Pelajar maut perut terburai – Sinar Harian


Pelajar maut perut terburai

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 April 2012

Motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang rakan
hancur diseret lori, awal pagi semalam.
PELABUHAN BARAT – Seorang pelajar tingkatan 4 maut dalam keadaan mengerikan apabila perutnya terburai selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat menghala Pandamaran, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikenali Muhammad Norfahmi Mohamad Ali, 16, dari Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah maut selepas motosikal yang ditunggang bersama seorang rakan dirempuh sebuah lori.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa terseret beberapa meter bersama motosikal selepas digilis lori terbabit.

“Berikutan itu, organ dalaman di bahagian perut mangsa pecah menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Motosikal yang ditunggang dua sekawan itu juga rosak teruk akibat dirempuh dan terseret,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berdasarkan makluman kakitangan pihak hospital.

“Sehingga kini kita masih mengesan rakan mangsa untuk membantu siasatan yang gagal dikesan sejurus kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Nur Baidura Datuk Zulyadaen di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Majlis Prapelancaran Perayaan Hari Guru 2012


Majlis Prapelancaran Perayaan Hari Guru 2012

Dirasmikan oleh YBhg Dato Sri Abd. Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Tarikh 11.00 pagi, 30 April 2012, Isnin
Tempat Sekolah Menengah Alam Syah, Putrajaya

Semua Dijemput hadir bagi memeriahkan majlis

Terima Kasih

57 remaja dicekup dalam Ops Sayang – Sinar Harian


57 remaja dicekup dalam Ops Sayang

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2012
57 remaja dicekup dalam Ops Sayang
Pelajar ditempatkan sementara di Dewan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Muda.

SUNGAI PETANI – Seramai 57 pelajar dicekup ponteng sekolah dalam Ops Sayang melalui Kempen Jom Pi Sekolah dan Sekolah Penyayang anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Muda Yan dengan kerjasama 10 agensi lain Khamis lalu.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hal Ehwal Murid, Salmah Hamdan berkata, 150 anggota daripada pelbagai agensi terlibat sama-sama turun padang dalam membanteras gejala ponteng sekolah yang dilaporkan sekitar bandar ini.

Menurutnya, kawasan panas yang sering menjadi lokasi pelajar ialah di kafe siber selain bangunan kosong, taman rekreasi, tangki air dan pusat membeli-belah turut menjadi tumpuan operasi.

“Operasi yang dimulakan jam 9 pagi sehingga jam 2 petang berjaya mengesan 57 remaja bawah umur yang sepatutnya berada di sekolah” katanya.
Salmah berkata, sesi kaunseling, motivasi dan ikrar aku janji diadakan di mana ibu bapa dipanggil pada hari sama selain meminta pelajar menandatangani surat aku janji di hadapan waris masing-masing.

“Kita akan menghantar senarai nama ke pihak sekolah.

“Kami juga akan memantau perkembangan pelajar selepas ini selain menganjurkan program dari semasa ke semasa bagi membentuk sahsiah pelajar,” katanya.

Setiap pelajar akan melalui saringan ujian air kencing yang dikendalikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan tindakan selanjutnya akan diambil pihak berkaitan sekiranya keputusan positif.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Ops Sayang termasuk sokongan padu Pegawai Pelajaran Daerah.

“Kita juga mengharapkan keberkesanan selepas operasi di mana ada penurunan kadar ponteng sekolah dicatatkan,” katanya.

Operasi yang dijalankan di kawasan panas sekitar daerah Kuala Muda itu turut melibatkan PPD, pihak sekolah, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan AADK.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan, Pejabat Agama, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Penjara Sungai Petani turut terlibat.

‘Pulanglah anakku, pulanglah’ – Sinar Harian


‘Pulanglah anakku, pulanglah’

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2012
‘Pulanglah anakku, pulanglah’
Syazwani yang menghilangkan diri pada 14 April lalu.

JASIN – “Pulanglah anakku, pulanglah. Kami semua merinduimu,” rayu ­seorang ibu yang sehingga kini mengharapkan anak gadisnya, Syazwani Ismail, 15, ­kembali ke pangkuan mereka setelah anaknya itu ­sehingga sekarang tidak pulang ke rumah sejak menghilangkan diri pada 4 April lalu.

Latifah Md Noor, 50, berkata, ­pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk berjumpa dengan pengamal perubatan Islam namun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang berita mengenai anak bongsu dari lima beradik itu.

