8 pelajar diserang histeria – Sinar Harian


8 pelajar diserang histeria

AZURA MOHAMAD
5 Mei 2012
8 pelajar diserang histeria
Keadaan di kawasan lokasi perkhemahan lapan pelajar yang diserang histeria

PASIR MAS – Lapan pelajar perempuan sekolah menengah dari sebuah daerah yang menyertai perkhemahan di satu kawasan di sini beberapa hari lalu diserang histeria kelmarin.

Sinar Harian difahamkan kejadian berlaku serentak malam kelmarin memaksa pihak sekolah menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional atau pun bomoh bagi menenteramkan pelajar terlibat.

Pelajar-pelajar ini menjerit, meracau serta memberitahu takut dengan makhluk halus yang dikatakan datang mengganggunya. Salah seorang daripadanya menangis kerana takut serta bimbang kejadian serupa berulang. Beberapa pelajar kembali pulih setelah mendapatkan rawatan daripada bomoh sementara serangan ke atas sebahagian daripadanya berlarutan hingga ke tengah hari semalam. Berikutan kejadian itu, ibu bapa pelajar yang diserang histeria datang melihat keadaan anak masing-masing.

Seorang pelajar yang belum pulihkan walaupun diberikan rawatan dibawa keluarganya pulang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa pelajar terlibat datang mengambil anak mereka sementara pelajar yang mengikuti perkhemahan ini pulang dengan menaiki bas.

Pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Rohana berkata, dia diberitahu tentang kejadian pagi semalam dan sempat mengubati tiga pelajar. Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian dia dapat melihat keadaan pelajar yang terkena serangan histeria. “Saya mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk merawat pelajar terlibat. “Alhamdulillah selepas menerima rawatan, kesemua pelajar kembali pulih,” katanya.

Rohana berkata, pelajar-pelajar ini terkena serangan makhluk halus dan kemungkinan tempat perkhemahan ini merupakan kawasannya.

Menurutnya, dia mengubati pelajar-pelajar ini dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sinar Harian difahamkan, lokasi perkhemahan sering kali menjadi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti tetapi kejadian kelmarin merupakan yang pertama berlaku di sini.

Pelajar berasmara di sungai – Sinar Harian


Pelajar berasmara di sungai

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mei 2012

KULIM – Gara-gara ingin melampiaskan nafsu dengan kekasih masing-masing, tiga pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, sanggup ponteng sekolah untuk ke sebuah taman rekreasi air terjun bersama teman lelaki mereka.

Rahsia perbuatan sumbang mereka terbongkar apabila seorang waris pelajar terlibat dimaklumkan anaknya tidak hadir ke sekolah.

Curiga dengan kenyataan itu, waris pelajar meminta bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mencari tiga pelajar terlibat.

Timbalan Pengerusi PPKM, Ch’ng Seng Ang berkata, ahli PPKM diminta mencari pelajar terlibat di sekitar Sungai Kob dan Sungai Karangan.

Menurutnya, setelah usaha mencari gagal, beliau menerima panggilan kedua menyatakan tiga pelajar perempuan sedang berendam di sungai bersama tiga lelaki di Sungai Sedim.

“Kemudian saya memaklumkan kepada ahli PPKM melalui alat perhubungan supaya mencari tiga pelajar terlibat.

“Kira-kira jam 11 pagi, ahli PPKM dan waris pelajar terlibat berjaya menemui mereka bersama pasangan masing-masing di dalam air,” katanya yang mengakui kebanyakan pelajar sering ponteng sekolah dan melakukan perbuatan tidak bermoral itu di taman rekreasi berkenaan.

Seng Ang berkata, pemeriksaan mendapati, semua pelajar terbabit menyimpan pakaian seragam sekolah di dalam beg dan mereka hanya memakai pakaian biasa untuk menghabiskan masa bersama pasangan masing-masing.

“Ketiga-tiga pelajar perempuan dan kekasih mereka berusia 19, 20, dan 21, tahun kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Kon untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ketika pasangan itu ditahan, masih ada beberapa pasangan lain dipercayai masih bawah umur turut berada di kawasan itu.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak, terutama pelajar perempuan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, sehingga kini permasalahan sosial melibatkan pasangan kekasih bawah umur sering berlaku.

