Penganggur pecah masuk rumah, dua beradik cedera ditetak – Bernama


Penganggur pecah masuk rumah, dua beradik cedera ditetak

26 April 2012

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang dipercayai cuba memecah masuk ke sebuah rumah menerima padah setelah perbuatannya disedari tuan rumah dalam kejadian awal pagi semalam di Kampung Serdang, Dungun.

Dalam kejadian itu, penganggur berumur 30-an itu disedari merayau-rayau di perkarangan kira-kira pukul 4.15 pagi oleh anak pemilik rumah yang masing-masing berumur 16 dan 21 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dua beradik itu bertindak keluar rumah untuk memeriksa keadaan dan ternampak kelibat suspek yang juga jiran mereka.

“Menyedari perbuatannya disedari tuan rumah, suspek cuba melarikan diri namun dalam masa yang sama mengacukan sepatah senapang angin ke arah kedua-dua beradik itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menyedari suspek bersenjata, seorang daripada dua beradik itu berlari mendapatkan sebilah golok dari dapur rumahnya dan melibas ke arah suspek.

“Bagaimanapun suspek cuba melawan dan berlaku pergelutan, semasa bergelut suspek terkena libasan golok dan cedera di kepala, bahu dan belakang badan sebelum dua beradik itu berjaya mengikatnya dan menyerahkan suspek kepada polis,” katanya.

Manoharan berkata keadaan suspek dilaporkan stabil dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Dungun.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.- Bernama

Kerajaan beri perhatian sama rata semua jenis sekolah: Muhyiddin – Bernama


Kerajaan beri perhatian sama rata semua jenis sekolah: Muhyiddin

2012/04/26

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan pembangkang yang mengatakan kononnya kerajaan pusat tidak memberi bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana kerajaan sentiasa memberikan peruntukan sama rata kepada setiap sekolah serta memberi penekanan kepada soal pendidikan sebagai perkara utama.

“Soal pendidikan penting. Kalau ada orang mengatakan Menteri Pelajaran orang Melayu, dia tak suka orang Cina, ini tidak betul. Muka saya memang orang Melayu, tapi hati perut saya orang Malaysia.

“Sekolah Cina pun saya bantu, sebab tu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kita tolong. Hari ini saya hendak umum kita nak bagi RM1.5 juta untuk sekolah di kawasan Batu Kawan. Saya juga setuju untuk bantu sekolah Tamil di sini,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan 1Malaysia dengan penduduk Parlimen Batu Kawan di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian pada setiap 8,500 sekolah kebangsaan, 1,200 SJKC dan 500 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Untuk masa depan, kita akan beri perhatian pada soal pendidikan. Perdana Menteri bagi peruntukan yang besar pada saya tapi tidak cukup. Kita akan tambah, pada tahun depan, kita bajet kalau dapat tambah kita boleh bina sekolah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berhenti untuk melakukan perubahan bagi memastikan masa depan rakyat terus terpelihara.
Muhyiddin berkata sambutan penduduk di Batu Kawan terhadap program anjuran BN menunjukkan peningkatan dengan jumlah penduduk yang hadir hampir 10,000 orang.

Beliau berharap BN akan menebus kembali kekalahannya pada pilihan raya umum yang lepas dan berharap sokongan itu berterusan sehingga pilihan raya umum yang akan datang. – BERNAMA

Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki – Bernama


Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki

26 April 2012

 

JOHOR BAHRU – Polis menahan sepasang suami isteri rakyat Singapura dua hari lepas kerana dipercayai mendera tiga anak mereka di Kampung Melayu, Gelang Patah, di sini. Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata bapa kandung dan ibu tiri berumur 40 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang di rumah mereka di kampung tersebut selepas polis menerima laporan mengenai jenayah berkenaan pada pukul 11 pagi, hari yang sama.

“Laporan polis dibuat oleh mangsa, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun dengan ditemani guru sekolahnya. Turut dipercayai menjadi mangsa dera itu adalah seorang adik perempuannya yang berumur 12 tahun dan adik lelaki berumur lapan tahun,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini hari ini.

