Surat Edaran: JPA.BK(S)134/2/8 Jld.2(7)
17 MEI 2012
Kaedah Pengiraan Elaun Pemangkuan Berikutan Pelaksanaan Jadual Gaji Minimum – Maksimum Di Bawah Sistem Saraan Malaysia
Muat Turun: Surat Edaran: JPA.BK(S)134/2/8 Jld.2(7)
17 MEI 2012
Muat Turun: Surat Edaran: JPA.BK(S)134/2/8 Jld.2(7)
Anugerah Kecermerlangan Sekolah SPM diwujudkan
KUALA LUMPUR – Bermula tahun ini, Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan Anugerah Kecemerlangan Sekolah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada sekolah di seluruh negara yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu dengan menggunakan indeks Gred Purata Sekolah (GPS).
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata GPS menggambarkan pencapaian keseluruhan sekolah berkenaan dalam sesuatu peperiksaan apabila pencapaian semua calon diambil kira dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
“Kecemerlangan itu juga dibuktikan oleh keupayaan sekolah untuk melahirkan murid cemerlang yang mendapat semua Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sekolah dalam SPM 2011 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Sufa’at Tumin.
Abd Ghafar berkata pihak kementerian melakukan sedikit kelainan pada tahun ini di mana sebelum ini hanya memberi pengiktirafan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
“Inisiatif ini diharap dapat menyuntik semangat semua warga sekolah terutamanya kepemimpinan sekolah dan tenaga pengajarnya untuk bekerja keras dalam satu pasukan bagi menempa kecemerlangan sekolah,” katanya.
Abd Ghafar berkata Anugerah Kecemerlangan Sekolah SPM 2011 dibahagikan kepada tiga kategori: kategori pertama iaitu sekolah yang mencapai GPS kurang daripada 1.5; kategori kedua iaitu sekolah yang menghasilkan sekurang-kurangnya tiga peratus calon yang mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran SPM; dan kategori ketiga iaitu sekolah yang berjaya menunjukkan peningkatan GPS sekurang-kurangnya 10 peratus daripada GPS tahun lepas.
“Sebanyak 14 buah sekolah di seluruh negara yang layak menerima anugerah kategori pertama; 16 sekolah untuk kategori kedua manakala 18 buah sekolah dipilih untuk kategori ketiga,” katanya.
Selain itu, katanya, Anugerah Khas Kecemerlangan Peperiksaan SPM juga diwujudkan pada tahun ini bagi memberi penghargaan kepada guru yang berusaha gigih terhadap kejayaan anak muridnya.
Anugerah tersebut disandang oleh Sharifah Afidah Syed Hamid, guru mata pelajaran Sejarah dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu yang mendidik seramai 119 pelajar dengan 91 daripada mereka mendapat A+ dalam mata pelajaran Sejarah.
Ketika ditemui, Sharifah yang berpengalaman mengajar mata pelajaran sejarah selama 20 tahun, berkata bahan pengajaran dan pembelajaran penting bagi seseorang guru menarik minat pelajar mempelajari sesuatu subjek berkenaan di sekolah.
“Sejarah dipandang sebagai mata pelajaran yang membosankan bagi sesetengah pelajar, dan saya tidak menafikan kesukaran untuk mengekalkan prestasi cemerlang pelajar memang ada, tetapi jika kita menaruh sepenuh perhatian dalam menggunakan alat-alat pengajaran dengan baik, nescaya dapat membantu untuk menarik minat mereka untuk mempelajarinya,” katanya. – Bernama
Pemansuhan kuota kemasukan sekolah antarabangsa tidak ganggu sekolah kebangsaan
KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menghapuskan kuota sebanyak 40 peratus untuk rakyat tempatan memasuki sekolah antarabangsa tidak akan mengganggu kemasukan pelajar ke sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini kerana kapasiti pelajar di sekolah berkenaan adalah kecil berbanding sekolah kebangsaan.
“Kerajaan telah teliti dan mendapati bahawa sekolah antarabangsa tidak mengganggu atau menggugat sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah dalam negara kerana kapasiti sekolah berkenaan adalah kecil.
“Bagi kerajaan, bila kita putuskan untuk tidak lagi adakan kuota sebegitu bermakna kita boleh benarkan rakyat Malaysia belajar di sekolah antarabangsa yang kita tahu jumlahnya amat kecil sekali dengan sebahagian besar masih ada dalam sistem pendidikan nasional, sama ada di sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kebimbangan penghapusan kuota itu akan memberi kesan kepada sekolah kebangsaan, Muhyiddin berkata tindakan itu sebenarnya membawa banyak kebaikan terutama dalam menyekat aliran keluar wang negara berikutan ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk bersekolah di sekolah antarabangsa di Singapura dan beberapa negara lain.
