PERLANJUTAN TARIKH KAJIAN PEMUTIHAN PERJAWATAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012


PERLANJUTAN TARIKH KAJIAN PEMUTIHAN PERJAWATAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012

Adalah dimaklumkan bahawa tarikh bagi pengemaskinian data di bawah Kajian Pemutihan Perjawatan KPM 2012 telah dilanjutkan kepada 18 Mei 2012. Semua sekolah di bawah KPM perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagaimana surat edaran bilangan KP(PP) 0056/34(21) bertarikh 24 April 2012.

Layari http://apps.moe.gov.my/eoperasi untuk maklumat lanjut.

Asrama sekolah terbakar – Sinar Harian


Asrama sekolah terbakar
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Mei 2012
Asrama sekolah terbakar
Hampir 80 peratus bangunan asrama berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.

MATANG – Tiga murid nyaris maut apabila asrama yang mereka diami di Madrasah Tarbiah Islamiah, di sini terbakar, awal pagi semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, tiga murid yang berumur 11 hingga 8 tahun dikatakan sedang tidur di tingkat dua bangunan asrama madrasah berkenaan.

Bagaimanapun, bencana tersebut disedari ketiga-tiga mereka apabila merasai bahang api sebelum bertindak menyelamatkan diri.

Guru besar madrasah berkenaan, Hafizul Azizi Abdul Rashid berkata, meskipun agak terkejut dengan insiden itu, pihaknya bersyukur kerana semua mangsa terselamat.

Menurutnya, bangunan asrama yang bernilai hampir RM50,000 itu siap dibina pada November 2010 untuk menempatkan murid lelaki.

“Bagaimanapun, hanya tiga murid berkenaan sahaja tinggal di asrama sementara 67 murid lagi termasuk perempuan yang belajar di madrasah itu tinggal di rumah masing-masing.

“Dua daripada murid berkenaan berusia 11 tahun dan seorang lagi 8 tahun, buat masa ini kita dimaklumkan mereka masih lagi trauma.

“Kini semua mangsa sudahpun dibawa pulang ke rumah keluarga masing-masing iaitu di Ipoh dan Bukit Gantang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penempatan baru bagi murid yang tinggal di asrama berkenaan.

Jelasnya, beliau harap selepas ini, semua kembali kepada keadaan asal dan murid berkenaan dapat belajar seperti biasa tanpa dihantui kejadian kebakaran itu.

Difahamkan, insiden itu adalah yang pertama kali berlaku sejak madrasah tersebut ditubuhkan iaitu 25 tahun lalu.

Sinar Harian juga dimaklumkan, ada individu terlihat api mula marak di bahagian dinding bangunan berkenaan sebelum menjerit meminta penghuni asrama keluar.

80 peratus bangunan terbakar

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, sebanyak tiga jentera dengan kekuatan 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Api berjaya dikawal dalam masa tujuh minit, bagaimanapun kebakaran tersebut memusnahkan hampir 80 peratus bangunan asrama,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian dan kerugian yang dialami masih lagi dalam siasatan.

Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada madrasah tersebut dengan menyalurkannya ke akaun Bank Islam 08040010007671 atas nama Madrasah Tarbiah Islamiah.

Guru sertai Bersih 3.0 dikenal pasti – Sinar Harian


Guru sertai Bersih 3.0 dikenal pasti
NOOR AZLIDA ALIMIN
11 Mei 2012

PASIR MAS – Tiga guru dari Kelantan telah dikenal pasti terlibat dalam kejadian merusuh ketika Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Penolong Pegawai Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Ahmad Razukee Zulkifli berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh di peringkat jabatan.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima beberapa laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan menyeluruh sudah dijalankan.

“Siasatan 90 peratus lengkap dan kita mendapati terdapat beberapa guru terlibat ketika Bersih 3.0 baru-baru ini.

“Guru berkenaan berusia dalam lingkungan 40-an dan boleh dikategorikan guru berpengalaman,” katanya ketika Majlis Penutupan Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia, peringkat Negeri di Kem Desa Mahmood, semalam.

Razukee berkata, identiti guru berkenaan masih dirahsiakan, bagi menyiapkan laporan sepenuhnya.

Menurutnya, selesai siasatan mereka akan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis, bagi tindakan lanjut.

Beliau turut mengakui bahawa terdapat segelintir yang menentang kepimpinan Kerajaan Pusat, namun ia dikategorikan sebagai kes terpencil.

