Pengajaran J-Qaf di sekolah menengah ditangguh kerana kurang guru – Bernama


Pengajaran J-Qaf di sekolah menengah ditangguh kerana kurang guru

2012/05/06

BATU PAHAT: Pelaksanaan pengajaran J-Qaf (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah menengah di seluruh negara yang dijadual bermula pertengahan tahun ini, akan ditangguhkan kerana masalah kekurangan guru, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, penangguhan dibuat memandangkan terdapat kekurangan kira-kira 11,000 guru J-Qaf di sekolah kebangsaan yang sekaligus menghalang pengajarannya diteruskan ke peringkat sekolah menengah.

“Kita perlu menyelesaikan dahulu kekurangan guru J-Qaf di sekolah kebangsaan yang menjadi keperluan mendesak ketika ini. Terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan jumlah guru itu dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran minggu depan bagi mendapatkan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Agama Kampung Sungai Suloh, Senggarang, di sini, hari ini.

Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, antara cadangan kementerian bagi meningkatkan jumlah guru J-Qaf adalah dengan melatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai latar belakang pendidikan agama di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum diserapkan menjadi guru.

Beliau berkata, kerajaan ada mengambil guru lepasan ijazah dari Timur Tengah untuk berkhidmat sebagai guru J-Qaf di negara ini, namun, jumlah itu belum memadai bagi menampung keperluan ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Disember lalu mengumumkan program perintis J-Qaf di sekolah menengah akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah seluruh negara. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s