CUEPACS minta senarai anggota suruhanjaya diumum bulan ini – Bernama


CUEPACS minta senarai anggota suruhanjaya diumum bulan ini

2012/05/08

PUTRAJAYA: CUEPACS berharap supaya Suruhanjaya Khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara, dapat ditubuhkan dalam bulan ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sehingga kini kerajaan masih belum mengumumkan senarai anggota suruhanjaya itu, ketika pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada anggota gabungan mengenainya.

“Harapnya dalam tempoh terdekat ini, sebelum bulan sambutan Hari Pekerja ini berlalu, mohon jasa baik kerajaan supaya dapat umumkan senarai nama anggota suruhanjaya itu,” katanya dalam sidang media di pejabat Kepertama, Universiti Putra Malaysia di sini.

Beliau berkata, kebanyakan anggota gabungan yang membuat pertanyaan adalah dari kalangan 23 kesatuan sekerja.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lalu dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan Sistem Saraan Baru perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Omar berkata, beliau difahamkan suruhanjaya itu nanti akan mencadangkan penampilan sistem gaji bagi menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan seperti gaji maksimum, kekananan pegawai, kenaikan pangkat, dan sebagainya.
– BERNAMA

Pelajar 12 tahun tidak patah semangat – Bernama


Pelajar 12 tahun tidak patah semangat

8 Mei 2012

KOTA BAHARU — Penyakit kronik yang dihidapi seorang pelajar perempuan di sini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan pelajaran dan mengejar cita-citanya menjadi seorang guru.

Kendatipun perlu didukung ibu bapanya untuk ke sekolah saban hari, Ling Yong Ying, 12, tetap bersemangat menimba ilmu.

“Saya mahu jadi guru. Saya mahu balas jasa ibu dan bapa saya yang hari-hari dukung saya untuk ke tingkat tiga kelas 6 Biru sekolah saya.

“Saya minta tuhan panjangkan umur saya untuk saya berjaya dan doakan saya mendapat yang terbaik dalam UPSR (Ujian Pencapain Sekolah Rendah) nanti,” kata Ling kata pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Cheng kepada Bernama di sini, hari ini.

Tiga tahun lalu, Ling tiba-tiba mengalami sesak nafas di sekolahnya dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia selepas itu.

Namun keadaan kesihatan Ling yang tidak berubah, menyebabkan dia akhirnya dirujuk ke Hospital Selayang, Selangor dan disahkan menghidap penyakit yang jarang dihidapi iaitu berkaitan darah tersumbat atau secara saintifiknya “Polyateritis nodosa” dan pernah mendapat strok ringan dua tahun lalu.

Akibat penyakit itu, Ling kini menerima infeksi masalah bengkak jantung, darah tinggi, masalah darah tersumbat, masalah buah pinggang, limpa dan masalah di otak.

“Saya juga ada masalah pendengaran yang tidak seimbang dan saya diletakkan di depan sekali dalam kelas bagi senang saya mendengar apa yang guru kata,” katanya.

Ibu Ling, Wee Guet Chen, 52, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik itu akan ke Hospital Selayang pada setiap bulan untuk menerima suntikan ubat manakala ke Institut Jantung Negara sebanyak dua kali setahun.

“Setiap kali pergi (ke Kuala Lumpur) kami habiskan kira-kira RM400 bagi tambang,  penginapan dan makan minum di sana,” kata Wee, yang juga penghidap penyakit “kaki gajah” di sebelah kaki kanannya.

Suaminya, Ling Kok Leong, 55, dahulunya merupakan seorang mekanik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM800 itu kini tidak lagi bekerja untuk menjaga Ling yang terpaksa diurus pada setiap masa.

“Pendapatan kami kini adalah daripada bantuan sekolah, pertubuhan dan juga MCA yang simpati dengan kami,” katanya.

Ekoran kemiskinan, Wee turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan sejak Jan lalu.

Wee berkata mujurlah perbelanjaan perubatan untuk anaknya itu yang dianggarkan sebanyak RM50,000 setahun ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya tidak kisah untuk dukung dia setiap hari ke tingkat tiga kelas anak saya selagi saya dan suami masih sihat dan saya harap dia akan berjaya dalam pelajaran walaupun ada penyakit ini,” kata Wee.

Selain Ling, pasangan itu mempunyai dua lagi anak iaitu yang sulungnya lelaki berumur 21 tahun dan perempuan berusia 14 tahun yang masih bersekolah.

Pengerusi Pusat Khidmat MCA Kota Baharu, Ong Han Sein yang hadir sama ke sekolah itu berkata MCA akan membantu daripada segi kewangan bagi memastikan keluarga itu dapat menghantar Ling menerima rawatan sebaik yang mungkin.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Wee di talian 09-7472088/019-9585406. – Bernama

KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (ALOR SETAR, KEDAH)


KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (ALOR SETAR, KEDAH)

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latarbelakang Kajian Semula Pendidikan dan Jadual Sesi Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, sila muat turun fail-fail di bawah.

