Lagi tulang, gigi Nor Ain – Metro


Lagi tulang, gigi Nor Ain

Laporan dan foto RAMLI IBRAHIM
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GUA MUSANG: Sekumpulan penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, gempar apabila menemui lebihan tulang dan gigi, semalam, dipercayai milik Nor Ain Shafnie Mohd Azizi, 16, yang tengkorak dan tulangnya ditemui selepas menjadi mangsa bunuh dan bakar di ladang sawit berhampiran rumahnya di RKT berkenaan, Isnin lalu.

Penduduk, Mohd Joni Ishak, 37, berkata dia bersama beberapa penduduk pergi semula ke lokasi penemuan tengkorak dan tulang remaja itu pada jam 1 tengah hari dan menemui serpihan tulang dan gigi di bawah timbunan daun kering.
Katanya, pada mulanya mereka sangsi tetapi selepas diteliti, ternyata ia serpihan tulang dan gigi manusia.

 

“Pada mulanya ada yang menganggap ia tulang dan gigi haiwan liar tapi tidak logik kerana ia ditemui di tempat tengkorak dan tulang mangsa bunuh dan bakar yang ditemui Isnin lalu. Mungkin pihak berkuasa tidak dapat mengesannya dan tertinggal lebihan tulang dan gigi remaja berkenaan.
“Sedih melihat serpihan tulang dan gigi itu dan kami menyerahkan kepada keluarga Nor Ain,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Ibrahim Daud, 37, mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan zalim yang dilakukan kerana sanggup membunuh dan membakar mangsa.

 

 

“Saya yang sudah lama tinggal di RKT ini dan belum pernah lagi ada kejadian bunuh dan bakar membabitkan anak peneroka.
“Sesiapa yang melakukan pembunuhan itu bukan lagi manusia dan boleh diibaratkan sama seperti binatang,” katanya.

 

Seorang lagi penduduk, Ahtta Ahmad, 58, berkata dia bersimpati dengan nasib remaja berkenaan yang menjadi mangsa tindakan ganas penjenayah.
“Apabila berlaku kejadian seperti itu, penduduk memang bimbang, apatah lagi semakin ramai penagih dadah muncul di kawasan ini,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan, polis menahan seorang lagi suspek berusia 42 tahun bagi membantu siasatan kes Nor Ain.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah dipetik berkata, lelaki itu ditahan di RKT Kesedar Sungai Asap A, dekat sini, jam 11.45 malam Khamis lalu.

Kanak-kanak bermain ular dipatuk ketika persembahan – Berita Harian


Kanak-kanak bermain ular dipatuk ketika persembahan

2012/04/29

KESAN patukan ular Punti pada bahagian muka pipi Mohd Amirul Azim.

KESAN patukan ular Punti pada bahagian muka pipi Mohd Amirul Azim.

PARIT BUNTAR: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang memiliki kepandaian bermain ular terpaksa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar (HPB) selepas dipatuk haiwan itu ketika membuat persembahan di Dataran Pinggiran Sungai Kerian di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 11.30 pagi ke atas Mohd Amirul Azimi Yahya itu mengejutkan orang ramai yang menyaksikan pertunjukan itu apabila melihat mangsa terus rebah dengan mulutnya berbuih selepas dipatuk ular Punti atau Tiong.

Ketika itu, mangsa mempersembahkan kepandaian bermain ular bersama bapanya, Yahaya Abdullah, 60, ketika majlis perasmian Program Fiesta Pelancongan peringkat Daerah Kerian sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Ular berkenaan mematuk bahagian pipi kanan Mohd Amirul Azimi hingga mengeluarkan darah sebelum mulut mangsa berbuih dan jatuh tertiarap.

Sementara itu, Yahaya yang tinggal di Perumahan TPMS Bukit Merah, dekat sini, berkata kejadian seperti itu pernah berlaku ke atas anaknya tetapi beliau tidak bimbang kerana yakin anaknya akan selamat.

“Saya ada cara untuk merawat jika berlaku kejadian seperti ini selain mendapat rawatan di hospital,” katanya di sini, semalam.

Yahaya yang mempunyai 20 tahun pengalaman bermain ular termasuk membuat pertunjukan di Singapura berkata, beliau yakin anaknya bersemangat semula untuk menunjukkan kepandaian bermain ular yang diwarisi daripadanya.
Katanya, ular lain yang mereka bawa untuk membuat pertunjukan termasuk tedung selar.

Pasangan tak mengaku dera anak – Utusan


Pasangan tak mengaku dera anak

JOHOR BAHRU 27 April – Sepasang suami isteri warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendera tiga anak mereka pada Ahad lalu.

Idris Yaacob, 46, dan ibu tiri kepada mangsa, Zarina Ibrahim, 39, dituduh dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap ketiga-tiga mangsa yang berusia tujuh, 10 dan 14 tahun.

Pasangan yang bekerja sebagai guru muzik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, 22 April lalu di sebuah rumah di Kampung Melayu, Gelang Patah dekat sini.

Pegawai pendakwa, Inspektor Hasbullah Noor menawarkan ikat jamin RM45,000 bagi setiap tertuduh namun kedua-duanya merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan kurang berkemampuan dan tidak dapat menghubungi ahli keluarga bagi meminta bantuan.

Majistret Hafizah Johor Ariff Johor kemudian membenarkan pasangan tersebut masing-masing diikat jamin RM25,000 sementara menunggu sebutan kes pada 11 Jun ini.

Memetik laporan akhbar, polis menahan kedua-dua tertuduh di rumah mereka pada Selasa lalu kerana dipercayai mendera tiga anak mereka.

Penahanan tersebut adalah hasil laporan yang dibuat sendiri oleh seorang remaja perempuan berusia 14 tahun kerana tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan terhadapnya dan juga ke atas adik perempuannya berusia 10 tahun serta adik lelakinya, tujuh tahun.

Rakyat dipelawa sertai Dialog Nasional Pendidikan – Bernama


Rakyat dipelawa sertai Dialog Nasional Pendidikan

PUTRAJAYA 29 April – Kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 bagi memartabatkan sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sesi dialog, rakyat juga boleh menyalurkan pandangan mereka melalui twitter, facebook dan laman sesawang kajian semula pendidikan bermula hari ini sehingga pertengahan Julai nanti.

“Siri dialog ini adalah satu inisiatif yang bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala yang besar untuk bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang melangkah memasuki fasa baru transformasi,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha Datuk Dr Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Pengerusi Panel Penilaian Bebas Kajian Semula Pendidikan Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Muhyiddin berkata satu laporan awal disediakan selepas kajian itu dilakukan dan rakyat sekali lagi dipelawa untuk memberikan pandangan mereka sebelum dokumen Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara dimuktamadkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siri dialog tersebut bukan medan untuk mengutarakan tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan, undang-undang dan Rukun Negara.

Jelasnya, siri dialog itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina/Tamil, mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan.

“Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang akan menerima manfaat daripada kajian semula pendidikan ini, manakala sekolah-sekolah yang lain pula terabai,” katanya. – BERNAMA