Guru maut kereta dipandu bertembung kenderaan 4×4 – Bernama


Guru maut kereta dipandu bertembung kenderaan 4×4

2012/05/05

DUNGUN: Seorang guru maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Kilometer 87.2, Jalan Jerangau Jabur, berhampiran Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini, petang semalam.

Mangsa, Ahmad Bukhari Mohd Nordin, 30, yang mengalami kecederaan dalaman dan patah paha kanan dan kaki kiri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar AMBS, selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang itu.

Mangsa bersama isterinya Wan Asmahani Wan Ismail, 31, dan anak perempuan mereka Marisa Maisara, 11 bulan dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Muazam Shah, Pahang untuk pulang ke kampung keluarga isterinya di Wakaf Bharu, Kelantan.

Jenazah Ahmad Bukhari yang mengajar di Sekolah Menengah Agama Hasanah, Rompin dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di kampung halamannya di Rompin, Pahang.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu Ahmad Bukhari secara tiba-tiba memasuki laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

Wan Asmahani yang patah tangan kanan dan cedera di mulut dan anak perempuannya yang turut cedera di beberapa bahagian badan kini menerima rawatan di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu (HSNZ) di sini.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda, Zainal Ibrahim, 45, bersama isterinya Haslina Mat Yahya, 42, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bandar Seri Bandi, Kemaman selepas menjemput anak mereka Syaza Najihah, 20, yang belajar di Politeknik Kota Bharu.
Haslina yang patah tangan kanan turut dikejarkan ke HSNZ manakala suami dan anak perempuannya serta seorang lagi anak lelakinya, Mohd Syariz, 11, hanya cedera ringan.

Sementara itu dalam satu lagi kemalangan berasingan, seorang pelajar Sekolah Menengah Pulau Serai terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum melanggar pokok di Kampung Tok Kah, di sini.

Motosikal yang ditunggang Amirul Aiman Shamsudin, 14, dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit di situ, kira-kira jam 6.20 petang.

Ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya untuk bersiar-siar sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kedua-dua kemalangan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s