Pekeliling keselamatan pelajar diteliti semula – Metro


Pekeliling keselamatan pelajar diteliti semula

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUAR: “Pekeliling keselamatan diwartakan Kementerian Pelajaran sebelum ini akan diteliti semula bagi memastikan insiden sama tidak berulang,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika diminta mengulas kes kehilangan seorang murid, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dilaporkan hilang dipercayai diculik di luar kawasan sekolahnya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Beliau berkata, keselamatan warga sekolah tidak tertumpu pada satu pihak, malah segenap lapisan masyarakat termasuk ibu bapa perlu memandang serius isu keselamatan anak-anak sama ada dalam mahupun di luar sekolah.
“Kementerian bercadang memperkenalkan garis panduan baru dalam konteks keselamatan kira-kira 5.6 juta pelajar di negara ini dan modul ini membabitkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

 

Pelajar lelaki warga Belanda itu dilaporkan hilang dipercayai diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini, kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu sebelum dipercayai dilarikan dua lelaki menaiki sebuah Proton Gen 2 hitam.
Bagaimanapun, mangsa ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuh raya Utara Selatan (Plus), semalam. Dalam perkembangan berlainan, Berjaya Corporation Berhad termasuk 7-Eleven dan Cosway Berhad menyokong dasar 1 Murid 1 Sukan dilancarkan Kementerian Pelajaran tahun lalu apabila menyerahkan 15,000 bola dengan nilai RM1.1 juta kepada kementerian bagi tujuan pembangunan sukan bola sepak di peringkat sekolah.

 

 

 

Ugut culik pelajar sebelum perkosa – Metro


Ugut culik pelajar sebelum perkosa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LIPIS: “Kalau kau tak mahu keluar jumpa aku malam ini, esok masa kau balik sekolah, aku culik kau bawa lari”.

Begitu ugutan dilakukan seorang remaja samseng terhadap seorang pelajar sekolah menengah berusia 13 tahun yang akhirnya menjadi mangsa rogol beramai-ramai dalam sebuah rumah di Jerkoh, dekat sini, Selasa lalu.
Ugutan menerusi SMS itu menakutkan mangsa sebelum tanpa memberitahu keluarga, remaja itu mengambil keputusan keluar menemui suspek dipercayai kenalannya kira-kira jam 11 malam sebelum suspek bersama tiga lagi rakan yang siap menunggu terus melarikan mangsa dengan sebuah kereta ke rumah seorang daripada mereka.

 

Beberapa penduduk Kampung Sungai Koyan, Lipis yang melihat mangsa sedang bergelut sebelum ditarik ke dalam kereta cuba menyelamatkannya dengan membuat sekatan tetapi pemandu kereta itu enggan berhenti, sebaliknya hampir melanggar penduduk kampung.
Setiba di rumah seorang daripada suspek, mangsa diberi makan sebuku roti dan sekotak air sebelum diarah ke dalam sebuah bilik di rumah itu sebelum dirogol bergilir-gilir tiga daripada suspek terbabit manakala seorang lagi enggan berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa menerima SMS daripada remaja samseng juga kenalannya ketika berada di rumah dan akibat bimbang ugutan itu, mangsa mengambil keputusan keluar menemui suspek terbabit di lokasi dinyatakan dalam SMS itu.

 

 

“Ketika tiba di tempat dijanjikan, mangsa ditarik ke dalam kereta sebelum dibawa lari. Bagaimanapun, perbuatan mereka sempat dilihat beberapa penduduk kampung yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian. Mereka (penduduk kampung) cuba menghalang kereta itu daripada bergerak tetapi pemandunya merempuh sekatan berkenaan.
“Mangsa dibawa ke rumah seorang daripada suspek di Jerkoh sebelum dirogol bergilir-gilir oleh tiga daripada suspek manakala seorang lagi tidak berbuat demikian,” katanya.

 

Beliau berkata, selepas dirogol, suspek meninggalkan mangsa di tepi Jalan Raub sebelum mangsa menghubungi rakannya meminta bantuan.
“Mangsa dibawa ke Balai Polis Raub sementara menunggu ketibaan keluarganya sebelum dibawa ke Balai Polis Lipis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk pemeriksaan selepas membuat laporan dan susulan aduan itu, polis menahan empat remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun di rumah masing-masing di Lipis.
“Walaupun seorang daripada mereka tidak mengambil kesempatan merogol mangsa tetapi turut ditahan kerana boleh menjadi saksi selain bersubahat dalam kejadian itu,” katanya.
Katanya, empat remaja terbabit kini direman tujuh hari di lokap Balai Polis Lipis bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Gadis lawan dua lelaki dicampak – Metro


Gadis lawan dua lelaki dicampak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang bergelut dengan dua lelaki di dalam kereta menyelamatkannya selepas dia dicampak keluar daripada kenderaan itu dalam kejadian Isnin lalu.

Mangsa mendakwa ‘diculik’ dua suspek ketika berjalan di hadapan sebuah surau di Taman Cheras Perdana, Kajang, untuk ke sekolahnya berhampiran kawasan berkenaan jam 7.30 pagi.
Pelajar perempuan itu bagaimanapun dicampak dari kenderaan berkenaan di hadapan sebuah pusat hiburan di ibu kota selepas bergelut lebih 30 minit dalam kenderaan itu dengan dua suspek terbabit. Menurut sumber, mangsa yang cedera di kepala dan badan dibantu seorang wanita sebelum dia dihantar pulang ke rumahnya. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras, di sini, kelmarin.

 

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa yang berjalan sendirian melihat dua lelaki turun daripada Proton Wira sebelum mereka mengheretnya masuk ke dalam kereta itu.
“Mangsa yang menjerit meminta pertolongan mendakwa ditampar berulang kali selain rambutnya ditarik dengan kuat. “Keengganan mangsa mendiamkan diri menyebabkannya dipukul kedua-dua suspek. Malah, sikap beraninya yang melawan sehingga menyebabkan berlaku pergelutan dengan suspek dalam kereta itu berbaloi apabila dia dicampak di hadapan sebuah pusat hiburan di ibu kota.
“Selepas merayau di kawasan berkenaan lebih 10 minit, mangsa bernasib baik apabila seorang wanita berusia 20-an menghulurkan bantuan selepas dirayu mangsa,” katanya.

 

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dilakukan.

‘Saya tak dipukul’ – Metro


‘Saya tak dipukul’

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CERITA...Norzaini menceritakan detik dia menemui Nayati, semalam.
CERITA…Norzaini menceritakan detik dia menemui Nayati, semalam.

KUALA LUMPUR: “Dia tak banyak bercakap kerana masih lemah dan trauma, tapi dia beritahu saya yang dia tak dipukul dan diberi makan minum yang cukup sepanjang tempoh dia diculik.”

Itu kata Norzaini Zainol Abidin, 31, individu yang menemui kanak-kanak lelaki warga Belanda yang diculik, Nayati Shamelin Moodliar, 12, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, jam 7.55 pagi semalam.
Nayati dilarikan dua lelaki menaiki Proton Gen.2 di hadapan sekolahnya di Bukit Kiara sejurus keluar dari kawasan perumahannya kira-kira 50 meter dari sekolahnya pada 27 April lalu.

 

Norzaini yang juga pengurus sebuah kedai serbaneka berkata, dia menemui kanak-kanak itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang Jaya bersama suaminya, Muhammad Asif Abdullah, 31, selepas meluangkan masa bersama keluarga di Butterworth, Pulau Pinang selama seminggu.
Menurutnya, selepas lebih tiga jam perjalanan mereka berhenti di R&R Rawang kerana suaminya meminta dia memandu kereta.
“Sebaik saya turun dari kereta, Nayati berlari ke arah saya dalam keadaan menangis sebelum menyoal sama ada saya tahu berbahasa Inggeris dan dia memberitahu dia baru 20 minit dibebaskan.

 

 

“Sebaik melihatnya saya tahu dia kanak-kanak yang diculik kerana pernah melekat risalah mengenai penculikannya di kedai serbaneka tempat saya bekerja.
“Ketika itu keadaannya lemah dan saya memeluk Nayati masuk ke dalam kereta kerana risau kalau-kalau penculiknya masih berada di kawasan sama,” kata Norzaini ketika ditemui Harian Metro, semalam.

 

Norzaini berkata, ketika ditanya sama ada dia tahu punca dia diculik, Nayati menyatakan kerana wang dan dia menyatakan diculik dua lelaki tempatan dengan menggunakan kereta.
“Biarpun lemah dan masih trauma, Nayati masih mengingati nombor telefon ibu bapanya dan saya menghubungi ibunya,” katanya.
Menurutnya, dia diminta membawa Nayati ke kawasan Restoran Jejantas di R&R Sungai Buloh dan 30 minit kemudian, kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu bapanya yang ditemani pegawai polis.
Norzaini berkata, dia lega kerana kanak-kanak itu sudah selamat pulang ke pangkuan keluarganya dan dia terharu melihat kedua ibu bapa Nayati memeluk kanak-kanak itu lebih dari lima minit sebaik menemuinya selepas enam hari.
“Saya turut bangga kerana dapat membantu Nayati dan keluarganya. Rasanya, seperti saya dapat menyelamatkan anak sendiri,” katanya.

Suruh telefon ayah – Metro


Suruh telefon ayah

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: “Walaupun parah selepas dirempuh sebuah lori tanah, arwah sempat meminta orang ramai menghubungi saya kerana dia mengingati nombor telefon saya,” kata Abadin Abdul, 46, bapa kepada Noor Asera, 11, yang maut, manakala ibunya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah lori tanah di Batu 5, Jalan Kodiang-Sanglang, sempadan Kedah-Perlis, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, kerana kecederaan parah di bahagian badan selain mengalami sesak nafas, manakala ibunya, Rokiah Said, 47, cedera.
Abadin yang bekerja sebagai petani berkata, dia mendapat panggilan daripada orang ramai yang berada di lokasi kejadian memaklumkan anak dan isterinya terbabit dalam kemalangan dan dihantar ke HTF.

 

Menurutnya, walaupun parah selepas dirempuh lori berkenaan, arwah anaknya itu sempat meminta orang ramai menghubunginya selepas dia mengingati nombor telefonnya.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian, namun dimaklumkan orang ramai bahawa isteri dan anak saya sudah dihantar ke HTF.
“Arwah anak saya menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke HTF selepas dipercayai mengalami sesak nafas, manakala isteri saya cedera ringan,” katanya yang ditemui di sini, kelmarin.

 

 

Menurutnya, ketika kejadian itu, isterinya menunggang motosikal bersambil Asera dirempuh sebuah lori tanah dari arah belakang yang dalam dalam perjalanan menghala ke Sanglang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

 

Katanya, pemandu lori berkenaan ditahan polis bagi diambil keterangan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai sehingga menyebabkan kematian.