Cabaran mendidik di pedalaman – Kosmo


Cabaran mendidik di pedalaman

SYIMIR tetap menjalankan tugasnya dengan komited walaupun dihantar jauh ke kawasan pedalaman.

 

BAGI kebanyakan guru baharu, menunggu waktu penempatan untuk sekolah yang bakal diajar merupakan saat yang mendebarkan. Malah, boleh dikatakan masing-masing berharap akan ditempatkan di sekolah yang terletak di lokasi strategik seperti di bandar-bandar terkemuka, daerah atau negeri yang tidak jauh dari tempat kelahiran mereka.

Justeru, apabila dimaklumkan status penempatan sekolah mereka di kawasan pedalaman atau luar bandar, pasti terdetik rasa kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian.

Bagaimanapun, sebagai seorang guru setiap amanah yang diberi akan dilaksanakan sebaik mungkin demi mendidik anak bangsa agar menjadi orang berguna.

Itu antara fasa hidup yang dilalui Siti Herdawati Hamidun, 29, seorang guru yang ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Pendam yang terletak di daerah Samarahan, Sarawak walaupun beliau menjalani latihan praktikal di ibu kota.

Menurut anak kelahiran Raub, Pahang yang mesra dengan panggilan Wawa itu, sewaktu mengetahui dia bakal ditempatkan di Sarawak, hatinya berbunga riang memandangkan si suami turut bertugas di Bumi Kenyalang.

“Namun, apabila keputusan rasmi dikeluarkan iaitu saya akan mengajar di daerah Samarahan, saya sedikit sedih kerana ia terletak jauh dari lokasi suami bekerja iaitu di Kuching.

“Tetapi, akhirnya saya sedar ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dan saya terima keputusan itu dengan hati terbuka. Ternyata sikap positif itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk mendidik anak-anak di sekolah tersebut,” ujar Wawa yang mula bertugas di Samarahan sejak tiga tahun lalu sejurus menamatkan diploma Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

REZEKI yang diperoleh ibu bapa biasanya akan turut dikongsi bersama guru anak-anak mereka.

 

Tambah Wawa, pada mulanya dia mengalami kesukaran untuk memahami pertuturan murid-murid di sekolah itu kerana loghat mereka dalam bahasa ibunda Sarawak yang pekat.

Hadiah berharga

Justeru, secara perlahan-lahan, ibu kepada dua cahaya mata itu cuba mempelajari bahasa pertuturan mereka untuk mendekatkan diri dengan murid-murid di sekolah tersebut.

“Alhamdulillah, kini masalah tidak faham dialek sudah berjaya diatasi dan saya seronok mengajar anak-anak ini yang sentiasa bersemangat untuk belajar terutama apabila gunakan teknologi komputer.

“Paling terharu apabila pelajar-pelajar menghadiahkan saya barang-barang seperti sabun, beras dan buah-buahan sempena Hari Guru atau ketika dusun milik ibu dan ayah mereka berbuah.

“Bagi saya hadiah sebegitu amat berharga walaupun bukan barangan yang mahal kerana apa yang penting ialah ingatan mereka kepada guru yang telah mendidik mereka,” jelas Wawa yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah tersebut.

Sementara itu, anak muda bernama Faris Syimir Rozaini, 24, yang turut ditugaskan mengajar di daerah Kapit, Sarawak memberitahu, cabaran mengajar di pedalaman sangat berbeza berbanding mengajar di kawasan bandar.

Kesusahan hidup di kawasan luar bandar secara tidak langsung menjadikan proses pengajaran itu semakin sukar. Ditambah pula dengan bahasa ibunda yang berlainan, ia juga menyumbang kepada cabaran yang dihadapi pendidik.

Hormat guru

“Guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman boleh dianggap sebagai tentera kerana tugas mereka tidak sekadar mendidik. Di bandar, kita selalu dengar apabila murid sakit, gurulah doktornya dan bila murid hendak bermain bola, gurulah jurulatihnya.