Noor Hashim berkata mengikut keterangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah itu, ketiga-tiga mereka menetap di rumah berkenaan bersama ayah kandung dan ibu tiri yang merupakan guru muzik, sejak tahun 2007. Beliau berkata mereka tidak pernah berhubung dengan ibu kandung sejak berlakunya penceraian ibu bapa mereka, malah mereka sering dipukul dengan kayu hoki dan ditampar sehingga kejadian yang sama berulang pada Ahad dan Selasa lepas.
Katanya kedua-dua beradik perempuan itu turut dibotakkan kepala dan mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan, bagaimanapun, adik lelaki mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis berjaya merampas sebatang kayu hoki di rumah berkenaan dan pasangan terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Ketiga-tiga mangsa pula dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan lima lelaki di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini semalam.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 35 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari selepas bilik gerakan IPD Nusajaya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlakunya kejadian pecah rumah di Jalan Bakti 56, perumahan terbabit.

Katanya polis tiba di rumah tersebut lima minit kemudian dan merampas pelbagai barangan serta peralatan pecah rumah daripada suspek termasuk dua kereta curi, 14 telefon bimbit, televisyen plasma, beg tangan, minuman keras dan kuku kambing.

Katanya kesemua lelaki yang dipercayai terlibat dengan sembilan kes pecah rumah sejak tujuh bulan lepas itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Bernama

Didenda makan cili padi – Sinar Harian


Didenda makan cili padi

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
26 April 2012
Didenda makan cili padi
Didenda makan cili padi

IPOH – Gara-gara mengoyak buku tanda protes kerana dihalang menghubungi ibunya, seorang murid sebuah sekolah agama swasta di Taiping terpaksa menahan azab kepedasan apabila didenda makan cili padi tanpa diberi setitik air.

Akibat denda itu, Ainul Aiman Hafiz Ainul Azizul Rahman, 10, dimasukkan ke Hospital Columbia Asia Taiping dan disahkan mengalami Acute Gastritis (gastrik) dan trauma terhadap makanan bercili.

Ibunya, Siti Erna Izura Abd Jamil, 32, berkata, niat untuk memberikan pendidikan agama kepada anaknya itu telah menjadi igauan ngeri kepada mereka sekeluarga.

Menurutnya, guru-guru di sekolah itu juga tidak memaklumkan keadaan anaknya yang mengalami asma selepas memakan cili itu kepadanya.

“Lebih memilukan, saya tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar dua hari tanpa rawatan dan dibiarkan terbaring di katil asrama sambil menahan kesakitan.

“Keadaan itu diceritakan oleh bapa salah seorang pelajar yang kebetulan melihat Ainul Aiman Hafiz terbaring sambil menekan perut ketika mengambil anaknya di asrama itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Siti Erna berkata, Ainul Aiman Hafiz juga enggan kembali ke sekolah berkenaan kerana masih trauma dan dia merasakan hukuman itu tidak sesuai bagi kanak-kanak kecil.

“Ketika lawatan guru-guru sekolah itu ke hospital ini, mereka mengaku ada memberikan cili padi dan menerangkan bahawa hukuman itu adalah biasa di sekolah berkenaan.

“Mereka maklumkan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi kebenaran mengenakan hukuman tersebut dan mereka mengaku tersalah bagi hukuman kepada anak saya,” katanya.

Katanya, dia kecewa dengan sikap lepas tangan guru-guru sekolah berkenaan yang lambat memaklumkan kejadian itu kepadanya.

“Saya tergerak hati untuk menelefon sekolah, barulah mereka beritahu keadaan anak saya tidak mahu makan menyebabkan saya pergi mengambilnya dan barulah perkara ini terbongkar.

“Anak saya diwadkan selama empat hari bermula 15 April lalu. Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan saya dinasihatkan oleh Kementerian Pelajaran Negeri untuk bertemu dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bagi mengadu perkara ini.

“Saya telah pergi ke Pejabat Pelajaran untuk tukarkan anak saya ke sekolah lain. Difahamkan ramai lagi murid dipaksa makan cili kerana ia telah menjadi hukuman biasa bagi sekolah itu,” katanya.

Kelas percuma buat kanak-kanak miskin – Sinar Harian


Kelas percuma buat kanak-kanak miskin

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 April 2012
Tuisyen percuma diberikan kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin
Kelas percuma buat kanak-kanak miskin

SUNGAI PETANI – Menyedari hakikat pentingnya pendidikan dalam Bahasa Inggeris terutama bagi kanak-kanak golongan fakir miskin yang ketinggalan, satu peluang diberikan kepada golongan berkenaan.

Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Tuisyen Menara Ilmu, Gopinath Nadarajah berkata, satu program khas dilaksanakan sejak 2003 dengan memberi tuisyen khas secara percuma kepada kanak-kanak miskin.

Menurutnya, tanggungjawab mendidik menjadi amanah kepada beliau yang juga pakar Bahasa Inggeris dan khidmatnya pernah digunakan di Brunei.

“Tiada apa yang lebih penting melainkan meningkatkan taraf Bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak tempatan terutama golongan yang tidak berkemampuan,” katanya.

Menurutnya, beliau terfikir nasib anak bangsa yang terabai sehingga menimbulkan kesedaran untuk pulang ke negara dan mewujudkan Pusat Tuisyen Menara Ilmu di Sungai Petani.

Sehingga kini, seramai 3,000 pelajar yang mengikuti pengajian Bahasa Inggeris dengan kaedah standard antarabangsa berjaya dengan cemerlang dan fasih berbahasa Inggeris, di mana peratus hampir keseluruhannya adalah pelajar Melayu.

Menurutnya, setiap tahun beliau mengambil seramai 31 kanak-kanak miskin untuk mengikuti pembelajaran Bahasa Inggeris secara percuma iaitu dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM45,000 setahun.

Gopinath turut menerima jemputan menghadiri seminar di beberapa lokasi termasuk Sekolah Kebangsaan Teluk Wang dan Sekolah Kebangsaan Berapit.

Menurutnya, sekiranya golongan itu dibiarkan tanpa pengawasan, mereka akan tercicir dan ketinggalan begitu juga nasib negara pada masa akan datang.

“Ia sekali gus menyokong hasrat kerajaan mentransformasikan pendidikan,” katanya.

Rogol gadis bawah umur, pemuda dipenjara 25 tahun – Sinar Harian


Rogol gadis bawah umur, pemuda dipenjara 25 tahun

SITI AZIELAH WAHI
26 April 2012

AMPANG – Seorang pemuda dihukum penjara  25 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen  di sini atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu.

Hakim Roszianayati Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 23,  selepas meneliti dan mempertimbang keterangan saksi pendakwa, tertuduh dan mangsa, yang berjaya membuktikan kes itu di luar keraguan munasabah.

Pada 11 Mei lalu, dia telah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun dalam sebuah van di  tepi Jalan Kosas 3/9 sekitar jam 11 pagi.

Kesalahan yang dilakukan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun atau sebatan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Guru rugi RM3,550 ditipu kenalan Internet – Kosmo


Guru rugi RM3,550 ditipu kenalan Internet

 

Oleh LILY YEAN
lily.yean@kosmo.com.my

 

WONG menunjukkan gambar Adrian yang dirakam melalui web perbualan secara dalam talian kepada Chong di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM3,550 ekoran terpedaya dengan seorang lelaki yang baru dikenali selama dua minggu yang turut mengaku meminatinya.

Mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 36, berkata, dia mengenali lelaki tersebut, Adrian Steve yang mendakwa dirinya sebagai peniaga berbangsa British melalui laman web http://www.badoo.com pada awal April lalu.

“Adrian pernah meluahkan perasaannya serta melamar saya seminggu selepas kami saling berkenalan.

“Namun saya tidak menerima lamarannya dan hanya mahu berkawan memandangkan saya tidak pernah bersemuka dengannya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Jelasnya, selama ini, mereka hanya berhubung melalui kamera web dan telefon namun lelaki terbabit masih tidak berputus asa memujuknya untuk menerima lamaran itu.

“Pada 19 April lalu, Adrian memberitahu, dia akan menghantar satu bungkusan yang mengandungi wang sebanyak AS$3,000 (RM9,186) dan beberapa barang kemas sebagai tanda cinta dia terhadap saya.

Nor Ain dibunuh dua minggu lalu – Kosmo


Nor Ain dibunuh dua minggu lalu

 

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

 

Nor Ain suka memakai pakaian seperti lelaki.

 

KOTA BHARU – Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang rangka mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang dekat sini pada Isnin lalu dipercayai telah dibunuh dan dibakar dalam tempoh dua minggu sebelum rangka mangsa ditemui.

 

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada gadis tomboi itu dibakar hidup-hidup atau mangsa dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar.

