9,000 miliki SKM menjelang 2015 – Metro


9,000 miliki SKM menjelang 2015

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Seramai 9,000 pelajar sekolah menengah akan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua menjelang 2015 sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pendidikan konvensional lain.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, projek perintis Program Asas Vokasional (PAV) untuk pelajar tingkatan satu yang baru diperkenalkan tahun ini bakal melahirkan pelajar dinamik dan memiliki kemahiran asas. “Kementerian melaksanakan transformasi pendidikan vokasional secara menyeluruh melalui penubuhan kolej vokasional menggantikan Sekolah Menengah Vokasional (SMV).
“Berikutan itu, PAV diperkenalkan bagi memberi nilai tambah kepada pelajar berkenaan,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada 30 peratus murid sekolah luar bandar daripada keluarga berpendapatan bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara.

 

“Sejumlah 2,214 orang atau 30 peratus kuota ditetapkan untuk murid miskin tegar dari luar bandar diterima masuk ke SBP mulai tahun ini walaupun sekadar memperoleh keputusan sama ada 3A 2B atau 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Ini secara tidak langsung membolehkan kelompok berkenaan mendapat pendidikan berkualiti tinggi,” katanya.
Menurutnya, kementerian akan membantu mereka menyesuaikan diri supaya mampu bersaing dengan murid cemerlang lain menerusi program motivasi serta bantuan makanan tambahan untuk keseimbangan pencapaian akademik.

Beri input DNPN – Metro


Beri input DNPN

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Orang ramai diharap mengambil peluang sesi jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) bagi memberi input yang boleh dijadikan panduan untuk penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Objektif kajian semula itu adalah untuk mengenal pasti aspirasi sistem pendidikan Malaysia selain mewujudkan garis dasar prestasi iaitu menyelidik bagaimana kelancaran sistem penyampaian pendidikan dan prestasi pelajar Malaysia dibandingkan negara lain.
Ia juga bertujuan memahami pemacu utama prestasi pelajar; mengenal pasti bidang keutamaan bagi pembangunan seterusnya dan membuat syor untuk transformasi. Menurut laman web edureview selain sesi dialog dan ‘townhall’ yang dilaksanakan di semua negeri, orang ramai boleh menyalurkan pendapat dan kritikan menerusi laman web http://www.edureview.my. Ini kerana pendidikan adalah hak rakyat dan sewajarnya suara mereka diambil kira dalam perancangan dasar pendidikan. Laman web berkenaan juga memaklumkan bahawa matlamat akhir DNPN adalah mendapatkan input daripada segenap lapisan masyarakat berkaitan pendidikan, khasnya beberapa aspek penting yang dikenal pasti mempunyai hubungan dan kesan terus kepada pencapaian pelajar. DNPN merangkumi empat kaedah iaitu perhimpunan awam merentasi setiap negeri di Malaysia (townhalls); Forum kumpulan berfokus (stakeholder forums); Kemukakan idea secara bertulis (survey) kebangsaan komprehensif.

 

Kali terakhir kajian sistem pendidikan negara dilakukan pada 1956 dan 1960 hingga terhasilnya Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib. Laporan Penilaian Sistem Pendidikan Negara (LPSPN) pada penghujung Mac lalu pula menjadi input penting kepada penyediaan pelan induk dan pelan strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagaimanapun, LPSPN bukanlah satu-satunya punca input lengkap untuk penyediaan pelan induk sistem pendidikan negara itu, sebaliknya pandangan dan input komprehensif daripada semua lapisan masyarakat diusahakan mulai April 2012. Dialog itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 29 April lalu.

Tanggung azab ingkar arahan – Metro


Tanggung azab ingkar arahan

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Sekumpulan pelajar lelaki berusia 15 tahun bertindak membelasah seorang rakan sekolah sehingga separuh mati berikutan keengganan mangsa menyertai kumpulan mereka selain mengingkari arahan supaya memukul rakan sekelasnya.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari Isnin lalu, mangsa, Muhammad Shafuan Shari, 15, ditampar, ditumbuk dan diterajang lima pelajar lain tanpa belas kasihan di koridor tingkat atas bangunan tiga tingkat sekolah itu.
Ibu mangsa, Maria Mawarni Mahamud, 35, berkata anaknya didatangi lima pelajar terbabit selepas menduduki ujian di kelas dan memintanya memukul seorang pelajar yang juga rakan sekelasnya.

 

“Namun, anak saya enggan menuruti arahan itu. Berikutan itu, anak saya dibelasah tanpa belas kasihan oleh lima pelajar terbabit sehingga menyebabkan dia hampir terjatuh tetapi bernasib baik apabila sempat berpaut pada besi pemegang tangga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam, Simpang Empat, di sini, semalam.
Beliau berkata, Muhammad Shafuan yang juga anak sulung daripada empat beradik itu turut diugut agar tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah jika mahu selamat.
“Sebaik pulang dari sekolah, dia menceritakan kejadian yang menimpanya dan berikutan itu, saya membawanya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat,” katanya.

 

 

Maria berkata, dia kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Perlis mengambil tindakan tegas ke atas pelajar terbabit kerana perbuatan itu tidak boleh diterima.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Calon PMR yakin berbahasa Inggeris – Berita Harian


Calon PMR yakin berbahasa Inggeris

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@bharian.com.my
2012/05/10

Nurul Afizah

Nurul Afizah

“HADIAH paling istimewa sebelum pemergian ibu tersayang adalah pencapaian 5A dalam UPSR,” kata Nurul Afizah Mohd Khaidir,15, yang kematian ibu sejak dua tahun lalu ketika melahirkan adiknya.

