Tujuh jabatan atasi ponteng
7 Mei 2012

Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas, Ahmad Nordin Che Ismail (tengah) memberi amanat kepada 11 pelajar didapati ponteng sekolah, Khamis lalu.
PASIR MAS – Seramai 11 pelajar menjalani sesi kaunseling kerana ponteng sekolah, Khamis lalu. Kesemua pelajar ditangkap dalam operasi membanteras aktiviti ini dalam kalangan pelajar di Parlimen Pasir Mas yang melibatkan kerjasama tujuh jabatan.
Agensi yang terlibat adalah Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Mas, Majlis Daerah Pasir Mas, Polis Diraja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Majlis Agama Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Antidadah Kebangsaan.
Penyelaras Operasi, Muhammad Afandi Yahya berkata, kesemua pelajar ditahan berada di luar sekolah ketika waktu persekolahan.
Menurutnya, ada sebahagian pelajar ditahan ketika bermain komputer di pusat siber, kedai makan dan melepak sekitar Plaza Serangkai Mas.
“Kita menyasarkan 20 kawasan panas yang sering dikunjungi pelajar ponteng seluruh Parlimen Pasir Mas.
“Mereka yang tertangkap diberi kaunseling dan mendalami masalah berlaku sehingga mendorong mereka ponteng sekolah,” katanya.
Beliau berkata, operasi ini sejajar matlamat Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengurangkan peratusan pelajar ponteng sekolah di Kelantan.
Sementara itu, pelajar tingkatan dua, Tam berkata, berasa bosan berada di sekolah dan memilih untuk ponteng bagi menghabiskan masa sebelum pulang ke rumah.
“Selepas ini, saya berjanji akan berada di sekolah dan berusaha untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan lain,” katanya semalam.