Perak peruntuk RM 60,000 bagi pembangunan murid SJKT – Bernama


Perak peruntuk RM 60,000 bagi pembangunan murid SJKT

9 Mei 2012

IPOH — Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk pembangunan murid-murid di 134 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata daripada jumlah itu RM30,000 diperuntukan bagi penganjuran acara sukan antara sekolah terbabit yang merupakan acara tahunan yang diadakan.

Sebanyak RM30,000 lagi adalah bagi mengadakan Klinik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi persediaan murid-murid menghadapai ujian itu tahun ini, katanya ketika berucap pada majlis makan malam Guru-Guru SJKT negeri Perak di kediamannya malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sains dan Teknologi dan Penasihat Menteri Besar Datuk S. Veerasingam.

Beliau berkata peruntukan tersebut akan diserahkan kepada Majlis Guru Besar SJKT Negeri dan pihak majlis akan mengagih-agihkan peruntukan itu mengikut daerah atau sekolah.

Kita mahu keputusan UPSR terus meningkat lebih baik dari tahun lalu dan kita juga mahukan kualiti pelajar, jadi saya minta guru-guru meneruskan usaha mendidik pelajar-pelajar ini,” katanya.

Pada masa ini terdapat 16,000 murid sedang belajar di SJKT di Perak dan lebih 2,300 akan menjalani ujian UPSR tahun ini.

Dalam pada itu, Zambry meminta guru-guru mengesan murid-murid yang tidak mempunyai surat beranak supaya melaporkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

“Kita akan usahakan supaya mereka mendapat surat beranak bagi membolehkan mereka membuat kad pengenalan dan menjadi orang yang normal.

“Janganlah anak-anak ini disusahkan kerana kesilapan ibu bapa mereka, jadi kita kena bantu mereka,” katanya. – Bernama

Pembinaan bangunan baru SJK (T) Batang Kali tahun depan – Bernama


Pembinaan bangunan baru SJK (T) Batang Kali tahun depan

9 Mei 2012

HULU SELANGOR – Kementerian Pelajaran hari ini memberi jaminan akan membina satu blok bangunan baru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Batang Kali pada perancangan tahun 2013 bagi memastikan suasana pembelajaran yang selesa dan selamat di sekolah itu.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pembinaan bangunan baru dengan enam bilik darjah itu akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diluluskan dan dijadual siap dalam masa setahun.

“Saya akan berbincang segera dengan Menteri Pelajaran untuk mendapatkan persetujuannya. Kita berjanji akan menyelesaikan masalah sekolah dan murid-murid. Ini adalah cara kerajaan diterajui Barisan Nasional.

“Kita sentiasa prihatin dalam isu berkaitan pendidikan serta tidak mahu membiarkan rakyat menderita,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJK (T) Batang Kali di sini.

Turut hadir Penyelaras Pelan Tindakan Bagi Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Prof Dr N.S. Rajendran, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan, Penyelia Sekolah Tamil Malaysia M.Baskaran serta wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pelajaran Daerah.

Pada 4 Mei, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan mengetuai satu perhimpunan mogok lapar secara aman bersama ibu bapa dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) A. Omparoa selama 24 jam bagi menuntut pembinaan bangunan baru setelah JKR mengisytiharkan bangunan sedia ada tidak selesa dan keselamatan bangunan itu di tahap tidak memuaskan.

Sementara menunggu kelulusan peruntukan kementerian, Puad berkata empat kabin fiber komposit akan ditempatkan di kawasan sekolah dalam masa terdekat.

Kementerian turut memperuntukkan RM100,000 untuk baik pulih blok A yang mengalami kerosakan bumbung dan pembinaan struktur serta RM20,000 untuk mengatasi masalah anai-anai di sekolah itu.

SJK (T) Batang Kali merupakan sekolah Tamil bantuan penuh kerajaan, yang dibina pada 1960-an, mempunyai 10 bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah pejabat, satu bilik darjah prasekolah, sebuah pusat sumber dan sebuah kontena yang dilengkapi dengan pendingin hawa.

Sekolah itu mempunyai 368 murid termasuk 25 pelajar prasekolah.

– Bernama

5 suspek culik Nayati ditahan, 2 lagi diburu – Berita Harian


5 suspek culik Nayati ditahan, 2 lagi diburu

2012/05/09

KUALA LUMPUR: Polis menahan 5 termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kes culik seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata dua lagi lelaki, antaranya dalang kes culik ini sedang diburu.

“Mereka lari ke Eropah. Kita sudah meminta bantuan Interpol untuk mengesan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Bakri berkata, lima suspek berumur antara 18 dan 45 tahun itu direman sehingga 21 Mei depan untuk siasatan.

“Wang tebusan sebanyak RM300,000 sudah dibayar, tetapi sebahagian sahaja wang itu ditemui semula,” katanya.