Didakwa rogol: Bekas banduan menangis – Sinar Harian


Didakwa rogol: Bekas banduan menangis

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Mei 2012

AYER KEROH – Seorang bekas banduan menangis kerana sedih apabila dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol remaja bawah umur 11 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hazizol Ahmad, 30, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan­ kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam kira-kira 12 tengah hari pada 14 Disember 2001.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Jalan Bangsar, Batu Berendam antara jam 12 tengah malam pada 26 Disember hingga 9 pagi, 30 Disember 2001.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Hazizol dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Terdahulu, Mahmoodah ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan­ terhadap tertuduh kerana arahan­ pendakwaan kes tersebut keluar sejak 2003, namun tertuduh tidak dapat dikesan dan hanya ditangkap, kelmarin.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan anak yatim piatu merayu sambil menangis teresak-esak meminta mahkamah memberikan jaminan terhadapnya dengan alasan­ tidak pernah melarikan diri sebelum ini.

“Saya di penjara selama 10 bulan pada 2003 dan kemudian enam tahun sejak 2005 sebelum bebas pada 2009 bagi kes dadah. Sudah banyak kali saya ditahan tapi kenapa sekarang?” katanya.

Selepas mendengar rayuan, Hakim Abu Bakar Katar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua penjamin dan menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Anak didakwa – Metro


Anak didakwa

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tampil dengan wajah selamba ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan membunuh bapa kandungnya di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini, dalam kejadian antara 30 April hingga 1 Mei lalu.

Tertuduh memakai baju lokap berwarna biru tidak menunjukkan sebarang riak walaupun dikerumuni jurugambar media yang menunggu di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi.
Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menetapkan 8 Jun ini sebagai tarikh sebut semula kes pembunuhan itu dalam prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof dan peguam tertuduh, K Nahtan.

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca dan minta dibicarakan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kes kematian seorang hartawan, Jaswant Singh Udan Singh, 40, yang ditemui mati ditikam di salah sebuah bilik di rumahnya pada awal pagi Selasa lalu.

Nelayan tiada kaitan onar di sekolah – Metro


Nelayan tiada kaitan onar di sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Nelayan berusia 17 tahun yang ditahan berhubung dakwaan cubaan merogol murid tahun tiga di tangga bangunan sebuah sekolah di Kuala Sungai Baru di sini, dibebaskan tanpa syarat selepas didapati tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, remaja lelaki itu dibebaskan pada jam 3 petang, Selasa lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati lelaki itu tidak terbabit dalam kes cubaan merogol murid tahun tiga dalam kejadian pada hari Isnin, Rabu dan Khamis, minggu lalu.

 

“Selepas siasatan dilakukan, didapati lelaki berkenaan tidak terbabit dalam dakwaan merogol dan dibebaskan tanpa syarat.
“Polis masih meneruskan siasatan dari segenap sudut untuk mengesan suspek sebenar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan (KK),” katanya di sini, semalam.
Harian Metro sebelum ini melaporkan dakwaan seorang murid tahun tiga menjadi mangsa rogol pada Isnin, Rabu dan Khamis minggu lalu ketika waktu rehat dan selepas tamat persekolahan. Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa suspek mengancam mencederakan atau membunuhnya jika perkara itu diadukan kepada sesiapa.

2 wanita direman kes guru melecur – Metro


2 wanita direman kes guru melecur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEBERANG JAYA: Dua wanita direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berkaitan kejadian seorang guru melecur dalam kebakaran di sebuah rumah flat di Taman Tun Hussein, di sini, Selasa lalu.

Kedua-dua wanita terbabit adalah ibu mentua dan kakak ibu mentua kepada guru wanita yang menjadi mangsa dalam kejadian itu.
Mereka menyerah diri di Balai Polis Seberang Jaya pada malam hari kejadian sebelum ditahan dan direman selama lima hari.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu selepas mengesyaki kebakaran dan kecederaan yang dialami mangsa ada kaitan dengan perbuatan jenayah.
Menurutnya, pihaknya sedang mendapatkan maklumat mengenai kejadian daripada kedua-dua wanita yang berusia 62 dan 60 tahun itu.

 

 

 

Bukti institusi keluarga celaru – Metro


Bukti institusi keluarga celaru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang isteri dan anak yang mendera suaminya terlantar sakit dan membuat rakaman video penyeksaan yang dilakukan menunjukkan institusi kekeluargaan yang bercelaru.

