Pemansuhan kuota kemasukan sekolah antarabangsa tidak ganggu sekolah kebangsaan – Bernama


Pemansuhan kuota kemasukan sekolah antarabangsa tidak ganggu sekolah kebangsaan

17 Mei 2012

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menghapuskan kuota sebanyak 40 peratus untuk rakyat tempatan memasuki sekolah antarabangsa tidak akan mengganggu kemasukan pelajar ke sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini kerana kapasiti pelajar di sekolah berkenaan adalah kecil berbanding sekolah kebangsaan.

“Kerajaan telah teliti dan mendapati bahawa sekolah antarabangsa tidak mengganggu atau menggugat sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah dalam negara kerana kapasiti sekolah berkenaan adalah kecil.

“Bagi kerajaan, bila kita putuskan untuk tidak lagi adakan kuota sebegitu bermakna kita boleh benarkan rakyat Malaysia belajar di sekolah antarabangsa yang kita tahu jumlahnya amat kecil sekali dengan sebahagian besar masih ada dalam sistem pendidikan nasional, sama ada di sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kebimbangan penghapusan kuota itu akan memberi kesan kepada sekolah kebangsaan, Muhyiddin berkata tindakan itu sebenarnya membawa banyak kebaikan terutama dalam menyekat aliran keluar wang negara berikutan ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk bersekolah di sekolah antarabangsa di Singapura dan beberapa negara lain.

Katanya yuran yang tinggi juga tidak akan membenarkan semua ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa.

“Bagi saya keputusan ini tidak akan mengganggu atau menggugat keadaan kita kerana kita kena terima hakikat satu hari nanti Malaysia akan jadi pusat bagi pembelajaran pelajar-pelajar dari seluruh dunia,” katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong sebelum ini dilaporkan berkata penghapusan kuota itu antara langkah yang diambil dalam meliberalisasi sektor pendidikan negara selaras dengan Program Transformasi Ekonomi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Majlis Peguam yang ditubuhkan mengikut Akta Profesion Perundangan kini berdepan tentangan baru, iaitu untuk menghapuskan persepsi bahawa ia adalah sebuah pertubuhan yang dimonopoli oleh pihak pembangkang.

Beliau berkata jika majlis itu boleh mengatakan persepsi itu adalah salah, mereka harus segera tampil perbetulkan keadaan tetapi berdasarkan kenyataan dan perlakuan terkini, persepsi itu sukar untuk dihapuskan.

“Sebaliknya telah terbukti dalam hal-hal tertentu yang sudah dilihat mereka seolah-olah mengambil pendirian bahawa yang baik tidak pernah dikatakan bagus, yang salah diletakkan pada kerajaan dan polis.

“Maksud saya, kalau anda seorang manusia yang adil, dia mesti mengambil sikap yang rasional, mana yang betul katakan betul, mana yang tidak kata tidak, barulah nampak ada keadilan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan segelintir pemimpin dalam majlis itu yang hanya mencari salah kerajaan dan polis tidak membantu dalam menaik dan memulihkan imej Majlis Peguam sebagai badan yang berintegriti, malah keadaan itu akan menjadikan persepsi suatu kenyataan.

“Itu beban yang perlu diperbetulkan, jika tidak akan selamanya ada rakyat menilai yang Majlis Peguam adalah badan politik,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Majlis Peguam telah menjadi sebuah parti politik memandangkan perhatiannya lebih kepada politik dan menyarankan supaya pertubuhan lain mengambil alih bahagian profesional bagi mengelak kekeliruan. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s