“Setakat ini, kita mendapati Nor Ain dan motosikal miliknya dibakar. Polis menemui rangka motosikal mangsa yang hangus dan tulang-tulang manusia termasuk beberapa barangan peribadi mangsa di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan mangsa ada kaitan dengan dadah dan orang yang dikenalinya.

Kosmo! semalam melaporkan misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka Nor Ain ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu.

Nor Ain yang sudah tidak bersekolah, sebelum ini dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya sejak 3 April lalu.

Jarak rangka Nor Ain ditemui dengan rumahnya kira-kira 500 meter.

Ekoran penemuan itu, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

 

Mengulas lanjut, Saiful Bahri berkata, polis dalam proses menahan beberapa suspek lain bagi membantu siasatan pembunuhan Nor Ain.

10 anak kebulur, ibu pula bersolek – Metro


10 anak kebulur, ibu pula bersolek

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal yang kerap bertukar kerja termasuk menjadi pelayan di pusat karaoke di daerah ini tergamak membiarkan 10 anak kebuluran sedangkan dia menggunakan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli alat solek.

Wanita yang kematian suami pada Februari 2011 akibat batuk kering itu galak bekerja dan sering pulang lewat pagi menyebabkan anaknya terabai.
Mendedahkan perkara itu, ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, 49, berkata, selepas kematian suami, adik perempuannya menggalas tanggungjawab menyara keluarga.

 

“Adik perempuan saya, Ain, 37, berasal dari Indonesia, melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk pembantu kedai makan.
“Selepas bekerja, sikap Ain berubah termasuk gemar bersosial sebelum menerima tawaran bekerja di sebuah pusat karaoke sebagai pelayan tetamu.
“Dia hanya pulang sesekali dan akibat boros membeli alat solek dan pakaian berjenama, Ain gagal melunaskan sewa rumah mahu pun membeli makanan untuk anak hingga mereka kebuluran.

 

 

“Pada masa sama, Ain turut menggunakan wang RM450 diberi JKM untuk belanja anak bagi membeli barangan keperluan peribadinya,” katanya.
Menurut Aminah, Ain turut mengarahkan anak sulungnya melakukan kerja rumah seperti memasak, membasuh serta menjaga sembilan adik.

 

Aminah berkata, perkara itu menimbulkan gangguan mental kepada anak sulung Ain yang dikenali sebagai Diah, 16.
“Keadaan Diah semakin teruk apabila ibunya kerap membawa lelaki berlainan pulang ke rumah. Akibatnya, Diah melarikan diri ke rumah saya.
“Bimbang banyak perkara negatif membabitkan keluarga Ain, saya dan beberapa jiran mengadukan perkara itu kepada JKM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Johor, Khatijah Abdullah berkata, anak wanita terbabit berusia antara empat hingga 16 tahun diselamatkan pihaknya pada pertengahan November lalu.
“Pada perbicaraan dijalankan, Ain memaklumkan dia tidak mampu memelihara anaknya lagi dan mahkamah memutuskan lapan beradik daripada 10 anaknya dihantar ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Pahang pada Disember lalu,” katanya.

Mangsa pelajar cemerlang – Metro


Mangsa pelajar cemerlang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEGAMAT: Ahmad IItizam Khalid, 15, yang meninggal dunia ketika menyeberangi landasan kereta api di Kilometer 592, Landasan Segamat dan Genuang di sini, semalam disifatkan sebagai pelajar pintar serta aktif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan.

Guru kelas mangsa, Nurulain Sarji, berusia 30-an berkata, kejadian menimpa IItizam yang pertama membabitkan pelajar sekolah itu.
“Saya terkejut dimaklumkan berkaitan kejadian, IItizam bukan saja memiliki akhlak terpuji malah seorang pelajar cemerlang.

 

“Iltizam aktif dalam sukan terutama kriket dan pernah mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah,” katanya.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila bapa mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Segamat serta ibunya, dilihat pilu serta longlai sejurus melihat jasad anak kesayangan mereka mereka terbujur kaku di tengah landasan kereta api berkenaan.
Malah, ibu bapa mangsa yang ditemui di lokasi terkejut dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu.

 

 

Bagaimanapun, bapa mangsa hanya mahu dikenali sebagai Khalid, berusia 40-an menyifatkan pemergian mengejut Iltizam sebagai ketentuan Ilahi.
Jenazah Iltizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jementah selepas solat Asar, semalam.