Pelajar tingkatan dua dikhuatiri lemas semasa mencari kepah – Bernama


Pelajar tingkatan dua dikhuatiri lemas semasa mencari kepah

1 Mei 2012

MARANG – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Marang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di Sungai Kerak, di sini, hari ini.

Mangsa, Md Harith Iskandar Md Fuad Mahakim, 14, ketika kejadian bersama enam lagi rakannya turun mencari kepah selepas selesai menghadiri program gotong-royong di sekolah berkenaan kira-kira pukul 2.45 petang.

Bagaimanapun, rakan mangsa Muhammad Amar Afiruddin Abd Aziz, 15, berkata selepas kira-kira 10 minit mencari kepah di sungai itu, mangsa tiba-tiba terjun ke dalam sungai.

“Harith memang berhajat untuk mandi di sungai itu. Malah dia telah siap membawa bekalan dan baju. Kami sangkakan Harith pandai berenang namun sangkaan kami meleset apabila melihat mangsa terkapai-kapai meminta pertolongan. Dia memang tidak pernah mandi di sungai berkenaan sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Panik dengan kejadian yang menimpa rakannya itu, Muhammad Amar dan rakan yang lain terjun ke sungai bagi menyelamatkan mangsa namun tindakan itu sia-sia.

Muhamad Amar berkata, walaupun beliau sempat memegang badan mangsa namun keadaan air yang deras serta badan mangsa yang agak besar, usaha itu gagal sebelum melihat mangsa hanyut dan tenggelam dibawa arus.

“Itu sahaja yang terdaya kami bantu dan kemudiannya terus meminta pertolangan daripada orang kampung dan menelefon Bomba,” katanya.

Bapa mangsa, Md Fuad Mahakim Mustafa, 42, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu petang semalam ketika menemui mangsa di sekolahnya kerana anak lelaki tunggalnya itu tinggal bersama ayahnya (datuk) di Kampung Sungai Kerak itu.

Katanya beliau terkejut dan sedih setelah dimaklumkan berita ini oleh ayahnya Mustafa Yusof, 65, sejurus selepas itu dan bergegas dari rumahnya di Losong, Kuala Terengganu ke tempat kejadian.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata usaha mencari mangsa dilancarkan sebaik sahaja menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 2.55 petang.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh unit skuba Bomba terpaksa dihentikan pada pukul 7 petang berikutan cuaca gelap dan akan disambung usaha mencari mangsa pada awal pagi esok. – Bernama

SISTEM ANALISIS PEPERIKSAAN SEKOLAH (SAPS)


SISTEM ANALISIS PEPERIKSAAN SEKOLAH (SAPS)

 

Tarikh pengisian data Saringan Khas LINUS dilanjutkan pada hari Khamis 3 Mei 2012, 12 tengah malam akibat masalah teknikal yang dialami sebelum ini. SUP diminta supaya mengesahkan data LINUS tersebut (seperti MP lain) supaya status pengisian dianggap lengkap.

Urusan kemasukan markah bagi Ujian 1 SR dan SM telahpun ditutup. Walau bagaimanapun, pengguna masih boleh melakukan urusan selain dari memasukkan markah seperti menjana analisis dan memuat turun data. Terima kasih. Maklumat lanjut lawat: http://saps.moe.gov.my/access-denied.php

Murid sekolah rendah cedera dirempuh Hilux – Sinar Harian


Murid sekolah rendah cedera dirempuh Hilux

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2012
Murid sekolah rendah cedera dirempuh tak sempat beli mi segera
Adnan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Aiman ketika menziarahi di Kampung Tanjung Jati

KAMPUNG PARIT – Hasrat ­seorang murid sekolah rendah untuk ­membeli mi segera ­tidak ­kesampaian ­apabila dia ­dirempuh ­sebuah kenderaan ­jenis Hilux milik Syarikat Air Negeri Sembilan  (Sains) dari arah Bahau ke Kuala Pilah pada 17 April lalu.

Kejadian berlaku pada 1.30 petang di hadapan Pejabat Pos Kuala Pilah menyebabkan mangsa, Muhamad Aiman Mohd Razali, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah cedera di muka, tangan, kaki dan tiga gigi kekal patah setelah mukanya tersembam di jalan raya.

Ibunya, Norhayati Ahmad, 38, berkata, anaknya itu ke kedai bersama rakannya untuk membeli mi segera dan menyangka kenderaan itu sedang ­berhenti di tepi jalan.

“Namun sangkaannya ­meleset ­apabila kenderaan itu sebenarnya ­bergerak lalu merempuhnya ketika dia melintas jalan.

“Rakannya sempat melintas ­tetapi Muhamad Aiman dirempuh kenderaan itu,” ­katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Norhayati berkata, ketika menerima panggilan dari pihak sekolah yang menyatakan anaknya terlibat ­dalam ­kemalangan, yang terlintas di fikirannya hanya hidup atau tidak.

“Petang kejadian, dia ada kelas Kafa di sekolah tersebut dan sebelum kelas bermula, dia akan membeli makanan bersama rakannya

“Saya terkejut kerana atuknya baru sahaja menghantarkan wang saku RM2 kepadanya dan ketika melawatnya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), saya seluk kocek seluar ­sekolahnya dan mendapati masih ada RM2,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Jati.

Menurutnya, dia bersyukur ­kerana keadaan Muhamad Aiman tidak teruk dan hanya mengalami luka selain menerima ­empat jahitan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah, Adnan Abu Hassan ­kerana melawat Muhamad Aiman, malah menghulurkan bantuan bagi menampung pembelian ubat-ubatan.

“Individu yang melanggar Muhamad Aiman juga ada datang menziarahi dan ­memberi dua persalinan baju ­sekolah,” katanya.

Namun katanya, dia sedikit ­terkilan kerana wakil daripada pihak Sains ­sendiri tidak menziarahi anaknya.

“Saya bukan mahu meminta ­apa-apa tetapi atas dasar budi bicara pihak syarikat tersebut, mereka perlu datang melihat keadaan anak saya,” katanya.

Bakal calon SPM dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki – Sinar Harian


Bakal calon SPM dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2012
Bakal calon SPM dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki
Linda

LUKUT – Seorang remaja ­perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ­tahun ini ­hilang melarikan diri dan turut membawa anaknya hasil hubungan bersama bekas teman lelakinya.

Bapa remaja berkenaan, Ah Chye, 65, berkata, anak tunggalnya, Linda Loh, 17, itu mula disedari hilang pada Rabu lalu dan dipercayai ­melarikan diri bersama teman lelakinya.

“Ketika itu, saya baru bangun dari tidur dan mendapati Linda sudah tiada ­sementara cucu perempuan saya, Joanna Srephane Grace yang bakal berusia setahun bulan hadapan juga didapati tiada.

“Saya cuba menghubungi nombor telefon Linda namun tidak berjawab. Namun ­selepas dihubungi berkali-kali, ­nombor berkenaan sudah tidak aktif lagi,” katanya kepada pemberita ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lukut, semalam.

Ah Chye berkata, sebelum ini anaknya juga pernah keluar rumah dan dua hari ­tidak ­kembali ke rumah ­tanpa sebab.

“Kali ini saya mengesyaki anak perempuan saya ­melarikan diri bersama teman ­lelakinya dan sejak dia melarikan diri, dia juga didapati tidak hadir ke sekolahnya di sebuah sekolah di daerah ini.

“Saya sangat risau dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi Linda turut membawa anaknya hasil hubungan bersama bekas teman lelakinya itu,” katanya.

Katanya, dia merayu anaknya pulang ke rumah dan sedia memaafkan segala kesilapan yang dilakukan anaknya.

“Saya menerima dengan hati terbuka dan mahu dia kembali ke sekolah menduduki peperiksaan SPM dan berjaya memasuki universiti,” katanya.

