Enam ahli keluarga buta – Sinar Harian


Enam ahli keluarga buta

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2012

 

KUALA KETIL – Sekeluarga enam beranak yang cacat penglihatan dari Taman Seri Wangi, Kuala Ketil mendapat perhatian banyak pihak bagi membantu meringankan beban keluarga itu.
N. Kumar, 36, selaku ketua keluarga menggalas tanggungjawab menjaga isteri, dua anak, adik ipar termasuk ibu bapa mertuanya yang mengalami masalah penglihatan sejak beberapa tahun lalu.
Berikutan masalah penglihatan keluarganya, Kumar terpaksa bekerja keras termasuk mencari besi buruk bagi memastikan kebajikan ahli keluarganya terbela.
Lebih memeritkan, dua anaknya iaitu, K Gunalan, 8, serta K Kanagamani, 6, terpaksa bergantung kepada cermin mata khas yang perlu ditukar enam bulan sekali.
Menurutnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggungnya.
Penderitaan ahli keluarganya itu dipercayai disebabkan penyakit keturunan sejak puluhan tahun dulu dan kini penyakit itu diwarisi isteri, anak termasuk ibu bapa mertuanya.
Menurutnya, penderitaan itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada keluarganya.
“Selagi saya masih sihat, saya akan terus bekerja untuk kebaikan mereka. Namun begitu, saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu meringankan keluarga saya.
“Inisiatif pelbagai pihak yang sudi membantu antaranya individu termasuk pemimpin setempat amat dihargai,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu.
“Bukan seorang, tapi enam ahli keluarga buta. Saya kagum dengan semangat Kumar yang komited menjaga kebajikan ahli keluarganya itu,” katanya ketika melawat keluarga itu.
Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah dan Pengerusi Kelab Putera 1 Malaysia Baling, R. Karthik.
Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno akan membawa dua anak N.Kumar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan pakar mata, menjelaskan cukai pintu dan tanah keluarga itu yang tertunggak sejak 2008 serta menanggung bil air, elektrik keluarga itu setiap bulan.

Sekolah Agama RM6.5 juta bakal dibina – Bernama


Sekolah Agama RM6.5 juta bakal dibina

4 Mei 2012

KUALA LUMPUR – Sebuah sekolah agama bernilai RM6.5 juta akan dibina di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di Pantai Dalam tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Projek yang dibangunkan melalui peruntukan Majlis Agama Islam Persekutuan Kuala Lumpur itu akan bermula dalam tempoh sebulan.

“Pembinaan sekolah berkenaan yang lokasinya berdekatan Surau Al-Hijrah PPR Pantai Ria, kini sedang proses bidaan tender,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Surau Al-Hijrah, PPR Pantai Ria, di sini hari ini.

Jamil Khir berharap surau serta sekolah agama yang bakal dibina itu dapat memperkemaskan kejituan komuniti setempat dan membina kehidupan masyarakat yang lebih baik.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang turut hadir, ketika berucap meminta masyarakat setempat menggunakan surau sebagai medium untuk menyatupadukan umat Islam.

“Gunakan surau untuk eratkan silaturahim, jangan gunakan surau untuk perpecahan kerana kita perlu sedar akan ada pihak sentiasa mengambil peluang untuk memecahbelahkan perpaduan orang Islam,” katanya. – Bernama

KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012


KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latarbelakang Kajian Semula Pendidikan dan Jadual Sesi Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, sila muat turun fail-fail di bawah.

Muhyiddin mahu usaha berterusan pertingkat kualiti pembelajaran – Bernama


Muhyiddin mahu usaha berterusan pertingkat kualiti pembelajaran

2012/05/04

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah perlu dilakukan secara berterusan dan digembleng menerusi kerjasama antara ibu bapa serta guru walaupun negara memiliki kemudahan pendidikan setaraf negara maju.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sudah menyediakan prasarana pendidikan yang terbaik untuk rakyat.

“Kemudahan dan infrastruktur pendidikan di negara ini setaraf dengan negara maju tetapi pada masa yang sama kualiti pembelajaran murid di sekolah sentiasa perlu dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika menghadiri majlis penyampaian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Kebangsaan Kampung Kemasih, Grisek di sini, hari ini.

Muhyiddin memberikan contoh bagaimana Sekolah Kebangsaan Ulu Ibai, Sarawak yang terletak di kawasan pedalaman dan hanya dilengkapi dengan kemudahan asas persekolahan mampu terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). – BERNAMA

Nayati masih alami trauma: Keluarga – Bernama


Nayati masih alami trauma: Keluarga

2012/05/04

PETALING JAYA: Pelajar Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dibebaskan penculik di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh semalam, masih tertekan dan trauma akibat diculik hampir seminggu.

Perkara itu dinyatakan kedua ibu bapa Nayati, Sham Moodliar, 41, dan Janice Smith, 40.

“Sampai saja di rumah, Nayati meminta nasi ayam yang amat digemarinya.

“Malam pula, dia minta ibunya (Janice) tidur bersamanya kerana masih takut dengan kejadian ini” kata Sham pada sidang akhbar “Welcome Home Nayati” di Damansara Perdana di sini, hari ini.

Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah – Bernama


Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah

2012/05/04

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak yang diculik Jumaat lalu dan kemudian dibebaskan semalam bercadang untuk bercuti di Eropah bagi menghilangkan tekanan akibat kes berkenaan.

Sham Moodliar, 41, berkata beliau dan keluarganya bercadang untuk bercuti selepas berlaku kes penculikan terhadap anaknya Nayati, 12.

“Saya dan keluarga saya akan bercuti di Eropah.” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir di majlis berkenaan ialah isterinya Janice Smith, 40.