Katanya yuran yang tinggi juga tidak akan membenarkan semua ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa.
“Bagi saya keputusan ini tidak akan mengganggu atau menggugat keadaan kita kerana kita kena terima hakikat satu hari nanti Malaysia akan jadi pusat bagi pembelajaran pelajar-pelajar dari seluruh dunia,” katanya.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong sebelum ini dilaporkan berkata penghapusan kuota itu antara langkah yang diambil dalam meliberalisasi sektor pendidikan negara selaras dengan Program Transformasi Ekonomi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Majlis Peguam yang ditubuhkan mengikut Akta Profesion Perundangan kini berdepan tentangan baru, iaitu untuk menghapuskan persepsi bahawa ia adalah sebuah pertubuhan yang dimonopoli oleh pihak pembangkang.
Beliau berkata jika majlis itu boleh mengatakan persepsi itu adalah salah, mereka harus segera tampil perbetulkan keadaan tetapi berdasarkan kenyataan dan perlakuan terkini, persepsi itu sukar untuk dihapuskan.
“Sebaliknya telah terbukti dalam hal-hal tertentu yang sudah dilihat mereka seolah-olah mengambil pendirian bahawa yang baik tidak pernah dikatakan bagus, yang salah diletakkan pada kerajaan dan polis.
“Maksud saya, kalau anda seorang manusia yang adil, dia mesti mengambil sikap yang rasional, mana yang betul katakan betul, mana yang tidak kata tidak, barulah nampak ada keadilan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan segelintir pemimpin dalam majlis itu yang hanya mencari salah kerajaan dan polis tidak membantu dalam menaik dan memulihkan imej Majlis Peguam sebagai badan yang berintegriti, malah keadaan itu akan menjadikan persepsi suatu kenyataan.
“Itu beban yang perlu diperbetulkan, jika tidak akan selamanya ada rakyat menilai yang Majlis Peguam adalah badan politik,” katanya.
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Majlis Peguam telah menjadi sebuah parti politik memandangkan perhatiannya lebih kepada politik dan menyarankan supaya pertubuhan lain mengambil alih bahagian profesional bagi mengelak kekeliruan. – Bernama
Ibu lihat anak melambung
RANTAU PANJANG – Seorang ibu kepada dua anak hanya mampu melihat badan anak sulungnya melambung ke udara sebelum terperosok ke bawah kereta dalam kemalangan awal pagi semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Muhammad Hambali Nasir, 14, dalam perjalanan dari rumahnya hanya beberapa meter dari tempat kejadian di hadapan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang sebelum motosikal yang diboncengnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.
Faridah Sulaiman, 41, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menghantar anak bongsunya ke Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang sempat melihat badan anaknya melambung tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.
Menurutnya, sebaik anaknya jatuh terperosok ke bawah kereta, dia terus mendapatkan anaknya serta berusaha menariknya keluar dari bawah kereta.
“Beberapa orang yang berada di tempat kejadian cuba menenangkan saya yang agak panik ketika itu.
“Ketika kejadian saya benar-benar terkejut sehingga lupa nombor telefon suami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mertuanya di belakang Pasaraya Pantai Timur.
Faridah berkata, Muhammad Hambali tidak menunjukkan banyak perubahan sebelum kemalangan, cuma sejak sebulan lalu dia kerap mengadu badannya lemah serta lesu.
Menurutnya, pagi semalam juga arwah anaknya tidak mahu ke sekolah kerana penat dan letih.
“Dia kerap mengadu penat dan letih tanpa sebab, walau pun dia tidak mahu ke sekolah semalam saya tetap memujuk dan dia akhirnya akur ke sekolah.
“Selalunya sebelum keluar ke sekolah arwah bersalam serta mencium tangan saya, tetapi semalam dia tidak melakukan rutin hariannya itu,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa anak sulungnya itu.
Faridah berkata, sebagai ibu dia cukup bangga dengan anaknya yang turut menunjukkan perkembangan membanggakan dalam pelajaran.
Menurutnya, anaknya baru menerima anugerah kecemerlangan di sekolah baru-baru ini, bagaimanapun pasrah dengan dugaan ini.
“Kebiasaannya arwah yang menunggang motosikal sementara rakannya yang cedera pada bahagian kaki membonceng tetapi hari ini sebaliknya apabila dia yang membonceng,” katanya.
