Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4/2012 Pelaksanaan Urusan Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia


Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4/2012

 

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memaklumkan pelaksanaan urusan perkhidmatan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dikekalkan mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) selaras dengan keputusan Kerajaan sebagaimana diumumkan pada 8 Mac 2012.

16 MEI 2012

Pelaksanaan Urusan Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia

Muat Turun: Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4/2012

SEMAKAN KEPUTUSAN URUSAN KENAIKAN PANGKAT SECARA ONLINE


SEMAKAN KEPUTUSAN URUSAN KENAIKAN PANGKAT SECARA ONLINE

Keterangan lanjut lawat di http://www.moe.gov.my/naikpangkat/

PERHATIAN:
1. Semakan keputusan urusan kenaikan pangkat secara online tidak melibatkan urusan pemangkuan.
2. Urusan kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tempoh perkhidmatan yang melayakkan dan perakuan oleh Ketua Jabatan.
3. Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPM tidak bertanggungjawab bagi kes penyalahgunaan No. Kad Pengenalan oleh calon lain melalui sistem ini.
Sebarang masalah semakan secara online bolehlah dialamatkan kepada kami:
PENGUMUMAN TAMBAHAN:

Bagi calon-calon yang tiada dalam rekod, sila hubungi Ketua Jabatan / Bahagian masing-masing atau Urus Setia di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk tujuan semakan status.

Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin – Bernama


Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin

2012/05/16

KUALA KANGSAR: Guru berinovasi adalah guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, guru berinovasi mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.

“Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringat kebangsaan bertemakan ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.

“Keutamaan guru berinovasi adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata,” katanya.

“Guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir,” katanya.

Muhyiddin berkata, guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar juga adalah guru berinovasi.
“Guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata,” katanya.

Sekiranya semua guru di negara ini adalah guru inovasi, Muhyiddin yakin matlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.

Katanya, bagi memantapkan budaya inovasi di sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk menyemai budaya inovatif dan kreatif di kalangan murid.

Muhyiddin berkata, menerusi pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif.

“Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama kementerian dengan Agensi Inovasi Malaysia untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think juga adalah pendekatan baru yang sesuai digunakan oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan di kalangan murid.

“Program ini sudah dirintis di 10 sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Pada sambutan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Datuk Omar Mohd Hashim serta Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan kepada Datuk Hassan Harun.

Sementara itu, empat bekas pendidik pula menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 iaitu Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, Datuk Mary Yap Kain Ching, Mohd Azman Abdul Rashid dan Lim Ia Lee @ Lim Irene. – BERNAMA

24,053 guru naik pangkat mulai bulan depan: Muhyiddin – Bernama


24,053 guru naik pangkat mulai bulan depan: Muhyiddin

2012/05/16

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

KUALA KANGSAR: Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kenaikan pangkat itu membabitkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.

Beliau turut mengumumkan 3,085 pengetua gred DG48 ke DG52 dan penolong pengetua gred DG44 ke DG48 akan diperakukan untuk kenaikan pangkat secara berperingkat mulai bulan depan.

Guru terbabit boleh menyemak status kenaikan pangkat di laman web Kementerian Pelajaran.

Bekas Pengerusi SPR Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 – Bernama


Bekas Pengerusi SPR Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

2012/05/16

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 kepada Datuk Omar Mohd Hashim di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 kepada Datuk Omar Mohd Hashim di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. – Foto Muhaizan Yahya

KUALA KANGSAR: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Omar Mohd Hashim hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012, atas kelebihan dan kekuatan beliau terutama dalam aspek kepimpinan yang cemerlang.

Omar, 77, menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan yang bertemakan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, di Dewan Jubli Perak di sini.

Beliau yang menjadi Penasihat Perkumpulan Bekas Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran, mula menjejak langkah ke dalam bidang pendidikan mengajar di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar, Kedah, pada tahun 1962.

Apabila bakat kepimpinannya terserlah, Omar terus diberi kepercayaan mengetuai beberapa organisasi antaranya sebagai Pengarah Pelajaran Sabah dan Johor serta Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Kecemerlangan perkhidmatannya dibuktikan apabila beliau sebelum ini pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pulau Pinang, Tokoh Penaksiran Pendidikan Malaysia, Felo Terutama Institut Aminuddin Baki dan Felo Persatuan Sejarah Malaysia.

Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sekolah Menengah mendapat pendidikan awal pada tahun 1946 di Sekolah Melayu Permatang, Sekolah Arab Daeratul Maarif Wataniah dan Sekolah Francis Light, Pulau Pinang dan seterusnya ke peringkat menengah di Sekolah Penang Free.

Sementara itu, seorang guru bahasa Inggeris di Sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun, 67, dipilih sebagai Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012, di atas sumbangan dan keupayaan beliau mencetus idea bernas dalam aspek pendidikan.
Anak kelahiran Kelantan ini memulakan khidmatnya sebagai guru seusia awal 18 tahun di sekolah swasta (Kelantan English School) sebelum menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Ketika di tahun akhir pengajian di Universiti Malaya, beliau berjaya menubuhkan sekolah Kadir Adabi yang kemudiannya berkembang ke seluruh negara sebagai Kumpulan Maktab Adabi yang terkenal sebagai pembekal utama penuntut ke universiti tempatan.

Hassan, pernah dilantik ke pelbagai jawatan dalam agensi kerajaan dan korporat selain turut menerima pelbagai pengiktirafan daripada institusi pengajian tinggi antaranya dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan oleh International Management Centre, United Kingdom.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyampaikan anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 kepada bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, 62; bekas pengetua cemerlang Sekolah Menengah Teknik Tawau, Sabah, Datuk Mary Yap Kain Ching, 61; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Telok Pulai, Klang, Selangor, Mohd Azman Abdul Rashid, 61 dan bekas guru cemerlang kimia di Sekolah Menengah Sains Selangor, Lim Ia Lee, 60. – BERNAMA

Jawatankuasa Kerja tangani isu beban guru sedang laksana 28 perakuan: Muhyiddin – Bernama


Jawatankuasa Kerja tangani isu beban guru sedang laksana 28 perakuan: Muhyiddin

2012/05/16

KUALA KANGSAR: Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara langkah yang dilaksanakan Jawatankuasa Kerja itu adalah memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.

“Sistem ini dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan ke-41 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian turut menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 hingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.

“Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi peluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah di bawah kementerian,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah.

Oleh itu, katanya, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan.
“Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasa mulai 2013, di mana semua ujian akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Katanya, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugasan dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah.

Beliau berkata, kualiti guru perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik serta sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan cekap.

“Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu,” katanya. – BERNAMA

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41


TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41
PADA 16 MEI 2012; PUKUL 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK, KUALA KANGSAR, PERAK

Sila muat turun teks ucapan di bawah.

Teks Ucapan Hari Guru 2012

Jiran jadi hero – Sinar Harian


Jiran jadi hero

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2012
Jiran jadi hero
Keadaan dapur rumah Azizan yang musnah dalam kejadian berkenaan.

KUALA PILAH – Tindakan pantas jiran menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah berjaya menyelamatkan sebuah rumah milik seorang guru daripada terbakar di Taman Desa Anggerik di sini, semalam.

Malah sebelum pihak bomba dan penyelamat tiba, jiran terdekat bertungkus lumus memadamkan kebakaran dengan menggunakan air paip.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.15 pagi itu memusnahkan seluruh bahagian dapur rumah mangsa, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jiran terbabit, Mariah Ahmad berkata, kejadian tersebut disedari anaknya, Noraiza Abd Malek, 30, yang ketika itu sedang menyidai kain di belakang rumah dan terlihat bumbung rumah mangsa sudah hitam dan mengeluarkan asap tebal.

“Ketika kejadian, saya tiada di rumah kerana bekerja dan mengetahuinya selepas dihubungi anak. Selepas itu, saya terus menghubungi tuan rumah dan suami, Abd Malek Abdullah pula menghubungi pihak bomba.

“Saya memang ada simpan kunci rumah jiran kerana jika berlaku perkara yang tidak diingini, saya dapat membantu. Alhamdulillah, kereta mangsa dapat diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, mangsa, Azizan Abd Aziz, 55, berkata, ketika kejadian, dia berada di Sekolah Kebangsaan Serting Hilir.

Menurutnya, kebakaran itu disedari apabila dimaklumkan jiran tetangganya melalui panggilan telefon jam 9.50 pagi.

“Masa kejadian, saya berada di sekolah sedang berbincang bersama guru besar, manakala Isteri, Hayati Md Jais, 49, bekerja di Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan anak-anak juga tiada di rumah kerana belajar.

“Ketika menerima panggilan daripada jiran, saya sangat terkejut kerana saya baru beberapa jam meninggalkan rumah,” katanya.

Katanya, terima kasih diucapkan kepada jiran dan pihak bomba yang mengawal dan memadamkan kebakaran di rumahnya.

“Mungkin jika jiran tidak perasan ada kebakaran di rumah saya, saya tidak tahulah bagaimana nasib kami nanti. Alhamdulillah, kebakaran tidak melibatkan sebuah rumah, hanya sebahagian dapur sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II, Adnan Awaluddin berkata, pihak bomba menerima panggilan jam 9.29 dan sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, api sudah marak di bahagian dapur rumah tersebut.

“Api dapat dikawal kira-kira dua minit dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 22 minit kemudian. Mangsa memberitahu, anggaran kerugian bernilai RM50,000 dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Katanya, tindakan pantas jiran terdekat menghubungi pihak bomba lebih awal dapat mengawal kemaraan api daripada merebak ke bahagian ruang tamu dan bilik.

Maut dirempuh dua remaja – Sinar Harian


Maut dirempuh dua remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2012
Maut dirempuh dua remaja
KOK LIANG

TELUK INTAN – Seorang lelaki maut di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh dua remaja menaiki motosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Nibong, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Chong Ting Huat, 56, menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan ke Sungai Nibong.

Menurutnya, apabila tiba di persimpangan berkenaan, mangsa berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah.

“Ketika sedang berhenti, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang dua remaja berumur 16 dan 17 tahun merempuh lelaki itu.

“Rempuhan berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian serta maut ke tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kata beliau, manakala dua remaja turut mengalami kecederaan yang agak serius dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Jelasnya, siasatan lanjut terhadap kedua-dua remaja itu mendapati mereka tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan motosikal milik saudara.

“Menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen membawa motosikal dan akan memberi kesan kepada pemilik kenderaan itu sendiri.

“Oleh itu, saya menasihatkan kepada Ibu bapa dan masyarakat supaya tidak terlalu membenarkan anak mereka yang tiada lesen untuk membawa kenderaan kerana akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Kecuaian mereka boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan juga orang lain seperti mana yang berlaku pada lelaki yang maut dilanggar dua remaja berkenaan,” katanya.

Kakitangan awam boleh dibuang kerja jika terlibat rusuhan Bersih 3.0 – Sinar Harian


Kakitangan awam boleh dibuang kerja jika terlibat rusuhan Bersih 3.0

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
16 Mei 2012

KUALA LUMPUR – Penjawat awam yang didapati terlibat dalam rusuhan ketika perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 pada 28 April lalu boleh dikenakan tindakan dibuang kerja.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, bagaimanapun setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan tersebut.

“Penjawat awam tertakluk dibawah Perintah Am Bab D, Tatacara Salahlaku Tatatertib Perkhidmatan Awam di mana mereka tidak boleh menyertai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Jika mereka didapati terlibat, Cuepacs tidak akan membela nasib mereka. Mereka boleh dikenakan sama ada tindakan tatatertib termasuk, digabtung kerja dan jika sirius, boleh dibuang kerja,” katanya selepas majlis Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ketua Polis Negara di Maktab PDRM, hari ini