com, lawati laman web

http://www.kidsscuba.com atau ke pejabat Kids Scuba Dive di Pusat Bandar Putra Point, Putra Heights, Subang Jaya.

Penganggur rogol remaja kena 6 sebatan – Metro


Penganggur rogol remaja kena 6 sebatan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan enam sebatan atas tiga pertuduhan rogol seorang remaja berusia 13 tahun, tiga minggu lalu.

Hakim Sarimah Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ummah Umar, 19, mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di Desa Pandan, di sini, masing-masing pada jam 5 petang dan 11.30 malam pada 5 April lalu.

 

Mengikut pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di tempat sama pada 3 petang, 6 April lalu.
Untuk ketiga-tiga kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Aliza bt Ab Kadir.

 

Politik di luar sekolah – Metro


Politik di luar sekolah

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: “Tak salah guru nak berpolitik, tetapi biar ia dilakukan di luar waktu sekolah,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya sebahagian besar guru menyokong pembangkang.

Beliau berkata, guru jangan terlalu asyik berpolitik sehingga anak didik di sekolah terabai dan menjadi mangsa taksub guru berkenaan.
Menurutnya, walaupun tiada halangan untuk mereka bergiat aktif dalam bidang berkenaan, ada beberapa garis panduan dan ketetapan perlu dipatuhi bukan saja sebagai pendidik, tetapi lebih besar sebagai penjawat awam.

 

“Kerajaan tidak menghalang, malah membenarkan mana-mana guru terutama yang berijazah bukan saja untuk bergiat aktif, tetapi turut dibolehkan memegang jawatan dalam politik.
“Namun, dua tanggungjawab terbabit tidak boleh dicampur aduk. Ini bermakna setiap urusan berkaitan politik perlu dipastikan tidak dibawa ke kawasan sekolah kerana khuatir ia menjejaskan keutamaan terhadap kualiti pendidikan,” katanya selepas ditemui sempena Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Ke-18 dan Persidangan Perwakilan Kakitangan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ke-30, di sini, semalam.
Pada majlis konvensyen tahunan bertemakan ‘Guru Besar Inovatif’ itu, ia dihadiri 417 guru besar dan pengetua daripada seluruh negara. Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Dun Kasa.

 

 

Mohd Puad berkata, tiada sebab individu berkenaan perlu berpolitik di sekolah sehingga menyebabkan pelajar menjadi mangsa dan lebih penting, guru perlu faham dasar kerajaan terutama kedudukan mereka sebagai penjawat awam.
Katanya, beliau yakin guru hari ini matang dan diharap pembabitan guru berkenaan dalam politik tidak mewujudkan suasana perpecahan terutama di kalangan warga pendidik dan pelajar di sekolah.

Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru – Bernama


Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru

2012/04/25

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pemasangan wayar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini, terhadap pertuduhan membunuh seorang guru wanita di Rawang, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, N Sritharan hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.

Sritharan, 19, didakwa bersama seorang lagi, yang masih bebas, membunuh S Usharani, 47, di Perhentian Bas PKNS, Batu 17, Jalan Ipoh, Rawang, Gombak dekat sini, pada jam 7 pagi 27 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam K Muthiah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan merujuk kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi anak guamnya kerana mangsa meninggal semasa berada di hospital dan bukan di tempat kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Abd Raheem Aliyas.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Jun untuk sebutan kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan guru wanita itu cedera selepas disimbah cecair dipercayai asid ketika sedang menunggu bas untuk ke sekolah di perhentian bas Batu 17, Rawang. – BERNAMA

Remaja hilang 21 hari ditemui rentung terbakar – Utusan


Remaja hilang 21 hari ditemui rentung terbakar

GUA MUSANG 24 April – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi sejak 21 hari lalu terjawab apabila rangkanya ditemui bersama motosikal yang terbakar dalam ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh di sini kelmarin.

Tulang dan rangka remaja berusia 15 tahun itu ditemui seorang pemandu lori membawa muatan kelapa sawit dalam keadaan berselerak pada pukul 6 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, berikutan pembunuhan kejam itu, polis menahan enam lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun awal pagi semalam bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan dipercayai mengenali mangsa dan dikatakan bersama dengan remaja itu semasa dia menghilangkan diri dari rumah. Lima daripadanya termasuk seorang wanita didapati positif mengambil dadah,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

RM100,000 bantu sekolah di Kelantan dapat air bersih – Utusan


RM100,000 bantu sekolah di Kelantan dapat air bersih

Oleh YULPISMAN ASLI dan AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 24 April – Kerajaan memperuntukan sejumlah RM100,000 bagi menyediakan sistem penapis air di 30 buah sekolah di negeri ini yang dikesan menghadapi masalah bekalan air bersih.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha tersebut dilakukan kerana kerajaan bimbang penularan penyakit di kalangan pelajar disebabkan bekalan air tidak bersih di sekolah-sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang berdepan masalah bekalan air bersih serius termasuk di kawasan luar bandar, sebelum diperluskan ke seluruh negeri.

“Masalah air bersih isu besar di Kelantan dan kita bimbang kalau anak-anak kita tak dibekalkan air bersih di sekolah, ini akan jadi satu isu kesihatan yang boleh mengganggu pelajaran mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis perjumpaan khas bersama pesara-pesara kerajaan, guru, tentera dan polis di Hotel Grand Riverview di sini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM120,000 kepada empat persatuan iaitu PBTM, persatuan bekas polis, persatuan pesara kerajaan dan persatuan pesara pendidikan Kelantan. – UTUSAN

Semakan Tawaran Ke Tingkatan Enam Bawah Tahun 2012


Semakan Tawaran Ke Tingkatan Enam Bawah Tahun 2012

 

Pelajar yang ingin menyemak tawaran ke Tingkatan Enam Bawah bagi tahun 2012 boleh melawat laman web seperti di bawah.

 

Lawat http://apps.moe.gov.my/sst6/cheF6_12/

 

Terima kasih.

Pindaan Tarikh Permohonan Baru Biasiswa BKP dan BKPU Tahun 2012


Pindaan Tarikh Permohonan Baru Biasiswa BKP dan BKPU Tahun 2012


Permohonan baru Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persedian Universiti (BKPU) Tahun 2012 telah ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan semula. Pihak Kementerian akan memaklumkan semula tarikh sebenar Sistem Permohonan Biasiswa akan dibuka.