Sementara itu, nenek arwah, Azizah Ismail, 71, berkata, dia sempat membawa cucunya bercuti di Hadyai dan dia kelihatan begitu seronok memandangkan jarang dibawa melancong keluarganya.
Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan dan dia tidak menyangka itu merupakan percutian terakhir bersama arwah.
Jenazah arwah yang meninggal di Hospital Daerah Pasir Mas kira-kira jam 10 pagi semalam dituntut keluarga dan dikebumikan 2 petang di Tanah Perkuburan Islam rantau Panjang.
Rentap lengan tanpa bius
KUALA KURAU – Seorang bapa, Mohd Sharil Ramzan Md Ali, 38, kecewa dengan mutu perkhidmatan seorang kakitangan di sebuah pusat kesihatan yang menyebabkan anaknya, Mohd Haziq, 7 terpaksa menanggung kesakitan hingga kini.
Mohd Sharil Ramzan menceritakan, lengan kiri Mohd Haziq yang patah sewaktu bermain di sekolah pada waktu rehat, telah direntap tanpa dibius terlebih dahulu oleh kakitangan terbabit
Menurutnya, kronologi kejadian itu bermula pada 21 Mac lalu apabila Mohd Haziq telah dikejarkan ke pusat kesihatan berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
“Tambah mengecewakan apabila lengan kiri anak saya itu tidak plaster atau dibalut dengan sempurna menyebabkan kawasan patah itu membengkak sehingga dia terpaksa dibawa ke pusat kesihatan lain untuk rawatan semula.
“Kami kembali ke pusat kesihatan berkenaan pada 14 April lalu setelah mendapati balutan di lengan kiri anak saya terlalu ketat menyebabkan dia kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Batu 7, Jalan Baru, di sini.
Katanya ketika itulah lengan kiri anaknya direntap tanpa dibius oleh kakitangan terbabit dengan alasan untuk memasukkan semula bahagian tulang yang patah ke tempat asal kemudian dibalut kembali secara tidak kemas.
Mohd Shahrul Ramzan mendakwa, kejadian berkenaan telah menyebabkan Mohd Haziq terpaksa menanggung kesakitan berganda.
“Saya juga tidak puas hati setelah mendapati sambungan tulang yang patah tidak tepat melalui ujian imbasan sinar X (X-ray). Kesan daripada keadaan itu, tangan anak saya semakin membengkak.
“Serik dengan kejadian itu, saya membawa Mohd Haziq ke sebuah pusat rawatan lain untuk mengulangi ujian X-ray dan bersyukur kerana perkhidmatan di situ lebih baik,” katanya.
Tambahnya, sungguhpun terpaksa membayar kos RM906.20 di pusat kesihatan itu, dia tetap berpuas hati kerana cara rawatan yang berkesan.
“Saya harap pihak terbabit dalam bidang perubatan dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa ini dan dapat berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kebaikan pesakit, terutama golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Empat pelajar dakwa dipukul
BUKIT SENTOSA – Empat pelajar perempuan tingkatan 1 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dipukul seorang guru sehingga tiga daripadanya terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan kerana pengsan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).
Insiden itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang kelmarin setelah guru lelaki didakwa marah tindakan pelajar yang bising dan keluar kelas tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, ibu seorang murid terbabit, MK Mahadewi, 40, berkata, ia berbeza dengan kenyataan anaknya, S Shanmugi, 13, bersama tiga rakannya yang mendakwa mereka diberi kebenaran keluar sebelum guru terbabit memukul mereka ketika diarah masuk semula ke dalam kelas.
“Anak saya kata dia dan rakannya telah meminta kebenaran keluar namun setelah itu mereka diarahkan masuk sebelum dipukul di kepala menggunakan fail dan kotak pensil sehingga bengkak manakala seorang lagi disepak.
“Anak saya bersama dua rakannya mengalami bengkak di kepala sehingga menyebabkan mereka pengsan ketika menuju ke pejabat pengetua,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mahadewi berkata, guru yang melihat kejadian itu segera membawa mereka ke klinik berdekatan.
Tetapi menurutnya pihak klinik tidak mahu menerima pelajar terbabit kerana kecederaan dialami berkait kes pukul dan mereka dibawa semula ke sekolah.
Mahadewi juga kecewa kerana mendakwa pihak sekolah tidak memaklumkan perkara itu kerana dia hanya mendapat tahu setelah datang sendiri ke sekolah.