KEKURANGAN infrastruktur seperti jalan yang berlumpur tidak menghalang pelajar untuk ke sekolah.

 

“Tetapi di pedalaman, jika sekolah tiada air, gurulah yang akan meredah sungai dan mendaki bukit semata-mata untuk menyambung paip air yang tercabut dan membekalkan air kepada semua penghuni sekolah,” ujar Syimir dalam aspek cabaran fizikal yang dihadapi guru-guru di pedalaman.

Tambah guru subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral dan Dunia Seni Visual itu, dari satu aspek lain, guru-guru di kawasan luar bandar begitu dihormati oleh masyarakat setempat kerana sanggup meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak demi mengajar anak-anak mereka.

Justeru, ibu bapa biasanya tidak lokek berkongsi rezeki dengan guru di sekolah anak mereka.

“Di sini, kami sering menerima hadiah dalam bentuk hasil hutan. Pernah sekali seorang rakan sejawat saya menerima seekor rusa hasil buruan penduduk tempatan. Ia memang sesuatu yang tidak dijangka dan membuatkan kami rasa amat dihargai,” terang Syimir yang melahirkan harapan agar anak didiknya mampu mengamalkan apa yang telah diajar kepada mereka untuk menjadi insan yang berjaya. – KHADIJAH MOHAMAD NOR

Suka duka tugas seorang pendidik – Kosmo


Suka duka tugas seorang pendidik


 

TULISAN yang tertera ayat berbunyi, ‘Saya ada rumah. Rumah saya cantik’ kelihatan ditulis kemas di atas papan putih. Kemudian, kedengaran pula suara nyaring sekumpulan kanak-kanak mengeja satu persatu huruf yang membentuk ayat tersebut.

“Baiklah, sekarang siapa yang mahu mengeja dan membacanya seorang diri?,” tanya Liza Mokhtar, 30, seorang guru yang bertugas di Tadika Ilham Bestari yang terletak di Ampang, Selangor itu.

Sebaik mendengar kata-kata rangsangan daripada Liza, masing-masing bersemangat untuk mencuba sambil mengangkat tangan dan menjerit supaya nama mereka dipanggil untuk melakukan tugas tersebut.

Namun, apabila ada dalam kalangan mereka nama tidak dipanggil cikgu, keluhan kecil terkeluar dari mulut mereka. Ternyata riak muka anak-anak itu menunjukkan kehampaan.

Itulah sebahagian gelagat pelajar tadika berusia enam tahun yang dapat disaksikan ketika mengikuti sesi pengajaran mereka di dalam kelas tersebut.

Menurut Liza, sepanjang empat tahun mengajar di tadika itu, banyak pengalaman manis yang diperoleh terutama dalam mengenali karakter setiap kanak-kanak yang belajar di sana.

“Memang seronok mengajar mereka. Apatah lagi, masing-masing mempunyai keletah tersendiri. Walaupun kadang-kadang mereka cepat bosan apabila belajar, tetapi apabila kita adakan kuiz atau permainan, semuanya berebut-rebut untuk mencuba,” ujar Liza sambil memberitahu guru perlu berbuat sesuatu yang kreatif apabila melihat fokus kanak-kanak mula hilang di dalam kelas.

Bagi Siti Zabedah Abu Bakar, 28, pula, sebagai seorang guru tadika, mereka perlu bijak menarik perhatian kanak-kanak. Justeru, praktik pembelajaran menggunakan peralatan tertentu amat penting untuk dilaksanakan.

“Contohnya penggunaan kad huruf, bentuk-bentuk objek dan sebagainya. Selain itu, teknik belajar sambil menyanyi dan menari juga mampu mengembalikan minat kanak-kanak ini pada pembelajaran,” kata Zabedah yang mula mengajar di Tadika Ilham Bestari pada tahun 2008.

Mencuit hati

PENDIDIKAN awal kanak-kanak di tadika mampu membentuk sikap dan peribadi mereka ke arah yang lebih positif.

 

Tambahnya, meskipun ada waktunya kanak-kanak di tadika itu membuatkan dirinya tertekan, namun pada masa yang sama mereka juga yang menjadi penawar hati mereka dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati.

Sementara itu, Pengetua Tadika Ilham Bestari, Noor Azah Adnan, 50, memaklumkan bahawa, setiap guru perlu ikhlas dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.

“Guru ialah satu pekerjaan yang mulia. Bahkan setiap kejayaan pasti bermula daripada didikan seorang guru. Justeru, amat penting untuk menanamkan sifat menghormati guru kepada anak-anak sejak kecil lagi,” tutur Azah yang sudah terlibat dalam pengurusan taska dan tadika sejak dua dekad lalu.

Berkongsi pengalaman, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, kanak-kanak yang dibesarkan di taska kendaliannya dan kemudian memasuki prasekolah di Tadika Ilham Bestari, mereka tidak segan silu berkongsi masalah dengan guru yang sudah dianggap seperti kawan.

“Bayangkan apabila seorang bekas pelajar tadika ini ketika didatangi haid pertama, dia bukan memberitahu ibunya sendiri, sebaliknya terus menceritakan masalah itu kepada guru yang pernah mengajarnya dahulu.

“Ia mungkin disebabkan rasa hormatnya pada guru tersebut sejak kecil. Kanak-kanak mempunyai hati yang bersih. Mereka tidak pernah berdendam apabila dimarahi, malah cepat lupa tentang apa yang telah dibuat kepada mereka. Lantaran itu, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam mencorak perilaku mereka yang akan dibawa hingga dewasa,” tegas Azah.

Selepas menerima didikan awal di tadika, sekolah rendah pula menjadi medan untuk kanak-kanak meneruskan perjuangan mereka dalam menimba ilmu. Jika mereka cemerlang di tadika, pencapaian itu akan diteruskan di sekolah rendah.

Andai guru yang mengajar mereka cukup komited dan berdedikasi, tidak mustahil minat untuk belajar sentiasa subur dan mekar dalam jiwa masing-masing.

Perkara ini diakui oleh Gopinat Muthy, 30, Ketua Panitia Bahasa Tamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anggerik di Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur.

Ujar Gopinat, proses pengajaran masa kini lebih cenderung menggunakan peralatan alat bantu mengajar seperti kaedah persembahan daripada perisian power point, kad imbas dan membawa pelajar keluar dari kelas untuk melihat persekitaran.

HUBUNGAN guru dan pelajar yang erat menjadikan suasana pembelajaran di sekolah berjalan dengan harmoni.

 

“Kalau dahulu, guru hanya statik belajar di dalam kelas dan papan hitam, tetapi sekarang kaedah sedemikian boleh membuatkan pelajar jemu sekali gus menghilangkan minat mereka untuk belajar,” ungkap graduan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya itu.

Dalam pada itu, memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin, Gopinat memberitahu, masalah atau kes disiplin yang melibatkan pelajar sekolah rendah tidak terlalu tinggi.

“Kes yang berlaku hanya melibatkan pergaduhan kecil disebabkan ejek-mengejek sesama mereka. Masalah itu biasanya dapat diselesaikan dalam tempoh sehari atau paling cepat satu jam. Kes seperti ponteng sekolah pula, jarang berlaku di sekolah ini,” kata Gopinat yang rasa amat dihargai apabila ramai pelajar memberinya hadiah sewaktu sambutan hari guru atau hari lahir.

Sementara itu, Guru Besar SK Seri Anggerik, Sabariah Ali berkata, seiring dengan perkembangan teknologi, pelajar kini semakin bijak dan lebih mengetahui banyak perkara berbanding guru.

“Situasi ini menjadikan cabaran yang dihadapi para guru semakin besar. Justeru, amat penting mereka berada setapak di hadapan pelajar agar tidak dipandang rendah kerana buta teknologi maklumat (IT) contohnya dalam memahami penggunaan gajet-gajet canggih,” ungkap Sabariah.

Abang nodai adik sorok dalam bilik air – Metro


Abang nodai adik sorok dalam bilik air

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Akibat kemaruk seks, seorang lelaki sanggup melompat masuk ke dalam bilik air dan menarik keluar adik perempuannya berusia 17 tahun sebelum memaksa mangsa memuaskan nafsunya dalam kejadian di Taman Dato Senu, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berkenaan yang pernah cuba untuk merogol mangsa beberapa kali itu masuk ke dalam rumah ketika mangsa berseorangan dalam rumah.
Sumber polis berkata, sebaik nampak abangnya masuk ke dalam rumah, mangsa yang ketakutan menyembunyikan diri dalam bilik air bagaimanapun lelaki berkenaan yang nampak mangsa melarikan diri memanjat perabot di dalam rumah untuk mengintai mangsa.

 

Menurutnya, selepas memaksa mangsa untuk membuka pintu, lelaki berkenaan kemudian melompat masuk ke dalam bilik air sebelum menarik keluar mangsa.
“Tidak cukup dengan itu, mangsa dicabul lelaki berkenaan selain pakaiannya cuba ditanggalkan namun akibat mangsa melawan, lelaki itu menolak ke atas katil,” katanya.
Selepas itu, katanya, lelaki berkenaan membogelkan mangsa dengan ganas sebelum merogolnya dan meninggalkan mangsa bersendirian di rumah.

Kasihmu ibu… – Metro


Kasihmu ibu…

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang wanita yang mahu menukar kasut di kedai sebelum menghantar bekalan makanan anaknya di sekolah bertukar tragedi selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kepong-Jinjang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas kepalanya hancur digilis kenderaan berat.
Mangsa, K Punitha, 39, dipercayai dalam perjalanan ke kedai kasut selepas kasut baru yang dibelikan untuk anak keduanya yang berusia 16 tahun tidak sepadan dengan kaki.

 

Sumber polis trafik berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum diseret beberapa meter menyebabkan mangsa terjatuh.
“Sebuah kenderaan berat yang tidak dikenal pasti dipercayai mengekori motosikal mangsa dari belakang tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri,” katanya.
Katanya, tempurung kepala mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci dan pembantu rumah bertaburan dan terpaksa dikutip anggota polis trafik yang tiba di lokasi kejadian.

 

 

“Kasut sekolah dan bekalan makanan anaknya turut ditemui di lokasi kejadian berhampiran motosikal mangsa,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta saksi kejadian tampil di mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.

 

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Ular teman ulang kaji – Metro


Ular teman ulang kaji

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TIDAK GENTAR...Wan Nor Amirah menjadikan ular sawa sebagai teman.
TIDAK GENTAR…Wan Nor Amirah menjadikan ular sawa sebagai teman.

PASIR MAS: “Mirah hanya suka ular sawa dan tidak pernah rasa takut, malah sayang padanya,” kata Wan Nor Amirah Wan Apendi, 12, dari Kampung Bechah Tendong, di sini.

Dia tidak gentar menjadikan ular sawa seberat lima kilogram (kg) dan dua meter panjang sebagai teman karibnya sejak kecil dan sering menemaninya setiap hari ketika meluangkan masa lapang, menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.
Minat terhadap ular itu turut dikongsi semua adik-beradiknya iaitu abang sulungnya, Mohd Asraf, 28, Wan Mohd Arif, 26, Wan Nor Azain, 21, Wan Mohd Aziz, 15, dan adiknya, Wan Nor Alysya, 9.

 

Menurut Wan Nor Amirah, dia memanggil reptilia itu sebagai ‘Sayang’ dan dia lebih dikenali dengan ‘Mirah Ular’ di kalangan guru dan rakan sekolah.
“Mirah dan ayah juga akan memandikan ‘Sayang’ seminggu sekali dan memberinya ayam antara seekor hingga tiga ekor sebagai makanan setiap sebulan dua kali,” katanya.
Ular itu adalah milik bapanya, Wan Apandi Wan Daud, 51, yang juga mempunyai kepakaran menjinakkan ular selain mempunyai koleksi enam ekor ular terdiri daripada jenis sawa, tedung selar dan senduk.

 

 

Wan Apandi berkata, dia memelihara semua ular berkenaan untuk tujuan membuat persembahan bermain ular di khalayak ramai.

Geng Kanchong Boy curi motor tumpas – Metro


Geng Kanchong Boy curi motor tumpas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LANGAT: Sekumpulan remaja berusia 14 hingga 20 tahun yang aktif menjalankan kegiatan curi motosikal dikenali sebagai ‘Geng Kanchong Boy’ tumpas apabila polis menahan seorang ahli kumpulan itu, pada Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 9.30 malam di Kanchong Darat, di sini, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menahan seorang remaja lelaki berusia 20 tahun dipercayai ahli kumpulan terbabit. Dalam serbuan berkenaan, polis merampas tiga motosikal Honda EX5 dan satu Yamaha 125Z.
Hasil soal siasat lanjut kemudian suspek membawa polis ke tiga rumah dipercayai dijadikan tempat simpanan motosikal curi sekitar kawasan itu untuk dileraikan.

 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, ketika serbuan suspek bersama tiga lagi rakan yang juga ahli kumpulan itu berada di rumah milik keluarga seorang daripada suspek.
“Apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri dan kami menahan seorang daripada empat suspek,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya kini memburu seorang lelaki dikenali Muhammad Amsyah Hafizi berusia 22 tahun bagi membantu siasatan.

 

NUTP mahu guru ada ijazah – Berita Harian


NUTP mahu guru ada ijazah

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2012/05/16

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tenaga pengajar di sekolah seluruh negara adalah guru siswazah 100 peratus sebagai antara pengisian utama transformasi pendidikan negara yang sedang dirangka Kementerian Pelajaran.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata ketika ini dianggarkan kira-kira 45 peratus guru di sekolah rendah masih bukan siswazah, selepas kementerian melaksanakan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), yang mensasarkan 50 peratus tenaga pengajar di sekolah peringkat itu adalah lepasan ijazah menjelang 2010.

Beliau berkata, adalah penting untuk semua sekolah rendah dan menengah diisi guru siswazah sepenuhnya demi kepentingan pelajar yang berdepan perkembangan pendidikan semakin mencabar.

Katanya, langkah itu juga akan memudahkan urusan penempatan tenaga pengajar di sekolah.

“Guru yang belum bergelar siswazah berpeluang melanjutkan pelajaran melalui pelbagai program sedia ada.

“NUTP akan mengemukakan usul ini bersama keseluruhan cadangan lain untuk transformasi pendidikan negara, selepas mengadakan bengkel khas pada bulan depan atau Julai ini.

“Kami akan menjemput pakar yang banyak melakukan penyelidikan dalam bidang pendidikan untuk turut memberi input,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN), yang akan diadakan di 15 lokasi sehingga Julai depan.

Dialog itu bertujuan mendengar pandangan rakyat dalam proses merangka agenda transformasi pendidikan negara.

Selain mendapatkan pandangan semua peringkat masyarakat, ia turut membabitkan sesi perjumpaan dan perbincangan dengan pertubuhan guru, termasuk NUTP.

Yim Pheng berkata, pendidikan negara memerlukan transformasi berterusan untuk memastikannya bersesuaian keperluan negara.

“Saya ingin memperbetulkan persepsi orang ramai. Transformasi dilakukan ini bukan bermakna pendidikan negara tidak bagus, ada banyak masalah atau kelemahan, serta perlu diubah semuanya.

“Sebaliknya, transformasi ini bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan negara dengan kos paling minimum dan sumber manusia dimanfaatkan secara optimum, iaitu yang baik diteruskan, manakala kelemahan pula diperbaiki atau diganti dengan pelaksanaan baru berdasarkan inovasi dan kreativiti,” katanya.

70% sekolah laksana program Guru Penyayang – Bernama


70% sekolah laksana program Guru Penyayang

KUALA KANGSAR 15 Mei – Sebanyak 70 peratus daripada 10,000 sekolah rendah dan menengah di negara ini telah melaksanakan Program Guru Penyayang sejak ia dimulakan Mac lepas, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Beliau berkata program itu dilaksanakan dengan tiga amalan iaitu mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee.

“Daripada kaji selidik Indeks Prestasi Murid (IPM) yang dijalankan Bahagian Pendidikan terhadap 3,944 murid mendapati 50.8 peratus menyatakan program ini bagus dan 45.6 memberikan respon sederhana baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin di sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian menyerahkan kepada sekolah untuk melaksanakan program itu mengikut kesesuaian masing-masing memandangkan pihak sekolah lebih rapat dan mengenali murid-murid di sekolah mereka.

Melalui program itu, katanya guru-guru akan menyambut kehadiran murid-murid di sekolah dan bertanya khabar bagi membolehkan mereka lebih mengenali latar belakang murid-murid.

“Kita menganggap murid sebagai aset sekolah dan mahu membentuk mereka sebagai modal insan yang berjaya dalam akademik, sahsiah diri, keperibadian dan berketerampilan,” katanya.

Sementara itu, guru sekolah berkenaan Nor Azmah Md Zahir berkata program itu tidak membebankan golongan pendidik kerana mereka menjiwai tugasan itu yang memerlukan pengorbanan.

“Sebelum program ini dilancarkan, kami telah menggunakan pendekatan ini bagi mengenal dan mengetahui latar belakang murid-murid untuk memudahkan para guru mendidik mereka,” katanya.

Beliau yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai pendidik merasakan program itu sebagai satu langkah yang bijak bagi merapatkan hubungan antara murid dan guru. – BERNAMA

‘Budayakan Guru Penyayang’ – Utusan


‘Budayakan Guru Penyayang’

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

ABD. Ghafar Mahmud memegang kad ucapan Selamat Hari Guru bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar selepas melancarkan Program Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan, semalam. – UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

KUALA KANGSAR 15 Mei – Semua sekolah di negara ini disaran membudayakan program ‘Guru Penyayang’ bagi menyemai sifat semulajadi dalam kalangan para pendidik selain meningkatkan motivasi para pelajar untuk ke sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, program yang bermula sejak Mac lalu itu dilaksanakan di kira-kira 70 peratus daripada 10,000 sekolah di seluruh negara.

“Berdasarkan kajian Indeks Persepsi Murid (IPM) yang telah kita jalankan sejak program ini dilancarkan beberapa bulan lalu, kira-kira 50.8 peratus murid menganggap guru mereka sebagai penyayang, 46.6 peratus pula sederhana dan 3.6 peratus lagi kurang penyayang.

Kanak-kanak diselamat daripada diculik – Utusan


Kanak-kanak diselamat daripada diculik

BUKIT MERTAJAM 15 Mei – Polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun daripada menjadi mangsa culik selepas tertangkapnya seorang wanita di Jelutong, Pulau Pinang awal pagi ini.

Kanak-kanak perempuan itu, T. Purani dipercayai diculik semasa menunggu van di hadapan sebuah sekolah di Perai dekat sini tengah hari semalam.

Menurut ibu mangsa, V. Kaleda, 32, ketika kejadian dia bekerja di sebuah kilang di Perai dan mendapat tahu selepas dihubungi ibunya setelah mangsa tidak pulang ke rumah selepas tamat persekolahan.

“Bimbang dengan keselamatannya, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT). Tidak lama selepas itu adik ipar saya menerima panggilan daripada wanita yang dipercayai penculik meminta wang tebusan RM24,850,” katanya ketika ditemui di IPD SPT hari ini.