‘Pulanglah anakku, pulanglah’ – Sinar Harian


‘Pulanglah anakku, pulanglah’

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2012
‘Pulanglah anakku, pulanglah’
Syazwani yang menghilangkan diri pada 14 April lalu.

JASIN – “Pulanglah anakku, pulanglah. Kami semua merinduimu,” rayu ­seorang ibu yang sehingga kini mengharapkan anak gadisnya, Syazwani Ismail, 15, ­kembali ke pangkuan mereka setelah anaknya itu ­sehingga sekarang tidak pulang ke rumah sejak menghilangkan diri pada 4 April lalu.

Latifah Md Noor, 50, berkata, ­pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk berjumpa dengan pengamal perubatan Islam namun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang berita mengenai anak bongsu dari lima beradik itu.

Menurutnya, lebih menyedihkan ­pelajar tingkatan tiga di salah sebuah ­sekolah menengah di Jasin yang mesra dengan panggilan Wani dalam kalangan keluarga bukan sahaja gagal dikesan, malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi menyebabkan mereka sekeluarga buntu mencarinya.

“Saya risau akan keselamatan Wani dan hati saya kuat menyatakan yang dia masih berada di negeri ini serta mahu ­pulang ke rumah.

“Sehingga sekarang kami masih lagi berusaha mencari di merata-rata tempat dan berharap orang ramai dapat turut sama mencari Wani,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Ismail Maarof, 60, berkata, selepas kehilangan Wani, salah seorang anak perempuannya ada menerima pesanan ringkas daripada seorang individu yang dipercayai berada di Padang Temu memberitahu Wani di­simpan seorang individu bernama Wan di Taman Cempaka.

Menurutnya, dia cuba menghubungi individu terbabit untuk mensahih­kan maklumat itu, bagaimanapun gagal ­dihubungi dan ada juga yang pernah memberitahu ternampak anaknya itu di Dataran Pahlawan termasuk ada yang menyatakan Wani dikurung di bangunan dua tingkat di Taman Melaka Raya.

“Kehilangan Wani mungkin ­disebabkan terpengaruh dengan rakan yang ­dikenali melalui rangkaian sosial Facebook dan saya merasanya dia dikurung seseorang ­menyebabkan anak saya tidak pulang ke rumah.

“Saya merayu kepada mereka yang ­menyorokkan Wani agar dapat ­melepaskan dia dengan selamat,” katanya.

Ismail berkata, sehingga sekarang ­mereka sekeluarga bukan sahaja tidak lena tidur malah kesihatan isteri juga agak membimbangkan kerana terlalu merindui Wani.

“Saya mengalu-alukan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang ramai bersama-sama ikhtiar mencari anak gadisnya.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat ataupun pernah ternampak Wani boleh menghubunginya menerusi talian             013-6958849       dan             06-5292734       atau balai polis berdekatan,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Sinar Harian ­pernah menyiarkan mengenai kehila­ngan gadis terbabit namun ditemui semula ­sehari selepas berita mengenai kehilangannya disiarkan, sebelum dia kemudian hilang kali kedua pada 4 April lalu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s