“Saya mulanya risau sebab sudah jam 7.45 petang anak saya masih tak pulang sedangkan rumah saya dekat saja dari sekolah, jadi saya terus ke sekolah sebelum mendapat tahu kejadian itu.
“Kesal dengan insiden itu saya mengambil keputusan membuat laporan polis sebelum membawa anak ke HKKB.
“Doktor mengarahkan anak saya ditempatkan di hospital dalam tempoh 24 jam kerana bimbang kesan sampingan akibat bengkak di kepala,” katanya.
Mahadewi juga kesal kerana guru yang didakwa memukul anaknya sepatutnya lebih bersikap sabar dan tidak bertindak demikian terhadap pelajar.
Sementara itu, difahamkan pelajar sekolah terbabit meminta kebenaran keluar kelas untuk menemui seorang pelajar di kelas lain kerana didakwa telah menconteng buku rakan mereka.
Tujuan empat pelajar terbabit dipercayai kerana mahu memberi teguran kepada pelajar itu namun guru tersebut menghalang tindakan pelajar berkenaan.
Dalam pada itu, Sinar Harian cuba mendapatkan maklumbalas daripada pihak sekolah namun gagal dihubungi.
Buruh hadapi tuduhan rogol gadis bawah umur
KOTA BHARU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol gadis bawah umur di sebuah pondok di sini, Mac lalu.
Mohd Jahari Razmi, 22, dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun tiga bulan.
Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku di sebuah pondok di kampung tertuduh di Wakaf Mek Zainab di sini, pada jam 10 pagi, 14 Mac.
Mohd Jahari berdepan penjara antara lima dan 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia yang diwakili peguam bela, Ahmad Ridhuan Awang mengaku tidak bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan ke atas tertuduh berikutan dakwaan serius yang dihadapi.
“Sekiranya mahkamah membenarkan jamin, saya mohon jaminan berjumlah RM15,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi pihak kami,” katanya.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan didengar pada 17 Jun depan.
2012/05/17
ALOR SETAR: Empat beradik berusia antara lapan hingga 16 tahun, termasuk seorang daripadanya sudah berkahwin, buntu apabila mereka tidak mempunyai sijil kelahiran dan MyKad berikutan ibu bapa mereka dipercayai bernikah menggunakan sindiket jurunikah palsu di Kelantan 17 tahun lalu.
Berikutan itu, mereka bukan saja tidak dapat bersekolah dan masa depan empat beradik itu gelap kerana buta huruf.
Bapa mereka, Mat Isa Ali, 68, dari Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, di sini dikatakan bernikah dengan Mariam @ Jawahir Yusof, 37, seorang warga Thailand yang menetap di sini sejak dilahirkan juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Empat beradik terbabit, Nik Muhammad Affan Mat Isa, 8, dan dua kakaknya, Nik Putri Balqis, 11, dan Nik Isma Asmira, 15, tidak berani keluar rumah disebabkan tidak memiliki sijil kelahiran serta MyKad kerana bimbang berlaku sesuatu tidak diingini.
Kakak sulung mereka, Nik Isma Rizana, 16, yang sepatutnya bersekolah di Tingkatan Empat tahun ini pula berkahwin pada usia 15 tahun kerana kesempitan hidup dan kini tinggal bersama suaminya berusia 25 tahun.
Mat Isa berkata, beliau bernikah dengan Mariam melalui jurunikah di Pasir Puteh, Kelantan pada 1995 dengan bayaran RM800 tanpa wali pihak perempuan tetapi mereka tidak diberikan sijil nikah selepas majlis nikah selesai.
Beliau berkata, dia memilih bernikah melalui sindiket itu 17 tahun lalu kerana mahu bernikah mudah, selain bimbang isteri keduanya itu ditangkap pihak berkuasa kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri walaupun dilahirkan di negara ini.
Ibu bapa Mariam adalah warga Thailand yang pernah tinggal di negara ini.
“Jurunikah itu mendakwa sudah menikahkan ramai pasangan dan dilantik sebagai jurunikah bertauliah dari Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand, untuk membantu pasangan bermasalah.
“Pernikahan itu dijalankan di rumah jurunikah terbabit. Dia memberi alasan akan menyerahkan sijil nikah beberapa bulan kemudian tetapi sampai kini tidak menerimanya,” katanya.
Mat Isa berkata, ketika pergi bertemu jurunikah berkenaan, dia terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu sudah meninggal dunia.
“Saya hanya menggunakan surat dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya sebagai dokumen membawa anak ke klinik jika tidak sihat termasuk isteri yang kerap berulang alik ke hospital kerana sakit jantung.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Datuk Noh Dahaya ketika dihubungi berkata, pihaknya meminta Mat Isa datang ke pejabatnya di Bahagian Undang-undang Keluarga untuk mendapatkan maklumat lengkap pernikahan mereka.
Katanya, jika gagal membuktikan sebarang dokumen pernikahan dan didapati bernikah dengan sindiket jurunikah palsu, pihaknya akan membantu beliau memproses semula pernikahan dengan syarat perlu mengemukakan dokumen untuk membantu memudahkan urusan berkaitan pendaftaran semula pernikahan.
“Kita tidak boleh mengesahkan pernikahan itu tidak sah kerana banyak perkara perlu disiasat dan dirujuk. Biasanya perkahwinan menggunakan khidmat jurunikah di luar negara, pasangan perlu mendaftar pernikahan di pejabat agama di negara ini bagi memudahkan sebarang urusan,” katanya.
![]() Sebahagian daripada peserta yang menyertai Klinik Larian bersama Mark (duduk empat dari kiri).
|
TERDAPAT persepsi dalam kalangan masyarakat kita hari ini bahawa golongan kanak-kanak autisme sukar berdikari berbanding insan normal. Golongan itu dilihat serba kekurangan dari segi mental, fizikal dan intelektual sehingga kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan normal adakalanya turut dinafikan.
Namun, sekumpulan kanak-kanak daripada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) di sini, berjaya membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk terus aktif apabila terlibat dalam Klinik Larian Standard Chartered KL Marathon 2012 yang diadakan di Taman Metropolitan Kajang, baru-baru ini.
Ketua Jurulatih Standard Chartered KL Marathon 2012, Mark Williams berkata, klinik larian yang diadakan membantu peserta-peserta membuat persiapan menjelang pertandingan itu yang diadakan pada 24 Jun ini.
Katanya, antara yang diajar adalah tip-tip keselamatan, langkah-langkah latihan asas memanaskan badan dan teknik berlari yang betul.
“Ia merupakan satu penghargaan kepada saya untuk mengajar kanak-kanak ini.
“Melihat kesungguhan mereka berlatih membuatkan saya bangga. Diharapkan kesemua peserta mampu menamatkan larian masing-masing di samping mencatatkan masa terbaik,” katanya.
Pertandingan Standard Chartered KL Marathon 2012 bakal berlangsung di Dataran Merdeka membabitkan kira-kira 27,000 penyertaan.
Bagaimanapun, buat julung-julung kalinya, ia turut disertai seramai 21 peserta daripada Nasom bagi kategori Marathon Kids Dash 700M.
Turut memeriahkan pertandingan itu nanti ialah beberapa selebriti terkenal seperti Bernie Chan, Deejay Capital FM, Joanne Kam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Nasom, Chia Liaw Kee berkata, kesemua peserta amat teruja, lebih-lebih lagi mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman seperti Mark.
“Ini membolehkan mereka bersedia lebih awal dari segi mental dan fizikal sebelum pertandingan bermula.
“Pada masa yang sama, ia juga membuktikan bahawa golongan kanak-kanak autisme juga mampu melakukan aktiviti lasak termasuk bersukan seperti insan normal,” ujarnya.
Pada perkembangan berkaitan, Pengarah Dirigo Events Sdn. Bhd., penaja bersama Standard Chartered KL Marathon 2012, Rainer Biemans memberitahu, pertandingan itu merupakan platform terbaik bagi mana-mana persatuan dan badan-badan kebajikan di negara ini mengetengahkan permasalahan dan perjuangan mereka kepada masyarakat.
“Kami berharap melalui program amal, Run for a Cause, pihak Nasom berpeluang mengumpul dana yang digunakan untuk membina Sekolah Kanak-Kanak Autisme pada masa hadapan.
“Melalui pembinaannya, kami berharap dapat membantu golongan ini mendapat peluang pendidikan secara luas dan formal sama seperti rakan-rakan mereka yang dilahirkan normal,” ujarnya yang memerlukan kira-kira RM10 juta bagi merealisasikan impian berkenaan.
KUALA KANGSAR 16 Mei – Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru termasuk memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu antara lain memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban dengan penggunaan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
”Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013,” katanya ketika berucap merasmikan perayaan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Selepas kajian itu, katanya, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian.
”Bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendaliannya di peringkat sekolah.
”Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuat kuasa mulai 2013, iaitu semuanya akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.
Sehingga kini, katanya, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi.