Pelajar 12 tahun tidak patah semangat – Bernama


Pelajar 12 tahun tidak patah semangat

8 Mei 2012

KOTA BAHARU — Penyakit kronik yang dihidapi seorang pelajar perempuan di sini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan pelajaran dan mengejar cita-citanya menjadi seorang guru.

Kendatipun perlu didukung ibu bapanya untuk ke sekolah saban hari, Ling Yong Ying, 12, tetap bersemangat menimba ilmu.

“Saya mahu jadi guru. Saya mahu balas jasa ibu dan bapa saya yang hari-hari dukung saya untuk ke tingkat tiga kelas 6 Biru sekolah saya.

“Saya minta tuhan panjangkan umur saya untuk saya berjaya dan doakan saya mendapat yang terbaik dalam UPSR (Ujian Pencapain Sekolah Rendah) nanti,” kata Ling kata pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Cheng kepada Bernama di sini, hari ini.

Tiga tahun lalu, Ling tiba-tiba mengalami sesak nafas di sekolahnya dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia selepas itu.

Namun keadaan kesihatan Ling yang tidak berubah, menyebabkan dia akhirnya dirujuk ke Hospital Selayang, Selangor dan disahkan menghidap penyakit yang jarang dihidapi iaitu berkaitan darah tersumbat atau secara saintifiknya “Polyateritis nodosa” dan pernah mendapat strok ringan dua tahun lalu.

Akibat penyakit itu, Ling kini menerima infeksi masalah bengkak jantung, darah tinggi, masalah darah tersumbat, masalah buah pinggang, limpa dan masalah di otak.

“Saya juga ada masalah pendengaran yang tidak seimbang dan saya diletakkan di depan sekali dalam kelas bagi senang saya mendengar apa yang guru kata,” katanya.

Ibu Ling, Wee Guet Chen, 52, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik itu akan ke Hospital Selayang pada setiap bulan untuk menerima suntikan ubat manakala ke Institut Jantung Negara sebanyak dua kali setahun.

“Setiap kali pergi (ke Kuala Lumpur) kami habiskan kira-kira RM400 bagi tambang,  penginapan dan makan minum di sana,” kata Wee, yang juga penghidap penyakit “kaki gajah” di sebelah kaki kanannya.

Suaminya, Ling Kok Leong, 55, dahulunya merupakan seorang mekanik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM800 itu kini tidak lagi bekerja untuk menjaga Ling yang terpaksa diurus pada setiap masa.

“Pendapatan kami kini adalah daripada bantuan sekolah, pertubuhan dan juga MCA yang simpati dengan kami,” katanya.

Ekoran kemiskinan, Wee turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan sejak Jan lalu.

Wee berkata mujurlah perbelanjaan perubatan untuk anaknya itu yang dianggarkan sebanyak RM50,000 setahun ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya tidak kisah untuk dukung dia setiap hari ke tingkat tiga kelas anak saya selagi saya dan suami masih sihat dan saya harap dia akan berjaya dalam pelajaran walaupun ada penyakit ini,” kata Wee.

Selain Ling, pasangan itu mempunyai dua lagi anak iaitu yang sulungnya lelaki berumur 21 tahun dan perempuan berusia 14 tahun yang masih bersekolah.

Pengerusi Pusat Khidmat MCA Kota Baharu, Ong Han Sein yang hadir sama ke sekolah itu berkata MCA akan membantu daripada segi kewangan bagi memastikan keluarga itu dapat menghantar Ling menerima rawatan sebaik yang mungkin.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Wee di talian 09-7472088/019-9585406. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s