Kasut sukan ganti selipar beri motivasi remaja Kemaman – Bernama


Kasut sukan ganti selipar beri motivasi remaja Kemaman

2 Mei 2012

 

KEMAMAN – Pemandangan sekumpulan remaja mengayuh basikal fixie dengan hanya berselipar atau sandal di sini bakal lenyap apabilakebanyakan mereka menerima kasut sukan bagi melakukan aktiviti berkenaan.

Hari ini, 627 remaja berkenaan menerima kasut sukan jenama Bata yang disumbangkan Menteri Beliau dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang juga Ahli Parlimen Kemaman, di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman di sini.

Walaupun menunggang basikal fixie, yang menjadi kegilaan ramai remaja masa kini satu aktiviti riadah yang bagus, aspek keselamatan sering diabaikan oleh remaja terbabit tanpa memakai kasut yang sempurna.

Ketika mengadakan pertemuan dengan ahli kelab basikal itu pada Februari lalu, Ahmad Shabery terkejut apabila mendapati kebanyakan mereka lebih senang berbasikal fixie dengan memakai selipar, kasut sekolah dan ada juga yang menggunakan sandal.

Beliau yang risau dengan trend itu bersetuju untuk menyumbangkan kasut sukan jenama Bata bagi kegunaan ahli-ahli kelab basikal fixie di daerah itu demi keselamatan ketika beriadah, selain dapat mencungkil bakat baru sukan berbasikal di Terengganu.

Seorang pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah  Menengah Bukit Mentok, Mohd Alif Hafizuddin begitu gembira kerana ini adalah kali pertama dia mendapat kasut sukan jenama Bata untuk dipakainya ketika berbasikal fixie nanti.

“Seronok sangat sebab kasut sukan ni cantik. Sebelum ni, saya pakai selipar Jepun sahaja sebab harga kasut sukan bukannya murah, semua mahal, tak mampu saya nak beli,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Kegembiraan itu turut dikongsi pelajar Tingkatan Satu sekolah sama, Najmi Nazeri yang tidak sabar-sabar lagi ingin memakai kasut sukan itu untuk kelihatan lebih bergaya dan lebih yakin apabila berbasikal.

“Memang teringin nak beli kasut, tapi ibu bapa saya suruh saya simpan wang tabungan bagi membolehkan saya membeli kasut sukan yang lebih canggih dan sesuai digunakan untuk aktiviti riadah kerana selama ini saya hanya pakai selipar Jepun.

“Bila dah terima kasut ini, rasa lebih bersemangat dan ingin serius dalam sukan basikal fixie ini,” katanya yang selalu menghabiskan masa petang selepas habis sesi persekolahan untuk berbasikal.

Juriati Munirah Anis Osman, pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 1, pula melibatkan diri dalam aktiviti riadah berbasikal sejak dua tahun lalu namun tidak pernah membeli kasut sukan yang begitu cantik seperti mana yang diterimanya pada hari ini.

“Selepas mendengar nasihat daripada menteri (Ahmad Shabery), barulah kami (penunggang basikal fixie) sedar betapa pentingnya mengutamakan aspek keselamatan sepanjang berada di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Basikal Fixie Kemaman berkata keprihatinan Ahmad Shabery membuktikan golongan remaja di daerah itu sangat bertuah kerana mendapat sokongan daripada tokoh politik berkenaan.

“Kami semua akan lebih serius lagi untuk berkecimpung dalam sukan ini seterusnya menjadikan Terengganu sebagai kuasa sukan terunggul di Malaysia, khasnya, sukan basikal fixie,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s