Guru setuju – Metro


Guru setuju

Oleh NORDIANA SHAFIEE
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Sejak Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) dilancarkan 29 April lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, ia mula mendapat respons positif masyarakat, khususnya golongan pendidik yang menyambut baik usaha kerajaan mendapatkan idea melalui sesi dialog dan persidangan meja bulat bertujuan membaiki sistem pendidikan negara.

Kini, Siri Jelajah Kajian Semula Pendidikan bergerak ke seluruh negara sejak awal bulan ini bermula di Putrajaya dan destinasi ketiganya ialah di Kedah yang diadakan di Dewan Konvokesyen Universiti al Bukhory, di sini, semalam, dan dijangka berakhir di Johor pada 14 Julai depan.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seberang Nyonya, di sini, Wan Ahmad Wan Dan, 57, berkata sesi dialog itu sangat relevan kerana memberi peluang kepada semua pihak, terutama waris, menyuarakan pendapat dan idea demi masa depan pendidikan negara.

 

Menurutnya, institusi pendidikan sentiasa berkembang mengikut perubahan semasa dan dasar pendidikan yang digubal sebelum ini juga sewajarnya dikaji semula berdasarkan keadaan itu.
Katanya, sesi dialog berkenaan dilihat menjadi kaedah sangat berkesan dan baik untuk mendapatkan maklumat daripada peringkat akar umbi.
“Waris juga tidak ketinggalan untuk terbabit dalam program ini apabila pendapat mereka turut diambil kira demi masa depan anak.

 

 

“Justeru, saya menyokong usaha mengubah corak pendidikan sedia ada kepada yang lebih baik untuk melahirkan pelajar berdaya saing dan berupaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.
“Langkah ini juga sangat telus, selaras dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengamalkan slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’,” katanya ketika ditemui di Majlis DNPN di sini.

 

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Kuala, Samsor Shahdan, 45, berkata program itu wajar mendapat sokongan semua pihak untuk menambah baik sistem pendidikan negara.
Beliau yang mengajar subjek Biologi berkata, sesi dialog itu satu usaha kerajaan yang inginkan sistem pendidikan negara mampu mencapai taraf antarabangsa dan dilihat meliputi sembilan aspek yang sangat sesuai, selaras dengan cabaran dihadapi dalam dunia pendidikan sekarang.
Sementara itu, Pengurus Projek Pejabat Pengurusan Projek Pencapaian dan Hala Tuju Pendidikan Kementerian Pelajaran, Dr Habibah Abd Rahim berkata, sembilan bidang keutamaan dibincangkan dalam DNPN.
Bidang itu ialah guru, kepemimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, kemahiran pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kecekapan dan keberkesanan sumber kementerian serta kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian kementerian.
Menurutnya, sesi dialog itu platform untuk perkongsian idea dan pandangan membabitkan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada KPM menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.
Katanya, matlamat DNPN adalah memberi peluang kepada rakyat menyuarakan pandangan ke arah transformasi pendidikan, selain membina kesedaran mengenai perancangan kementarian untuk membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.
“Dalam siri jelajah hari ini (semalam), 700 peserta membabitkan golongan pendidik dan waris diberi peluang meluahkan masalah dihadapi dalam institusi pendidikan sekarang.
“Input diterima akan menjadi asas pelan induk pendidikan untuk peningkatan sistem pendidikan Malaysia bagi jangka masa panjang iaitu untuk 15 tahun akan datang,” katanya.
Dr Habibah berkata, kerajaan serius untuk memperkasakan sistem pendidikan di negara ini supaya membolehkan pelajar bersaing di peringkat global dan mahu menyediakan pelajar untuk abad ke-21 dan mencapai tahap global pada masa akan datang.
Menurutnya, selain sesi jelajah yang diadakan di seluruh negara, orang ramai boleh menyampaikan pendapat menerusi http://www.edureview.my.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s