Kelas percuma buat kanak-kanak miskin
26 April 2012

Kelas percuma buat kanak-kanak miskin
SUNGAI PETANI – Menyedari hakikat pentingnya pendidikan dalam Bahasa Inggeris terutama bagi kanak-kanak golongan fakir miskin yang ketinggalan, satu peluang diberikan kepada golongan berkenaan.
Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Tuisyen Menara Ilmu, Gopinath Nadarajah berkata, satu program khas dilaksanakan sejak 2003 dengan memberi tuisyen khas secara percuma kepada kanak-kanak miskin.
Menurutnya, tanggungjawab mendidik menjadi amanah kepada beliau yang juga pakar Bahasa Inggeris dan khidmatnya pernah digunakan di Brunei.
“Tiada apa yang lebih penting melainkan meningkatkan taraf Bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak tempatan terutama golongan yang tidak berkemampuan,” katanya.
Menurutnya, beliau terfikir nasib anak bangsa yang terabai sehingga menimbulkan kesedaran untuk pulang ke negara dan mewujudkan Pusat Tuisyen Menara Ilmu di Sungai Petani.
Sehingga kini, seramai 3,000 pelajar yang mengikuti pengajian Bahasa Inggeris dengan kaedah standard antarabangsa berjaya dengan cemerlang dan fasih berbahasa Inggeris, di mana peratus hampir keseluruhannya adalah pelajar Melayu.
Menurutnya, setiap tahun beliau mengambil seramai 31 kanak-kanak miskin untuk mengikuti pembelajaran Bahasa Inggeris secara percuma iaitu dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM45,000 setahun.
Gopinath turut menerima jemputan menghadiri seminar di beberapa lokasi termasuk Sekolah Kebangsaan Teluk Wang dan Sekolah Kebangsaan Berapit.
Menurutnya, sekiranya golongan itu dibiarkan tanpa pengawasan, mereka akan tercicir dan ketinggalan begitu juga nasib negara pada masa akan datang.
“Ia sekali gus menyokong hasrat kerajaan mentransformasikan pendidikan,” katanya.