Ketua Biro Belia dan Cinta Rakyat (Citra), Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Ahmad Tajuddin Idris berkata, suatu tindakan perlu diambil membabitkan orang ramai dan pihak berkuasa kerana semakin banyak perkara pelik berlaku dalam institusi kekeluargaan sekarang.
“Sekarang banyak berita mengenai perkara pelik membabitkan institusi kekeluargaan yang dulu kita tidak pernah dengar. Sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sebegini menular antaranya memperkukuhkan pegangan agama dalam institusi kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita berusia 50 tahun dan anak lelaki mendera suaminya yang terlantar sakit di Kampung Tanggung Unggar, Limbang, Sarawak.
Tindakan wanita dan remaja berusia 15 tahun itu terbongkar selepas polis menemui tiga rakaman video memaparkan perbuatan keji mereka dalam komputer riba milik remaja berkenaan di rumah mereka. Lebih mengejutkan, rakaman video itu memaparkan wanita berusia 50 tahun itu memukul suaminya dengan rotan manakala anak lelakinya ‘tumpang sekaki’ mendera bapanya, termasuk menarik alat sulit lelaki berusia 64 tahun itu. Ahmad Tajuddin berkata, mungkin anak beranak itu ada sebab tertentu sehingga tergamak menzalimi suami dan bapa mereka yang tidak terdaya mempertahankan diri.

Dicerai lepas ‘kantoi’ SMS cinta pada anak – Metro


Dicerai lepas ‘kantoi’ SMS cinta pada anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Hati isteri mana yang tidak remuk apabila mendapati suami kedua yang dikahwini enam tahun lalu mencintai anak tiri berusia 10 tahun.

Lebih malang, ketika mahu mendapatkan penjelasan, wanita itu dibelasah dan diceraikan dalam kejadian di kediaman mereka di Sungai Buloh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, wanita terbabit yang berusia 46 tahun dan bekerja sebagai pembantu klinik swasta mendakwa cedera di kepala selepas dihentak suaminya sebelum diceraikan talak satu ketika mereka bertengkar mengenai hal berkenaan.

 

Menurut sumber, wanita berkenaan terbaca khidmat pesanan ringkas (SMS) ayat cinta yang dihantar suaminya dalam telefon bimbit anak perempuan berusia 10 tahun hasil perkahwinan pertama.
“Mangsa yang curiga dengan kandungan SMS berkenaan kemudian cuba memeriksa telefon bimbit suaminya itu untuk mendapatkan kepastian ketika lelaki itu mandi. “Malangnya, telefon bimbit suaminya itu tidak dapat diaktifkan kerana kata laluannya dikunci,” katanya.
Sumber berkata, sebaik suaminya keluar dari bilik air, mangsa terus bertanyakan soalan bertubi-tubi mengenai luahan cinta kepada anaknya menerusi SMS itu.

 

 

“Tindakan mangsa mengundang kemarahan sebelum suaminya memaki hamun mangsa sebelum mengemas pakaiannya dan menghentak kepala serta tengkuk mangsa lalu melafazkan cerai talak satu,” katanya.
Katanya, lelaki terbabit memadam semua SMS menyebabkan mangsa yang tidak berpuas hati serta bimbang dengan keselamatan anak membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian malang menimpa wanita itu.

Lempar nota cemas – Metro


Lempar nota cemas

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah  suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.
PENGSAN…keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.

KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis nota “tolong selamatkan ibu, kami di W1310” dan melontarnya dari tingkat 13 sebuah kondominium di Batu Kawa, di sini, bagi mendapatkan pertolongan selepas ibunya dibelasah bapanya sehingga tidak sedarkan diri, malam kelmarin.

Nyata usaha itu tidak sia-sia, apabila nota berkenaan ditemui seorang penghuni kondominium sama yang kebetulan melalui blok pangsapuri itu, biarpun agak lewat iaitu kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas 14 jam ia ditulis.
Wanita mahu dikenali sebagai Mei, 40, berkata, dia menemui nota berkenaan di kaki lima berhampiran pintu utama blok itu dan membuang kertas itu ke dalam tong sampah berhampiran selepas membacanya.

 

“Saya sempat membaca nota di atas kertas itu, tetapi agak ragu dengan kesahihannya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah dan pulang ke rumah.
“Namun, saya berasa tidak sedap hati sebelum kembali semula ke tong sampah tadi untuk mengambil kertas itu dan pergi ke rumah yang dinyatakan.
“Saya menekan loceng beberapa kali sebelum seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan trauma sedang menangis membuka pintu, saya lihat seorang wanita terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu dengan kesan lebam di muka dan kepala,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

 

 

Mei berkata, terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa seorang warga Indonesia dikenali sebagai Juliani, berusia 26 tahun, seorang suri rumah dipukul suaminya menggunakan kayu golf dan tali pinggang sehingga tidak sedarkan diri.

 

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam kelmarin, apabila suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain ketika dia keluar bekerja.
“Berdasarkan keterangan mangsa, dia kerap dipukul suaminya, tetapi kejadian kelmarin paling teruk sehingga mangsa tidak sedarkan diri kerana mendakwa suaminya memukul dan menendangnya tanpa belas kasihan.
“Suspek seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
“Mangsa yang sudah sedar masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Roslan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Konsul Indonesia dan kes disiasat mengikut bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan.