Guru mesti terlebih dulu kuasai BI – Berita Harian


Guru mesti terlebih dulu kuasai BI

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2012/05/01

 MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di Cyberjaya, semalam.

MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di Cyberjaya, semalam.

Semangat Maktab Kirkby dapat lonjak penguasaan bahasa Inggeris: TPM

CYBERJAYA: Tiada kaedah pengajaran yang lebih berkesan melainkan guru menguasai bahasa Inggeris terlebih dulu sebelum berdepan dengan pelajar bagi mengajar bahasa itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kaedah diguna pakai pada 1950-an yang mana guru dihantar ke Maktab Kirkby, England untuk belajar daripada tenaga pengajar yang juga penutur jati bahasa Inggeris ternyata dapat melahirkan guru yang menguasai bahasa itu dengan cemerlang.

Pendekatan sama boleh bantu kita mengatasi salah satu rungutan utama sektor profesional di sini iaitu mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan universiti tidak memuaskan, sekali gus membawa implikasi besar terhadap daya saing dan pembangunan negara. – Tan Sri Muhyiddin Yassin

Katanya, guru pelatih di Maktab Kirkby ketika itu berpeluang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris selama dua tahun dengan penutur jati, selain mempelajari budaya mereka yang menjadi asas kepada pembentukan budaya berbahasa Inggeris.

“Pendekatan sama boleh bantu kita mengatasi salah satu rungutan utama sektor profesional di sini iaitu mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan universiti tidak memuaskan, sekali gus membawa implikasi besar terhadap daya saing dan pembangunan negara.

“Saya yakin semangat Maktab Kirkby dapat memainkan peranan dalam melonjakkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih dan masyarakat umum di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut melancarkan buku bertajuk Warisan Maktab Kirkby sempena majlis itu. Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; Pengerusi Lembaga Pengarah KIC, Tan Sri Dr Yahya Ibrahim dan Presiden KIC, Bismillah Khatoon.
Bangunan KIC yang dibina dengan kos RM54 juta itu menempatkan 1,030 pelajar termasuk kira-kira 1,000 pelajar lepasan diploma yang kini mengikuti Program Pensiswazahan Guru, selain 126 pelajar lepasan sekolah menengah yang kini mengikuti Program Latihan Perguruan Peringkat Ijazah Pertama.

Muhyiddin berkata, tokoh guru seperti Yahya, yang juga Alumni Maktab Kirkby, wajar memanfaatkan kelulusan dan pengalaman luas beliau serta rakan seangkatannya untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan tenaga pengajar di sini.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM) turut menyumbang cadangan dan pemikiran dalam Dialog Kebangsaan Kajian Semula Pendidikan yang beliau lancarkan kelmarin, menjurus kepada aspek khusus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, walaupun bahasa Inggeris diletakkan di tempat kedua selepas bahasa Melayu, kerajaan tetap mengiktiraf kepentingan usaha memastikan rakyat menguasai bahasa antarabangsa itu.

Pelajar ke tingkatan 6, matrikulasi dan IPT dikecualikan sertai PLKN – Bernama


Pelajar ke tingkatan 6, matrikulasi dan IPT dikecualikan sertai PLKN

2012/05/01

KUALA LUMPUR: Pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, matrikulasi, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS dibenarkan menangguh untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang

Kechil, berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran, dengan pelatih dibenarkan menyertai PLKN selepas tamat pengajian.

Persetujuan juga dicapai untuk menetapkan had umur maksimum 35 tahun untuk
peserta menyertai program itu, katanya kepada pemberita selepas melancarkan
pergerakan pelatih-pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 9 di Padang Bangunan Zetro,
Wangsa Maju di sini, hari ini.

Program 2 Siri 9/2012 PLKN yang bermula hari ini melibatkan pergerakan 53,348 pelatih di seluruh negara dengan menaiki 906 bas, 46 penerbangan dan
sembilan feri untuk tempoh tiga hari ini.

Pergerakan hari ini membabitkan seramai 19,300 orang dengan menaiki 324 bas, 29 penerbangan dan sebuah feri.

“Penangguhan ini bagi membantu ibu bapa supaya tidak perlu mengambil anak
mereka yang menyertai latihan ini untuk melanjutkan pelajaran dan akan
menghantar anak mereka untuk menyertai latihan ini kembali setelah tamat
pengajian,” katanya.

Abdul Hadi berkata, selain itu, calon yang sedang menunggu keputusan
peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dijangka diumumkan
pada September depan, dibenarkan untuk memohon menyertai PLKN.

Beliau berkata, permohonan untuk menyertai PLKN akan dibuka seawal-awalnya hujung minggu.

Abdul Hadi juga berkata, JLKN juga mengadakan kaji selidik mengenai
status indeks jisim tubuh (BMI) 32,032 orang pelatih PLKN kumpulan satu awal
tahun ini bagi mengenal pasti kesesuaian aktiviti fizikal atau keperluan mereka.

Katanya selepas 10 minggu menyertai PLKN, seramai 397 daripada 2,502
peserta yang di bawah kategori obesiti dan 207 orang daripada 4,003 peserta di
bawah kategori gemuk berjaya menurun berat badan.

Kesemua 504 peserta itu mendapat berat badan yang ideal setelah menamatkan
latihan mereka, katanya.

“Ini adalah kali pertama program itu dijalankan, dan berharap selepas mereka
menamatkan latihan ini, mereka akan terus mengekalkan berat badan yang ideal, ”
katanya. – BERNAMA

Anak berusia 15 tahun tikam bapa sehingga mati – Berita Harian


Anak berusia 15 tahun tikam bapa sehingga mati

2012/05/01

IPOH: Seorang remaja berusia 15 tahun dipercayai menikam bapanya berumur 39 tahun bertubi-tubi sehingga mati di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata Jaswant Singh, 40, ditemui mati di bilik tidur rumahnya jam 1.30 pagi dengan beberapa kesan luka di badan.

“Polis sudah menahan seorang remaja lelaki yang tampil membuat laporan di balai polis berhampiran mengenai kejadian itu,” katanya.

Polis turut menjumpai dua pisau yang dipenuhi darah di padang permainan berhampiran tempat kejadian.

Guru BI ke luar negara diteliti – Utusan


Guru BI ke luar negara diteliti

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Kolej Antarabangsa Kirkby dan pelancaran buku Kirkby College – A Heritage di Cyberjaya, semalam. Turut serta Dr. Yahaya Ibrahim (kiri) dan Bismillah Khatoon Abdul Kader (tiga dari kiri). – BERNAMA

CYBERJAYA 30 April – Kementerian Pelajaran akan meneliti cadangan supaya semua guru pelatih Bahasa Inggeris (BI) dihantar ke universiti bahasa di luar negara untuk meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun cadangan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Antarabangsa Kirkby (KIC), Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim itu adalah baik, tetapi ia masih memerlukan kajian yang mendalam.

Menurutnya, beliau percaya kaedah yang digunakan pada 1950-an di mana guru-guru dihantar ke Maktab Kirkby, England selama dua tahun dapat melahirkan pendidik yang menguasai Bahasa Inggeris dengan cemerlang.

”Guru-guru pelatih di Maktab Kirkby ketika itu berpeluang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris selama dua tahun dengan penutur jati, selain mempelajari budaya mereka yang menjadi asas kepada pembentukan Bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap merasmikan kampus KIC serta melancarkan buku bertajuk Kirkby College – A Heritage di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kolej Antarabangsa Kirkby, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim dan Presiden Kolej Antarabangsa Kirkby, Bismillah Khatoon Abdul Kader.

KIC ditubuhkan berasaskan inspirasi guru-guru yang tamat pengajian di Maktab Kirkby di Liverpool, England.

Muhyiddin berkata, kaedah pengajaran Bahasa Inggeris paling berkesan adalah secara bersemuka antara pelajar dengan guru bahasa tersebut.

”Maka guru perlu terlebih dahulu menguasai Bahasa Inggeris sebaik mungkin sebelum berhadapan dengan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya bersedia mengadakan satu sesi khas bagi membolehkan KIC dan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia menyumbang cadangan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

”Saya telah melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) di mana satu daripada fokus utamanya adalah bagaimana kita memastikan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran DNPN menunjukkan komitmen kerajaan untuk menilai semula sistem pendidikan sedia ada secara menyeluruh.

”Kita mengajak semua rakyat untuk memberi maklum balas dan berkongsi pengalaman masing-masing, ini bagi membolehkan kita menyediakan formula yang dapat membawa sistem pendidikan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Tiga maut bas dinaiki langgar tembok plaza tol – Bernama


Tiga maut bas dinaiki langgar tembok plaza tol

KUALA LUMPUR 1 Mei – Tiga termasuk pemandu bas maut manakala tiga lagi cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki melanggar tembok pembinaan plaza tol baru Sungai Buaya, Rawang di KM434 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan pada pukul 1.50 pagi tadi.

 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Yahya Afendi berkata bas yang membawa 48 penumpang dari Chenderiang, Perak, menuju ke Melaka itu hilang kawalan sebelum melanggar tembok dan terbalik di atas lebuh raya.

Beliau memberitahu Bernama mangsa yang maut ialah pemandu bas S.Velmurugu, 44, serta dua penumpang iaitu K.Vimala, 54, dan M.Setap, 46.

Katanya mayat ketiga-tiga mangsa itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat.

Tiga penumpang yang cedera ialah R.Fahdilah, 14, dan Raja Nor Hayer Raja Yusof, 57, masing-masing patah tangan kanan manakala Salbiah Abdul Rahman, 64, pula mengalami kecederaan di kepala.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Norel Azmi berkata ketika kejadian, keadaan cuaca amat baik tetapi lokasi kemalangan dilaporkan gelap kerana tiada lampu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

MENU PERKATAAN DAN DAFTAR ISTILAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM PORTAL RASMI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


MENU PERKATAAN DAN DAFTAR ISTILAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM PORTAL RASMI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan Menu Perkataan dan Daftar Istilah Sains dan Matematik bagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik.

Menu perkataan dan daftar istilah tersebut telah dimuat naik ke dalam portal rasmi KPM. Sehubungan itu, semua guru dan murid boleh mengakses menu tersebut dengan melayari http://www.moe.gov.my/index.php?id=328&lang=my  sebagai rujukan untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Perincian Panduan Penggunaan Menu Perkataan dan Daftar Istilah tersebut adalah seperti dalamLampiran di bawah.

URUSAN PEMANGKUAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SEBAGAI GURU CEMERLANG dan PENSYARAH CEMERLANG TAHUN 2012


URUSAN PEMANGKUAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SEBAGAI GURU CEMERLANG dan PENSYARAH CEMERLANG TAHUN 2012

URUSAN PEMANGKUAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SEBAGAI GURU CEMERLANG DI SEKOLAH DAN PENSYARAH CEMERLANG DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU, INSTITUT AMINUDDIN BAKI, KOLEJ METRIKULASI DANENGLISH LANGUAGE TEACHING CENTRE SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2012