Kanak-kanak lelaki itu tidak hadir bersama kerana dikatakan bertegas mahu ke sekolahnya di Sekolah Antarbangsa Mont Kiara di sini.

Nayati ditemui semula di kawasan rehat dan rekreasi Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan selepas diculik oleh dua lelaki berhampiran kawasan sekolahnya.

Polis Kuala Lumpur telah membentuk pasukan petugas khas untuk memburu penculik selepas keluarga kanak-kanak tersebut dilapor telah membayar wang tebusan sehari sebelum dia dibebaskan.
Moodliar mengalirkan air mata apabila ditanya bagaimana anaknya menghadapi kes penculikan berkenaan.

“Dia tabah dan saya gembira dia segera boleh menjalani rutin hariannya,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada polis kerana berjaya menangani kes berkenaan dan memastikan keselamatan anaknya.

Janice pula berkata anaknya tidur nyenyak malam tadi dan gembira anaknya segera pulih selepas kejadian berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin ketika dihubungi Bernama berkata polis sedang memburu suspek yang terbabit.

“Saya tidak boleh beri keterangan lanjut kerana kes masih berjalan dan polis akan mengeluarkan kenyataan apabila suspek ditahan,” katanya sambil menasihati media tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan polis. – BERNAMA

Kanak-kanak hilang dibawa arus Sungai Larah – Bernama


Kanak-kanak hilang dibawa arus Sungai Larah

2012/05/04

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun hilang manakala ibu bapanya terselamat selepas di hanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan Sungai Larah, Bukit Berapit dekat Taiping hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah, berkata kanak-kanak yang hilang itu ialah Alif Aiman Zamzuri berasal dari Kampung Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Keluarga berkenaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah dikatakan berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan perkelahan itu untuk berehat dan mandi pada jam 4.15 petang.

“Semasa mereka mandi di sungai itu tiba-tiba satu kepala air kuat turun dari arah hulu sungai dan menghanyutkan mereka bertiga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusof berkata, pasangan suami isteri itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang pokok di tepi kawasan perkelahan itu, manakala anak mereka hilang dibawa arus deras.

Sehingga petang ini, kanak-kanak itu belum ditemui dan gerakan mencari dan menyelamat dijalankan oleh polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. – BERNAMA

Guru prasekolah wajib miliki diploma di bawah RMK-10: Khalid – Bernama


Guru prasekolah wajib miliki diploma di bawah RMK-10: Khalid

2012/05/04

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini menekankan keperluan bagi guru prasekolah menyambung pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat diploma bagi mengubah sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata setakat ini kira-kira 93 peratus guru terbabit tidak memiliki kelayakan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE).

“Bagi mencapai sasaran ini, ada keperluan untuk meningkatkan kemahiran guru sedia ada dan menyediakan latihan praperkhidmatan.

Kami berharap untuk melihat lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam membangunkan pusat latihan ECCE bagi meningkatkan kualiti guru,” katanya kepada pemberita di sini.

Seiring dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan pendidikan, Mohamed Khaled berkata pembangunan pusat ECCE swasta akan menjana pendapatan kasar negara sebanyak RM338 juta pada 2020 dan menawarkan 370 pekerjaan.

Pada 2010, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), 6,580 guru prasekolah swasta dilatih oleh pusat ECCE swasta selama tiga minggu. Pada 2011, 6,421 guru prasekolah mendapat manfaat dan pada 2012, seramai 6,999 dijangka menerima latihan baik di pusat milik kerajaan mahupun swasta, kata Mohamed Khaled.

“Inisiatif ini mensasarkan pengeluaran 218,500 guru pendidikan awal kanak-kanak bagi menampung keperluan,” katanya.
Bagi merealisasikan visi itu, Mohamed Khaled berkata Kumpulan SEGi telah menyatakan ikrar untuk menyumbang RM398 juta bagi menubuhkan hab ECCE di Kota Damansara dan pusat ECCE satelit di seluruh negara.

Setakat ini, terdapat 6,767 pusat asuhan kanak-kanak swasta di seluruh negara.

Beliau berkata objektif utama inisiatif ECCE ialah meningkatkan pendaftaran prasekolah kepada 87 peratus tahun ini dan 92 peratus pada 2015 serta meningkat kepada 97 peratus pada 2020 di bawah GTP.

“Bagi memenuhi sasaran itu, kementerian akan memainkan peranan utama mengawal selia pusat terbabit sama ada daripada segi standard, kualiti dan akses kepada pendidikan di pusat ECCE swasta,” katanya. – BERNAMA

Remaja didakwa rogol kekasih umur 13 tahun – Metro


Remaja didakwa rogol kekasih umur 13 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2012
Remaja didakwa rogol kekasih umur 13 tahun
Remaja lepasan SPM ini mengaku salah menyimpan barang curi, namun mengaku tidak bersalah merogol teman wanitanya berusia 13 tahun, tahun lalu

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mac lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan merogol teman wanitanya yang juga pelajar tingkatan satu, September tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, 18, yang berasal dari Kampung Gelugor Raja Haji Tahir, di sini, mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 6 September tahun lalu kira-kira jam 1 pagi hingga 7 pagi di dalam sebuah bilik di Kampung Gelugor Kedai, di sini, telah merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Zainal Abidin kemudiannya menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menyimpan barang curi.

Tertuduh mengaku menyimpan komponen enjin motosikal milik Che Maimunah Ibrahim, 51, di tepi jalan Kampung Gelugor Kedai pada 23 April lalu kira-kira jam 4 pagi.

Bagaimanapun, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 6 Jun depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh adalah pesalah di bawah umur.

Rozianti membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 oleh seorang penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming.