SELAMAT HARI GURU – HIMPUNAN BERITA


SELAMAT HARI GURU

16 Mei 2012

“TERIMA KASIH CIKGU!”

“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

 Ikhlas daripada:

Himpunan Berita

SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)


SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

IKRAR HARI GURU SEMPENA HARI GURU


IKRAR HARI GURU SEMPENA HARI GURU

Bahawasanya kami

Guru-guru negara Malaysia

Dengan ini berikrar

Mendukung terus cita-cita kami

Terhadap tugas kami

Dan menyatakan keyakinan kami

Pada cita-cita murni pekerjaan kami

Kami akan berbakti

Kepada masyarakat

Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung

Perlembagaan negara

Kami mengamalkan

Prinsip-prinsip Rukun Negara

Pada setiap masa.

“Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”

KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (Sabah dan Labuan)


KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (Sabah dan Labuan)

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latarbelakang Kajian Semula Pendidikan dan Jadual Sesi Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, sila muat turun fail-fail di bawah.

Latarbelakang Kajian Semula Pendidikan

Jadual Sesi Dialog Pendidikan Negara 2012

Pesara guru maut sebelum sarapan – Sinar Harian


Pesara guru maut sebelum sarapan

ROSNANI SAAD
15 Mei 2012
Pesara guru maut sebelum sarapan
Shahruzzaman maut berhampiran gerai menjual roti jala kegemarannya.

ALOR SETAR – Hasrat seorang pesara guru bersarapan roti jala kegemarannya tidak kesampaian apabila maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultanah, kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Shahruzzaman Othman, 67, yang menunggang motosikal jenis Modenas, dipercayai terbabas dan terjatuh selepas bergesel dengan sebuah lori.

Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Dee, 46, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang minum di gerai makan berhampiran dan terus membuat panggilan kecemasan.

“Ketika itu, saya lihat motosikal ditunggang mangsa bergerak seiring dengan sebuah lori tanah. Ia kemudian bergesel dan menyebabkan mangsa jatuh ke atas jalan raya.

“Saya kenal mangsa kerana kerap terserempak ketika makan di kedai ini. Namun saya tidak sangka dia yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Rohani Aziz, 67, berkata, dia terkejut sewaktu menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi, memaklumkan mengenai kemalangan yang meragut nyawa suaminya.

Menurutnya, Shahruzzaman yang merupakan bekas pengajar di Sekolah Menengah Vokasional Alor Setar, bersara 12 tahun lalu dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-67 pada 25 Mei ini.

“Boleh dikatakan setiap hari, dia bersarapan roti jala kegemarannya. Pagi tadi (semalam) makcik keluar dari rumah di Taman Lumba Kuda lebih awal daripada arwah kerana ada urusan lain. Sewaktu dalam perjalanan, makcik terima panggilan dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah makcik memang tidak menyangka dia maut di hadapan kedai roti jala kegemarannya dan tidak sempat menyambut hari jadi,” katanya.

Sementara itu, peniaga roti jala yang enggan dikenali berkata, Shahruzzaman adalah pelanggan tetapnya.

“Pada minggu lalu, sewaktu datang ke gerai, dia terjatuh tidak jauh dari lokasi kemalangan akibat tersepak batu.

“Memang saya tidak sangka kemalangan ini berlaku dan meragut nyawanya,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Jamil Ahamed mengesahkan kejadian berkenaan.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.

Guru wanita selamat Myvi terbabas – Sinar Harian


Guru wanita selamat Myvi terbabas

SHAHFUL BAKRI ABD RAZAK
15 Mei 2012

ALOR SETAR – Seorang guru wanita terselamat dalam kejadian kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas dan merempuh penghadang di KM47.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Palza Tol Alor Setar Utara malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam apabila pemandu kenderaan itu seorang diri dalam perjalanan dari Pulau Pinang memuju Jitra.

Seorang saksi kejadian berkata, dia dikejutkan dengan satu dentuman yang kuat dari arah belakang ketika menghampiri susur keluar plaza tol berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati sebuah Myvi remuk teruk di bahagian hadapan selepas terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya.

“Saya memberhentikan kenderaan dan berlari ke arah mangsa untuk menyelematkannya. Wanita itu hanya cedera ringan disebabkan beg udara kenderaannya berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, pemandu Myvi itu, Revathy Ramanida, 28, seorang guru di salah sebuah sekolah di Paya Kemunting dan penuntut pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.   Beliau dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan dan kenderaannya melintang di tengah lebuh raya.

Revathy hanya cerdera ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSBAS) untuk rawatan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Didakwa rogol remaja hingga hamil – Sinar Harian


Didakwa rogol remaja hingga hamil

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Mei 2012

KLANG – Seorang lelaki yang masih bergelar suami orang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol teman wanitanya berusia 15 tahun 11 bulan sehingga hamil tujuh bulan, tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohammed Yusri Ali, 29, bapa seorang anak, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norsharidah Awang.

Dia didakwa merogol mangsa di bilik hotel bajet di Jalan Feri, Sabak Bernam, kira-kira jam 2 pagi, 1 September, tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM12,000 terhadap tertuduh.

Kes itu akan disebut semula pada 16 Julai depan.

Peranan pusat sumber sekolah perlu dipertingkat – Kosmo


Peranan pusat sumber sekolah perlu dipertingkat

 

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

 

MUHYIDDIN (tengah) melancarkan Kempen Nilai-Nilai Murni 1Malaysia sambil diperhatikan Mahathir (kanan) dan Rais di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan merangka satu strategi bersama yang komprehensif untuk meningkatkan fungsi dan peranan pusat sumber sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peranan pusat sumber sekolah sebagai nadi budaya membaca dalam kalangan generasi muda wajar diperkasakan selaras dengan usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 12,382 buah perpustakaan di seluruh negara dengan 9,721 buah daripadanya merupakan pusat sumber sekolah.

“Berdasarkan perangkaan itu, saya melihat pusat sumber sekolah mempunyai potensi yang cukup besar untuk dipertingkatkan dari segi mutu dan capaian perkhidmatannya.

“Penggunaan perpustakaan digital juga perlu diperluas bagi membolehkan pengguna membaca buku dan pelbagai bahan ilmiah dalam bentuk digital secara atas talian,” katanya.

Lari ‘tak tahan’ – Metro


Lari ‘tak tahan’

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Bukan saja didera dan dijadikan sasaran belasahan, malah seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah tahfiz di Mersing di sini, diliwat berkali-kali oleh pelajar senior pada Mac dan April lalu.

Mangsa yang baru mendaftar ke sekolah terbabit awal tahun ini dijadikan sasaran belasahan serta pemuas nafsu songsang pelajar senior.
Pelajar berkenaan yang tidak tahan diperlakukan sedemikian akhirnya melarikan diri dari sekolah itu pada penghujung April lalu.

 

Ketika mendedahkan penderitaan ditanggung, bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ayub, berusia lingkungan 40-an berkata, anaknya itu minat untuk mendalami ilmu agama sebelum mendaftarkannya di sekolah berkenaan.
“Sejak masuk ke sana, anak saya kerap mengadu diganggu pelajar senior. Pada mulanya saya minta dia bersabar.
“Dia kemudiannya mengadu menjadi mangsa belasahan pelajar senior. Saya sendiri pernah bertemu dengan guru sekolah itu untuk melaporkan kejadian, namun ia seolah-olah tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kulai, semalam.

 

 

Menurut Ayub, anaknya yang tidak tahan akhirnya melarikan diri dari sekolah terbabit.
“Saya terkejut apabila anak akhirnya memaklumkan dia diliwat beberapa kali oleh pelajar senior.

 

“Saya juga bertanya mengapa dia tidak menjerit atau melawan, namun anak menjawab mulutnya ditutup selain diugut supaya tidak memaklumkan kejadian kepada sesiapa,” katanya.
Ayub kemudiannya pergi semula ke sekolah terbabit untuk mengadu dan mendapatkan penjelasan berkaitan kejadian.
Bagaimanapun, Ayub mendakwa, pengurusan sekolah seolah-olah buat tidak tahu dengan perkara terbabit.
Ayub kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 21 April lalu.
Selain laporan polis, Ayub turut mengadukan perkara itu ke Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Md Nor A Ghani berkata, jika laporan berkenaan memang ada, pihaknya akan membuat siasatan terhadap pelajar serta sekolah terbabit.
“Kami akan jalankan siasatan secepat mungkin. Jika sekolah terbabit berada di bawah pentadbiran kami, maka kami akan mengambil tindakan sesuai,” katanya.

Hampir 100 peratus guru pelatih penuhi syarat kursus – Berita Harian


Hampir 100 peratus guru pelatih penuhi syarat kursus

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/05/15

pix_gal0

UPSI guna pendekatan berkesan, inovatif jamin graduan berkualiti dan berdaya saing

HAMPIR 100 peratus daripada 53,000 guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengikuti kursus dalam satu masa di 27 kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara berjaya menamatkan pengajian.

Rektor IPGM, Datuk Dr Haili Dolhan, berkata daripada jumlah itu, hanya satu peratus daripada mereka gagal menamatkan kursus antaranya disebabkan masalah kesihatan dan disiplin.

Katanya, semua yang menamatkan kursus pula mudah memenuhi pasaran kerjaya berikutan pengambilan pelajar mengikut unjuran keperluan guru setiap lima tahun yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, hampir 100 peratus guru terbabit juga memiliki jiwa pendidik dan meminati profesion keguruan, bukannya golongan yang terpaksa memilih kerjaya berkenaan bagi mengelak menjadi penganggur.

“Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Dengan Kepujian) yang ditawarkan di IPG juga memberi kesan positif hasil penilaian dua kohort yang berjaya menamatkan pengajian.

“Pengajian ini bukan saja diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), malah modul latihannya lebih seimbang melatih generasi muda cemerlang akademik dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di IPGM, Cyberjaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata kira-kira 96 peratus graduan universiti itu berjaya diserap sebagai tenaga pengajar sebaik menamatkan pengajian.

Katanya, UPSI menggunakan pendekatan berkesan dan inovatif bagi menjamin kualiti graduan supaya lebih berdaya saing dan berupaya mengajar lebih daripada satu subjek.

Mengulas isu berkaitan sistem pendidikan yang terlalu berorientasi peperiksaan, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik, berkata kaedah berkenaan dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan melahirkan modal insan seimbang akademik dan sahsiah.

Dasar seumpama itu kata beliau, menyebabkan pelajar hanya memikirkan peperiksaan hingga dibebani kerja rumah yang banyak bagi memastikan mereka memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.

Guru pula katanya, memberikan latihan berterusan itu menyebabkan mereka tidak ada masa beriadah dan mengenepikan aktiviti kokurikulum yang perlu diseimbangi untuk melahirkan generasi muda serba boleh.