Khamis lalu, Nayati ditemui selamat di Hentian Rehat dan Rawat Rawang selepas tujuh hari diculik di hadapan sekolahnya di Mount Kiara.

Pekerja kedai tayar didakwa rogol – Sinar Harian


Pekerja kedai tayar didakwa rogol

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mei 2012
Pekerja kedai tayar didakwa rogol
Chyn Yik dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.

AYER KEROH – Seorang pekerja kedai tayar mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas tuduh merogol seorang remaja bawah umur, Jun lalu.

Lim Chyn Yik, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaharah Hussain selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Chyn Yik didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah unit rumah pangsa di Taman Malim Jaya, kira-kira jam 2.30 petang pada 16 Jun tahun lalu.

Dia berdepan tuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela, A N Gunalan memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tertuduh tidak akan melarikan diri dan bersedia memberi kerjasama kepada mahkamah.

Zaharah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 Jun depan.

Sistem pendidikan lahirkan tenaga kerja pakar, berkemahiran tinggi – Utusan


Sistem pendidikan lahirkan tenaga kerja pakar, berkemahiran tinggi

ABU DHABI 8 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan penuh terhadap bagaimana sistem pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja pakar dan berkemahiran tinggi pada masa depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini dijangka menyediakan kira-kira 3.3 juta peluang pekerjaan baru dengan sebahagian besarnya perlu diisi oleh tenaga kerja pakar dan berkemahiran tinggi dalam kalangan rakyat tempatan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, sistem pendidikan negara perlu sentiasa dikaji dan ditingkatkan dari semasa ke semasa ke arah mencapai matlamat tersebut.

“Salah satu yang menjadi penekanan sudah semestinya kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, selain memberi tumpuan kepada subjek berteraskan sains dan teknologi maklumat yang semakin penting ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan 250 rakyat Malaysia yang menetap di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), di sini malam tadi.

Majlis pertemuan itu merupakan antara program dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari beliau di Abu Dhabi bermula semalam hingga esok.

Terdahulu, Muhyiddin turut melakukan kunjungan hormat ke atas Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, selain memenuhi undangan makan malam bersama rakan sejawatannya, Sheikh Saif Zayed Al Nahyan.

Sepanjang berada di sini juga, Muhyiddin dijadual mengetuai delegasi perdagangan Malaysia bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan (TES) 2012 esok.

Menurut Muhyiddin, proses transformasi pendidikan merupakan proses berterusan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan perubahan dunia hari ini yang semakin pantas serta dinamik.

Katanya, proses pendidikan juga bukan lagi semata-mata untuk memenuhi keperluan rakyat sebaliknya menyediakan mereka dengan sebarang perubahan yang akan berlaku untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Kerajaan sangat fokus dengan apa yang dilaksanakan menerusi transformasi pendidikan ini termasuk mengadakan dialog bersama pelbagai pihak dalam mendapatkan pandangan mengenai cara terbaik ke arah tersebut.

“Laporan pelan hala tuju pendidikan negara itu akan dibentangkan pada Ogos ini dan ia akan menjadi panduan dalam membentuk sistem pendidikan negara yang bersesuaian pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Empat suspek culik Nayati diberkas – Utusan


Empat suspek culik Nayati diberkas

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

Nayati Shamelin Moodliar

KUALA LUMPUR 8 Mei – Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang dilarikan selama tujuh hari sejak 27 April lalu.

Suspek yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditangkap berasingan di sekitar Perak dan ibu negara antara tengah malam tadi dan awal pagi ini.

Kesemua suspek ditangkap oleh sepasukan polis yang ditubuhkan khas untuk memburu penjenayah terbabit sebaik sahaja kes ini dilaporkan dan mangsa ditemui selamat pada pagi 3 Mei lalu.

Menurut sumber, ketika ditangkap, polis turut menemui sebahagian wang dipercayai berjumlah RM40,000 yang diterima sebagai wang tebusan daripada keluarga kanak-kanak itu.

“Siasatan awal mendapati kesemua penjenayah ini baru pertama kali terlibat dalam kes penculikan seperti ini.

SURAT SIARAN : Panduan Pelaksanaan Autonomi Pemilihan Murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)


Panduan Pelaksanaan Autonomi Pemilihan Murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)

Kategori Surat Siaran
Subjek Panduan Pelaksanaan Autonomi Pemilihan Murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
Bil. 8
Tahun 2012
Jabatan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan
Fail Download
Tarikh 09/05/2012

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2012


Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2012

Mesyuarat Jawatan Kuasa Induk Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan telah memutuskan bahawa sambutan Hari Guru peringkat sekolah hendaklah dilaksanakan serentak dengan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan iaitu pada 16 Mei 2012.