Didakwa rogol: Bekas banduan menangis
11 Mei 2012
AYER KEROH – Seorang bekas banduan menangis kerana sedih apabila dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol remaja bawah umur 11 tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Hazizol Ahmad, 30, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam kira-kira 12 tengah hari pada 14 Disember 2001.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Jalan Bangsar, Batu Berendam antara jam 12 tengah malam pada 26 Disember hingga 9 pagi, 30 Disember 2001.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Hazizol dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Terdahulu, Mahmoodah ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana arahan pendakwaan kes tersebut keluar sejak 2003, namun tertuduh tidak dapat dikesan dan hanya ditangkap, kelmarin.
Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan anak yatim piatu merayu sambil menangis teresak-esak meminta mahkamah memberikan jaminan terhadapnya dengan alasan tidak pernah melarikan diri sebelum ini.
“Saya di penjara selama 10 bulan pada 2003 dan kemudian enam tahun sejak 2005 sebelum bebas pada 2009 bagi kes dadah. Sudah banyak kali saya ditahan tapi kenapa sekarang?” katanya.
Selepas mendengar rayuan, Hakim Abu Bakar Katar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua penjamin dan menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.