Nurul Afizah yang sentiasa kelihatan tenang berkata, walaupun tanpa orang disayangi, dia teruskan perjuangan untuk mencapai kejayaan bergelar pelajar cemerlang di sekolahnya.

Dia yang ditemui ketika menghadiri Seminar Kecemerlangan PMR yang diadakan kerjasama Tabung Haji dan Berita Harian, baru-baru ini, berkata peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan pemahaman bagi subjek bahasa Inggeris.

“Selain subjek berkenaan, mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik juga diajar dengan baik selain diberikan tip menjawab soalan, penekanan kawalan emosi dan mental ketika menghadapi peperiksaan.

“Peserta tidak dikenakan bayaran, tambah pula saya ahli Kelab Tabung Haji (TaHa) turut menikmati kelebihan ini,” katanya ketika ditemui di Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Beliau berkata, kepetahan fasilitator berbicara dengan disertai unsur kelakar memberikan pengalaman menyeronokkan dan kesempatan mengikuti seminar itu menjadikannya dapat bertutur bahasa Inggeris dengan betul.

“Pada seminar ini, peserta diajar berkomunikasi dengan betul mengikut tatabahasa yang tepat,” katanya.
Nurul Afizah, pelajar di Kolej Abdillah, Siol Kandis, berkata pembacaan material dalam Bahasa Inggeris adalah strategi berkesan memantapkan kemahiran itu.

“Semua bahan bacaan berkaitan antaranya, akhbar, buku, risalah, majalah mahupun iklan memberi peluang kepada kita menguasai bahasa itu,” katanya.

Sistem pendidikan diperkasa – Berita Harian


Sistem pendidikan diperkasa

Daripada Fadzlena Jafar di Abu Dhabi
fadzlena@bharian.com.my
2012/05/10

MUHYIDDIN dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman   beramah mesra dengan murid Sekolah Al Mushrif ketika melawat  sekolah berkenaan di Abu Dhabi, kelmarin.

MUHYIDDIN dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan murid Sekolah Al Mushrif ketika melawat sekolah berkenaan di Abu Dhabi, kelmarin.

Kerajaan beri keutamaan tingkat mutu capai bertaraf dunia: Muhyiddin

USAHA meningkatkan kualiti sistem pendidikan supaya bertaraf dunia menjadi keutamaan kerajaan bagi memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi pada 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem pendidikan di sesebuah negara perlu terus berkembang untuk kekal bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah selain berupaya memenuhi aspirasi negara.

“Sebagai pemimpin hari ini, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam memastikan generasi muda hari ini dapat melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Oleh itu, setiap kerajaan yang efektif perlu membabitkan semua sektor untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam membantu menjayakan transformasi sistem pendidikan termasuk mengambil kira pandangan mereka dalam membentuk hala tuju pendidikan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Leading Across – How Do Effective Government Leaders Engange Across Sectors? pada Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan (TES) anjuran Majlis Pelajaran Abu Dhabi (ADEC) di sini, semalam.

Persidangan yang julung kali diadakan itu dinaungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang juga Pengerusi ADEC merangkap Timbalan Ketua Pemerintah Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kira-kira 200 pakar dalam bidang masing-masing termasuk pemimpin, ahli akademik dan penggiat dalam sektor swasta dijemput menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Selain Muhyiddin, turut menyampaikan ucaptama pada TES bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown; bekas Presiden Finland, Tarja Halonen dan bekas Menteri Pelajaran Ireland, Mary Hanafin.

Muhyiddin yang turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam membangunkan sistem pendidikan sejak mencapai kemerdekaan berkata, kerajaan perlu menangani pelbagai cabaran bagi melaksanakan program bersesuaian membabitkan semua pihak berkepentingan.

“Ketika ini, ada 400,000 guru, lebih lima juta pelajar di 10,000 sekolah dan 27 juta rakyat merangkumi pelbagai etnik, agama dan latar belakang sosial di Malaysia.

“Oleh itu, cabaran utama dalam menjayakan transformasi untuk mengimbangi dan mencari kesamaan di kalangan setiap pihak ini untuk melaksanakan program serta polisi bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji kemampuan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid bagi membolehkan generasi muda hari ini bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita sudah biasa dengan (pengajaran) dwibahasa di sekolah di negara ini dan kajian sedang dijalankan sama ada kita boleh menggalakkan pengajaran multi bahasa,” katanya kepada wartawan Malaysia sejurus melakukan lawatan ke Sekolah Al Mushrif di sini, kelmarin.

Kanak-kanak 10 tahun dirogol – Utusan


Kanak-kanak 10 tahun dirogol

BERUAS 9 Mei – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah kawasan ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya di Taman Cantik Dua, Pasir Panjang dekat sini Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa dalam perjalanan pulang seorang diri ke rumah sebelum dihampiri suspek yang mempelawa kanak-kanak tersebut membonceng motosikalnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Supritendan Ahmad Mat Isa berkata, suspek dipercayai memberikan kanak-kanak itu makanan sebagai umpan supaya mengikutnya membonceng motosikal.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit berhampiran sebelum dirogol dan dihantar pulang semula berhampiran rumahnya pada pukul 10 malam.