Guru BI ke luar negara diteliti
pengarang@utusan.com.my

CYBERJAYA 30 April – Kementerian Pelajaran akan meneliti cadangan supaya semua guru pelatih Bahasa Inggeris (BI) dihantar ke universiti bahasa di luar negara untuk meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun cadangan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Antarabangsa Kirkby (KIC), Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim itu adalah baik, tetapi ia masih memerlukan kajian yang mendalam.
Menurutnya, beliau percaya kaedah yang digunakan pada 1950-an di mana guru-guru dihantar ke Maktab Kirkby, England selama dua tahun dapat melahirkan pendidik yang menguasai Bahasa Inggeris dengan cemerlang.
”Guru-guru pelatih di Maktab Kirkby ketika itu berpeluang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris selama dua tahun dengan penutur jati, selain mempelajari budaya mereka yang menjadi asas kepada pembentukan Bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap merasmikan kampus KIC serta melancarkan buku bertajuk Kirkby College – A Heritage di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kolej Antarabangsa Kirkby, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim dan Presiden Kolej Antarabangsa Kirkby, Bismillah Khatoon Abdul Kader.
KIC ditubuhkan berasaskan inspirasi guru-guru yang tamat pengajian di Maktab Kirkby di Liverpool, England.
Muhyiddin berkata, kaedah pengajaran Bahasa Inggeris paling berkesan adalah secara bersemuka antara pelajar dengan guru bahasa tersebut.
”Maka guru perlu terlebih dahulu menguasai Bahasa Inggeris sebaik mungkin sebelum berhadapan dengan pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya bersedia mengadakan satu sesi khas bagi membolehkan KIC dan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia menyumbang cadangan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
”Saya telah melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) di mana satu daripada fokus utamanya adalah bagaimana kita memastikan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran DNPN menunjukkan komitmen kerajaan untuk menilai semula sistem pendidikan sedia ada secara menyeluruh.
”Kita mengajak semua rakyat untuk memberi maklum balas dan berkongsi pengalaman masing-masing, ini bagi membolehkan kita menyediakan formula yang dapat membawa sistem pendidikan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Alhamdulillah.. pertimbangan untuk menghantar bakal2 guru BI ke luar negara ini amat bernas 🙂 . Honestly to say, saya sbg salah s’org bakal guru BI sendiri merasakan bahawa bakal2 guru BI ini amat perlu untuk merasai ‘environment of Speaking English’ there, maka dengan ini, ia dapat membantu kami memperkemaskan lagi vocab dan knowledge kami sekaligus dapat membantu mempertingkatkan ‘accuracy & fluency’ kami dalam pertuturan demi untuk mendidik para murid kelak. Sesungguhnya, jika diberi peluang , hanya setahun pun sudah memadai untuk kami merasai dan memanfaatkan pengalaman semasa berada di sana. Justeru… saya, dengan seikhlas hatinya, benar2 berharap agar cadangan untuk menghantar bakal2 guru BI ke luar negara ini dipertimbangan dengan sewajarnya.
sesungguhnya segala pertimbangan akan memberi kesan kepada masa depan penguasaan bahasa inggeris kepada semua anak didik malaysia. sebagai bakal pendidik, kami memerlukan sesuatu perubahan untuk mengubah masa depan negara.:)