Budak dipaksa laku seks oral – Berita Harian


Budak dipaksa laku seks oral

Oleh Adha Ghazali

2012/05/05

KANGAR: Seorang peniaga mendakwa seorang remaja berusia 15 tahun anak kepada pengasuh anaknya, memaksa anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun melakukan seks oral menyebabkan mangsa sering mengalami kesakitan pada bahagian alat sulit terutama ketika membuang air kecil.

Wanita berusia 42 tahun itu mendakwa, anaknya sejak tiga minggu lalu dikatakan pernah berkali-kali mengadu kepada beliau mengenai perbuatan anak lelaki kepada pengasuh itu yang dikatakan pernah mengajarnya melakukan seks oral.

Sehubungan itu, katanya, atas nasihat pihak hospital beliau membuat laporan polis tengah hari semalam, selepas khuatir anaknya itu menjadi mangsa cabul termasuk kemungkinan besar dirogol.

Katanya, beliau pernah bertanyakan kepada pengasuh anaknya itu mengenai aduan berhubung kelakuan tidak senonoh yang diceritakan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu dinafikan wanita terbabit dengan alasan tidak pernah meninggalkan mangsa seorang diri bersama anak lelakinya itu.

“Saya sendiri tidak tahu bila ia bermula, tetapi seingat saya cerita terbabit sudah mula timbul sejak tiga minggu lalu sehinggakan anak saya mula takut dan menangis setiap kali ingin ke rumah pengasuh berkenaan.

“Namun, selepas anak saya mula mengalami masalah untuk kencing dua tiga hari lalu, saya mula musykil. Justeru, saya terus bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan, sebelum dinasihat membuat laporan polis, “ katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Nayati mula bersekolah – Berita Harian


Nayati mula bersekolah

Oleh Safeek Affendy Razali

2012/05/05

KUALA LUMPUR: Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang diculik di depan sekolahnya pada 27 April lalu, kembali meneruskan sesi persekolahannya semalam, selepas dibebaskan oleh penculiknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, pagi kelmarin.

Bapa mangsa, Sham Moodliar, 41, berkata, anaknya itu lebih bersemangat dan tidak sabar bertemu guru dan rakan sekelasnya serta meneruskan pelajarannya selepas diculik selama enam hari oleh dua individu yang melarikannya dengan sebuah kereta.

“Sejak ditemui, dia kelihatan lebih ceria dan gembira selepas bertemu saya dan isteri meskipun pada raut wajahnya masih trauma dengan kejadian menimpanya. Namun, saya pasti dia akan dapat melupakan kejadian berkenaan.

“Sebaik bertemu dengan kami, dia memberitahu keinginannya untuk menikmati nasi ayam yang menjadi makanan kegemarannya dan dia kelihatan begitu berselera,” katanya pada sidang media khas di Damansara Perdana, di sini, semalam.

Sham turut memberitahu, beliau akan membawa keluarganya bercuti ke Eropah dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka sekeluarga melupakan peristiwa hitam berkenaan.

“Kami sekeluarga tetap akan tinggal di sini, cuma kami akan pergi bercuti untuk melupakan apa yang terjadi. Kami ingin melihat Nayati gembira seperti selalu tanpa sebarang gangguan,” katanya yang enggan mengulas gangguan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, Nayati tidak dapat hadir dalam sidang media yang turut dihadiri ibunya, Janice Smith, 40, kerana tekad ingin menghadirkan diri ke sekolahnya di Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini selepas hampir seminggu tidak bersekolah dan bertemu rakan sekelas.
Sham yang kerap menitiskan air mata setiap kali diajukan soalan mengenai kejadian penculikan anaknya enggan mengulas lanjut kejadian itu, namun berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia yang bertungkus-lumus mengesan dan menyelamatkan anaknya.

“Saya dan isteri tidak dapat tidur siang dan malam mengenangkan nasib yang menimpa Nayati. Namun, kami yakin dengan usaha polis yang menubuhkan pasukan khas serta bertugas siang dan malam bagi menjejaki suspek,” katanya.