Menurutnya, lebih menyedihkan ­pelajar tingkatan tiga di salah sebuah ­sekolah menengah di Jasin yang mesra dengan panggilan Wani dalam kalangan keluarga bukan sahaja gagal dikesan, malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi menyebabkan mereka sekeluarga buntu mencarinya.

“Saya risau akan keselamatan Wani dan hati saya kuat menyatakan yang dia masih berada di negeri ini serta mahu ­pulang ke rumah.

“Sehingga sekarang kami masih lagi berusaha mencari di merata-rata tempat dan berharap orang ramai dapat turut sama mencari Wani,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Ismail Maarof, 60, berkata, selepas kehilangan Wani, salah seorang anak perempuannya ada menerima pesanan ringkas daripada seorang individu yang dipercayai berada di Padang Temu memberitahu Wani di­simpan seorang individu bernama Wan di Taman Cempaka.

Menurutnya, dia cuba menghubungi individu terbabit untuk mensahih­kan maklumat itu, bagaimanapun gagal ­dihubungi dan ada juga yang pernah memberitahu ternampak anaknya itu di Dataran Pahlawan termasuk ada yang menyatakan Wani dikurung di bangunan dua tingkat di Taman Melaka Raya.

“Kehilangan Wani mungkin ­disebabkan terpengaruh dengan rakan yang ­dikenali melalui rangkaian sosial Facebook dan saya merasanya dia dikurung seseorang ­menyebabkan anak saya tidak pulang ke rumah.

“Saya merayu kepada mereka yang ­menyorokkan Wani agar dapat ­melepaskan dia dengan selamat,” katanya.

Ismail berkata, sehingga sekarang ­mereka sekeluarga bukan sahaja tidak lena tidur malah kesihatan isteri juga agak membimbangkan kerana terlalu merindui Wani.

“Saya mengalu-alukan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang ramai bersama-sama ikhtiar mencari anak gadisnya.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat ataupun pernah ternampak Wani boleh menghubunginya menerusi talian             013-6958849       dan             06-5292734       atau balai polis berdekatan,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Sinar Harian ­pernah menyiarkan mengenai kehila­ngan gadis terbabit namun ditemui semula ­sehari selepas berita mengenai kehilangannya disiarkan, sebelum dia kemudian hilang kali kedua pada 4 April lalu.

Gadis tomboi disyaki turut diperkosa – Kosmo


Gadis tomboi disyaki turut diperkosa

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

 


 

KOTA BHARU – Siasatan polis berhubung kes kematian seorang gadis tomboi, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi (gambar) yang mayatnya ditemui dibakar bersama motosikalnya di kawasan ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang minggu lalu percaya mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dengan menyoal siasat sembilan suspek termasuk dua wanita yang ditahan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu.

Kesemua mereka merupakan rakan-rakan Nor Ain Shafnie, 16, dan kebanyakan mereka adalah penagih dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan.

“Polis mengesyaki gadis berkenaan telah dirogol sebelum dibunuh dan dibakar. Siasatan masih berjalan dan kita tidak boleh dedahkan semuanya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Siti Khadijah dan Buluh Kubu di sini semalam.

Tindakan ibu bapa dikecam – Utusan


Tindakan ibu bapa dikecam

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

Tindakan sesetengah ibu bapa yang sanggup membawa anak-anak mereka menyertai perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu kota semalam mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

KUALA LUMPUR 29 April – Tindakan peserta perhimpunan haram Bersih 3.0 yang membawa anak-anak mereka ke perhimpunan itu dikecam sekeras-kerasnya, sekali gus disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Tan Sri Zaleha Ismail berkata, ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak dan bukannya sengaja mendedahkan mereka kepada risiko yang boleh mengancam nyawa.

”Tanggungjawab sebagai ibu bapa bukan sahaja memberi makan minum kepada anak-anak, malah, perlu dipastikan keselamatannya.

”Jika beli rumah sekalipun mereka perlu memastikan persekitarannya selamat, sedangkan tempat perhimpunan semalam sudah diketahui boleh mengundang bahaya seperti rusuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

KAJIAN PEMUTIHAN PERJAWATAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012


KAJIAN PEMUTIHAN PERJAWATAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012

SEMUA SEKOLAH DI BAWAH KPM PERLU MENGEMAS KINI SMG/ E-OPERASI
DARI 25 APRIL 2012 – 10 MEI 201
Layari http://apps.moe.gov.my/eoperasi bagi maklumat lanjut.