“Terkini, seorang pelajar berusia 14 tahun didapati hamil dua bulan setelah melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya.

“Waris pelajar yang kecewa dengan perlakuan sumbang yang dilakukan mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kulim,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pelajar yang masih di bawah umur terlibat dalam perlakuan seks, sama ada pasangan mereka merelakan atau tidak tetap akan disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Kanak-kanak hilang di kawasan perkelahan ditemui mati lemas – Bernama


Kanak-kanak hilang di kawasan perkelahan ditemui mati lemas

2012/05/05

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan perkelahan Sungai Larah, Bukit Berapit dekat Taiping, petang semalam, ditemui mati lemas malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata mayat Alif Aiman Zamzuri ditemui tersangkut dicelah pokok kira-kira 500 meter dari tempat kejadian pada jam 10.45 malam tadi oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah di hantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 4.15 petang semalam, mangsa dan ibu bapanya yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah dikatakan berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan perkelahan itu untuk berehat dan mandi.

“Semasa mereka mandi di sungai itu tiba-tiba satu kepala air kuat turun dari arah hulu sungai dan menghanyutkan mereka bertiga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusof berkata, pasangan suami isteri itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang pokok di tepi kawasan perkelahan itu, manakala anak mereka hilang dibawa arus deras. – BERNAMA

Guru maut kereta dipandu bertembung kenderaan 4×4 – Bernama


Guru maut kereta dipandu bertembung kenderaan 4×4

2012/05/05

DUNGUN: Seorang guru maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Kilometer 87.2, Jalan Jerangau Jabur, berhampiran Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini, petang semalam.

Mangsa, Ahmad Bukhari Mohd Nordin, 30, yang mengalami kecederaan dalaman dan patah paha kanan dan kaki kiri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar AMBS, selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang itu.

Mangsa bersama isterinya Wan Asmahani Wan Ismail, 31, dan anak perempuan mereka Marisa Maisara, 11 bulan dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Muazam Shah, Pahang untuk pulang ke kampung keluarga isterinya di Wakaf Bharu, Kelantan.

Jenazah Ahmad Bukhari yang mengajar di Sekolah Menengah Agama Hasanah, Rompin dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di kampung halamannya di Rompin, Pahang.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu Ahmad Bukhari secara tiba-tiba memasuki laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

Wan Asmahani yang patah tangan kanan dan cedera di mulut dan anak perempuannya yang turut cedera di beberapa bahagian badan kini menerima rawatan di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu (HSNZ) di sini.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda, Zainal Ibrahim, 45, bersama isterinya Haslina Mat Yahya, 42, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bandar Seri Bandi, Kemaman selepas menjemput anak mereka Syaza Najihah, 20, yang belajar di Politeknik Kota Bharu.
Haslina yang patah tangan kanan turut dikejarkan ke HSNZ manakala suami dan anak perempuannya serta seorang lagi anak lelakinya, Mohd Syariz, 11, hanya cedera ringan.

Sementara itu dalam satu lagi kemalangan berasingan, seorang pelajar Sekolah Menengah Pulau Serai terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum melanggar pokok di Kampung Tok Kah, di sini.

Motosikal yang ditunggang Amirul Aiman Shamsudin, 14, dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit di situ, kira-kira jam 6.20 petang.

Ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya untuk bersiar-siar sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kedua-dua kemalangan itu. – BERNAMA

Prasarana rangsang semangat guru, pelajar – Metro


Prasarana rangsang semangat guru, pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PAGOH: Kerajaan bukan saja membangunkan prasarana pembelajaran yang selesa dan canggih di seluruh negara, malah memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara tidak langsung, kemudahan prasarana yang lengkap mampu menjadikan guru dan pelajar lebih bersemangat apabila pembelajaran dikendalikan dalam keadaan cukup selesa.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, namun prasarana yang lengkap bukanlah perkara utama, sebaliknya kesungguhan guru dan pelajar untuk lebih berjaya adalah lebih penting.

 

Menurutnya, sebagai contoh, beliau sebelum ini pernah melawat sebuah sekolah di Ulu Lubai, pedalaman Sarawak yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) hasil inisiatif dilaksanakan guru dan ibu bapa untuk membantu pelajar terus maju.
“Saya terpegun kerana walaupun sekolah itu hanya dibina menggunakan kayu dan kemudahannya tidak lengkap seperti sekolah lain, namun masih tersenarai sebagai SBT, malah mempunyai hubungan dengan sekolah antarabangsa seperti Singapura dan United Kingdom.
“Perkara ini harus dijadikan contoh yang mana inisiatif ibu bapa dan guru secara tidak langsung membantu kerajaan meletakkan sistem pendidikan negara setanding dengan negara maju lain di dunia,” katanya ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Pagoh 2011 di Sekolah Kebangsaan (SK) Semaseh, Panchor, di sini, semalam.

 

 

Pada majlis itu, seramai 20 pelajar cemerlang SPM 2011 dalam Parlimen Pagoh menerima sijil penghargaan dan wang tunai disampaikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Guru cair pujukan rakan facebook rugi RM75,900 – Metro


Guru cair pujukan rakan facebook rugi RM75,900

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita mendakwa dari United Kingdom (UK) yang dikenali melalui laman sosial, facebook, seorang guru kerugian RM75,900 selepas menyerahkan wang berkenaan kepada suspek konon untuk urusan pembelian produk hormon tumbesaran haiwan.

Difahamkan, mangsa berusia 30 tahun berkenalan dengan wanita itu sejak awal tahun ini sebelum ditawarkan produk berkenaan yang kononnya lebih murah dan boleh memberikan keuntungan berganda jika dijual semula.
Mangsa menyerahkan wang dalam tempoh tiga hari dengan memasukkan wang pendahuluan dalam akaun bank milik individu tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, mangsa membuat pembayaran pendahuluan RM45,900 pada jam 2.56 petang, 26 April lalu, di sebuah bank di Kota Bharu.
Menurutnya, pada 27 dan 28 April pula, mangsa membuat pembayaran RM30,000 menerusi akaun sama.
“Mangsa menghubungi suspek untuk berjumpa dan suspek mendakwa berada di Kuala Lumpur pada 28 April lalu untuk urusan pembelian produk itu.

“Mangsa diarah berjumpa suspek di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 9 malam, 30 April lalu, namun sebaik tiba, suspek tidak muncul sebelum mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wanita itu tidak menginap di hotel berkenaan,” katanya.
Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, Rabu lalu.

Sekolah, PPD dapat autonomi – Metro


Sekolah, PPD dapat autonomi

Oleh Salman Hamat
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUAR: Kementerian Pelajaran bercadang memberikan kuasa autonomi kepada sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi menentukan hala tuju pendidikan menjadi lebih mantap dan bermutu serta setanding dengan negara maju.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu tidak bermakna kementerian melepaskan tanggungjawab, sebaliknya sedar situasi setiap sekolah dan PPD berbeza selain menghadapi masalah serta keluasan tidak sama.
“Kita merasakan pendekatan itu sesuai bagi menangani masalah dihadapi secara tidak langsung membantu sekolah berkenaan mencapai tahap kecemerlangan yang dikehendaki.

 

“Menerusi kebebasan itu, urusan di peringkat sekolah dapat diselesaikan dengan lebih berkesan sekiranya timbul masalah boleh diselesaikan segera,” katanya pada Majlis Jalinan Mesra Warga Pendidik dan Perasmian PPD Muar di sini, semalam.
Beliau berkata, sekiranya dijalankan, bidang kuasa kini di peringkat kementerian akan diturunkan ke peringkat negeri, PPD atau sekolah dan dalam sesetengah perkara autonomi akan diberikan kepada pengurusan sekolah untuk merangka perancangan lebih tepat dan sesuai mengikut keadaan masing-masing.
“Ini kali pertama Menteri Pelajaran bercakap mengenai kuasa autonomi di peringkat sekolah dan daerah kerana kita sedar masalah antara setiap sekolah dan daerah berbeza memerlukan pendekatan dan penambahbaikkan mengikut cara masing-masing.

 

 

“Cadangan itu antara mendapat perhatian dalam kajian sistem pendidikan negara dijalankan kementerian dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.
“Sebagai organisasi paling hampir dengan pihak sekolah, PPD dilihat mempunyai tanggungjawab besar untuk meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.