Slide Kajian Semula Pendidikan

Jadual Sesi Dialog Nasional

Padah keluar waktu malam, pelajar dirogol – Sinar Harian


Padah keluar waktu malam, pelajar dirogol

RUBIAH OMAR
8 Mei 2012

KUALA TERENGGANU – Tindakan nekad seorang pelajar tingkatan empat keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga untuk berjumpa dengan buah hatinya membawa padah apabila dia dirogol.

Kejadian berlaku di Kampung Chabang Tiga, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, 16, yang berasal dari Kampung Beladau, di sini, nekad keluar bersama teman lelakinya setelah berjanji untuk bersiar-siar di sekitar bandar raya di sini.

Teman lelaki yang dikenali sebagai Roy itu telah membawa mangsa ke sebuah rumah kosong di Chabang Tiga, di sini sebelum meninggalkannya keseorangan dengan mengunci pintu rumah dari luar dan memberi alasan hendak keluar sebentar berjumpa rakan.

Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa, setia menunggu teman lelakinya itu sehingga tertidur dan sebaik tersedar keesokan paginya, mangsa menyedari dia masih keseorangan di rumah itu.

Bagaimanapun, mangsa berasa pelik kerana merasakan kesakitan yang teramat pada kemaluannya.

Mengesyaki dirinya telah ‘diapa-apakan’ dan diperbodohkan oleh teman lelakinya itu, mangsa cuba melarikan diri namun dia terkedu apabila menyedari dia masih lagi dikurung, selepas mendapati pintu utama rumah masih berkunci dari luar.

Difahamkan, teman lelaki mangsa hanya membuka pintu rumah itu kira-kira jam 2 petang, selepas hampir separuh hari mengurung mangsa sebelum ‘membuang’ gadis itu begitu sahaja di depan Sekolah Kebangsaan Sri Nilam, di sini.

Mangsa yang kepenatan dan dalam keadaan tidak bermaya terpaksa berjalan hampir kira-kira satu kilometer (km) menuju ke rumah rakannya di Kampung Sungai Rengas, di sini, untuk mendapatkan bantuan.

Selepas menceritakan kejadian yang kepada keluarga rakannya, mangsa yang mengesyaki dirinya telah dirogol, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Pelajar dakwa dibelasah guru – Sinar Harian


Pelajar dakwa dibelasah guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mei 2012
Pelajar dakwa dibelasah guru
Dailami menunjukkan luka dan lebam di bahagian pipi akibat ditumbuk serta dicakar oleh guru sekolahnya

GERIK – Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah, di sini, mendakwa di belasah seorang guru sehingga mengalami beberapa kecederaan termasuk bengkak di kepala.

Akibat kejadian dipukul pada 4 Mei lalu, pelajar berkenaan, Dailami Hizami Abdul Latiff, 14, mengalami simptom muntah-muntah sehingga di tahan di Hospital Gerik selama tiga hari.

Ibu pelajar berkenaan, Anita Ahmad, 46, berkata, pada hari kejadian dia datang mengambil anaknya di sekolah tetapi anaknya tidak ditemui sebelum pulang ke rumah dan meminta seorang lagi anak menjemput Dailami.

Menurutnya, ketika dibawa pulang Dailami mengalami beberapa kecederaan akibat dipukul guru tanpa diketahui punca sebenar.

“Menerusi laporan polis, anak saya memberitahu kira-kira jam 11.55 pagi sewaktu tamat sesi pembelajaran dia turun tangga untuk pulang tetapi secara tiba-tiba tiga orang guru menahan dan memaksanya masuk semula ke kelas.

“Ketika di dalam kelas itu, datang seorang lagi guru terus memukul muka anak saya dengan cara menumbuk dan mencakar pipi serta berulang kali memukul kepala menggunakan lutut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Anita berkata, ketika dipukul, salah seorang guru berkenaan turut memegangnya.

“Akibat kejadian itu, anak saya mengalami beberapa kecederaan termasuk luka di muka dan lebam di kepala.

“Anak saya juga mengalami pening-pening sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Gerik,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima rawatan dan dibawa pulang ke rumah keadaan kesihatan Dailami menjadi teruk apabila mengalami muntah-muntah serta loya.

“Pada sebelah malam keadaannya semakin teruk dan dia dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dalaman.

“Doktor ingin menahannya tetapi saya membuat permohonan membawanya ke Hospital Gerik semula.

Dailami ditahan di wad selama tiga hari dan dibenarkan pulang semalam,” katanya.

Anita berkata, kenapa guru-guru itu boleh bertindak sedemikian sedangkan mereka sewajarnya memberi pendidikan kepada anaknya.

“Sebelum ini, anak saya ada bergaduh dengan rakan sekelasnya dan pada hari Khamis iaitu sehari sebelum kejadian, bapa kepada pelajar ini meluru masuk ke kelas serta memukul anak saya.

“Saya ada membuat laporan polis tentang pergaduhan anak saya dengan pelajar berkenaan dan kemungkinan dia tidak berpuas hati,” katanya.

Katanya, dalam hal itu, orang luar dilihat boleh menceroboh sekolah sesuka hati dan memukul anaknya.

“Lebih terkilan, guru pula menyeret dan memukul anak saya dengan alasan enggan memberi kerjasama mengenai kes sebelum ini,” katanya.

Katanya, diharap Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini.

“Tidak lupa juga kepada pihak polis, supaya menjalankan siasatan secara telus dan adil serta tidak mengabaikan kes ini begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kes ini,” katanya.

Remaja maut dirempuh kereta – Metro


Remaja maut dirempuh kereta

 

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

 

KELUARGA Mohd. Faris Poh ditenangkan oleh orang ramai selepas remaja itu maut setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Temu, Melaka semalam.

 

MELAKA – Seorang ibu tidak menyangka anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu menemui ajal dalam kemalangan ngeri apabila motosikal ditunggangi anaknya itu dirempuh sebuah kereta dan bas di Jalan Padang Temu, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Mohd. Faris Poh Muhammad Fauzi Poh, 15, (gambar) ketika itu baru keluar dari sebuah kedai makan di kiri jalan tersebut.

Jurucakap polis memberitahu, sebaik sahaja mangsa keluar ke jalan raya dari arah lampu isyarat Alai menghala ke arah lampu isyarat Padang Temu, tiba-tiba dia dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting ke laluan bertentangan sebelum dilanggar pula sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

“Ekoran kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala,” kata jurucakap polis itu.

Ujian diteruskan – Metro


Ujian diteruskan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Sesi peperiksaan pertengahan tahun untuk bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pendaftaran pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah di sini, tetap diteruskan biarpun kejadian banjir kilat awal pagi semalam separas lutut berlaku sekali lagi.

Bagaimanapun, segelintir calon SPM itu terpaksa dihubungi bagi meminta mereka hadir untuk menghadapi peperiksaan bermula semalam.
Jurucakap sekolah berkata, hujan lebat selama dua jam bermula 2 pagi itu diikuti hujan renyai sehingga jam 8 pagi menyebabkan banjir kilat hingga sesetengah pelajar menyangka sesi persekolahan dibatalkan.

 

Katanya, biarpun paras air pada kali ini tidak seteruk kejadian pada April lalu, namun air tetap juga memasuki ruang kelas di tingkat bawah.
“Air naik pada awal pagi itu disedari warden asrama dan juga pengawal keselamatan sekolah. Bagaimanapun pihak sekolah sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk menghadapi situasi ini termasuk penempatan bagi memastikan pelajar tetap dapat mengambil peperiksaan.
“Mungkin ada segelintir pelajar ingat peperiksaan ditangguhkan kerana banjir, sebaliknya ia tetap diteruskan kerana kami sudah membuat persediaan awal dengan menyediakan ruang peperiksaan di tingkat atas. Pelajar hadir selepas dihubungi pihak sekolah,” katanya.

 

 

Beliau berkata, pendaftaran pelajar tingkatan enam juga berjalan lancar berikutan air mulai surut bermula jam 8.30 pagi.
Mengulas mengenai masalah banjir itu, beliau berkata, Majlis Perbandaran Klang (MPK) masih tidak melakukan tindakan yang lebih baik bagi mengatasi masalah berkenaan.

Ibu tunggal curi wayar – Metro


Ibu tunggal curi wayar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal sanggup memanjat tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar di sini, untuk mencuri wayar tembaga di bangunan itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, suspek berusia 32 tahun nekad melakukan kerja memotong wayar berkenaan seorang diri walaupun dalam keadaan persekitaran yang gelap.
Difahamkan, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah bertindak demikian kerana terdesak mendapatkan wang bagi membolehkannya membeli pil kuda yang menjadi ‘makanan’ hariannya setiap hari.

 

Bagaimanapun, hasrat wanita itu gagal apabila pengawal keselamatan sekolah terbabit menahannya ketika dia mengangkat wayar yang sudah dipotong untuk dibawa keluar dari bangunan berkenaan.
Dia kemudian diserahkan kepada anggota polis peronda yang kebetulan melintasi tempat kejadian sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu bagi tindakan susulan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita berkenaan yang mempunyai seorang anak itu.

 

 

“Suspek direman empat hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

SISTEM PERMOHONAN MURID KE SEKOLAH SENI MALAYSIA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


SISTEM PERMOHONAN MURID KE SEKOLAH SENI MALAYSIA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Maklumat lanjut lawat : http://apps.moe.gov.my/essem/permohonan/

Sebarang pertanyaan berkaitan pendaftaran, sila hubungi:
1. En. Romai Noor bin Rabbu             03-88721647
Email : romainoor@moe.gov.my

2. En. Abdul Haleem bin A. Rahman             03-88721620
Email : haleem.rahman@moe.gov.my

Syarat Kemasukan
1. Warganegara Malaysia
2. Berbakat dan berpotensi dalam mana-mana bidang kesenian berikut:
(seni visual/seni tari/seni muzik/seni teater)
3. Tidak Cacat
4. Lulus Uji Bakat
5. Memperoleh keputusan dengan minimum 3B atau setara dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2012
Maklumat Am
1. Permohonan hendaklah dihantar selewat-lewatnya 15 Julai 2012
2. Hanya calon yang layak sahaja akan dipanggil ke sesi uji bakat
Terkini
semak Semakan No. Angka Giliran