KENYATAAN MEDIA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MENGENAI ISU PENEMPATAN GRADUAN PENDIDIKAN INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM


KENYATAAN MEDIA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MENGENAI ISU PENEMPATAN GRADUAN PENDIDIKAN INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM

KENYATAAN MEDIA

YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP MENTERI PELAJARAN

MENGENAI ISU PENEMPATAN GRADUAN PENDIDIKAN

INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat prihatin dengan  masalah yang dihadapi oleh graduan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan telah mengambil langkah-langkah prakmatik dalam menyelesaikan soal penempatan mereka di sekolah-sekolah KPM.

 

Beberapa ketetapan dan penyelarasan telah dibuat bagi memastikan graduan ISMP yang belum ditempatkan dapat diserapkan di sekolah-sekolah bermula Mei ini.

 

Seramai 5,510 graduan IPTA telah mendapat panggilan temuduga dari Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai Januari tahun ini. Proses temuduga telah diadakan secara berfasa.

 

Seramai 4,953 graduan telah hadir dan dari jumlah tersebut SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila mereka tidak menghadirkan diri pada hari temuduga itu dijalankan.

 

Seramai 4,859 graduan telah berjaya dalam temuduga manakala 62 graduan telah gagal kerana tidak memenuhi empat (4) elemen yang dinilai iaitu keterampilan diri dan sikap, keupayaan berfikir dan kemahiran berkomunikasi, pengetahuan am dan isu semasa pendidikan serta pengetahuan bidang tugas.

 

Bagi sejumlah 4,859 graduan yang berjaya dalam temuduga, 29 graduan telah diberi penempatan ke Pusat Anak Permata Negara pada 8 April lalu.

Baki 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa. Penempatan Fasa 1 akan dilaksanakan pada 23 Mei 2012 dengan melibatkan 4,671 graduan.

 

Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

 

Baki 159 pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa 2 pada bulan Julai 2012 .

 

Pecahan graduan ISMP mengikut IPTA adalah seperti berikut :

Universiti Utara Malaysia (90), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017), Universiti Pertanian Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).

 

Pada Januari 2012, KPM telah melantik 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan sebagai Guru Interim bagi memenuhi keperluan pengisian guru-guru di Sekolah Menengah. Berikutan penempatan ini, perkhidmatan Guru Interim tersebut akan ditamatkan. Walaubagaimanapun, Guru Interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei 2012 berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT.

 

Guru Interim adalah guru yang dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi kekosongan sementara di sekolah-sekolah KPM. Perkhidmatan mereka adalah sehingga akhir tahun 2012 dan boleh ditamatkan dengan notis sebulan apabila terdapat bekalan guru tetap yang diterima dari SPP.

 

Status Graduan Pendidikan Institut Pendidikan Guru (IPG)

  • ·        Pada Jun 2012, terdapat 2,484 graduan J-QAF keluaran IPG untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan. Kesemua mereka akan melalui urusan temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.

 

Status Graduan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)

  • ·        Bagi graduan IPTS, urusan temuduga dan pengambilan tidak dilaksanakan pada masa ini kerana KPM memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah diunjurkan lebih awal oleh KPM kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan KPM.

 

Graduan boleh melayari laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran www.spp.gov.my untuk mengetahui samada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan oleh KPM dalam sedikit masa lagi.

 

Saya berharap kenyataan media ini dapat menerangkan dengan jelas kedudukan ISMP IPTA. Kepada yang telah berjaya di dalam temuduga dan akan diberikan penempatan di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya ucapkan tahniah. Semoga anda semua akan menjadi Guru yang berdedikasi dan dapat berbakti kepada negara. Kepada yang gagal pula, masih ada lagi ruang untuk terus berusaha.

 

 

YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN

 
Timbalan Perdana Menteri

Merangkap Menteri Pelajaran

Semakan Keputusan Panggilan Temuduga bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012


Semakan Keputusan Panggilan Temuduga bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012

Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Aplikasi Semakan Keputusan Panggilan Temuduga  bagi  Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012  boleh dibuat mulai jam 2 petang, pada 30 April 2012 (Isnin) melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia http://www.moe.gov.my
Sekian, terima kasih.