Nayati temui rakan selepas dibebaskan penculik – Bernama


Nayati temui rakan selepas dibebaskan penculik

3 Mei 2012
Nayati bersama rakanya
Nayati (di tengah) bersama rakanya selepas dibebaskan dengan selamat di Rawang awal pagi tadi. – Foto ihsan @ShamMoodliar

KUALA LUMPUR – Bertemu rakan sekolah dan membuat pemeriksaan perubatan adalah antara aktiviti Nayati Shamelin Moodliar dan keluarganya selepas beberapa jam dibebaskan penculik hari ini.

Biarpun enam hari trauma akibat diculik, Nayati kelihatan sudah mampu tersenyum dalam gambar bersama rakan sekolahnya yang dirakamkan oleh bapanya, Shamelin Moodliar dan disiarkan di laman Twitternya, Sham Moodliar.

Gambar Nayati diambil sedang berjalan pulang bersama rakan sekolahnya dari Sekolah Antarabangsa Mont’ Kiara, yang terletak berdekatan rumahnya di Mont Kiara Ten, di sini.

Dalam gambar terbarunya, Nayati, bertopi dan memakai t-shirt berwarna hijau sambil berpegangan tangan dengan rakan-rakannya.

“Nayati memilih untuk berjalan ke rumah,” kata bapanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana usaha pasukan itu membawa anaknya pulang.

Nayati, 12, dilapor hilang dipercayai diculik dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont’ Kiara ketika berjalan berseorangan ke sekolahnya Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Nayati ditemui selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini pada pukul 7.55 pagi selepas keluarganya membayar wang tebusan semalam.

Polis kini sedang memburu penculik Nayati itu dengan menubuhkan satu pasukan khas untuk menanganinya.

Moodliar berkata Nayati ingin ke sekolah dengan secepat mungkin dan dalam pertemuan itu dengan rakannya, Nayati memeluk rakan dan gurunya.

“Semangat Nayati sangat kuat. Beliau meminta untuk ke sekolah dengan segera,” kata ayahnya.

Terdahulu, Moodliar berkata anaknya juga telah menjalani pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada sebarang kecederaan. – Bernama

Kementerian Pelajaran kaji semula panduan keselamatan – Bernama


Kementerian Pelajaran kaji semula panduan keselamatan

3 Mei 2012

 

MUAR – Kementerian Pelajaran akan meneliti semula garis panduan keselamatan sekolah di negara ini dalam usaha memperkukuhkan aspek keselamatan pelajar bukan sahaja di dalam kawasan tetapi juga luar kawasan sekolah.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian semalam dan memutuskan pekeliling keselamatan sedia ada ditambah baik untuk mempertingkat aspek keselamatan pelajar.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kes penculikan pelajar warga Belanda Nayati Shamelin Moodliar, 12 tahun pada 27 April ketika dalam perjalanan ke sekolah menyedarkan beliau dan kementerian mengenai aspek keselamatan pelajar bukan sahaja harus dititikberatkan di dalam kawasan sekolah tetapi juga di luar sekolah.
“Kita telah ada pekeliling (keselamatan) sekian lama… tetapi dengan perkembangan terbaru kita nak lihat balik bagaimana nak perkukuhkan keselamatan pelajar dengan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dipertingkat,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Bola Sepak Berjaya Corp Bhd -7Eleven- dan Cosway Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Junid di sini hari ini. – Bernama

Anggota polis dituduh cabul – Sinar Harian


Anggota polis dituduh cabul

ROSMIZA KASIM
3 Mei 2012

 KOTA BHARU – Seorang anggota polis trafik berpangkat Cif Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan seks di luar tabii dan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di dalam sebuah kereta peronda, dua tahun lalu.

Tertuduh Ishak Mahmud, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha dan minta dibicarakan selepas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Ishak didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan luar tabii dengan menyuruh seorang remaja perempuan berusia 15 tahun melakukan perbuatan tidak senonoh tanpa kerelaan mangsa di dalam sebuah kereta peronda polis jenis

Proton Perdana di kawasan Kampung Air Terjun, Pasir Puteh pada jam 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada tarikh, waktu dan tempat sama, Ishak yang berasal dari Pasir Puteh turut didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul mangsa yang sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Intan Nur Hilwani Mat Rifin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh membabitkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam bela, Rosmizan Sulaiman memohon tertuduh dibenarkan dilepas dengan jaminan yang munasabah dengan mengambil kira latar belakang keluarga, kesihatan tertuduh serta rekod bersihnya sepanjang berkhidmat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh serta ahli keluarga terdekat tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Murid hilang ditemui selamat – Sinar Harian


Murid hilang ditemui selamat

ROSDALILAH ZAHARI
3 Mei 2012
Murid hilang ditemui selamat
Muhammad dicium bapanya, Zahar dan ibunya, Sharifah tanda gembira apabila anak mereka pulang semula ke rumah

IPOH – “Syukur anak kami selamat,” luah Zahar Ahmad, 37, bapa kepada Muhammad Norman Zahar yang dilaporkan hilang, Ahad lalu.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan, pulang ke rumah rakan sekolahnya itu di Kampung Manjoi, di sini tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada ibu dan bapanya.

Akibat insiden tersebut, emosi ibu kanak-kanak tersebut, Sharifah Mustafa, 35, turut terganggu kerana mefikirkan nasib anaknya itu.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan St Michael itu dilaporkan hilang selepas selesai program perkhemahan badan beruniform anjuran sekolahnya pada hari yang sama.

Zahar berkata, dia dan isteri sangat gembira apabila dimaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat selepas empat hari berjauhan.

“Mula-mula kami bimbang jika kemungkinan dia diculik. Lantas dengan segera kami memaklumkan kepada saudara mara dan rakan-rakan mengenai perkara tersebut.

“Lebih mengejutkan apabila salah seorang saudara saya memberitahu dia terserempak dengan anak saya dalam sebuah kereta dua hari lalu.

“Kerana takut anak saya diapa-apakan, saya segera membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada malam kejadian,” katanya ketika ditemui dirumahnya, semalam.

Menurutnya, dia mengenali rakan sekolah anaknya itu kerana sering melihat mereka berdua bersama terutama ketika mengambilnya dari sekolah setiap hari.

Tambahnya, dia sekeluarga juga membuat keputusan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap keluarga rakan anaknya itu memandangkan anaknya sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Muhammad Norman hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan beruniform sekolahnya pada 29 April lalu.

Nayati Shamelin dibebas selepas tebusan dibayar: Polis – Berita Harian


Nayati Shamelin dibebas selepas tebusan dibayar: Polis

2012/05/03

KUALA LUMPUR: Pelajar Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu dibebaskan penculiknya selepas 19 jam ibu bapanya membayar wang tebusan yang diminta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika mengesahkan perkara itu, bagaimanapun, tidak mendedahkan jumlah wang tebusan berkenaan, namun menyifatkannya sebagai ‘boleh tahan’ ketika ditanya media.

Katanya, polis sedang mengesan kumpulan penculik terbabit.

Kanak-kanak dilarikan, Nayati Moodliar ditemui selamat – Berita Harian


Kanak-kanak dilarikan, Nayati Moodliar ditemui selamat

2012/05/03

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Moodliar, 12, yang dipercayai hilang dan dilarikan dua lelaki tidak dikenali 27 April lalu, ditemui selamat di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh pada jam 7.55 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kanak-kanak berkenaan kini berada dalam keadaan selamat bersama keluarganya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak lelaki warga Belanda itu hilang dipercayai diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini, kira-kira jam 7 pagi, Jumaat lalu.

Nayati, yang memakai pakaian seragam sekolahnya dikatakan dilarikan dua lelaki yang menaiki kereta Proton Gen-2 berwarna hitam.

Keluarga Nayati ucap terima kasih kepada media, polis – Berita Harian


Keluarga Nayati ucap terima kasih kepada media, polis

2012/05/03

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Moodliar, 12, yang dilarikan Isnin lalu mengucapkan ribuan terima kasih kepada media kerana membantu menghebahkan maklumat ke seluruh negara.

Wakil keluarga yang tidak mahu namanya disiarkan menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan rakyat negara ini termasuk pihak media dan polis.

“Terima kasih kepada pihak media yang banyak membantu dan bekerjasama dalam membawa Nayati pulang ke pangkuan keluarga semula,” katanya di kediaman keluarga itu di Mont Kiara di sini, hari ini.

5 beranak mati dalam kereta – Metro


5 beranak mati dalam kereta

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MAUT...anggota polis mengangkat mayat seorang daripada mangsa untuk dihantar ke hospital.
MAUT…anggota polis mengangkat mayat seorang daripada mangsa untuk dihantar ke hospital.

MASAI: Lima beranak ditemui maut di dalam sebuah kereta Proton Iswara yang diletak di dalam kedai penghawa dingin kenderaan milik ketua keluarga berkenaan di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Masai di sini, petang semalam.

Lima beranak itu membabitkan bapa berusia 30-an yang mayatnya berada di tempat pemandu, isterinya, 30-an berada di tempat duduk penumpang depan sambil memangku anak perempuan bongsu mereka berusia empat tahun manakala dua lagi anak pasangan itu berada di tempat duduk belakang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, dua kanak-kanak terbabit ialah anak lelaki berusia 11 tahun dan dan anak perempuan berusia sembilan tahun.

Menurutnya, polis mendapat laporan jam 7.10 malam yang dibuat bapa ketua keluarga berkenaan selepas gagal menghubungi anaknya sejak Ahad lalu.

 
“Ketua keluarga yang terbunuh itu dikatakan menghantar bapanya berusia 60-an, ke Hospital Sultan Ismail pada jam 11 pagi, Ahad lalu, untuk mendapatkan rawatan buah pinggang dan meninggalkan bapanya di hospital itu.

Derita setahun dikurung – Metro


Derita setahun dikurung

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun bukan saja dikurung sejak setahun lalu, malah turut dipukul dengan tali pinggang dan kayu oleh bapanya sehingga menyebabkan kecederaan serius di kepala dan badan.

Penderitaan kanak-kanak itu yang didera di sebuah rumah di Taman Desa, di sini, berakhir kelmarin apabila sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat daripada penduduk.

Sumber berkata, dalam serbuan jam 1 pagi itu, bapa kanak-kanak terbabit yang berusia 30-an ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, laporan polis mengenai penderaan ke atas kanak-kanak itu dibuat wakil penduduk di kawasan berkenaan yang sudah beberapa kali menegur dan memberi peringatan kepada bapa mangsa supaya menghentikan perlakuannya yang tidak bertimbang rasa itu.

 
“Mangsa tinggal bersama suspek selepas lelaki itu berpisah dengan isterinya lebih dua tahun lalu. Suspek mendiami rumah berkenaan sejak setahun lalu bersama beberapa rakannya.

Penghantaran guru ke luar negara bukan pembaziran – Metro


Penghantaran guru ke luar negara bukan pembaziran

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Cadangan penghantaran guru pelatih Bahasa Inggeris ke luar negara bukan satu pembaziran sebaliknya pelaburan jangka panjang bagi memastikan bukan saja tenaga pengajar terbaik dapat dihasilkan, malah modal insan lebih berketrampilan dilahirkan dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan itu antara strategi dirangka kementerian bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar.
“Bagi kementerian, langkah menghantar guru ke luar negara bukan satu pembaziran sebaliknya pelaburan penting melahirkan guru Bahasa Inggeris berkualiti yang kemudiannya ditempatkan ke sekolah kawasan pedalaman.

 

“Kita banyak melaksanakan program memantapkan Bahasa Inggeris di dalam negara termasuk menerusi program penempatan Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) di sekolah seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, ia mencakupi penempatan 370 guru luar negara sebagai pelatih guru selain membantu Institut Pendidikan Guru (IPG) negara.
“Tiada istilah pembaziran dalam memantapkan sistem pendidikan negara kerana ada baiknya kita melabur menerusi langkah jangka panjang kerana manfaatnya lebih besar,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan, supaya kerajaan mengambil tenaga pengajar Bahasa Inggeris tempatan untuk melatih guru menguasai bahasa itu dengan cemerlang bagi menjimatkan kos pembiayaan pengajian mereka di luar negara.