Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan – Berita Harian


Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan

2012/05/02

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan pakaian seragam di sekolahnya, pagi Ahad lalu.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan St Micheal, Muhammad Norman Zahar, dilaporkan gagal dikesan oleh keluarganya ketika ingin mengambilnya di sekolah sebaik program itu berakhir.

Ibu mangsa, Sharifah Mustafa, 35, mempercayai anaknya diculik kerana kanak-kanak itu tidak pernah hilang dari rumah atau mempunyai masalah dengan keluarga.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan guru sekolah bahawa Muhammad Norman sudah pulang ke rumah selepas selesai program perkhemahan kira-kira jam 10 pagi, Ahad lalu.

“Namun, kami tidak menemuinya sepanjang hari. Kami membuat laporan polis pada malam Ahad lalu,” katanya ketika ditemui di Taman Tawas Indah, di sini, semalam.

Lebih menguatkan syak anaknya diculik apabila anak saudaranya, Fazli Bakhtiar, 22, yang sedang memandu lori terserempak dengan Muhamamad Norman dalam sebuah kereta Perodua MyVi di Jalan Silibin, di sini, kelmarin.

“Anak saudara saya memaklumkan Muhammad Norman melambaikan tangan dari dalam kereta berkenaan, namun gagal dijejaki dan lesap dalam kesesakan lalu lintas.
“Selang sejam kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan anak saya berada bersamanya dan akan menghantarnya pulang ke rumah,” katanya.

Sharifah berkata, dia menunggu kepulangan anaknya itu di rumah, namun kelibat Norman tidak muncul sebelum dia menyerahkan nombor telefon suspek kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya dan suami, Zahar Ahmad, 37, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa keluarga kami. Kami percaya ada individu yang menyembunyikan anak kami,” katanya yang berusaha menjejaki mangsa, termasuk menerusi rakan sekolahnya dan sanak- saudara di Ipoh serta Taiping.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihak nya menerima laporan dibuat keluarga mangsa.

“Sehingga semalam, kami tidak dapat menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s