Bimbang dengan kehila­ngan anaknya itu, Ah Chye yang tinggal di Taman Sri Bandar membuat laporan di Balai Polis Port Dickson sebanyak dua kali.

Sementara Adun Lukut, Ean Yong Tin Sin berkata, orang ramai yang terlihat Linda diminta memberi kerjasama untuk segera menghubungi balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ah Chye menerusi talian             017-6524093      .

Guru didenda RM2,000 anjing peliharaan cederakan kanak-kanak – Sinar Harian


Guru didenda RM2,000 anjing peliharaan cederakan kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2012
Guru didenda RM2,000 anjing peliharaan cederakan kanak-kanak
Thinakaran (tengah) didenda RM2,000 akibat kejadian yang berlaku

BUKIT MERTAJAM – Seorang guru didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan kecuaian hingga menyebabkan seorang kanak-kanak cedera diserang anjing peliharaannya.

Tertuduh, V Thinakaran, 49, dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan perumahan Perda Timur, Bandar Perda, dekat sini, kira-kira jam 6.45 petang, 18 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa gagal mengawal dan menjaga dengan selamat seekor anjing yang berada dalam milikannya hingga menyebabkan anjing itu menyerang dan mencederakan Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia merupakan seorang penjawat awam dan bapa kepada dua anak.

“Pada hari kejadian, saya mendengar ibu mertua menjerit memberitahu anjing terlepas. Saya cuba untuk menghalang anjing itu tetapi tidak sempat, lalu ia menggigit mangsa.

“Tujuan saya memelihara anjing adalah untuk menjaga keselamatan keluarga kerana kawasan rumah saya berhampiran dengan sawah. Saya juga mempunyai dua anak kecil. Saya
mohon maaf dan insaf dengan perbuatan itu dan memohon supaya mahkamah dapat mempertimbangkan rayuan­ saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa raya, J G Kaameni Jaya Raman dalam pendakwaannya meminta supaya mahkamah mengenakan hukuman maksimum terhadap tertuduh di atas
kesalahan yang dilakukan.

Ia kerana pihaknya percaya mangsa mengalami trauma teruk dan mengambil masa yang lama untuk pulih.

Selepas meneliti hujah dan rayuan tertuduh, Majistret Chang Kian Hong menjatuhkan hukuman denda RM2,000 sebagai pengajaran supaya tidak melakukan kesalahan sama di
kemudian hari.

Tertuduh dilihat membayar denda di kaunter sejurus selepas prosiding tamat.

Terdahulu dalam kejadian­ 18 Mac lalu, Dhiya Qairina cedera di bahagian belakang badan dan punggung selepas diserang anjing peliharaan jirannya yang terlepas dari kurungan, ketika dia sedang menunggang basikal di hadapan­ rumahnya di Lorong Perda Timur 9, Bandar Perda, dekat sini.

63 pelajar kaki ponteng ditahan – Kosmo


63 pelajar kaki ponteng ditahan

SEBAHAGIAN daripada pelajar yang ditahan dalam operasi gerak gempur basmi pelajar ponteng sekolah peringkat negeri Terengganu diberikan kaunseling oleh seorang pegawai JHEAT di Kuala Terengganu semalam.

 

KUALA TERENGGANU – Seramai 63 pelajar diberkas dalam operasi gerak gempur basmi pelajar ponteng sekolah peringkat negeri Terengganu yang dilancarkan semalam.

Operasi yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 12 tengah hari itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata, kesemua pelajar yang ditahan diberikan sesi kaunseling sebagai peringatan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Kita telah memberi mandat kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar terlibat sama ada dikenakan tindakan tatatertib ataupun digantung persekolahan bagi menyedarkan pelajar terlibat,” katanya selepas tamat operasi tersebut di sini semalam.

Sekolah Seni ketiga di Kuala Lumpur – Berita Harian


Sekolah Seni ketiga di Kuala Lumpur

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/05/01

Pengambilan pertama 100 lulus UPSR 2012

KEMENTRIAN Pelajaran akan menubuhkan satu lagi sekolah seni tahun depan, sekolah ketiga selepas Sekolah Seni Johor Bharu dan Sekolah Seni Kuching yang diwujudkan kira-kira lima tahun lalu.

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian kementerian itu, Muhamat Roli Hasan, berkata sekolah berkenaan akan ditubuhkan di Kuala Lumpur dengan pengambilan 100 pelajar Tingkatan Satu.

Katanya, Sekolah Seni Kuala Lumpur juga akan dilengkapi kemudahan studio dan peralatan seperti dua sekolah seni sebelum ini, selain kemudahan asrama.

Beliau berkata, sekolah seni beroperasi seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan pelajar berpeluang menikmati kemudahan selesa.

“Nama dan lokasi Sekolah Seni Kuala Lumpur belum boleh diumumkan kerana kementerian pada peringkat akhir meluluskan dana mengubah suai bangunan sedia ada.

“Selain bilik darjah dan studio seni, bangunan sekolah ini juga menyediakan asrama untuk 500 pelajar,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Muhamat Roli berkata, pengambilan pelajar Tingkatan Satu tahun depan bermula dengan lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan tiada pengambilan untuk pelajar ke Tingkatan Empat.

Katanya, syarat kemasukan ialah 3B dalam UPSR dan mempunyai bakat dalam bidang seni sama ada muzik, tarian, teater dan visual (reka bentuk, seni halus, komunikasi visual).

Selain kelayakan akademik, beliau berkata, kementerian akan menilai bakat seni lulusan UPSR menerusi temu duga khas di beberapa bandar utama seluruh negara.

“Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web kementerian Pelajaran selepas keputusan UPSR 2012 diumumkan hujung tahun ini,” katanya.

Sekretariat Malaysia Prihatin kenal pasti rakyat perlu bantuan – Berita Harian


Sekretariat Malaysia Prihatin kenal pasti rakyat perlu bantuan

2012/05/01

USAHA mewujudkan peluang pendidikan kepada remaja yang pencapaian akademik rendah adalah antara lima objektif utama Sekretariat Malaysia Prihatin dalam usaha membantu masyarakat mendapat pendidikan sempurna mengikut kemampuan dan kecenderungan masing-masing.

Pengurus besar sekretariatnya, Noraini Nordin, berkata inisiatif itu diharap dapat menyemai budaya masyarakat prihatin dan semangat sukarelawan dalam segenap lapisan masyarakat.

Usaha itu juga katanya, dapat meningkatkan taraf hidup dan menggalakkan semangat serta kesungguhan masyarakat untuk terus gigih berusaha seterusnya mengubah nasib keluarga kepada yang lebih baik.

“Program yang diatur adalah untuk memudahkan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti disediakan agensi kerajaan tanpa menempuh pelbagai kerenah birokrasi.

“Sekretariat bertindak sebagai jawatankuasa bagi mengenal pasti rakyat yang layak mendapat bantuan dan manfaat daripada sesuatu program kerajaan untuk dikemukakan kementerian atau agensi berkaitan,” katanya pada program Skor A PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Labu, Penaga di sini, baru-baru ini.

Seramai 250 calon PMR di sekitar Parlimen Kepala Batas menghadiri seminar dua hari anjuran Unit Pendidikan Berita Harian.

Seminar dipenuhi dengan enam siri ceramah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Kemahiran Hidup dan Sejarah.
Pada majlis itu juga, Noraini menyampaikan 50 kampit beras kepada keluarga pelajar miskin sebagai usaha meringankan beban mereka. Pengetua SMK Permatang Tok Labu, Mohamad Abdul Samad menerima bantuan itu bagi pihak keluarga pelajar.

Noraini berkata, pelajar yang berada dalam golongan pencapaian akademik rendah, kurang berkemampuan, tetapi mempunyai daya usaha dan keinginan untuk berjaya diberi keutamaan menyertai program Skor A PMR ini.