 

Muhyiddin berkata, sebagai organisasi besar yang bertanggungjawab terhadap kira-kira 10,000 sekolah, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab secara berkesan untuk melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi tuntutan pembangunan negara.
Justeru, katanya, PPD perlu memainkan peranan melaksanakan apa saja dasar diputuskan kementerian supaya sampai ke akar umbi dengan jelas bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Budak dipaksa laku seks oral – Berita Harian


Budak dipaksa laku seks oral

Oleh Adha Ghazali

2012/05/05

KANGAR: Seorang peniaga mendakwa seorang remaja berusia 15 tahun anak kepada pengasuh anaknya, memaksa anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun melakukan seks oral menyebabkan mangsa sering mengalami kesakitan pada bahagian alat sulit terutama ketika membuang air kecil.

Wanita berusia 42 tahun itu mendakwa, anaknya sejak tiga minggu lalu dikatakan pernah berkali-kali mengadu kepada beliau mengenai perbuatan anak lelaki kepada pengasuh itu yang dikatakan pernah mengajarnya melakukan seks oral.

Sehubungan itu, katanya, atas nasihat pihak hospital beliau membuat laporan polis tengah hari semalam, selepas khuatir anaknya itu menjadi mangsa cabul termasuk kemungkinan besar dirogol.

Katanya, beliau pernah bertanyakan kepada pengasuh anaknya itu mengenai aduan berhubung kelakuan tidak senonoh yang diceritakan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu dinafikan wanita terbabit dengan alasan tidak pernah meninggalkan mangsa seorang diri bersama anak lelakinya itu.

“Saya sendiri tidak tahu bila ia bermula, tetapi seingat saya cerita terbabit sudah mula timbul sejak tiga minggu lalu sehinggakan anak saya mula takut dan menangis setiap kali ingin ke rumah pengasuh berkenaan.

“Namun, selepas anak saya mula mengalami masalah untuk kencing dua tiga hari lalu, saya mula musykil. Justeru, saya terus bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan, sebelum dinasihat membuat laporan polis, “ katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Nayati mula bersekolah – Berita Harian


Nayati mula bersekolah

Oleh Safeek Affendy Razali

2012/05/05

KUALA LUMPUR: Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang diculik di depan sekolahnya pada 27 April lalu, kembali meneruskan sesi persekolahannya semalam, selepas dibebaskan oleh penculiknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, pagi kelmarin.

Bapa mangsa, Sham Moodliar, 41, berkata, anaknya itu lebih bersemangat dan tidak sabar bertemu guru dan rakan sekelasnya serta meneruskan pelajarannya selepas diculik selama enam hari oleh dua individu yang melarikannya dengan sebuah kereta.

“Sejak ditemui, dia kelihatan lebih ceria dan gembira selepas bertemu saya dan isteri meskipun pada raut wajahnya masih trauma dengan kejadian menimpanya. Namun, saya pasti dia akan dapat melupakan kejadian berkenaan.

“Sebaik bertemu dengan kami, dia memberitahu keinginannya untuk menikmati nasi ayam yang menjadi makanan kegemarannya dan dia kelihatan begitu berselera,” katanya pada sidang media khas di Damansara Perdana, di sini, semalam.

Sham turut memberitahu, beliau akan membawa keluarganya bercuti ke Eropah dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka sekeluarga melupakan peristiwa hitam berkenaan.

“Kami sekeluarga tetap akan tinggal di sini, cuma kami akan pergi bercuti untuk melupakan apa yang terjadi. Kami ingin melihat Nayati gembira seperti selalu tanpa sebarang gangguan,” katanya yang enggan mengulas gangguan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, Nayati tidak dapat hadir dalam sidang media yang turut dihadiri ibunya, Janice Smith, 40, kerana tekad ingin menghadirkan diri ke sekolahnya di Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini selepas hampir seminggu tidak bersekolah dan bertemu rakan sekelas.
Sham yang kerap menitiskan air mata setiap kali diajukan soalan mengenai kejadian penculikan anaknya enggan mengulas lanjut kejadian itu, namun berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia yang bertungkus-lumus mengesan dan menyelamatkan anaknya.

“Saya dan isteri tidak dapat tidur siang dan malam mengenangkan nasib yang menimpa Nayati. Namun, kami yakin dengan usaha polis yang menubuhkan pasukan khas serta bertugas siang dan malam bagi menjejaki suspek,” katanya.